Tuesday, January 18, 2011

Panggilan Telefon Daripada Ustaz Ali Md Dahan

Sekitar jam 6.45 petang tadi, saya menerima panggilan telefon daripada Ustaz Ali Md Dahan. Perbualan kami agak ringkas sahaja. Beliau meminta pertolongan saya untuk membersihkan namanya daripada terus dikaitkan sebagai penyemak kepada Alquran Braille yang dicetak oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Katanya, beliau tidak mahu namanya dikaitkan kononnya pernah menjadi tukang semak kepada Alquran Braille oleh individu tertentu.

Dalam perbualan tersebut, saya telah menyarankan dua kaedah yang boleh beliau lakukan untuk membersihkan namanya daripada terus dikaitkan sebagai kononnya pernah menjadi tukang semak Alquran Braille sebagaimana di atas. Jika kaedah pertama gagal, maka kaedah kedua harus dilaksanakan. Ustaz Ali bersetuju dengan cadangan saya dan meminta saya agar membantunya untuk membersihkan namanya secepat mungkin. Di akhir perbualan, saya memberi jaminan bahawa saya akan berusaha untuk membantu Ustaz Ali Md Dahan untuk membersihkan namanya sebagaimana kemahuan beliau.

Sebenarnya, saya amat memahami tekanan batinn yang Ustaz Ali hadapi apabila namanya telah dikaitkan secara tidak bertanggungjawab oleh individu tertentu kononnya Ustaz Ali pernah menyemak alquran Braille yang telah dicetak oleh individu berkenaan. Sebagai seorang yang hafiz Alquran, Ustaz Ali amat faham dengan pahala dan dosa, amat mengerti dengan halal dan haram dan amat takut dengan Allah yang telah menghidupkan dan yang akan mematikan sekalian makhluk-Nya. Justeru, sudah tentulah beliau tidak mahu namanya dikaitkan langsung dengan sesuatu yang tidak pernah beliau laksanakan. Beliau amat duka cita apabila nama beliau dijaja ke sana ke sini untuk kepentingan individu yang hanya mengutamakan perut dan poketnya semata-mata. Ustaz Ali Md Dahan merasa bersalah dan berdosa selagi namanya terus dikaitkan selaku tukang semak Alquran Braille sebagaimana di atas sedangkan beliau tidak pernah melakukannya.



Foto di atas adalah tulisan yang terdapat pada kulit Alquran Braille yang telah dicetak oleh individu yang tidak bertanggungjawab itu. Jika diteliti tulisannya, kesalahan yang terdapat pada tulisan tersebut amat nyata sekali. Jika dikulitnya sudah terselah kesalahan, apatah lagi pada isinya (teks Alquran Braille itu sendiri). Lebih mendukacitakan lagi, apabila individu berkenaan menggunakan pula nama orang itu dan orang ini kononnya sebagai tukang semak Alquran Braille yang beliau cetak. Bahkan konon khabarnya, pengedaran Alquran Braille cetakan beliau turut mendapat kebenaran daripada agensi itu dan jabatan ini. Bukankah lebih baik jika individu berkenaan berterus terang sahaja dari mana beliau perolehi soft copy Alquran Braille yang ada dalam simpanan beliau! Kalau sekadar untuk menukar muka hadapan (title page) serta saiz kertas Braille yang digunakan dalam cetakan, sesiapa sahaja boleh melakukannya asalkan soft copynya ada. Jika kita gunakan Alquran (walaupun Alquran Braille) hanya untuk membuncitkan perut dan mengembungkan poket, maka ia akan sia-sia dunia akhirat. Sesungguhnya negeri akhirat itu tidak boleh dibeli walaupun dengan seluruh nilai isi dunia ini.

Sebelumnya, siang tadi juga, salah seorang rakan saya turut mengaku bahawa beliau juga ada menyimpan soft copy Alquran Braille milik PERTIS. Katanya, soft copy berkenaan beliau ambil daripada komputer di ibu pejabat PERTIS beberapa tahun lalu. Walau bagaimanapun, katanya lagi, beliau tidak pernah menggunakan soft copy Alquran Braille yang telah diambil daripada PERTIS untuk mencetaknya dalam bentuk hard copy. Katanya lagi, tujuan beliau sekadar untuk back up sahaja.

Biar apa pun alasannya, apabila sesuatu itu diambil tanpa kebenaran daripada pemiliknya, maka ia tetaplah salah. Walau bagaimanapun, rakan saya yang ini lebih baiklah daripada individu tertentu kerana rakan saya ini setakat ini tidak pernah menggunakan soft copy Alquran Braille yang beliau simpan secara tidak sah itu untuk kepentingan perut dan poketnya.

Sebagaimana yang pernah saya tegaskan sebelum ini, sepatutnya dengan Alquran (walaupun Alquran Braille) kita akan jadi lebih takut kepada Allah. Ingatlah, Alquran itu adalah sebagai petunjuk kepada kita semua serta kepada sekalian makhluk-Nya. Sepatutnya dengan Alquran, ikatan ukhwah sesama kita akan lebih erat lagi. Amat malang sekali jika kerana Alquran kita berselisih sesama sendiri, menjadi tamak, mengenepikan hak orang lain, tidak kenal lagi halal dan haram, bertopeng di sebalik dakwah untuk kepentingan peribadi, cuba menegakkan benang yang basah dan macam-macam kemungkaran lagi yang dilakukan atas nama Alquran.

Saya sekadar mengingatkan kepada diri sendiri bahawa dunia ini adalah ghurur semata-mata. Akhirat sahajalah yang kekal abadi adanya.

No comments: