Wednesday, May 5, 2010

Wakil OKU Di Parlimen

Sekitar dua hari lepas, saya menerima SMS daripada seorang rakan. Antara lain, kandungan SMS beliau berbunyi:


Kita lantik Karpal Singh sajalah jadi wakil OKU di dewan. Senator Ismail Salleh meninggal diganti dengan Idris Jala, Palanivel, Ezam. Nanti mesti ada ahli parlimen yang mati lagi. Harap2 kawasan akulah, dapatlah jalan tar baru.




Allahyarham Prof. Dato’ Dr. Ismail Md Salleh telah dilantik sebagai senator (Ahli Dewan Negara) pada 18 disember 2007 (Selasa). Pelantikan beliau selaku Ahli Dewan Negara telah melakar sejarah di negara kita kerana beliau merupakan golongan OKU pertama yang telah mendapat pengiktirafan setinggi itu khususnya daripada kerajaan. Pelantikan beliau sebagai senator bukan setakat mewakili golongan cacat penglihatan sahaja, bahkan beliau merupakan wakil untuk semua golongan OKU. Lagipun, setakat yang saya maklum, tiada siapa pun yang mempertikaikan pelantikan beliau sebagai Ahli Dewan Negara, sama ada dalam kalangan OKU sendiri, mahupun orang bukan OKU. Boleh dikatakan, semua pihak bersetuju dengan pelantikan beliau. Beliau memang berkelayakan untuk diberi pengiktirafan sebesar itu memandangkan kelulusan serta sumbangan yang telah beliau berikan bukan sahaja kepada golongan OKU, bahkan kepada masyarakat dan negara amnya. Namun begitu, dengan kehendak daripada Yang Maha Esa, pada awal pagi 27 Ogos 2009 (Khamis), seluruh negara dan kita semua telah menerima berita yang mendukacitakan iaitu Allahyarham telah meninggal dunia dalam penerbangan pulang ke tanah air dari China.



Kalau kita mengatakan Allahyarham Prof. Dato’ Dr. Ismail Md Salleh adalah Ahli Dewan Negara pertama dalam kalangan OKU, mungkin ia ada benarnya. Lagi pun, setakat dalam pengetahuan saya, sebelum beliau, tiada seorang pun dari mana-mana kategori OKU yang pernah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara. Namun begitu, bagi saya, adalah kurang tepat jika kita berpendapat Allahyarham Dato’ Dr. Ismail merupakan ahli parlimen pertama dalam kalangan golongan OKU. Kita perlu faham, institusi parlimen terdiri daripada tiga komponen utama, iaitu, Yang Dipertuan Agong, Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Setakat yang saya maklum, Karpal Singh telah pun menjadi “warga OKU” sebelum pelantikan Allahyarham Dato’ Dr. Ismail sebagai Ahli Dewan Negara. Setakat yang saya maklum, semasa Karpal Singh berjaya masuk semula sebagai Ahli Dewan Rakyat dalam pilihanraya umum 2004, beliau sudah pun merupakan pengguna kerusi roda. Oleh itu, jika sebagai ahli parlimen pertama dalam kalangan OKU, mungkin Karpal Singh adalah tokohnya. Dalam hal ini, ada beberapa perkara menarik yang boleh kita fikirkan bersama. Adakah Karpal Singh merupakan wakil OKU di parlimen, atau beliau lebih merupakan ahli parlimen dalam kalangan OKU sahaja?



Allahyarham Dato’ Dr. Ismail Salleh merupakan seorang OKU sejak dari asal (ini tidak menjadi pertikaian). Beliau juga merupakan presiden Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB) ketika dilantik sebagai senator. Selain itu, beliau juga mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang luas mengenai hal ehwal OKU. Kebetulan pula, beliau sendiri merupakan seorang OKU (cacat penglihatan). Dengan itu, pelantikan beliau sebagai Ahli Dewan Negara untuk mewakili kepentingan golongan OKU amat tepat sekali dan memang kena pada masanya.

Selepas Allahyarham Datuk Dr. Ismail meninggal dunia, maka ada pihak yang berpendapat kekosongan yang telah ditinggalkan oleh beliau selaku wakil OKU di parlimen harus diganti. Bahkan beberapa orang rakan punya pendapat yang lebih radikal, iaitu bahawa satu tempat dalam Dewan Negara sudah menjadi hak mutlak untuk OKU. Kita harus faham, tiada sebarang peruntukan yang memperuntukkan bahawa seorang wakil dalam kalangan OKU hendaklah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara. Pelantikan Allahyarham Datuk Dr. Ismail merupakan satu pengiktirafan kepada beliau dan golongan OKU sebenarnya sekadar mendapat tempiasnya semata-mata. Ini bermakna, jika kerajaan tidak melantik golongan OKU sebagai Ahli Dewan Negara untuk menggantikan tempat Allahyarham Datuk Dr. Ismail, maka ia bukanlah suatu kesalahan. Pelantikan sedemikian adalah hak mutlak kerajaan Persekutuan dan juga kerajaan bagi tiap-tiap negeri.

Walau bagaimanapun, saya dan kita semua amat mengalu-alukan jika kerajaan Persekutuan terutamanya dapat melantik seseorang sebagai Ahli Dewan Negara untuk mewakili golongan OKU dan kepentingan mereka. Seseorang yang boleh dilantik untuk mewakili golongan OKU di Dewan Negara hendaklah terdiri daripada mereka yang benar-benar berpengetahuan dan berpengalaman luas mengenai golongan OKU. Orang yang berkenaan juga hendaklah mempunyai hubungan yang akrab dengan semua kategori OKKU. Orang yang berkenaan juga hendaklah bersikap berani dan tegas dalam mengenengahkan kepentingan golongan OKU khususnya di peringkat parlimen. Orang yang berkenaan juga hendaklah benar-benar menjiwai golongan OKU dan bukan mempergunakan golongan OKU untuk menaikkan nama sendiri semata-mata. Di sini, saya tidaklah bermaksud hanya OKU sahaja yang layak mewakili golongan OKU di Dewan Negara. Adalah tidak salah jika orang bukan OKU juga dilantik untuk mewakili kepentingan OKU jika orang berkenaan benar-benar menepati syarat kelayakan untuk dilantik bagi mewakili kepentingan golongan OKU di parlimen.

Saya lebih cenderung wakil OKU dilantik di parlimen sebagai Ahli Dewan Negara kerana keanggotaannya adalah menerusi lantikan dan tidak perlu melalui pilihanraya. Jika mana-mana OKU hendak masuk ke parlimen melalui Dewan Rakyat, maka ia tidak salah, bahkan amat dialu-alukan jika berkemampuan dalam segenap aspek. Percubaan pernah dibuat oleh seorang OKU penglihatan untuk menjadi ahli Dewan Rakyat dalam pilihanraya umum tahun 1999 tetapi beliau gagal. Kalau tak silap, wang pertarungannya pun lesap. Mungkin beliau menyertai pilihanraya umum ketika itu hanya berbekalkan semangat semata-mata tanpa disertai sokongan para pengundi.

Bagi saya, elok juga kalau kerajaan Persekutuan dapat menyegerakan pelantikan seorang untuk mewakili golongan OKU di Dewan Negara bagi menggantikan tempat Allahyarham Datuk Dr. Ismail Md Salleh. Mana tahu, kalau ada di antara kerajaan negeri yang empat terlebih dahulu melantik golongan OKU sebagai ahli Dewan negara, nanti kerajaan Persekutuan juga yang terlepas peluang untuk mendapat nama yang baik.

No comments: