Sekitar jam 8.30 malam semalam (1 Disember), saya telah ditemui oleh sekumpulan 4 orang dari Kuala Lumpur. Tiga orang Melayu dan seorang Cina. Pertemuan berlangsung di sebuah kedai makan di bandar Kuantan. Pertemuan berlangsung sekitar sejam lamanya. Manakala saya pula hanya ditemani isteri dalam peertemuan tersebut. Tujuan kumpulan 4 orang ini datang ke Kuantan memang semata-mata untuk bertemu saya bagi membincangkan hal berkaitan dengan Alquran Braille. Mereka memberitahu saya, selepas tamat perbincangan, mereka akan kembali semula ke Kuala Lumpur. Kumpulan berkenaan turut membawa dan menyerahkan kepada saya senaskah butiran cadangan perjanjian yang mereka ingin supaya saya teliti dan kalau boleh ditandatangani.
Di sini, saya tidaklah berhasrat untuk memperincikan isi perbincangan kami dan juga kandungan butiran cadangan perjanjian yang saya maksudkan. Saya sentiasa memohon ke hadhrat Allah supaya memberikan saya petunjuk, taufiq serta hidayah-Nya supaya saya tidak membeli dunia yang maha fana ini dengan Alquran Braille. Walaupun ia Cuma Alquran Braille, namun ia tetap Alquran dan kitabullah yang menjadi pedoman untuk kita bagi mendapatkan keredhaan Allah dunia dan akhirat. Demikianlah.
Asal mula kisahnya, soft copy Alquran Braille yang ada dalam simpanan Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) telah disalin ke dalam bentuk soft copy oleh seorang rakan saya pada pertengahan dekad 90-an lalu. Walaupun ada di antara kita mungkin sudah tahu rakan mana yang saya maksudkan, tapi dalam kesempatan ini biarlah saya tidak memaparkan namanya dahulu. Lagipun saya arif benar dengan pendirian rakan saya itu. Beliau tidak suka kalau namanya dikaitkan dengan Alquran Braille yang ada di negara kita sekarang, walaupun beliaulah orangnya yang telah menyalinnya ke dalam komputer. Sebab itulah juga, dalam mesyuarat atau perbincangan mengenai Alquran Braille di mana-mana sahaja, beliau langsung tidak terlibat, walaupun sepatutnya tidak begitu. Pada suatu ketika, pernah kami hampir bertengkar kerana rakan saya itu seakan memaksa supaya Alquran Braille yang sedia ada menggunakan nama saya sebagai penyalinnya. Sudah tentulah saya menolaknya bulat-bulat.
Untuk pengetahuan bersama, Data berkomputer Alquran Braille yang sedia ada di PERTIS telah disalin daripada Alquran Braille dari Indonesia. Manakala Alquran Braille Indonesia berkenaan pula telah disalin daripada naskah Alquran Braille yang berasal dari Jordan. Demikianlah apa yang telah saya perolehi daripada sedikit penyelidikan yang telah dilakukan. Jadi, proses yang telah berlaku ialah “salin” dan bukannya ambil atau curi orang lain punya. Ini bermakna, proses penyalinan itu telah dilakukan dari huruf ke huruf dan juga dari tanda ke tanda dan ia dilakukan satu persatu. Bukankah kaedah penyalinan seumpama ini juga yang telah dilakukan dari semenjak zaman Rasulullah dahulu? Suka saya tegaskan di sini, sama ada rakan saya itu mahupun PERTIS sekali-kali tidak pernah ambil/curi soft copy orang lain dan kemudian dakwa ini kita punya. Sebagai sebuah organisasi yang berteraskan Islam dan diterajui oleh kita yang beragama Islam, halal haram sumber tabungannya mestilah ditentukan dengan jelas. Bukankah soal halal haram jugalah yang seharusnya dijadikan pertimbangan kepada semua orang yang beragama Islam? Apa yang sering berlaku kini, pertimbangan untung rugi lebih diutamakan daripada soal halal dan haram. Sesungguhnya yang haram itu tidak akan menjadi halal dan yang halal itu tidak pula akan menjadi haram hanya semata-mata kerana kita petah berhujah untuk menegakkan benang yang basah. Antara haq dan batil itu sudah ada sempadannya yang nyata yang telah ditentukan oleh Allah.
Kalau kita ambil/curi orang lain punya kemudian jadikan pula sebagai sumber tabungan organisasi kita, bukannkah itu haram hukumnya? Apatah lagi jika ia melibatkan Alquran, walaupun ia Cuma Alquran Braille! Sesungguhnya antara “menyalin” dengan “mengambil/mencuri” merupakan dua perkara yang sangat berbeza. Dari sudut hukum, yang satu halal dan yang satu lagi haram.
Berbalik kepada cerita rakan saya tadi, setelah data-data berkomputer lengkap disalin, pada pertengahan dekad 90-an beliau kemudiannya telah mengamanahkan soft copy berkenaan kepada Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) untuk tindakan susulan. Justeru, menerusi PERTIS data berkomputer Alquran Braille tersebut kemudiannya telah disemak oleh sekumpulan penal penyemak daripada jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Setelah urusan semakan tamat beberapa tahun kemudian, rakan saya itu juga telah mengamanahkan kepada PERTIS untuk mencetak dan seterusnya menyebarkan Allquran Braille berkenaan kepada pengguna sasarnya, iaitu mereka yang cacat penglihatan yang beragama Islam. Sehingga ke hari ini pun rakan saya itu tetap dengan pendiriannya iaitu hanya kepada PERTIS sahaja beliau amanahkan soft copy berkenaan.
Untuk maklumat bersama, pihak PERTIS pula telah mengenakan jumlah bayaran tertentu kepada sesiapa yang ingin memiliki naskah Alquran Braille berkenaan. Selain untuk menampung kos pengeluaran dan percetakan, lebihan daripada bayaran berkenaan telah dimasukkan terus ke tabung PERTIS. Untuk maklumat kita juga, rakan saya tadi yang juga merupakan penyalin asal soft copy Alquran Braille berkenaan tidak mahu menerima imbuhan walau sesen pun daripada Alquran Braille yang telah disebarkan menerusi PERTIS. Sudah beberapa kali pihak PERTIS memujuk beliau supaya menerima sedikit imbuhan di atas usaha beliau, tetapi beliau bertegas menolaknya hinggalah ke hari ini. Selain itu, rakan saya itu juga sekali-kali tidak pernah mencanang kejayaannya menyalin Alquran Braille ke dalam bentuk soft copy untuk terhegeh-hegeh mengejar anugerah itu dan ini. Sebaliknya beliau terus khusyuk dengan tugas sehariannya.
Di sini, saya suka menegaskan bahawa bukanlah menjadi hasrat abadi PERTIS untuk menjadi pemilik, pencetak atau pengedar tunggal Alquran Braille di negara ini. Jika ada mana-mana pihak yang ingin turut serta menjadi pemilik, pencetak dan pengedar Alquran Braille selain PERTIS, saya amat mengalu-alukannya. Tetapi ia hendaklah dilaksanakan dengan kaedah dan cara yang diredhai Allah. Berusahalah dengan menyalin sendiri Alquran Braille berkenaan dari huruf ke huruf, dari tanda ke tanda, sebagaimana yang pernah dilakukan oleh rakan saya tadi. Kalau ia tidak dimulakan, maka sudah pasti ia tidak akan tiba ke penghujungnya.
Di indonesia, terdapat lebih dari satu badan/organisasi yang mengeluarkan Alquran Braille. Antaranya ialah Badan Wiyataguna yang berpusat di Bandung dan juga Yayasan Kesejahteraan Tuna Netra Islam Indonesia (Yaketunis) yang berpusat di Jogjakarta. Kedua-dua badan ini saling lengkap-melangkapi antara satu sama lain dalam konteks memenuhi keperluan Alquran Braille untuk mereka yang cacat penglihatan di Indonesia. Saya penuh yakin, di antara badan-badan berkenaan tidak ada yang mengambil/mencuri Alquran Braille kepunyaan pihak lain hanya semata-mata untuk muncul sebagai pengeluar, pencetak atau pengedar Alquran Braille.
Banyak pihak sebelum ini pernah mencadangkan kepada saya agar PERTIS mempatenkan sahaja Alquran Braille yang berada di bawah jagaannya. Pada dasarnya cadangan tersebut memang bagus. Namun demikian, setiap kali saya ingin memulakan usaha untuk mempatenkan Alquran Braille berkenaan, maka akan terngiang-ngianglah di telinga saya ayat 9 dari surah Alhijr yang antara lain mafhumnya: “Sesungguhnya Kamilah (Allah) yang telah menurunkan Alquran dan Kami jugalah yang akan memeliharanya”. Pada pemahaman saya yang amat dangkal ini, bila saya mempatenkan Alquran (walaupun ia Cuma Alquran Braille) seolah-olahnya saya tidak lagi yakin dengan jaminan yang telah diberi oleh Pemilik kitab suci itu sebagaimana mafhum ayat berkenaan. “Yand demikian itu di dalam kitab (Alquran) tiada sedikit pun keraguan padanya ...” (ayat 2 surah Albaqarah).
Masih segar dalam ingatan saya, sekitar akhir tahun 2004, seorang hamba Allah pernah datang sendiri ke rumah saya dengan tujuan untuk membeli terus soft copy Alquran Braille. Masih terngiang-ngiang di telinga saya kata-kata si hamba Allah tersebut kepada saya: “Cikgu tulis sahaja berapa harganya, kami akan membayarnya”. Demi Allah, saya merasa malu untuk membeli dunia yang maha fana ini dengan Alquran walaupun ia Cuma Alquran Braille.
Sekitar tahun 2006 pula, seorang hamba Allah pernah meluahkan kemarahannya kepada saya kerana saya enggan bekerjasama dengan pihaknya dalam soal pengedaran Alquran Braille. Memang saya akui masih ramai lagi individu atau golongan korporat yang baik hati dan sedia membantu dengan menaja penerbitan Alquran Braille untuk dimanfaatkan oleh golongan yang cacat penglihatan. Bagi saya, kita tidak seharusnya mengambil kesempatan daripada kebaikan mereka itu dengan meninggikan harga Alquran Braille semata-mata untuk mengisi kocek sendiri.
Dalam konteks menghulurkan bantuan dan kerjasama, bagi saya apa yang telah dan sedang dilakukan oleh beberapa pihak boleh dijadikan contoh dan ikutan. Bahagian Buku Teks (BBT) Kementerian Pelajaran Malaysia merupakan agensi kerajaan yang penuh tanggungjawab telah menaja ratusan naskah Alquran Braille untuk diedarkan secara percuma kepada semua murid sekolah yang cacat penglihatan di seluruh negara. Matlamat akhirnya ialah untuk memastikan agar setiap murid cacat penglihatan akan mendapat senaskah Alquran Braille. Manakala Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pula telah menaja penerbitan hampir 300 naskah Alquran Braille untuk diedarkan secara percuma kepada setiap orang cacat penglihatan yang dewasa. Sementara itu, beberapa orang individu juga pernah menaja penerbitan Alquran Braille untuk tujuan yang sama. Dalam situasi ini, pihak PERTIS tidak pernah mengambil kesempatan dengan menaikkan harga produksi Alquran Braille hanya semata-mata untuk meraih keuntungan yang tidak sepatutnya. Biarlah dapat sedikit asalkan barakahnya berpanjangan.
Di samping itu, pihak PERTIS juga sedang bekerjasama rapat dengan sekumpulan penyelidik daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk menghasilkan alat bantuan mengajar yang berupaya digunakan dalam penngajaran dan pembelajaran Alquran Braille secara lebih berkesan. Selain itu, Fakulti Pengajian Quran Sunah (FPQS) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pula sedang di peringkat akhir untuk memulakan penyelidikan ke arah menghasilkan kaedah penulisan Alquran Braille berbentuk rasm Uthmani secara komprehensif. Setakat yang saya maklum, Alquran Braille yang telah dihasilkan oleh negara Arab Saudi (cetakan tahun 2005) telah pun menggunakan kaedah penulisan rasm Uthmani, tetapi kaedah yang digunakan masih terdapat beberapa kelemahan yang boleh dilakukan penambahbaikan. Bagi saya, lompang inilah yang harus disempurnakan oleh penyelidik daripada FPQS USIM nanti.
Pada penelitian saya, sama ada pihak BBT, JAKIM, FKM UTM mahupun FPQS USIM benar-benar ikhlas untuk membantu. Setakat yang saya maklum, tiada seorang individu pun daripada badan/agensi berkenaan yang beroleh keuntungan peribadi daripada bantuan dan pertolongan yang mereka hulurkan kepada PERTIS.
Setakat ini pendirian saya mengenai Alquran Braille tidak akan berubah. Insha-Allah saya akan sedaya-upaya beristiqamah dengan pendirian saya walaupun ada pihak-pihak tertentu cuba menggugat pendirian berkenaan dengan menggunakan nama-nama orang besar negara tertentu. Bagi saya, nama Allah adalaha Maha Agung dan tiada nama lain yang seagung nama-Nya. Saya amat insaf dan sedar, saya bukanlah orang yang kuat iman atau orang alim yang banyak ilmu yang mampu untuk sentiasa beristiqamah di jalan-Nya sepanjang masa. Pada bila-bila masa sahaja, saya mungkin boleh tergelincir dek kerana habuan duniawi yang ghurur ini. Situasi itulah yang amat saya takuti!!!
Sebenarnya, saya baru sahaja selesai membaca butiran cadangan perjanjian yang telah diserahkan kepada saya malam semalam.
UCAPAN PENGHARGAAN.
1 week ago
2 comments:
assalamualaikum Cikgu Zakaria
terharu saya dngan hamba Allah itu.
teringat kisah bagaimana usaha para sahabat nabi cuba mneyelamatkan Al Quran.
tahniah kepada PERTIS atas ketegasan pendirian ini dan juga kepada hamba Allah itu.
p/s: adakah pihak penerbitan seperti PTS atau Galeri Ilmu Sdn Bhd mnegetahui akan hal ini?
Salam Ustaz,
InsyaAllah segala usaha murni mendapat ganjaran dari Allah di dunia dan akhirat.
Post a Comment