Sekilas Pandang Mengenai Kota Tanjung Pinang
Kota Tanjung Pinang merupakan sebuah kota yang padat dengan penduduk. Saya dapat merasakan majoriti penduduknya beragama Islam. Walau bagaimanapun, sewaktu beberapa hari saya di kota tersebut, saya mendapati penduduk di kota berkenaan terdiri daripada mereka yang datang dari pelbagai pelusuk dan ceruk seluruh Indonesia.
Sewaktu saya sekeluarga bersiar-siar di kawasan penempatan yang letaknya tidak jauh dari hotel penginapan kami, saya sempat beramah mesra dengan beberapa orang penduduk. Antara soalan lazim saya kepada para penduduk berkenaan ialah aslinya dari mana (tempat asal dari mana). Soalan saya mereka jawab dengan jujur. Ada yang berasal dari Kalimantan. Ada yang berasal dari Sumatera. Ada yang berasal dari Sulawesi. Ramai yang berasal dari pulau Jawa. Ada di antara mereka sudah pun menetap di kota Tanjung Pinang sejak puluhan tahun lamanya. Memang ada penduduk Tanjung Pinang yang sememangnya anak jati Kepulauan Riau, tetapi secara relatifnya bilangan mereka semakin mengecil bilamana penduduk dari pelusuk lain dalam Indonesia yang menghuni kota ini semakin bertambah.
Oleh itu, bagi saya, jika kita ingin menyaksikan kehidupan sebenar masyarakat jati Kepulauan Riau, maka kota Tanjung Pinang bukanlah tempat yang sesuai. Pada pengamatan saya, masyarakat Pulau Penyengat masih dapat mengekalkan budaya serta cara hidup orang Melayu. Saya juga dimaklumkan, budaya, adat serta cara hidup orang Melayu Riau masih kuat di kawasan yang agak jauh dari kota Tanjung Pinang.
Namun begitu, kota Tanjung Pinang sama sekali tidak boleh dibandingkan dengan Kuala Lumpur. Kuala Lumpur merupakan ibu negara, sedangkan Tanjung Pinang sekadar pusat pentadbiran kabupaten sahaja.
Luqman pula, bila ada kesempatan akan memenuhi hobinya iaitu melukis. Pelbagai lukisan amatur yang telah dihasilkannya berdasarkan pemandangan setempat yang dia dapat saksikan. Foto di atas merupakan lukisan Luqman mengenai Raja Ahmad.
Antara tempat yang menjadi tarikan di kota Tanjung Pinang ialah sebuah tempat makan yang dikenali sebagai Melayu Square. Kebetulan pula, kawasan ini letaknya tidak jauh dari hotel penginapan saya sekeluarga. Jaraknya yang dekat membolehkan kami berjalan kaki sahaja untuk ke tempat ini.
Melayu Square merupakan tempat makan yang sibuk dan sentiasa ramai pengunjungnya. Ia akan beroperasi bermula jam 4.30 petang WIB dan akan berakhir pada jam 12.00 malam WIB. Ia dibuka setiap hari.
Pelbagai makanan Melayu yang beraneka jenisnya pula boleh didapati di Melayu Square. Antaranya termasuklah otak-otak, pelbagai jenis masakan daging, pelbagai jenis masakan ikan, pelbagai sop, pelbagai jenis tomyam, pelbagai nasi, mi, dan macam-macam lagi. Semuanya dikatakan makanan Melayu. Walau bagaimanapun, pada hemat saya, harga makanan di sini agak mahal. Kalau kita makan di atas pondok, ia akan dicaj lain pula.
Pada pengamatan saya juga, agaknya kebanyakan peniaga di Melayu Square bukan anak jati Kepulauan Riau. Ini berdasarkan dialek yang mereka gunakan ketika bercakap menggambarkan bahawa mereka bukan anak jati Kepulauan Riau. Itu agakan saya sahaja. Walau bagaimanapun, sekali sekala, telinga saya tertangkap juga ada peniaga yang bertutur dialek Melayu ala Johor.
Seperkara yang ingin saya kongsikan di sini ialah, persepsi penduduk tempatan terhadap orang Malaysia masih baik. Bila mereka mengetahui saya sekeluarga dari Malaysia, mereka menerima dan melayan kami dengan baik. Ini bermakna, penduduk di sini tidak terpengaruh dengan gerakan anti Malaysia yang dipelopori oleh gerombolan yang menamakan kumpulan mereka sebagai Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera).
Gurindam 12 karangan Raja Ali Haji merupakan hasil kesusasteraan Melayu yang amat dibanggai oleh penduduk Kepulauan Riau. Secara umumnya, Gurinndam 12 merupakan kata-kata indah yang mengandungi nasihat dan ingatan. Ia mengandungi 12 fasal. Sebab itulah juga ia dikenali sebagai Gurindam 12.
Apabila saya dapat mengingati sebaris dua petikan daripada Gurindam 12, ia sudah cukup membuatkan orang tempatan merasa bangga dan seolah-olah turut menghormati saya. Kalaulah kita dapat menghafal keseluruhan gurindam berkenaan, ia tambah membuat mereka merasa bangga, seolah-olah bangga dan suka seorang tuan guru apabila muridnya berjaya menghafal sejumlah hadith. Demikianlah.
Justeru, Gurindam 12 dihasilkan dalam pelbagai bentuk. Selain daripada bentuk cetakan buku, ia turut dihasilkan dalam bentuk key chain, arca, frame dan sebagainya. Ia turut diukir di tempat-tempat tertentu. Ia juga dijual oleh kebanyakan gerai dan kedai di sekitar kota Tanjung Pinang.
9 Disember 2010 merupakan hari terakhir saya sekeluarga di Kepulauan Riau. Saya sengaja memilih untuk bertolak pulang ke Johor di sebelah pagi. Sekitar jam 6.15, kenderaan hotel telah menghantar kami ke jeti Tanjung Pinang. Sesampai sahaja kami di jeti, tukang angkat barang sudah sedia menanti. Saya sudah faham keadaan. Setelah barang selesai diangkat, upahnya harus diberi.
Namun begitu, sedikit mengejutkan saya ialah apabila kami juga harus membayar 13 ribu rupiah seorang untuk mendapatkan bodding pass. Selain itu, untuk confirm tiket pula, kami juga harus membayar 100 ribu rupiah seorang. Sebenarnya saya sekeluarga telah pun membeli tiket dua hala. Namun begitu, oleh kerana itu sudah menjadi budaya orang setempat, akur sahajalah.
Demikianlah coretan saya mengenai kunjungan kami sekeluarga ke Kepulauan Riau. Mudah-mudahan sedikit sebanyak ia memberi manfaat kepada para pengunjung blog ini. Kepada rakan-rakan senasib yang berhasrat ingin turut berkunjung ke daerah berkenaan, mudah-mudahan coretan yang tak seberapa ini juga berupaya memberikan panduan tertentu.
Salam dari Kuantan.
lafaz takbir raya dan maknanya
4 months ago
1 comment:
Sungguh menarik percutian di Riau. Sebenarnya, sudah lama saya memasang cita-cita untuk melawat Istana Kota Piring meskipun saya sedia maklum yang istana tersebut sudah sepi dimamah waktu. Saya mula tertarik dengan Istana Kota Piring sejak saya terjumpa artikal berkenaannya ketika merayau-rayau di alam maya ini. Semoga suatu hari nanti, saya diangkat Allah untuk ke sana dan beberapa buah istana di sekitar Tanjung Pnang mahupun Riau.
Amin...
Post a Comment