Menjejakkan Kaki Ke Pulau Bintan
Sebenarnya sudah lama saya menyimpan hasrat untuk sampai ke kepulauan Riau. Hasrat untuk sampai ke sini semakin kuat bilamana saya semakin mengenali kepulauan ini menerusi bilik darjah, dewan kuliah dan bilik tutorial. Selain itu, pembacaan saya menerusi Tuhfat An-Nafis serta buku Silsilah Melayu Dan Bugis serta beberapa lagi buku dan artikel yang bersangkutan menambah lagi hasrat saya untuk menjejakkan kaki ke kepulauan ini. Sewaktu saya kuat berjinak dengan radio suatu ketika dahulu, jika ada kesempatan yang terluang saya akan mendengar siaran radio dari Tanjung Pinang. Menerusi siaran radio tersebut, ada segmen yang dipanggil Siaran Perdesaan. Menerusi siaran seumpama inilah saya dapat mendengar orang kepulauan Riau berbahasa Melayu persis sebagaimana bahasa Melayu orang Johor. Ini menguatkan lagi keinginan saya untuk sampai ke sini. Alhamdulillah, akhirnya pada 5 Disember 2010 saya, isteri serta Luqman diizinkan Allah juga menjejakkan kaki di Tanjung Pinang yang terletak di Pulau Bintan.
Sebelum bertolak, beberapa persediaan rapi harus dibuat. Menerusi internet, saya megemas kini pengetahuan mengenai Kepulauan Riau, terutamanya tempat-tempat yang boleh dan sesuai untuk saya sekeluarga kunjungi. Selain itu, ubat-ubat tertentu juga telah disediakan, khasnya untuk Luqman. Untuk memudahkan, sejumlah wang juga telah ditukar ke mata wang Indonesia. Maka kami pun Jadi jutawan untuk seketika. Luqman juga telah dimaklumkan beberapa kali bahawa kami akan ke Kepulauan Riau dengan feri. Setidak-tidaknya dia boleh bersedia dari aspek mentalnya. Saya juga turut berhubung dan berunding dengan pihak hotel mengenai beberapa perkara agar kami sekeluarga sentiasa selesa ketika di Riau. Maklumlah pergi secara bersendirian. Berbekalkan maklumat yang ada, saya telah membuat jadual lawatan untuk kami sekeluarga sebelum bertolak lagi. Seperti biasa, bila saya membuat jadual untuk lawatan, membeli-belah merupakan agenda terakhir. Ia akan dilaksanakan jika ada masa. Isteri saya dan Luqman langsung tidak membantahnya.
Sekitar jam 8.00 pagi (5 Disember), kami sekeluarga bertolak dari Kuala Lumpur. Kami berhenti sekitar setengah jam di R & R Seremban untuk bersarapan. Sekitar jam 11.30 kami tiba di SKPK Princess Elizabeth. Saya telah pun mendapat keizinan dari Pn. Nafisah (guru besar sekolah) untuk meninggalkan kenderaan kami di sekolah berkenaan. Terima kasih banyak-banyak diucapkan kepada Cikgu Nafisah.
Dari SKPK Princess Elizabeth, kami berteksi pula ke Stulang Laut. Dari sini kami kemudiannya telah menaiki feri ke Tanjung Pinang pada jam 1 Tengah hari. Untuk maklumat bersama, saya sekeluarga ke Riau tidak menyertai mana-mana pakej. Dengan kata lain, kami main redah sahaja.
Perjalanan dari Stulang Laut ke Tanjung Pinang mengambil masa sekitar 2 jam dan 45 minit. Pada umumnya laut tenang. Hanya sekali-sekala terasa feri berbuai diayun ombak agaknya. Luqman juga tenang. Perasaan takutnya tidaklah sebagaimana dia menaiki kapal Terbang sewaktu kami ke Kuching 2 tahun lalu. Pada pendengaran saya, feri tidaklah sepenuh mana. Sewaktu dalam perjalanan, sekali-sekala saya meneliti isyarat pada telefon tangan saya. Boleh dikatakan di sepanjang perjalanan isyarat sentiasa ada. Bahkan saya berupaya untuk berhubung secara SMS dengan pihak hotel yang bakal saya huni di sepanjang saya berada di kepulauan Riau nanti.
Sekitar jam 2.45 petang WIB kami tiba di terminal feri di Tanjung Pinang. Urusan imigresen dan bagasi mengambil masa sekitar 20 minit. Urusannya tidaklah cerewet sangat. Segalanya berjalan dengan lancar. Setelah semuanya selesai dan ketika kami ingin mengambil bagasi, seorang lelaki tempatan memberitahu “40 ribu pak”. Maknanya kami dikenakan bayaran upah sebanyak 40 ribu rupiah oleh orang yang tolong angkat beg dari feri tadi. Mulanya isteri saya ingin membayar dengan RM15, tetapi saya menegahnya. Saya terus keluarkan wang 50 ribu dan dapat lebihannya sebanyak 10 ribu rupiah. RM15 ringgit lebih mahal daripada 40 ribu. Sebab itulah saya menegah isteri saya daripada membayar RM15 tadi walaupun lelaki tadi bersedia menerimanya. Setelah semua urusan selesai, kami pun bergerak ke hotel Panorama yang letaknya tidak jauh dari terminal feri dengan ssebuah kenderaan yang telah pun disediakan oleh pihak hotel.
Setelah semua urusan check in selesai, kami pun dibawa ke bilik yang telah ditempah. Bilik kami terletak di tingkat 3. Hotel ini merupakan antara hotel yang baik (mengikut kaca mata orang setempat) di Tanjung Pinang. Lokasinya juga amat strategik. Ia terletak di Jalan Haji Agus Salim, sebatang jalan yang sempit tapi sibuk di Tanjung Pinang. Kawasan Melayu Square terletak tidak jauh dari hotel. Selain itu, Kejaksaan Tinggi Kepulauan Riau (mahkamah tinggi), Lembaga Adat Melayu dan Majlis Islam Indonesia antara bangunan kerajaan yang letaknya begitu hampir dengan hotel penginapan kami. Selain itu, pejabat Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) juga terletak begitu hampir dengan hotel penginapan kami. DMDI ini amat sinonim dengan Datuk Seri Mohd Ali Rustam. Gerai dan warung makan memang banyak dan tiada syak, zan dan waham lagi padanya. Bilik penginapan kami pula menghadap pantai. Ia sebagaimana yang kami tempah. Pihak hotel turut memaklumkan kepada kami di mana kami boleh menggunakan kenderaan hotel secara percuma untuk ke tempat-tempat di sekitar Tanjung Pinang pada waktu bekerja iaitu dari jam 7 pagi hingga jam 5 petang WIB. Demikianlah.
Sekitar jam 4.45 petang WIB, saya sekeluarga pun turun ke bawah. Luqman sudah lama merungut kerana lapar. Tidak jauh dari hotel penginapan, isteri saya terlihat sebuah kedai makan (warung) yang bertulisan “masakan padang”. Di sinilah kami menjamu selera untuk pertama kali setelah menjejakkan kaki di Pulau Bintan. Masakannya agak sedap juga. Kata isteri saya, cara pinggannya disusun ada "seni". Agaknya tuan kedai sudah perasan bahawa kami bukan orang tempatan. Maka itulah beliau terus bertanya: “Abang dan kakak dari mana?” Kami terus memberitahu bahawa kami dari Malaysia. Tuan kedai juga bercakap seakan dialek Melayu.
Selepas makan, kami berjalan-jalan di sekitar hotel penginapan. Di bahagian belakang hotel, rupa-rupanya terdapat kawasan kediaman penduduk yang agak sesak. Jalannya sempit. Masjid dan surau pula memang banyak dan berdekatan antara satu sama lain. Sewaktu kami sedang melintasi sebuah rumah yang sedang ramai, kami menyapa salah seorang daripada mereka. Sapaan kami itu disambut dengan begitu mesra sekali. Mereka sudah agak bahawa kami bukan orang setempat. Daripada perbualan tersebut, beberapa maklumat dapat diperolehi. Kata mereka, tambang untuk ke pulau Penyengat 5 ribu rupiah sahaja. Jaraknya pula tidak jauh.
Tatkala sedang bersiar-siar, pihak hotel menghubungi saya dan memaklumkan orang yang bakal menjadi pemandu pelancong kepada kami telah tiba dan menanti di lobi hotel. Sebenarnya, sebelum saya ke Riau, saya telah meminta pertolongan pihak hotel untuk mencarikansaya seorang pemandu pelancong. Syaratnya yang saya berikan, pemandu pelancong berkenaan mestilah orang tempatan dan mahir dengan selok-belok kawasan yang hendak kami kunjungi. Pihak hotel pula tidak keberatan untuk membantu. Kami segera berjalan kaki ke hotel semula untuk menemui orang berkenaan.
Pemandu pelancong yang dimaksudkan bernama Anton. Beliau merupakan penduduk asli Pulau Penyengat. Ibunya berketurunan Melayu manakala bapanya (Allahyarham) pula berketurunan Bugis. Beliau sudah pun berkahwin dan mempunyai 3 orang cahaya mata yang masih kecil. Kata Anton, beliau tidak lagi fasih berbahasa Bugis. Daripada perbualan dalam pertemuan pertama ini, saya dapat merasakan Anton memang ikhlas ingin membantu saya sekeluarga. Saya terus memaklumkan kepada Anton jadual lawatan yang telah saya aturkan di sepanjang kunjungan kami bagi memudahkan beliau mengaturkan apa-apa yang perlu pula. Anton seorang yang masih muda, peramah dan baik hatinya. Mulanya saya berbahasa dengan memanggilnya "bapak", tetapi beliau enggan saya memanggilnya demikian. Katanya, "Panggil anton sahaja lagi mesra". Dia juga memanggil saya "Abang Z". Anton berbahasa Melayu sebagaimana kebanyakan kita di Malaysia. Saya turut mengajukan satu permintaan kepada Anton. Saya ingin makan tengah hari di Pulau Penyengat esok. Anton menawarkan kepada saya supaya makan tengah hari sahaja di rumahnya esok. Sudah tentulah saya tidak menolaknya asalkan ia tidak menyusahkan beliau dan keluarganya. Beliau turut bertanyakan menu makanan yang saya ingini. Saya memberitahu Anton, saya ingin makan lauk-pauk orang Pulau Penyengat sahaja. Beberapa kali Anton meminta supaya saya menyebut menu makanan yang saya ingini. Saya tetap tegas tidak memberitahunya. Saya sekadar mengatakan, apa yang dimakan oleh orang Pulau Penyengat, itulah yang saya ingin makan. Akhirnya Anton terpaksa mengalah. Kami akhiri pertemuan pertama ini dengan berjanji untuk bertemu semula pada jam 10.30 WIB pagi esok. Alhamdulillah, setidak-tidaknya saya sudah pun ada seorang sahabat baru di Kepulauan Riau.
Tanjung Pinang terletak di Pulau Bentan dalam gugusan kepulauan Riau. Pulau Bentan memang sudah terkenal dalam sejarah dan alam Melayu. Dikatakan di pulau ini pernah didirikan kerajaan yang besar lama sebelum berdirinya kesultanan Melayu Melaka. Siapa tidak kenal dengan nama Laksamana Bentan? Sultan Mahmud Syah, iaitu sultan Melaka yang terakhir juga pernah lari ke pulau ini setelah kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada tahun 1511. Selepas itu, kerajaan Melayu Johor – Riau pernah menjadikan pulau ini sebagai pusat pemerintahannya. Memang pun, sesekali telinga saya masih dapat menangkap perbualan orang di sekitarnya dengan menggunakan bahasa Melayu ala Johor.
(Maklumat Tambahan: WIB ialah singkatan kepada Waktu Indonesia Barat. Waktunya pula satu jam lewat daripada waktu di Malaysia).
Kalau pergi memburu kijang,
jangan sampai ke hujung tanjung;
kalau berada di tempat orang,
jangan kita bersifat sombong.
(Bersambung di bahagian seterusnya).
UCAPAN PENGHARGAAN.
1 week ago
No comments:
Post a Comment