Dilema Menggunakan Pengangkutan Awam
Pagi ini, salah seorang rakan sejawat saya lewat tiba ke sekolah. Semalam pula, seorang lagi rakan sejawat saya tiba lewat ke sekolah. Kedua-duanya cacat penglihatan. Bezanya, yang seorang buta dan yang seorang lagi rabun. Kedua-dua mereka tidak berkenderaan sendiri. Bukan mereka tak punya wang untuk memiliki kenderaan sendiri, tapi rasanya lebih baiklah kalau mereka gunakan wang tersebut untuk hal-hal lain. Kalau kedua-dua rakan sejawat saya itu beli kenderaan sendiri pun, buat masa ini masih belum ada ahli keluarganya yang sesuai untuk memandu kenderaan berkenaan. Oleh itu, bila mereka bergerak ke mana-mana, termasuk ke tempat kerja, mereka amat bergantung kepada kenderaan awam.
Boleh dikatakan, dalam sebulan, kedua-dua rakan sejawat saya itu akan tiba lewat ke sekolah beberapa kali, tapi rasanya taklah sampai 10 kali lewat. Kebiasaannya, walaupun mereka tiba lewat ke sekolah, tapi taklah sampai terlalu lewat. Mungkin lewat 5 minit ataupun 20 minit. Namun demikian, kalau berdasarkan rekod kedatangan pada punch card, lewat tetap lewat juga.
Sekali-sekala, bila rakan-rakan saya ini sedikit lewat tiba ke sekolah, ada juga pihak-pihak tertentu di sekolah yang akan berbunyi. Ada yang berbunyi di belakang. Ada yang berbunyi secara sindiran. Salah seorang rakan saya itu pernah dipanggil pengetua kerana tiba lewat.
Bila bersembang, pernah juga saya tanya kepada kedua-dua rakan saya itu, mengapa mereka lewat tiba ke sekolah. Salah seorang memberitahu saya, setiap hari beliau akan bangun sekitar 4.30 pagi. Setiap hari bekerja pula, beliau akan keluar rumah sekitar jam 6.45 pagi dan mula terpacak di jalan besar berhampiran rumahnya untuk menunggu teksi. Beliau tidak menggunakan bas atau LRT untuk ke tempat kerja kerana ia lebih melambatkan dan tidak sesuai kerana lokasi rumahnya yang jauh dari mana-mana stesen LRT.
Kata rakan saya ini, beliau pernah cuba menggunakan kereta persendirian untuk ke tempat kerja, tapi ia tidak bertahan lama. Macam-macam masalah yang harus beliau tempuhi. Ada kalanya, walaupun menggunakan khidmat kenderaan persendirian, beliau tiba lewat juga gara-gara kelewatan pihak lain. Selain itu, katanya lagi, charge yang harus beliau bayar juga lebih kurang sama juga dengan charge yang dikenakan oleh teksi.
Beliau pernah juga cuba menggunakan khidmat pemandu teksi secara tetap, sekurang-kurangnya untuk memudahkan beliau ke tempat kerja pada setiap pagi. Namun demikian, usaha beliau itu sia-sia sahaja. Boleh dikatakan, tiada pemandu teksi yang sanggup menghantar beliau ke tempat kerja secara tetap pada setiap pagi.
Rakan sejawat saya yang ini pula merupakan seorang yang berpenglihatan terhad (rabun). Beliau juga menggunakan perkhidmatan awam untuk ke sekolah, terutamanya bas dan LRT. Kadang kala, kalau sudah terdesak, beliau akan menggunakan perkhidmatan teksi. Ada kalanya, beliau juga akan tiba lewat ke sekolah. Katanya lagi, kebiasaannya beliau akan keluar dari rumah sekitar jam 6.15 ataupun 6.30 pagi. Namun demikian, bila bergelut dengan keadaan pengangkutan awam yang tidak menentu, beliau akan tiba lewat ke sekolah juga. Penglihatan terhad yang ada pada beliau hanya sekadar untuk memudahkan sedikit beliau berkejar untuk nnaik bas setakat mampu, atau menahan teksi tanpa bertanya orang lain, itu pun kalau beliau perasan ada teksi.
Satu pagi, rakan saya ini pernah dipanggil pengetua untuk mendapatkan penjelasan kenapa beliau lewat tiba ke sekolah. Beliau telah memberikan sebab-sebab yang benar-benar berlaku dan bukannya rekaan atau alasan. Tak pastilah pula sama ada sebab-musabab yang beliau utarakan itu diterima atau tidak oleh pengetua. Lagi pun, setakat yang saya tahu, pengetua yang ini bukan berpengalaman luas dalam bidang pendidikan khas. Kemampuan membaca dan menulis Braille memang masih jauh panggang dari api walaupun sudah lebih daripada 5 tahun jadi pengetua di sekolah murid buta. Bergaul dengan orang buta pun sekadar dalam pagar sekolah sahaja. Jadi sukar orang yang semacam ini untuk benar-benar memahami dan mendalami permasalahan dan dilema yang sedang dilalui oleh kedua-dua rakan saya ini.
Bagi saya, adalah kurang adil jika kedatangan lewat rakan-rakan saya ini sahaja yang dipantau dan ditegur. Sedangkan rakan-rakan sejawat lain yang berpenglihatan dan berkenderaan sendiri pun ada yang datang lewat. Setiap orang yang datang lewat ada alasan dan sebab mereka tersendiri. Kedua-dua rakan saya ini merasakan, bila mereka tiba lewat ke sekolah, seolah-olahnya kesalahan yang mereka lakukan lebih besar daripada rakan-rakan sejawat lain yang berpenglihatan dan berkenderaan sendiri yang datang lewat. Lagi pun, kedua-dua rakan saya ini bukannya setiap pagi akan tiba lewat. Jika sistem perkhidmatan kenderaan awam sudah benar-benar efisyen dan kedua-dua rakan saya ini masih juga lewat, maka bagi saya barulah adil jika kesalahan tiba lewat ke sekolah dipikul sepenuhnya oleh kedua-dua rakan saya ini.
Saya juga pernah menggunakan perkhidmatan awam untuk ke sekolah suatu masa dahulu. Oleh itu, saya amat memahami jerih dan payah bagi orang seperti kami ketika menggunakan perkhidmatan kenderaan awam. Bukan macam hamba Allah yang seorang itu!
Saya sekadar memanjangkan keluhan rakan-rakan sejawat sahaja.
UCAPAN PENGHARGAAN.
1 week ago
4 comments:
sy turut bersimpati...sabarlah pak ya & rizal & bro jais... kita ni kan mentimun... benar @ salah pun kita jg yg kena.... drpd :pd..
Saya pun salah seorang pengguna pengangkutan awam juga. Dulu saya akan naik bas dan teksi. Sekarang saya dah jumpa bas dah untuk ke tempat kerja saya. Dapat jimat sikit tambang teksi tu. Rupa-rupanya, dalam pekeliling, antara sebab yang dibolehkan untuk datang lewat ke pejabat ialah kenderaan rosak. Saya pernah ditegur oleh rakan sejawat saya (bekas guru SMPK Setapak): "Kalau boleh cubalah datang ikut waktu. Bagi aku, susah dapat bas/teksi tak patut dijadikan alasan." Begitu katanya. Dalam hati saya, dia tak merasa macam kita lagi, bolehlah dia kata macam tu. Langsung tak nak memahami situasi kita. Bilalah kita akan dapat satu sistem pengangkutan awam yang sistematik.
ada orang tinggal dalam kawasan sekolah pun datang lewat juga. cuma dia berakal sikit berbanding spesis homo sapiens yang lain. pas solat subuh dia punch card. takkan pun pas htr anak @ wife gi sekolah. kemudian hamba Allah ni mungkin sambung tidur atau menjalankan aktiviti senggang yg lain. semua ini hanya beberapa orang sahaja yang perasan. termasuk penulis yang memang mahir mencari bahan gosip untuk dikongsi bersama dengan makcik-makcik kat koperasi tu. Pengetua mungkin tahu atau saja buat tak tahu menyebabkan gejala seumpama ini berlarutan sehingga ada yang berkata (sebenarnya iri hati) biar la Labu... Bos itu kan umpama babi, pekerja macam i ni ibarat penganut Islam yang sejati. tersentuh ke, disentuhkan ke, persentuhan ke, menyentuh ke... i juga yang kena samak. sabar je la... (seraya hati ini berdetik, harap la komen i ni disiarkan!)
Boss mana yang macam babi tu?
Post a Comment