Thursday, April 1, 2010

Khabar Dari Putrajaya

Petang tadi, sekitar jam 4.30, saya menerima panggilan telefon daripada En. Moses Choo. Katanya, beliau masih lagi berada di Putrajaya ketika itu. Katanya lagi, beliau baru selesai menghadiri satu mesyuarat di sana. Mesyuarat berkenaan adalah mengenai isu-isu berkaitan golongan OKU di peringkat Kementerian Pelajaran. Antara yang turut hadir dalam mesyuarat tersebut termasuklah Yang Berbahagia, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mad Dom.



Seterusnya En. Moses memberitahu bahawa Tan Sri KPPM telah memutuskan agar frasa Calon Istimewa yang selama ini tertera pada sijil-sijil calon yang dikategorikan sebagai “istimewa” ditarik balik. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dalam sijil untuk calon cacat di peringkat UPSR, PMR dan SPM ada tertera frasa Calon Istimewa. Walau bagaimanapun, perincian lanjut mengenai perkhabaran ini masih belum diumumkan sepenuhnya lagi.

Saya telah mula membangkitkan permasalahan mengenai Calon Istimewa ini dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Masalah Penglihatan sejak tahun 2007 lagi. Selain itu, saya juga pernah menulis mengenai isu ini menerusi blog ini pada pertengahan Oktober tahun lalu. Memadailah jika saya nyatakan bahawa frasa berkenaan lebih banyak mendatangkan implikasi negatif terutamanya kepada pemegang sijil itu sendiri. Pengalaman mereka yang berkaitan telah membuktikannya.

Di sini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih terutamanya kepada Yang Berbahagia Tan Sri KPPM di atas keprihatinan beliau terhadap golongan seperti saya. Bila orang di atas sudah menunjukkan keprihatinannya, ia kebiasaannya akan dituruti oleh orang-orang yang di bawah pula. Selain itu, saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua rakan dan pertubuhan bukan kerajaan yang berkaitan dengan golongan cacat penglihatan kerana sama-sama memperjuangkan agar frasa tersebut dihapuskan daripada sijil-sijil calon cacat dalam peperiksan awam.

Kepada rakan-rakan senasib, marilah kita sambut berita gembira ini dengan penuh kesyukuran. Ia dengan jelas membuktikan bahawa kitalah yang harus bangkit untuk membela nasib kita dan mereka yang senasib dengan kita dengan penuh yakin dan tanpa gentar.

6 comments:

Anonymous said...

Contohilah KPPM bersikap profesional dan prihatin
Hidup Besiwaja!!!!Tahniah!!!

Unknown said...

Assalamu'alaikum, sahabat Blogger dan rakan-rakan sekalian.

Alhamdulillah! Tahniah! Teruskan! Semoga ini menjadi antara langkah terawal menyamataraf golongan OKU dengan ahli masyarakat normal. Juga, terima kasih kepada Tuan Ketua Pengarah di atas keprihatinannya. Semoga ia merintis langkah-langkah konkrit lain agar nasib lepasan sekolah kita akan lebih terbela. Justeru, kalau ada berita selanjutnya, kongsikanlah lagi, ya?

Selamat berjaya, dan terima kasih.

pen buruk ™ said...

tahniah semua OKU penglihatan. kita kena usaha gigih lagi. ayuh

Anonymous said...

Isu itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pendidikan Di Bawah Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya Bil. 1/2010. ramai yang dijemput untuk menyertai mesyuarat ini termasuk ketua jabatan dalam KPM dan NGO. Melalui mesyuarat seperti ini banyak isu dan permasalahan dalam pendidikan khas dapat diselesaikan. Tidak seperti Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Masalah Penglihatan yang balik2 membincangkan isu yg sama tanpa ada jalan penyelesaian. Tahniah dan syabas diucapkan. peringatan kepada mana2 bahagian / jabatan / dan mana-mana agensi kerajaan yang lain agar melibatkan wakil dari golongan OKU sebelum mengubal atau melaksanakan sesuatu dasar. walaupun pada pandangan kita yang normal ini sesuatu dasar itu dianggap baik, tapi apalah gunanya jika dasar itu mendatangkan lebih byk keburukan kepada golongan berkeperluan khas ini. BBT

Tai said...

Tahniah cikgu. Teruskan tulis.

serikinda said...

agak-agaknya bilalah wakil oku di dewan negara akan diganti ye?