Wednesday, December 29, 2010

Menghadiri Pelancaran Ikeqs Di USIM

Siang tadi, saya telah berkesempatan menghadiri majlis pelancaran Institut Kefahaman Alquran Sunnah (IKEQS) di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, Negeri Sembilan. Ikeqs adalah sebuah institusi penyelidikan yang diletakkan di bawah Fakulti Pengajian quran Sunnah, USIM. Setakat yang saya maklum dan selaras pula dengan namanya, antara fungsi Ikeqs ialah sebagai pusat penyelidikan, pusat pengumpulan maklumat dan data serta pusat pengembangan kefahaman Islam selaras dengan tuntutan Quran dan sunnah.



Majlis pelancaran Ikeqs telah berlangsung serentak dengan majlis perasmian seminar yang bertemakan Quran Sunnah dan Sains Teras Tramsformasi Ummah. Majlis telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Prof. Datuk Dr. Muhammad muda, Naib Canselor USIM.

Penubuhan serta majlis pelancaran Ikeqs hari ini mempunyai signifikan yang tersendiri khususnya kepada golongan cacat penglihatan terutamanya yang beragama Islam. Ini adalah kerana antara yang turut termasuk dalam bidang penyelidikan di Ikeqs ialah berkaitan dengan Alquran Braille serta sub bidang yang ada kaitan dengannya.

Antara hasil ulung Ikeqs ialah penghasilan buku Iqra’ Braille yang telah selamat disempurnakan. Kejayaan penghasilan buku Iqra’ Braille ini adalah hasil usaha berterusan daripada para penuntut FPQS serta dengan tunjuk ajar daripada para pensyarahnya yang berkomitmen tinggi.

Penghasilan buku Iqra’ Braille ini juga turut mendapat kerjasama erat daripada Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS). Bagi saya, kerjasama erat dan ikhlas antara USIM dan PERTIS amat penting ke arah membuka peluang yang lebih luas terutamanya kepada golongan cacat penglihatan untuk mengakses bahan-bahan bacaan dalam bidang agama dalam bentuk Braille dengan lebih baik lagi.



Dalam majlis pelancaran itu juga, pihak USIM telah sudi menghadiahkan senaskah buku Iqra’ Braille yang lengkap kepada PERTIS. Pemberian ini merupakan petanda bahawa kerjasama yang telah sedia terjalin antara USIM dan PERTIS selama ini akan berterusan demi manfaat golongan cacat penglihatan. Selain buku Iqra’ Braille, saya turut difahamkan iaitu pihak USIM menerusi Ikeqs juga sedang mentranskripsi beberapa buah buku agama lin yang dirasakan amat bermanfaat kepada golongan cacat penglihatan.

Saya amat mengerti dan sangat memahami iaitu usaha untuk menyediakan iqra’ Braille dalam bentuk soft copy bukanlah sesuatu yang mudah. Banyak rintangan, halangan dan cabaran yang harus ditempohi. Selain itu, tanpa komitmen yang jitu, tenaga yang kuat serta kesabaran yang tinggi daripada semua pihak yang terlibat, usaha murni ini tidak akan membuahkan hasil sebagaimana yang dapat sama-sama kita kecapi hari ini. Justeru, saya sekadar ingin mengingatkan kepada yang berkenaan agar simpanlah baik-baik soft copy iqra’ Braille yang telah diusahakan itu agar ia tidak jatuh ke tangan pihak-pihak yang gemar menangguh di air keruh. Kelak nanti tidaklah dikatakan orang, lembu yang keluarkan susu, sapi pula yang mencari untung.

Saya turut mendapat satu perkhabaran yang amat menggembirakan daripada salah seorang pensyarah di FPQS. Perkhabaran yang saya maksudkan ialah mengenai hala tuju kaedah penulisan Alquran Braille selanjutnya. Isi perkhabaran yang telah disampaikan kepada saya merupakan sesuatu yang telah lama saya impikan. Maha Besar Tuhan yang telah menjadikan kita semua, akhirnya termakbul juga hasrat dan cita-cita saya selama ini mengenai hala tuju kaedah penulisan Alquran Braille. Saya juga amat yakin perkhabaran ini sudah tentu akan menggembirakan rakan-rakan senasib lain yang selama ini berkongsi harapan, impian dan hasrat yang sama. Namun demikian, saya tidak dapat memperincikan isi perkhabaran yang saya maksudkan buat masa ini.



Sebelum itu, di sebelah paginya telah berlangsung seminar sebagaimana yang tersebut di atas. Para pembentang kertas kerja terdiri daripada pakar dari dalam dan luar negara. Banyak juga ilmu baru yang dapat saya kutip daripada seminar berkenaan. Bila berada di tengah majlis ilmu sebegini, terasa betapa kurangnya apa yang ada kepada saya. Sebab itulah juga, bila ada orang yang cuba memanggil saya sebagai “Orang Alim”, ia cukup menggerunkan dan secara ikhlas ingin saya nyatakan saya tidak gemar dengan jolokan sedemikian. Haraplah dimengerti.



Sesungguhnya maha benarlah sepertimana yang difirmankan Allah sebagaimana mafhumnya: “.... Allah mengangkat darjat orang-orang yang beriman dalam kalangan kamu dan orang-orang yang dikurniakan ilmu pengetahuan dengan beberapa darjat (kelebihan) ....” (ayat 11, surah almujadalah, juzuk 28).

No comments: