Thursday, December 23, 2010

Takziah Kepada Keluarga Allahyarham Tun Ibrahim Ismail

Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan takziah yang sedalam-dalamnya kepada seluruh keluarga (Allahyarham) Tun Ibrahim Ismail yang telah dipanggil Ilahi awal pagi tadi. Allahyarham Tun Ibrahim telah menghembuskan nafas terakhirnya ketika berusia 88 tahun di Hospital Angkatan tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur.

Allahyarham Tun Ibrahim bin Ismail telah dilahirkan pada tahun 1922 di Johor Baru. Bapanya ialah Datuk Ismail Abu Bakar, seorang pegawai tinggi kerajaan Johor semasa era pemerintahan (Almarhum) Sultan Ibrahim (1895-1959). Allahyarham Tun Ibrahim pernah mendapat latihan ketenteraan di Dehra Dun, India. Pusat tersebut merupakan pusat latihan tentera yang amat popular bagi kerabat diraja Johor serta anak-anak keluarga bangsawan Johor.

Antara teman akrab Allahyarham Tun Ibrahim ialah Allahyarham Tun Hussein Onn. Kedua-duanya mempunyai sekurang-kurangnya tiga persamaan utama, kedua-duanya adalah anak golongan bangsawan Johor; kedua-duanya pernah mendapat latihan ketenteraan di pusat latihan yang sama dan pada masa yang sama; kedua-duanya pernah menjawat jawatan tertinggi dalam bidang masing-masing.

“Sudahkah Bertemu Maryam” (Have You Met Maryam) merupakan buku kisah hidup Allahyarham yang pernah saya baca. Buku ini menceritakan mengenai kehidupan beliau semasa kecil, tatkala menjalani latihan ketenteraan di India serta ketika ditangkap tentera Jepun. Have You Met Maryam merupakan satu kod rahsia antara pasukan tentera Bersekutu yang berpusat di Colombo dengan pasukan beliau yang ditugaskan mendarat di Tanah Melayu. Apabila beliau menerima mesej tersebut, jawapan yang patut diberi ialah Two Scortsmen left here two days ago. Namun begitu, apabila beliau ditawan oleh tentera Jepun dan apabila tentera Bersekutu menghantar mesej sedemikian menerusi alat hubungan, Allahyarham Tun Ibrahim telah memberikan jawapan yang lain dan beliau juga berjaya meyakinkan tentera Jepun bahawa jawapan (bukan jawapan sebenar) yang beliau berikan adalah jawapan yang sepatutnya. Jawapan daripada Allahyarham Tun Ibrahim ini telah memberi isyarat kepada tentera Bersekutu bahawa beliau telah ditawan oleh tentera Jepun. Demikianlah antara kisahnya.

Allahyarham Tun Ibrahim pernah menjadi presiden Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB) selepas kematian Allahyarham Tun Hussein Onn. Salah seorang daripada adik perempuan beliau ialah Cikgu Fatimah Ismail, yang lebih dikenali sebagai Cikgu Ara. Cikgu Ara pernah mengajar di SKPK Princess Elizabeth antara tahun 1948-1965. Cikgu Ara yang masih bersama kita hari ini merupakan antara 4 orang guru generasi pertama bagi SKPK Princess Elizabeth. Sewaktu menjadi tenaga pengajar di sekolah tersebut, Cikgu Ara sememangnya berkemahiran tinggi dalam sistem tulisan Braille. Demikianlah.

Mudah-mudahan Roh Allahyarham Tun Ibrahim Ismail akan sentiasa dicucuri Rahmat oleh Allah Yang Maha Kuasa. Alfatihah.

No comments: