Monday, May 3, 2010

Naluri Seorang Ibu






Pada hujung minggu lepas, setelah menghadiri mesyuarat agung PERTIS Negeri Sembilan di Seremban, saya sekeluarga terus pulang ke kampung di Melaka. Lagipun sudah 3 bulan saya tidak berkesempatan pulang ke kampung sendiri. Ini tidaklah bermakna saya tidak bertemu dengan ibu serta keluarga saya yang di kampung selama itu. Kami ada juga bertemu tetapi lokasi pertemuan itu bukannya di kampung sendiri. Sebenarnya kali akhir saya bertemu ibu saya ialah sekitar 2 minggu lepas semasa kami sama-sama menghadiri majlis cukur jambul cucu saudara ibu saya di Kuala Lumpur.



Pada sebelah malamnya, sewaktu sedang menanti untuk makan malam, secara tiba-tiba ibu saya bertanya kepada saya: “Ada ke apa-apa yang terjadi pada kau seminggu dua lepas? Sebenarnya mak ada juga nak tanya masa kita di rumah Mak Itam 2 minggu lepas, tapi tak terkeluar.” Saya agak kehairanan dengan pertanyaan ibu saya. Lalu saya bertanya kembali: “Kenapa mak tanya macam tu, setakat yang saya ingat, tidak ada apa-apa yang besar yangterjadi pada diri saya.”

Agaknya ibu saya kurang puas hati dengan jawapan saya, lalu dia berkata pula: “Kalau tak ada apa-apa yang buruk, baguslah. Tapi, seminggu dua lepas, hati mak tak tenteram bila teringatkan kau. Kadang-kadang bila terkenangkan kau ada rasa sedih, kadang-kadang timbul rasa berdebar. Mak pun tak tahu apa sebabnya.”

Lalu saya berkata: “Agaknya sebab kesihatan saya masa tu yang kurang memuaskan, lagipun dalam bulan lepas 2 hari saya cuti sakit.” Ibu saya berkata pula: “Agaknyalah.” Lalu saya cepat-cepat bertukar ke topik yang lain pula.

Saya penuh yakin, ibu saya tidak mengetahui kisah yang telah berlaku. Namun begitu, sebagai seorang ibu, saya tidak menolak kemungkinan dia dapat merasai apa yang sedang saya lalui. Demikianlah kasih seorang ibu, punya ruang lingkup yang seringkali tidak terjangkau oleh kita sebagai anak.



Sementara itu, kalau kami pulang ke kampung, Luqman adalah hamba Allah yang paling gembira sekali. Banyak aktiviti yang dia suka lakukan kalau di kampung. Lagi pun, dia boleh bermain dan berkelahi dengan ramai sepupunya. Manakala atuknya (ayah saya) suka melayan.



Kadang-kadang Luqman bermain pasir di halaman rumah. Kadang-kadang dia masuk reban ayam bersama-sama seorang sepupunya yang setahun tua daripadanya. Adakalanya dia akan mengikut neneknya ke kebun. Oleh kerana aktiviti sedemikian tak jumpa di Kuala Lumpur, maka saya biarkan saja apa dia suka nak buat. Namun begitu, kalau sudah terlebih saya akan kawal juga.

Bila kena marah, Luqman akan mengadu pada neneknya. Di sini yang saya sering mengalah.

1 comment:

pen buruk ™ said...

salam cikgu zakaria

Duhai apakah gerangan budi balasan
Bagi insan melahirkan, membesarkan

Bercucuran airmata bila mengenangkan
Betapakah besar budi ibunda berikan
Siang malam menderita
Hingga entah bila
Sungguh besar pengorbanan
Ibunda berikan

Lirik lagu dari Aisyah

saya tersentuh hati dan ingin berkongsi rasa dengan para pembaca semua mengenai naluri ibu. Sewaktu saya mula-mula kritikal hilang penglihatan (retina detachment), ibu saya dah perasan akan hal itu. Walaupun masa itu saya berda di nun jauh di Utara tanahair.

Satu lagi ketika saya sakit di Sarawak, ibu saya juga katanya dapat merasakan penderitaan itu.

Begitulah kuatnya naluri seorang ibu.

wallah'hualam


Tiada bahagia jika tiada
Doa puja restu
Syurga itu telapak kaki ibu