Di Sekitar Tanjung Pinang
Kunjungan saya sekeluarga di Kepulauan Riau diteruskan lagi pada hari berikutnya. Kali ini, saya telah merancang untuk meneruskan kunjungan di sekitar Tanjung Pinang. Tanjung Pinang merupakan ibu kota kepada Kabupaten Kepulauan Riau (Kepri). Sebelum Anton tiba, saya sekeluarga telah mengambil kesempatan yang ada dengan bersiar-siar di sekitar hotel. Sebagaimana yang telah saya tulis sebelumnya, di sekitar hotel penginapan kami terdapat kawasan penduduk yang padat. Penduduknya pula ramah dan mudah berbicara bila disapa. Jalan-jalan di sekitar penempatan yang padat ini pula sempit.
Sekitar jam 9.30 pagi WIB, sebagaimana yang telah dirancang, kami bertemu Anton di lobi hotel. Setelah menyemak jadual kunjungan, kami pun bertolak ke satu lokasi yang tidak jauh dari hotel penginapan kami bersama-sama kenderaan yang dipandu oleh Pak John.
Tempat yang dimaksudkan ialah satu kawasan atas bukit menghadap laut. Jeti Tanjung Pinang pula tidak jauh dari kawasan berkenaan. Bagi mereka yang berpenglihatan, kesibukan di jeti Tanjung Pinang boleh disaksikan dari kawasan ini.
Selain itu, dari kawasan ini juga boleh kelihatan beberapa pulau yang berhampiran. Pulau Penyengat antara pulau yang boleh dilihat dengan jelas dari kawasan ini. Isteri saya memberitahu pemandangan dari kawasan ini memang cantik. Luqman turut mengakuinya. Di sini juga kami bersarapan. Memang agak eksklusif. Bagi saya, yang paling eksklusif ialah harga sarapan di sini.
Pak John memberitahu saya, dia tidak dapat bersama-sama kami dalam kunjungan kami hari ini kerana beliau terpaksa menguruskan sesuatu. Sebaliknya, anaknya yang bernama Michael akan menggantikan tempatnya selaku pemandu kenderaan.
Michael baru sahaja berusia 23 tahun. Beliau sudah pun berkahwin dan sedang menantikan kelahiran cahaya matanya yang pertama. Michael seorang yang beragama Islam. Isteri Michael seorang perempuan yang berasal dari Bogor, Jawa. Demikianlah.
Setelah selesai bersarapan dan menikmati pemandangan di sekitar lokasi ini, kami pun bergerak ke Muzium Sultan Sulaiman. Ia terletak di kawasan dalam kota.
Kedatangan kami di muzium ini disambut oleh seorang kakitangannya yang bernama Rina. Rina seorang yang peramah dan bersedia melayan kunjungan kami. Rina terus membawa kami ke setiap bahagian muzium berkenaan. Rina juga turut memberikan penerangan di setiap bahagian yang kami lawati.
Kata Rina, muzium ini sedang dibaik pulih. Asalnya bangunan muzium ini merupakan sekolah dasar semasa era penjajahan Belanda. Bahan yang dipamirkan di sini juga agak menarik. Ada yang boleh saya sentuh dan ada pula yang terkurung dalam cermin tebal.
Hampir satu jam kami menghabiskan masa di muzium ini. Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Rina yang telah melayan kedatangan kami dengan begitu mesra sekali. Walaupun lawatan kami merupakan lawatan biasa, tetapi layanan yang telah diberikan Rina amat istimewa kami rasakan. Demikianlah peramahnya orang-orang di sini.
Dari muzium Sultan Sulaiman, kami bergerak pula untuk mencari sekolah pendidikan khas. Memang menjadi niat dan hasrat saya untuk berkunjung juga di sekolah berkenaan jika ada kesempatan. Sebenarnya Anton sendiri tidak pasti lokasi sekolah berkenaan. Namun demikian, oleh kerana kuatnya hasrat saya untuk sampai juga ke sekolah berkenaan, maka Anton dan Michael pun berusahalah mencarinya. Rata juga mereka bertanya. Alhamdulillah akhirnya kami tiba di juga di sebuah sekolah pendidikan khas di sekitar Batu 6.
Di sini, sekolah pendidikan khas dikenali sebagai sekolah luar biasa (SLB). Jadi, murid-muridnya pula dikenali sebagai murid-murid luar biasa.
Sewaktu kami tiba, waktu persekolahan baru sahaja tamat. Maklumlah sekolah rendah. Kedatangan kami telah disambut dengan mesra. Nasib baiklah pihak sekolah tidak bertanya sama ada kami ada membawa surat kebenaran dari pihak atasan Indonesia. Kalau itu yang mesti ada, nampaknya saya sekadar dapat menyentuh pintu pagarnya sahajalah. Sebaliknya, kehadiran kami telah dijamu dengan minuman teh pula. Demikianlah adat orang di sini menyambut tetamu.
Sekolah ini merupakan sebuah sekolah khas untuk pelbagai kecacatan. Manakala SLB untuk murid-murid cacat penglihatan (tuna netra) pula terletak tidak jauh dari SLB yang saya kunjungi. Nampaknya tersalah sekolah saya.
Walau bagaimanapun, kunjunggan kami tidaklah mengecewakan. Beberapa orang guru yang ada telah berhasilkan mempertemukan saya dengan ZulFahmi (Pak Fahmi), seorang guru yang juga cacat penglihatan dan mengajar murid-murid cacat penglihatan.
Pertemuan dengan Pak Fahmi berlangsung amat mesra sekali. Pak Fahmi merupakan lulusan daripada Universitas Pendidikan Indonesia (UPI) di Bandung. Beliau berasal dari Sumatera Barat dan sudah pun berkeluarga. Kata Pak Fahmi, guru-guru untuk SLB sememangnya mendapat latihan di UPI.
Mengenai kemudahan lain, Pak Fahmi memberitahu saya, keperluan buku Braille memang mencukupi. Bahkan beberapa hari lalu, SLB tempat beliau bertugas baru sahaja menerima bekalan buku-buku Braille daripada kementerian yang bertanggungjawab. Berdasarkan penerangan daripada Pak Fahmi, sistem SLB tempat beliau bertugas lebih kepada pendidikan secara inklusif. Untuk pengetahuan bersama, sistem tulisan Braille untuk bahasa Indonesia great dua memang sudah lama wujud tetapi ia tidaklah sekompleks sebagaimana kod Braille Bahasa Melayu great dua yang ada di negara kita. Maknanya, untuk kod Braille great dua, kita masih boleh membaca tulisan Braille bahasa Indonesia, tetapi bagi pengguna Braille Indonesia pula, mereka sukar untuk membaca kod Braille Bahasa Melayu great dua yang sedang digunakan di negara kita. Demikianlah kompleksnya kod Braille Bahasa Melayu yang sedang kita gunakan.
Pak Fahmi juga turut menggunakan telefon tangan yang dilengkapi dengan perisian Talks. Terlupa pula saya bertanya versi perisian Talks yang sedang beliau gunakan. Ini amat memudahkan untuk kami berkomunikasi. Selain itu, Pak Fahmi juga memberitahu saya, mereka menggunakan komputer yang juga dilengkapi dengan perisian JAWS 10. Sesetengah sekolah pendidikan khas di negara sendiri masih lagi menggunakan perisian JAWS 8.
Pak Fahmi juga turut memaklumkan kepada saya bahawa di sekolah tempat beliau bertugas hanya ada 2 set naskah Alquran Braille. Katanya, Alquran Braille di Indonesia semakin mahal harganya iaitu sekitar 1.4 juta rupiah (sekitar RM 400.00). Katanya lagi, bekalan Alquran Braille yang ada di sekolahnya diperolehi daripada Badan Wiyataguna, Bandung.
Selain itu, Pak Fahmi juga memberitahu, di indonesia mereka memang ada sebuah persatuan untuk mereka yang beragama Islam. Persatuan yang dimaksudkan ialah Ikatan Tuna Netra Muslim Indonesia (ITMI). Agaknya ITMI bolehlah disamakan dengan PERTIS kalau di Malaysia.
Panjang juga perbualan saya dengan Pak Fahmi. Di akhir pertemuan, kami bersefakat untuk meneruskan hubungan yang telah mula terjalin dengan apa cara sekali pun. Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pihak sekolah serta warganya yang telah sudi melayan kunjungan saya sekeluarga dengan begitu baik sekali.
Oleh kerana waktu sudah pun tengah hari, maka kami pun mencari tempat untuk makan. Saya memberitahu Anton, tengah hari itu saya ingin makan di sebuah restoran yang eksklusif. Lalu beliau membawa kami ke sebuah restoran yang terletak di tengah kota Tanjung Pinang. Nama restorannya ialah Restoran Sederhana. Kata Anton, restoren ini dimiliki oleh isteri bekas pemimpin nombor dua Indonesia. Katanya lagi, hampir di setiap profinsi (wilayah) restoran ini mempunyai cawangannya. Makanan istimewa di restoran ini ialah masakan padang. Namun begitu, menu di restoran ini memang banyak dan pelbagai Pula.
Setelah menjamu selera di Restoran Sederhana, kami pun bergerak pula ke Masjid Raya Alhikmah. Nama masjid ini telah lama saya ketahui iaitu sejak saya akrab dengan siaran (Radio Republik Indonesia (RRI) Tanjung Pinang. RRI Tanjung Pinang akan mengumandangkan azan untuk solat maghrib secara langsung dari masjid inipada setiap hari. Maka itulah juga hasrat saya untuk menziarahi masjid ini sememangnya sudah lama terpendam. Alhamdulillah, akhirnya Allah kabulkan juga hasrat saya.
Setelah solat zohor dan asar secara jamak taqdim, kami pun bergerak pula ke Bintan Mall. Bintan Mall merupakan antara pusat membeli-belah yang ada di Tanjung Pinang. Namun begitu, saya sekeluarga tidaklah masuk ke kompleks membeli-belahnya. Sebaliknya kami membeli-belah di kawasan sekitarnya sahaja.
(Bersambung di bahagian akhir).
UCAPAN PENGHARGAAN.
1 week ago
No comments:
Post a Comment