Cikgu Rahman Dalam Ingatan
Cikgu Rahman (Cikgu Abdul Rahman bin Omar) merupakan antara manusia yang tak mungkin luput dari ingatan saya selama-lamanya. Saya mula berkenalan dengan beliau tatkala kami sama-sama bertugas di SMK Haji Zainul Abidin, Pulau Pinang kira-kira sedekad yang lalu. Beliau berpindah ke sekolah berkenaan 2 minggu lewat daripada tarikh kemasukan saya ke sekolah berkenaan. Sebelumnya beliau bertugas di Sekolah Al-Masyhur, sebuah sekolah yang terkenal juga di Pulau Pinang.
Sejak pertemuan dan perkenalan antara saya dan Cikgu Rahman, kami terus menjadi akrab. Dari sudut usia, Cikgu Rahman jauh lebih berusia daripada saya. Namun demikian ia bukan halangan untuk kami berdua menjadi begitu rapat. Keakraban kami banyak disebabkan oleh kebaikan dan keprihatinan cikgu Rahman terhadap saya.
Setiap hari Jumaat, Cikgu Rahman akan membawa saya ke masjid untuk solat Jumaat. Di sepanjang saya bertugas di Pulau Pinang, beliau tak pernah keciciran walaupun sekali untuk mempastikan saya akan ke masjid bersama-sama beliau pada setiap hari Jumaat.
Adalah menjadi kebiasaan, Cikgu Rahman akan membawa saya ke rumahnya dahulu sebelum kami sama-sama ke masjid. Bila tiba di rumahnya, saya akan dijamu dengan makanan ringan seperti mi atau kuih-kuih. Selepas pulang dari masjid, beliau akan menjamu pula saya dengan nasi. Begitulah setiap minggu. Selepas makan, Cikgu Rahman akan menghantar saya ke St. Nicholas kerana pada waktu itu saya menyewa salah sebuah bilik tamu di sana sebagai tempat tinggal saya. Begitulah setiap hari Jumaat.
Selain itu, pada setiap pagi, Cikgu Rahman akan membawakan untuk saya sebekas air (kebiasaannya teh panas) dan juga roti. Ia berlangsung pada setiap pagi tanpa putus. Saya pernah beberapa kali meminta agar beliau tidak membawakan sarapan untuk saya terlalu kerap, tetapi beliau menolaknya. Katanya, selagi dia dan saya bertugas di sekolah yang sama, maka selagi itulah beliau akan membawakan sarapan untuk saya. Akhirnya saya tak mampu untuk menolaknya lagi.
Oleh kerana saya kerap ke rumah Cikgu Rahman, maka saya kemudiannya juga turut rapat dengan ahli keluarganya. Saya kenal dan mesra dengan anak-anaknya dan juga dengan Kak Kiah, isterinya.
Bila naik kereta bersama Cikgu Rahman, beliau suka dengar ceramah agama yang bukan berbau politik. Maka tahulah saya, Cikgu Rahman memang kurang minat dengan politik.
Satu perkara mengenai Cikgu Rahman ialah, beliau suka bertanya jika saya menghadapi masalah di Pulau Pinang. Pertanyaan sedemikian kerap dan berulang. Maka jawapan saya juga sentiasa sama, tiada masalah. Ada ketikanya, bila saya ketiadaan teman untuk membeli tiket bas untuk pulang ke KL, Cikgu Rahmanlah yang akan menemani saya. Pernah beberapa kali beliau ingin menolong untuk mencarikan rumah sewa, tapi saya menolaknya kerana saya memang merancang untuk tidak tinggal lama di Pulau Pinang.
Oleh kerana akrabnya antara saya dengan Cikgu Rahman, ada juga beberapa guru di sekolah kami yang menganggap saya adalah anak angkat Cikgu Rahman. Sama ada saya atau Cikgu Rahman, kami tak memberi sebarang komen. Kami dengar sahaja ulasan atau usikan mereka.
Pada awal tahun 2000, saya berjaya berpindah ke KL. Tentunya saya begitu gembira kerana dapat bertukar ke KL. Hanya satu sahaja yang membuatkan hati saya begitu berat untuk meninggalkan Pulau Pinang, iaitu Cikgu Rahman. Setelah saya berpindah ke KL, Cikgu Rahman ada memberitahu saya, pada hari Jumaat anaknya yang bungsu akan bertanya, mengapa saya tidak datang ke rumahnya. Demikianlah akrabnya kami.
Takdir dan ketentuan Allah tiada siapa yang dapat menolaknya. Pada hujung Julai 2001, Cikgu Rahman kembali ke Rahmatullah. Hidayah, salah seorang anak Cikgu Rahman menghubungi saya ketika itu tatkala jenazahnya masih di rumah. Pilu hati saya mendengar berita sedih itu. Apakan daya, oleh kerana sebab yang tidak termampu saya mengelaknya, saya tidak dapat ke Pulau Pinang untuk menghadiri pengkebumian Cikgu Rahman. Setiap kali saya teringatkan Cikgu Rahman, pasti Alfatihah akan saya bacakan untuknya.
Hari ini, walaupun hampir 9 tahun Cikgu Rahman menghadap Ilahi, namun hubungan antara saya dan keluarganya tetap akrab dan mesra. Anak-anaknya juga ramai yang sudah berumah tangga dan berjaya. Ada juga antara anak-anaknya yang sudah menjawat jawatan seperti pensyarah dan guru.
Semoga Cikgu Rahman sentiasa di dalam rahmat Allah hendaknya.
UCAPAN PENGHARGAAN.
1 week ago
3 comments:
Al-Fatihah, moga beliau ditempatkan bersama para solihin. Amiin...
Saya juga turut tersentuh dengan sifat perihatin Cikgu Rahman itu. Itulah lumrah hidup yang telah ditakdirkan agaknya. Bila kita bersua dengan orang yang baik dan perihatin seperti itu, biasanya tak lama. Bila ditakdirkan ia dipanggil kembali menghadap ilahi, kita pasti terasa sangat kehilangannya. Namun, kita harus terima bahawa dia lebih disayangi Allah. Semoga ruhnya ditempatkan di sisi orang yang beriman dan beramal soleh. Semoga hubungan ukhwah saudara dan keluarga arwah tetap berpanjangan. Amin.
Along Zahari
dalam perjalanan hidup ada yang suka dan ada yang benci kepada kita. itulah sifat manusia.
Post a Comment