Hari ini, telah berlangsung penamaan calon untuk pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Johor. Dua calon akan berentap untuk merebut kerusi berkenaan yang telah kosong berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Sulaiman Taha. Kedua-dua calon berkenaan ialah Cikgu Normala Sudirman yang mewakili Parti Islam Semalaysia (PAS) dan En. Mohd Azahar Ibrahim yang mewakili Barisan Nasional (BN). Dalam pilihanraya kecil kali ini juga nampaknya tiada calon bebas, mungkin ketiadaan penaja agaknya. Mengikut ketetapan daripada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), tarikh mengundi ialah pada 30 Januari nanti.
Berikut adalah posisi pengundi di DUN Tenang:
Jumlah Pengundi 14,753
Melayu 47.5%
Cina 39%
India 12%
Lain-lain 1.5%
Sejak dari awal-awal lagi, kedua-dua kumpulan siasah yang terbabit telah melahirkan rasa optimistik masing-masing mengenai kemungkinan kejayaan calon masing-masing. Itu perkara biasa dalam mana-mana pilihanraya, tak kiralah sama ada kecil ataupun umum. Walaupun harapan untuk menang tak ubah macam orang sedang nazak pun, mereka tetap berkata kita ada harapan untuk berjaya. Begitulah orang politik dan dunia mereka.
Sejak dari sebelum merdeka lagi, Johor merupakan tanah leluhur UMNO. Sesiapa yang bertanding bukan atas tiket UMNO, mereka sekadar menempa kekalahan semata-mata. Demikianlah yang pernah menimpa tokoh seperti Dato’ Onn Jaafar. Hanya Datuk Shahril Samad sahaja yang pernah memenangi kerusi parlimen Johor Baru bukan atas tiket UMNO dalam pilihanraya kecil pada tahun 1988. Justeru, tidak hairanlah bila ada orang politik sendiri yang menyimpulkan bahawa orang Johor darahnya cap keris. Ia menunjukkan betapa akrabnya di antara UMNO dan orang Johor.
Walau bagaimanapun, keputusan pilihanraya umum 2008 telah mula mengubah persepsi di atas. Kejayaan PAS memenangi 2 kerusi di DUN Johor menerusi pilihanraya menunjukkan cap keris yang mengalir dalam darah orang Johor mulai luntur. Kemenangan kedua-dua calon PAS dalam pilihanraya berkenaan bukan kerana calon UMNO tersilap mengisi borang, tetapi kerana rakyat di kawasan berkenaan benar-benar menolak UMNO.
Kini, setelah hampir 3 tahun pilihanraya umum ke-12 berlalu dan satu lagi pilihanraya kecil bakal diadakan, maka sudah tentulah beberapa persoalan lama akan ditimbulkan semula. Benarkah orang Johor khususnya di DUN Tenang akan menolak UMNO? Adakah cap keris yang mengalir dalam darah orang Melayu Johor semakin luntur atau kembali subur? Adakah kemenangan dua calon PAS dalam pilihanraya umum 2008 hanya bersifat sementara sahaja? Para penganalisis politik dan kita semua akan membuat kesimpulannya setelah keputusan pilihanraya kecil DUN Tenang diumumkan secara rasmi pada 30 Januari nanti.
Namun demikian, keputusan pilihanraya kecil itu nanti akan mempengaruhi beberapa kemungkinan. Sekiranya dalam pilihanraya kecil tersebut calon BN yang menang, maka besar kemungkinan pilihanraya umum ke-13 akan diadakan dalam tahun ini juga. Keputusan sedemikian juga akan memberikan harapan yang lebih besar kepada BN untuk merampas kembali tampuk pemerintahan beberapa buah negeri yang telah jatuh ke tangan Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihanraya umum ke-12 yang lalu. UMNO/BN akan merumuskan bahawa konsep Satu Malaysia yang telah dilaksanakan selama ini benar-benar berada di landasan yang betul. Ia juga membuktikan bahawa peneroka FELDA termasuklah generasi keduanya sedang selesa dengan keadaan mereka masa kini. UMNO/BN juga akkan merumuskan bahawa sokongan rakyat kepada mereka semakin bertambah dan mereka akan mudah meraih sokongan rakyat jika pilihanraya umum diadakan dalam masa yang terdekat. UMNO/BN juga akan merumuskan bahawa tsunami politik yang melanda mereka dalam pilihanraya umum 2008 telah berakhir.
Sebaliknya, jika calon PAS pula yang menang, maka kemungkinan pilihanraya umum diadakan pada tahun ini amat tipis sekali. Ia juga memungkinkan rakyat tidak selesa dengan konsep Satu Malaysia yang diwar-warkan selama ini. Peneroka FELDA khususnya generasi keduanya mungkin tidak merasa selesa dengan cerita dan berita yang digembar-gemburkan dengan institusi berkenaan. Peluang UMNO/BN untuk merampas kembali beberapa negeri yang kini diperintah oleh PR bukan sahaja tipis, bahkan PR pula yang akan semakin bersemangat untuk merampas beberapa negeri lagi dari tangan UMNO/BN dalam pilihanraya umum berikutnya. Kumpulan siasah PR pula akan merumuskan bahawa tsunami politik kian bergelombang.
Selain itu, pilihanraya kkecil ini juga turut menguji kewibawaan beberapa tokoh. Antara tokoh yang mungkin akan terganggu tidurnya ialah Tan Sri Mohd Isa Samad. Beliau baru sahaja dilantik sebagai pengerusi FELDA. DUN Tenang pula merupakan kawasan peneroka FELDA. Kekalahan calon UMNO/BN dalam pilihanraya kecil itu kelak sedikit sebanyak bakal mencalarkan reputasi dan kredibiliti beliau selaku pengerusi FELDA yang baru. Oleh itu, Tan Sri Mohd Isa harus turun padang sekerap mungkin untuk memastikan supaya semua peneroka FELDA di kawasan berkenaan akan memberikan undi mereka kepada UMNO/BN. Bagaimana hendak memastikan agar semua peneroka di kawasan DUN Tenang akan memberikan undi mereka kepada UMNO/BN? Tan Sri Mohd Isa tentu ada jawapannya.
Selain itu, pilihanraya kecil DUN Tenang turut akan menguji kredibiliti dua Chuah. Seorang Chuah Soi Lek namanya, dan seorang lagi Chuah Jui Meng namanya. Kedua-dua tokoh berkenaan merupakan tokoh politik Cina Johor yang tidak asing lagi dan pernah menganggotai kabinet Persekutuan. Soi Lek akan mencuba sedaya upaya untuk memulihkan reputasi MCA yang telah tercalar teruk dalam pilihanraya umum 2008. Manakala Jui Meng pula akan mencuba sedaya upaya menggunakan saki baki hayat politik yang ada kepadanya untuk mempengaruhi pengundi Cina supaya memihak kepada calon PAS. Kedudukan pengundi Cina yang merangkumi 39% daripada jumlah keseluruhan pengundi di DUN Tenang, menjadikan mereka kumpulan penentu yang sangat diperlukan oleh setiap parti siasah. Kebiasaannya kecenderungan sokongan pengundi Cina lebih sukar untuk ditentukan berbanding dengan pengundi Melayu. Lazimnya pengundi Cina tidak pernah mengikat undi mereka kepada mana-mana parti siasah. Banyak faktor lain yang dipertimbangkan oleh para pengundi Cina sebelum mereka membuang undi. Hal ini tentu sekali amat difahami oleh kedua-dua Chuah.
Sementara itu, saya berpendapat jumlah pengiring yang mengiringi seseorang calon sewaktu penamaan calon sama sekali tidak boleh dijadikan kayu ukur kemenangan atau kekalahan seseorang calon dalam pilihanraya kecil itu nanti. Apa yang pernah berlaku sewaktu penamaan calon dalam pilihanraya kecil DUN Galas hujung tahun lepas seharusnya dijadikan peringatan, iktibar dan pertimbangan. Ada kalanya orang yang mengiringi seseorang calon sewaktu penamaan calon bukan pengundi di DUN berkenaan. Kehadiran mereka tidak lebih sekadar pemberi semangat, bahkan ada kalanya untuk mensesakkan jalan-jalan raya sahaja.
Kepada En. Azahar dan Cikgu Mala, diucapkan selamat berentap. Kepada penduduk di DUN Tenang, jangan merasa terganggu bila ada orang datang untuk berkempen kerana itulah kerja mereka sehingga 30 Januari nanti. Kepada yang masih ingatkan Tuhan, jangan lupa untuk berdoa, bermunajat dan solat hajat, atau kalau perlu lakukanlah solat istikharah sebelum membuat pilihan/undi muktamad nanti.
Sekali-sekala seronok juga bila sembang tentang politik.
Salam dari Kuantan.
UCAPAN PENGHARGAAN.
1 week ago
No comments:
Post a Comment