Thursday, February 4, 2010

Menungan Malam

Tukang Kasut Di Kaki Lima

Petang tadi, saya telah ke Wangsa Maju untuk beberapa urusan. Salah satunya ialah urusan berkaitan kasut isteri saya yang rosak sedikit. Katanya, dah tak selesa untuk dipakai lagi.



Kebetulan ada seorang tukang kasut di satu kaki lima. Jadi, kami pun singgahlah untuk membaiki kasut isteri saya dengan beliau. Sambil membaiki kasut, saya pun duduk berhampiran beliau dan mula membuka bicara. Pada mulanya, pertanyaan saya merupakan soalan-soalan biasa sahaja. Bila pertanyaan saya dijawab dengan agak mesra, itu bermakna responnya baik.

Kata tukang kasut berkenaan, beliau berasal dari Batu Pahat. Katanya lagi, beliau sudah lama berhijrah ke KL. Pada masa ini, beliau menetap di Setapak, tetapi tidak menyatakan lokasinya secara terperinci.



Saya kemudiannya mula bertanya mengenai sekitar pekerjaannya. Kata tukang kasut berkenaan, beliau memang menjadi tukang baiki kasut sepenuh masa. Setiap hari, beliau akan mula beroperasi bermula jam 12 tengah hari hingga jam 7 malam.

Beliau meneruskan bicara, katanya, beliau sudah beroperasi di tempat sekarang sejak tahun 1997 lagi. Bagi saya, tempoh tersebut cukup panjang bagi seorang tukang baiki kasut. Beliau meneruskan lagi dengan berkata, “Orang sekolah tak tinggi macam saya ni, inilah pekerjaan yang sesuai.” Saya berkata pula, “Tak mengapa, asalkan ianya halal dan diredhai Allah.”

Lalu saya bertanya lagi, bagaimana beliau boleh bertahan selama hampir 13 tahun selaku tukang baiki kasut? Katanya, minat dan itu sahaja kemahiran yang ada padanya. Saya berkata lagi, pelanggan mesti mencukupi, sebab itulah boleh bertahan sebegitu lama. Beliau berkata, kalau kita buat kerja betul mestilah semua pelanggan puas hati. Esok atau lusa bila kasut mereka rosak, mereka akan datang semula. Saya sekadar mengangguk tanda setuju.

Kemudian saya bertanya lagi, adakah beliau kerap balik ke Batu Pahat? Katanya, sudah 10 tahun beliau tak pulang sebab tak cukup belanja. Katanya lagi, tahun ini beliau berazam akan pulang juga untuk menjenguk kampungnya. Sudah cukup belanja agaknya, tapi saya berkata dalam hati sahaja.

Lalu saya bertanya lagi, adakah dia mempunyai keluarga (isteri dan anak). Katanya, kerja selaku tukang baiki kasut sekadar cukup makan untuk seorang sahaja, tak cukup untuk menanggung orang lain.



Daripada pemerhatian saya, kerjanya halus dan teliti. Ia menggambarkan kemahiran yang ada pada beliau selaku tukang baiki kasut. Satu sahaja yang mungkin beliau perlu perbaiki, beliau melakukan kerjanya tanpa menggunakan sarung tangan. Bukankah yang dibaiki ialah kasut. Bila sebut sahaja tugas-tugas kasut, maka macam-macam yang dipijaknya, yang basah, yang kering, yang lembut, yang keras, pelbagai jenis sisa dan buangan, semua habis dilanyaknya. Lagi pun, jika menggunakan sarung tangan, ia dapat mengelakkan pelbagai virus atau kuman masuk dan meresap ke dalam badan.

Terfikir juga saya untuk mencadangkan kepada beliau supaya menggunakan sarung tangan, tapi takut berkecil hati pula beliau. Setelah saya berfikir semula, saya rasa lain kali bila saya menjadi pelanggannya saya bercadang untuk menghadiahkannya sarung tangan. Mudah-mudahan dia faham maksudnya.

Walaupun dia hanya cuma seorang tukang baiki kasut, dia juga punya hati yang perlu kita jaga.

3 comments:

serikinda said...

Cantik lagi baju batik kuning hang. Aku punya dah buang dah pasal dah reput. Sikit hari lagi kena beli batik 1Malaysia pulak. Duit lagi..

Avex87 said...

Nak tanya tukang ni masih ada tak? Area mana ek?

Cikgu Zakaria said...

Salam Abex87. Saya tidak pasti sama ada tukang kasut ini masih di situ lagi atau sebaliknya. Dahulunya beliau beroperasi di sekitar Wangsa Maju. Kalau tak silap tidak jauh dari BSN. Terima kasih.