Sejak Jumaat (28 Januari) sebelah malam, saya sudah berada di kampung di Melaka. Sewakttu saya tiba, hujan baru sahaja berhenti. Demikian kata ibu saya setibanya saya sekeluarga di rumah. Sudah sebulan saya tidak pulang ke kampung. Sesibuk mana pun, dalam sebulan saya akan mencuri masa untuk pulang dan menziarahi kedua-dua ibu bapa saya di kampung. Lagipun, itulah masanya bagi Luqman untuk lebih mesra dan akrab dengan para sepupunya.
Cuaca pada sebelah pagi semalam (Sabtu) mendung sahaja. Namun begitu, bermula tengah hari, hujan mulai turun. Kadangkala lebat dan kadangkala renyai-renyai. Sehingga coretan ini ditulis pun, hujan masih turun tanpa henti sejak tengah hari semalam.
Di sebelah petang semalam, saya sekeluarga dengan disertai ibu, seorang adik perempuan saya serta 2 orang anak buah telah keluar ke bandar kerana urusan tertentu. Walaupun hujan, kami redah sahaja. Setelah semua urusan selesai, atas cadangan saya, kami pun ke rumah ibu saudara yang terletak beberapa kilometer dari bandar tersebut.
Kebetulan agaknya, rumah ibu saudara saya terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau. Semua sudah maklum, penamaan calon bagi DUN Merlimau akan diadakan pada 26 Februari, dan jika ada pertandingan, pilihanraya kecil akan dilangsungkan pula pada 6 Mac. Pilihanraya kecil ini diadakan berikutan kematian penyandangnya dari Barisan Nasional (BN) Allahyarham Datuk Mohd Hidir Abu Hassan.
Bapa saudara saya bercerita mengenai pilihanraya kecil berkenaan. Katanya, bagi penduduk yang ada rumah lebih, sudah berkira-kira untuk meletakkan harga sewa kepada yang berminat. Saya turut dimaklumkan, rata-rata penduduk di sini akan meletakkan sewa seribu RM dan ke atas. Ada yang telah meletakkan RM 2 ribu. Bahkan ada pula yang berani meletakkan sewa sebanyak RM 6 ribu. Tempoh sewaan pula antara hari penamaan calon dengan hari mengundi.
Nampaknya pilihanraya kecil sudah menjadi lubuk rezeki kepada segelintir orang. Tapi pilihanraya kecil hanya boleh diadakan bila kerusinya kosong. Biasanya kekosongan sesuatu kerusi akan berlaku bila penyandangnya mati. Kalau nak tunggu penyandangnya mengosongkan kerusinya sementara hidup adalah sesuatu yang hampir mustahil. Pendek kata, bila ada wakil rakyat yang mati, adalah pihak lain yang akan mencari untung.
Kalau orang Melayu Johor darahnya cap keris, penduduk di kawasan ini pula darah mereka cap taming sari. Sebab itulah hingga ke hari ini pun, parti politik selain UMNO sukar untuk menembusi hati sanubari politik orang Melayu Melaka.
Agaknya apalah khabarnya pengundi di DUN Tenang waktu ini?
Salam dari Melaka.
UCAPAN PENGHARGAAN.
1 week ago
No comments:
Post a Comment