Mengunjungi Gerai Rakan
Sebentar tadi, saya sempat mengunjungi sebuah gerai yang dikendalikan oleh seorang rakan. Kebetulan pula, malam ini merupakan hari pertama beliau membuka gerainya. Beliau mengusahakan jualan burgar. Lokasi gerainya tidak jauh daripada stesen LRT Wangsa Maju. Sebelum itu, saya ingin meminta maaf kerana foto gerai serta foto rakan saya itu tidak dapat saya sertakan dalam tulisan kali ini kerana terlupa membawa kamera semasa mengunjungi gerainya.
Isteri rakan saya ini merupakan rakan sejawat saya di sekolah. Beliau sekeluarga beberapa kali pernah ke rumah saya. Saya sekeluarga juga pernah sekali ke rumahnya. Demikianlah hubungan kami.
Di gerainya, saya makan 2 biji special burgar, manakala isteri saya dan Luqman makan sebiji burgar seorang. Rasanya memang menyelerakan.
Bila sebut sahaja berniaga, memang barang tentu banyak cabaran dan dugaan yang harus ditempuh. Bagi saya, paling penting ialah biarlah perniagaan yang diusahakan itu beroleh keberkatan daripada Allah. Berkat bukan bermakna untung besar atau untung cepat. Orang berniaga juga tidak boleh kedekut dan tak boleh juga boros. Jangan sekali-kali mengurangkan timbangan sebagaimana yang pernah dilakukan oleh umat Nabi Allah Syuaib. Jika itu yang dilakukan, ia cepat mengundang murka Allah.
Lagi satu bila berniaga, jangan hari pertama dan kedua saja makanannya sedap dan menyelerakan. Bila masuk hari ke tiga dan seterusnya, ramuan mula dikurangkan dan resepi mula jadi tak sempurna. Jika itu yang dilakukan, nescaya bilangan pelanggan lebih ramai yang lalu daripada yang singgah.
Lagi satu tabiat orang berniaga, sama ada cemburu dengan kelarisan gerai sebelah, atau gerai sebelah cemburu dengan kelarisan perniagaan kita. Sifat sedemikian hanya mengakibatkan timbulnya persaingan kurang sihat. Kadang-kadang boleh meralat hingga kepada tuduhan kononnya si fulan ada tanam benda hingga perniagaannya kurang laris. Ini semua tak lebih daripada virus dalam perniagaan.
Seperkara lagi yang saya kurang berkenan ialah bila ada yang menggantung ayat-ayat Quran tertentu, kononnya bertujuan untuk melariskan perniagaan. Bahkan ada juga restoran dan gerai makan yang menggantung gambar pintu Kaabah untuk tujuan yang sama.
Antara ayat Quran yang popular yang sering digantung sama ada di gerai atau warung ialah petikan ayat kedua dan ketiga dalam Surah At-Talaq atau yang masyhur dengan nama “ayat seribu dinar”. Antara lain kedua-dua ayat tersebut bermaksud: “ .... Dan barang siapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan membukakan jalan keluar baginya. Dan Dia memberinya rezeki dari arah (sumber) yang tidak disangka-sangkanya, dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan baginya (keperluannya), sesungguhnya Allah melaksanakan urusannya, sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu.”
Jika diteliti tafsir ayat di atas, para mufasirin menyimpulkan, sifat takwa dan tawakal merupakan kunci kepada kejayaan seseorang hamba Allah tanpa mengira bidang yang diceburinya. Antara balasan kepada orang yang mempunyai kedua-dua sifat di atas ialah dia akan beroleh rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangkanya. Orang yang bertakwa dan bertawakal kepada Allah, sangat yakin dengan kudrat dan iradat Allah. Sebab itu, mereka sangat menyerah kepada Allah dan hanya kepada Allah mereka menyandarkan apa jua harapan, permintaan, rayuan atau yang seumpamanya. Demikianlah kiranya jika seseorang itu mempunyai sifat takwa dan tawakal.
Jadi, saya rasa, lebih baiklah jika ayat-ayat berkenaan digantung dalam hati sahaja. Apalah gunanya jika ayat-ayat Quran berkenaan ditulis besar-besar dan digantung tinggi-tinggi, tapi peniaga yang berkenaan bersifat jahat ketika berniaga, termasuklah mengurangkan timbangan, mengurangkan ramuan, mencacatkan resepi, tidak mesra dengan pelanggan, cemburu dengan perniagaan orang lain dan sebagainya. Jika demikianlah sifatyang ada, maka ayat-ayat Quran tersebut tak lebih sebagai perhiasan luaran sahaja. Orang Cina tak ada yang menggantung ayat seribu dinar, tapi perniagaan mereka tetap maju juga!
Sewaktu saya di kampus, saya ada seorang rakan bangsa Cina. Katanya, dia lebih suka makan pau bikinan orang Cina daripada yang dibikin oleh orang Melayu. Alasannya, pau bikinan orang Cina penuh inti, manakala pau yang dibikin orang Melayu pula lebih tebal tepungnya daripada inti. Saya tidak melihat kenyataan rakan saya itu berbau perkauman. Hakikatnya, memang acap kali bila saya makan pau buatan orang kita, tepungnya sahaja yang tebal, tapi intinya sedikit.
Kepada Saudara Asrol, selamat berniaga dan selamat berjaya saya ucapkan. Jika anda seorang peniaga yang bertakwa, anda pasti tidak akan kecewa. Bila anda berniaga dan bertawakal, perniagaan anda pasti akan kekal. Kepada isteri Asrol, sokongan dan dokongan anda untuk suami memang ditagih.
Saya bukan peniaga, saya sekadar berkongsi rasa.
UCAPAN PENGHARGAAN.
1 week ago
1 comment:
dipohon agar penulis bermurah hati apa kiranya mempromosikan kedai burger berkenan kepada para pembaca khususnya peminat setia blog ini (walaupun takde langsung artikel atau perutusan khas dari penulis utk para peminat dalam blog ni). bila ada artikel bergambar ia lebih memudahkan pembaca blog untuk mencarinya. bila membaca artikel ini, air liur hamba secara automatik terus meleleh. patik pun nak tahu juga gerai mana yang gerangan maksudkan. hamba pun terasa semacam terpanggil langsung teruja untuk memberikan sokongan. walaupun terikat dengan rutin hidup berteraskan amalan diet dan gaya hidup yang sihat, apa salahnya sekali sekala mencuba burger istimewa buatan OKU. Suatu pengalaman yang berbaloi! anda pun patut cuba
Post a Comment