Bersempena dengan kedatangan tahun baru Masihi 2011, saya mengucapkan selamat tahun baru khususnya kepada para pengunjung blog ini. Semua pihak, daripada para pemimpin negara hinggalah kepada rakyat biasa, masing-masing mengharapkan agar tahun 2011 akan merupakan tahun yang lebih baik daripada tahun sebelumnya.
Di sini, saya juga ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada mereka yang telah menghantar ucapan selamat tahun baru kepada saya menerusi pelbagai saluran komunikasi. Ucapan dikirim tanda ingatan. Ia juga membawa mesej hubungan yang sedia ada ingin diteruskan bersempena dengan kehadiran tahunbaru Masihi 2011.
Walaupun tahun 2010 telah melabuhkan tirainya, tetapi apa yang telah berlaku atau apa yang telah kita lakukan di sepanjang tahun berkenaan akan tetap menjadi ingatan, kenangan, bahkan akan menjadi sebutan di masa hadapan pula. Itulah sejarah. Maknanya, jika kita telah melakukan sesuatu yang tidak baik, amat mustahil untuk kita memaksa sejarah supaya mengubah dengan mengatakan apa yang telah kita lakukan itu adalah baik. Walau bagaimanapun, selagi nyawa belum sampai ke ghargharah, maka pintu taubat masih terbuka luas. Demikianlah Maha Penyayangnya Allah itu.
Sebagaimana biasa, kedatangan tahun baru Masihi 2011 telah disambut dengan pelbagai cara. Ada yang menyanyi; ada yang menari; ada juga yang mengadakan ceramah dan bernasyid; pendek kata, bermacam cara. Biar apa pun caranya, seperkara yang tidak dapat kita ketepikan ialah, kehadiran tahun baru, tak kiralah sama ada tahun Hijrah mahupun tahun baru Masihi, mesej hakikinya ialah umur kita semakin pendek dan hari yang telah dijanjikan-Nya untuk kita semakin hampir. Saya bukan menakutkan, tetapi sekadar mengingatkan terutamanya buat diri sendiri.
Salam dari Lumut.
UCAPAN PENGHARGAAN.
1 week ago
No comments:
Post a Comment