Thursday, January 20, 2011

P & P Dan TMK

Hari ini, sama ada suka atau tidak, setuju atau sebaliknya, kita harus akui hakikat bahawa TMK (teknologi komunikasi dan maklumat) merupakan sebahagian daripada kehidupan kita. TMK tidak lagi dirasakan mustahak kepada golongan masyarakat tertentu sahaja. Sebaliknya kepentingan penguasaan pengetahuan serta kemahiran dalam TMK merupakan aset yang semakin bernilai untuk seseorang mencapai apa juga objektif dalam kehidupannya. Seperkara lagi, dunia TMK berputar sangat pantas. Bagi mereka yang sentiasa cuba berlari seiring dengan kepantasan dunia TMK kian terasa keletihan untuk mengejarnya. Inikan pula kalau selama ini kita tidak pernah berusaha untuk mengejarnya, maka semakin terkebelakanglah kita.

Saya pernah menulis menerusi blog ini mengenai TMK dan golongan cacat penglihatan beberapa kali. Sedikit sebanyak, golongan cacat penglihatan tetap mendapat tempias daripada kepesatan kemajuan TMK. Dengan kebolehan dan kemahiran yang ada, golongan cacat penglihatan mampu untuk melayari dunia siber secara solo dengan lebih selesa dan meyakinkan. Namun demikian, kebolehan dan kemampuan sebahagian golongan cacat penglihatan memperolehi pengetahuan dan kemahiran TMK adalah atas daya usaha mereka sendiri. Ramai yang terpaksa berjinak dengan TMK secara try & error iaitu setelah memperoleh pengetahuan asas mengenainya. Selain itu, ada dua atau tiga NGO yang berkaitan golongan cacat penglihatan yang melaksanakan kursus jangka pendek mengenai TMK. Sekadar itulah peluang yang ada kepada golongan cacat penglihatan di tanah air tercinta ini untuk meneroka alam siber.

Pagi tadi, saya ada menerima SMS daripada seorang guru pendidikan khas yang mengajar murid-murid cacat penglihatan. Antara lain kandungan SMS beliau berbunyi:


salam. cikgu. dlm subjek dunia sains dn teknologi tahun 1 ada diselitkan subjek tmk- teknologi maklumat komunikasi mergkumi pngenlan tntg pc dn xtvt pencarian maklumt melalui laman wab. cikgu rs sesuai tk diajar utk murid oku pnglihatan? klu ya y? klu tak y?


Saya penuh yakin, dilema sedemikian bukan dirasai oleh guru berkenaan sahaja, bahkan saya kira ramai lagi guru yang sedang mengajar murid-murid cacat penglihatan di seluruh pelusuk tanah air turut mengalami dilema yang serupa. Mengapa dilema seperti ini boleh terjadi? Benarkah aplikasi TMK tidak sesuai untuk dilaksanakan dalam kalangan murid cacat penglihatan? Benarkah guru yang berpenglihatan tidak sesuai untuk mengajar aplikasi TMK beserta perisian pembaca skrin kepada murid yang cacat penglihatannya? Adakah mana-mana pihak yang mempunyai statistik yang telus dan tulus mengenai pengetahuan dan kemahiran guru pendidikan khas murid cacat penglihatan dalam bidang TMK beserta pembaca skrin? Mengenai statistik, tidak payahlah tanya pada pihak tertentu kerana statistik yang akan dikemukakan hanyalah statistik bodoh sahaja.

Jika seseorang guru yang mengajar murid cacat penglihatan mampu menguasai pengetahuan dan kemahiran penggunaan komputer berserta perisian pembaca skrin, maka permasalahan di atas tidak akan timbul. Di samping itu, pihak-pihak yang berkenaan juga haruslah mengambil langkah-langkah proaktif dengan memberikan pendedahan yang secukupnya kepada guru-guru yang mengajar murid cacat penglihatan mengenai pengetahuan dan kemahiran penggunaan komputer berserta dengan perisian pembaca skrin. Saya tidak menafikan usaha sebegini pernah dilakukan sebelum ini tetapi mungkin ia tidak mencukupi dan pelaksanaannya pula tidak berterusan sehingga meliputi semua guru, maka itulah permasalahan sebegini masih lagi timbul. Di samping itu, di peringkat IPG dan IPT yang menawarkan kursus pendidikan khas cacat penglihatan, kursus berkaitan dengan penggunaan komputer berserta perisian pembaca skrin harus diperkenalkan juga. Jika seseorang guru yang mengajar murid cacat penglihatan mampu menguasai pengetahuan dan kemahiran penggunaan komputer berserta dengan perisian pembaca skrin, maka persoalan yang telah dikemukakan oleh guru berkenaan sebagaimana dalam SMS beliau kepada saya amat mudah untuk dirongkai.

Sebaliknya, saya amat bimbang bilamana pengetahuan dan kemahiran yang secukupnya mengenai penggunaan komputer berserta perisian pembaca skrin masih menjadi dilema dalam kalangan guru-guru yang berkaitan, bukan sahaja TMK tidak dapat dilaksanakan seiring dengan keperluan pelaksanaan P & P, mereka akan membuat kesimpulan yang bukan-bukan pula. Antaranya seperti:
. Murid buta tidak sesuai untuk diajar TMK;
. Murid buta tidak sesuai untuk iikut kurikulum arus perdana;
. Murid buta tidak boleh ikut kurikulum berkaitan TMK kerana mereka tidak boleh guna mouse;
. Kurikulum alternatif harus dilaksanakan;
Sekiranya rumusan dan kesimpulan sebegini dilaksanakan di sekolah, maka yang akan rugi dan yang terus malang ialah murid cacat penglihatan itu sendiri.

Sebagaimana yang sesetengah di antara kita telah maklum, golongan cacat penglihatan akan menggunakan kekunci (keyboard) sepenuhnya untuk mengendalikan komputer. Ia sama sekali berbeza dengan mereka yang berpenglihatan yang banyak menggunakan alat tetikus (mouse). Walaupun pengguna cacat penglihatan bergantung kepada kekunci, namun ia bukanlah penghalang kepada pengguna cacat penglihatan untuk mengendalikan komputer dengan baik. Bahkan, walaupun dengan menggunakan kekunci, pengguna cacat penglihatan dapat mengembara ke alam siber secara solo dan dengan penuh yakin pula. Bukan untuk menunjuk-nunjuk, jauh sekali daripada riak, saya sendiri berkemampuan untuk copy pelbagai foto ke dalam blog ini dan meletakkan pula foto berkenaan di mana-mana bahagian tulisan saya dengan hanya menggunakan kekunci.

Selama ini pun, hampir kesemua orang cacat penglihatan melayari internet hanya dengan menggunakan kekunci sahaja. Mereka langsung tidak menggunakan alat tetikus. Walaupun hanya dengan kekunci, ia sama sekali tidak menghalang untuk mereka yang cacat penglihatan mengendalikan blog dan laman facebook. Kesemuanya dikendalikan dengan menggunakan kekunci sahaja.

Selain itu, pengguna cacat penglihatan juga berkemampuan untuk mengendali dan menggunakan pelbagai aplikasi lain seperti Power Point, Excell serta lain-lainnya menerusi penggunaan kekunci. Cikgu Sabaruddin merupakan antara pengguna cacat penglihatan yang mempunyai kemahiran yang sangat baik untuk menggunakan Excell menerusi penggunaan kekunci.

Di samping itu, walaupun hanya dengan menggunakan kekunci, seseorang pengguna cacat penglihatan juga turut berkemampuan untuk meletakkan saiz font mengikut kesukaannya, meletakkan warna pilihannya, melebar atau mengecilkan ruang pada table yang dibina dan macam-macam lagi. Oleh itu, kalau sekadar untuk pengenalan kepada PC atau pencarian laman web, sepatutnya ia tidak menjadi masalah langsung.

Kalau hendak dapat maklumat lebih lanjut mengenai kebolehan golongan cacat penglihatan dalam bidang ICT dari kaca mata orang yang berpenglihatan, bolehlah tanyakan sama ada kepada En. Ahmad Bustamam ataupun kepada Cikgu Noorazlan.

Maklumat tambahan:
Perisian pembaca skrin ialah perisian yang berupaya untuk menterjemahkan paparan yang ada pada skrin dalam bentuk bersuara. JAWS merupakan antara perisian pembaca skrin yang amat popular hari ini.

No comments: