Baru-baru ini, menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil telah mengumumkan akan berundur dari jawatan selaku menteri cabinet berkuat kuasa pada 8 April ini, iaitu tarikh di mana kedudukannya selaku ahli Dewan Negara berakhir. Pada masa yang sama, beliau akan terus mengekalkan kedudukannya selaku ketua wanita UMNO. Agaknya inilah yang dikatakan sebagai pengunduran terhormat.
Setelah Datuk Seri Shahrizat membuat pengumuman berkenaan, maka bertalu-talulah ulasan dilontarkan oleh kawan dan lawan. Para pemimpin tertinggi UMNO begitu sekali memuji langkah yang bakal diambil oleh Datuk Seri Shahrizat. Itu memang perkara biasa dalam politik UMNO. Manakala pelbagai ulasan tidak memuji pula turut sama dilontarkan oleh para pemimpin yang tidak sehaluan dengan UMNO. Itu pun perkara biasa juga. Namun apa sebenarnya yang terbuku dalam hati Datuk Seri Shahrizat, hanya Allah sahaja yang mengetahuinya.
Apabila Datuk Seri Shahrizat tidak lagi berjawatan menteri tetapi masih mengekalkan kedudukannya selaku ketua Wanita UMNO, maka tarafnya lebih kurang sama juga dengan Ketua Pemuda UMNO sekarang, Khairy Jamaludin. Kedua-duanya ketua sayap dalam UMNO tetapi tidak berjawatan menteri. Bezanya Khairy Jamaludin tidak meletakkan jawatan kerana belum dilantik kea apa-apa jawatan setakat ini. Mungkin dalam hati salah seorang daripada mereka akan bernyanyi “… Ki ta se rupa ….”.
Sebenarnya desakan supaya Datuk Seri Shahrizat meletakkan jawatan ekoran terbongkarnya isu NFC turut datang dari dalam UMNO sendiri. Desakan serupa juga dikatakan turut disuarakan oleh beberapa bekas pemimpin UMNO ternama. Bagi mereka, pengunduran Shahrizat dari cabinet amat mustahak supaya ia tidak menjadi liability kepada UMNO/BN. Maklumlah tanda-tanda besar tentang akan berlakunya pilihanraya umum ke-13 semakin jelas dan nyata. Golongan yang mendesak agar Datuk Seri Shahrizat segera meletakkan jawatan merasakan jika beliau (Shahrizat) tidak berbuat demikian, ia akan dijadikan modal besar oleh kumpulan pembangkang untuk menghentam kembali UMNO/BN nanti. Sudahlah pada masa sekarang UMNO sedang dibebani dengan pelbagai masalah, kalau ditambah dengan masalah baru yang dibawa oleh Datuk Seri Shahrizat, sudah tentu ia semakin membebankan UMNO. Beban yang ada pun sudah tidak terpikul, kalau ditambah beban baru dikhuatiri semakin cepatlah nanti UMNO terjelupuk!
Dari satu sudut, yang buat hal dalam isu NFC bukanlah Datuk Seri Shahrizat sendiri. Pihak yang terlibat secara langsung ialah suami dan anak-anaknya. Oleh kerana isteri dan ibu mereka ialah seorang menteri, maka akhirnya Datuk SeriShahrizat turut sama terbabit dan kini terkorban pula. Kasihan Datuk Seri Shahrizat, lembu punya cerita, beliau yang dapat bala!
Saya rasa, tentu ramai yang masih ingat betapa garangnya Datuk Seri Shahrizat dalam persidangan UMNO tahun lepas. Bukan main lagi beliau bertempik mencabar lawan politiknya. Tak cukup dengan itu, beliau turut menyingsing lengan, mungkin untuk menunjukkan kepada kawan-kawan politiknya ketika itu betapa gah dan beraninya beliau untuk berdepan dengan musuh-musuh politiknya. Lakunya tak ubah macam serikandi Melayu zaman Hang Tuah dahulukala. Kini keserikandiannya lebur bersama jawatan menterinya yang terpaksa beliau lepaskan bulan hadapan.
Kalau dibelek kitab sejarah para pemimpin wanita UMNO, semacam ada persamaan di antara ketua wanita UMNO sekarang dengan mantan yang terdahulu. Mantan ketua wanita sebelum ini telah dikaitkan dengan isu Approved Permit (AP). Bahkan isu itu juga yang telah dijadikan antara factor untuk mengundurkan beliau (mantan tersebut) daripada jawatan ketua wanita. Manakala ketua wanita UMNO hari ini pula terkait pula dengan isu NFC. Nampaknya dua orang ketua wanita UMNO yang terakhir ini sudah terpalit dengan isu tertentu. Ia bukan sahaja menyebabkan mereka terpaksa terkorban daripada jawatan masing-masing, bahkan isu yang dikaitkan dengan mereka turut menjadi liability kepada UMNO. Mengapa begitu?
Baru-baru ini, seorang rakan saya telah melontarkan pandangan peribadinya terhadap isu yang sedang dihadapi oleh keluarga Datuk Seri Shahrizat. Istimewanya rakan saya ini merupakan seorang Arab tetapi sudah agak lama bermastautin di Malaysia. Beliau merupakan pemilik sebuah syarikat berstatus MSC (kalau tak silap). Katanya, beliau memang biasa dengan keluarga Datuk Seri Shahrizat dan turut mengenali suami dan anak-anaknya. Begitulah cerita beliau kepada saya. Dalam mengulas isu yang sedang dihadapi oleh keluarga Datuk Seri Shahrizat, beliau mengatakan tujuan pembongkarannya lebih cenderung kepada motif politik. Sambungnya lagi, sekiranya pihak peminjam mampu untuk membayar kembali kesemua jumlah yang dipinjam, ia sepatutnya tidak menjadi masalah. Lalu saya bertanya pula, mengapa dia beli kondo di situ dan di sana sedangkan tujuan asal pinjaman ialah untuk projek lembu. Kata rakan saya itu, ia merupakan strategi untuk menambah asset syarikat. Katanya lagi, rumah dan tanah yang terletak di lokasi yang strategic akan naik nilainya pada masa hadapan. Jadi, katanya lagi, pembelian yang telah dilakukan merupakan satu pelaburan bijak untuk menambah asset syarikat di masa hadapan.
Lalu saya berkata pula, kalau tujuannya untuk pelaburan hartanah, mengapa dia harus pinjam daripada kerajaan dan menggunakan nama projek lembu? Tujuan pinjamannya diluluskan supaya pihak peminjam dapat menggunakan kesemua jumlah peruntukan yang telah diluluskan untuk menambah bekalan daging Negara. Kalau tujuannya adalah untuk lain, dia sepatutnya membuat pinjaman daripada pihak lain, seperti bank atau lain-lain institusi kewangan dan bukannya daripada kerajaan. Rakan saya itu hanya diam. Saya dapat mengagak, jauh di sudut hatinya beliau masih tetap dengan pandangannya.
Pada pandangan saya, sebagai seorang menteri, Datuk Seri Shahrizat merupakan seorang yang baik dan mesra khususnya dengan golongan yang menjadi pelanggan kepada kementeriannya. Dalam majlis-majlis yang beliau hadiri bersama golongan OKU umpamanya, Datuk Seri Shahrizat cukup peramah, baik, mudah menyapa dan tidak begitu terikat dengan protocol. Seingat saya, Datuk Seri Shahrizat merupakan menteri yang paling rapat dan paling mesra dengan golongan OKU jika dibandingkan dengan para menteri yang memegang potfolio yang sama sebelumnya. Beliau sering turun padang dan bertemu dengan golongan yang merupakan pelanggan kepada kementeriannya. Kali terakhir saya berada dalam majlis beliau ialah pada bulan Ogos tahun lepas di Dewan Dr. Ismail Salleh, Brickfields. Sebelum itu, Datuk Seri Shahrizat juga pernah merasmikan mesyuarat agung Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) pada tahun 2004. Kalau beliau berucap di hadapan golongan OKU, Datuk Seri Shahrizat tidak lupa menyelitkan (menyebut) beberapa nama golongan OKU. Walaupun nama-nama itulah juga yang akan beliau sebut dalam majlis yang lain, namun ia sudah memadai untuk menunjukkan beliau sebenarnya memang rapat dengan golongan berkenaan.
Buat masa ini, sukar untuk saya menjangkakan jika suatu hari nanti bila ditakdirkan tokoh-tokoh tertentu dalam parti siasah yang lain mengambil tempat beliau, adakah mereka berkemampuan untuk akrab dengan golongan seperti saya sebagaimana akrabnya Datuk Seri Shahrizat. Oleh itu, tidak keterlaluan kalau saya katakan, perletakan jawatan oleh Datuk Seri Shahrizat selaku menteri merupakan satu kehilangan kepada golongan OKU. Apa yang termampu untuk kita lakukan sekarang ialah sekadar berharap agar yang patah akan tumbuh kembali dan yang hilang akan cepat berganti.
Demikkianlah dunia politik. Ada pasang dan ada surutnya. Kalau dahulu kita menyaksikan kerjaya politik orang lain surut, hari ini orang lain pula yang sedang menyaksikan kerjaya politik kita sedang surut. Sewaktu sedang surut beginilah kita akan ketahui siapa sebenarnya rakan sejati.
Salam dari Kuantan.
UCAPAN PENGHARGAAN.
1 week ago
1 comment:
Assalamu'alaikum, saudara Blogger dan rakan-rakan sekalian.
Ya, memang tragis! Gara-gara seekor kerbau bawa lumpur, semua habis terpalit ... Namun begitu, pada pandangan saya, inilah sebenarnya bahaya jika kita ditemani jemaah yang ketandusan akhlak, apatah lagi, agama dan iman, sekaligus mengizinkan unsur-unsur haram berlegar sebagai sumber pendapatan. Juga, di sinilah letaknya kebijaksaan-Nya Yang Maha Segala dalam mengatur urus-tadbir makhluq-Nya, khasnya makhluq insani ini. Bukankah seperti yang kita maklum, makna "khalifah" itu ialah pemerintah, sekaligus para politikus?
Justeru, walaupun saya juga secara peribadi begitu terkilan dengan pengunduran menteri mesra-OKU ini, namun, hakikat tetap hakikat jua, sebagaimana tibanya ajal kematian dan qiamat yang pasti berlaku. Malah, terus-terang ingin saya katakan, di sebalik sekian banyak "scandel" dan permasalahan UMNO kini, yang peroleh nama busuk ialah masyarakat Melayu Islam juga; dengan itu, bagaimanakah kini umat Islam mampu memulihkan imej yang semakin terkelupas ini?
Apapun, bersamalah kita ambil iktibar daripada peristiwa sebegini, bahawa, firman-Nya meletakkan kemuliaan insan beriman diukur daripada darjah ketaqwaannya janganlah disanggah lagi. Malah, sejarah sememangnya telah membukikan bahawa terdapat para sahabat dan tabi'in yang kaya-raya di zaman masing-masing dengan hasil usaha sendiri, tak perlu bergantung kepada pinjaman kerajaan, kan? Malah, kekayaan mereka juga menjadi sebab bertambahnya iman dan taqwa hatta mampu diinfaqkan untuk berjihad di jalan-Nya, malah ada juga yang turut mengorbankan nyawa dan jiwa raga. Lalu, adakah kita sedar hari ini, kita sebenarnya telah beruntung besar memperoleh Islam dengan semudah mungkin? Justeru, tiada jalan lagi dalam mengubati kekronikan penyakit seperti ini, melainkan dengan taubat nasuha. Menutup bicara, sekalung penghargaan dan jutaan terima kasih di atas keizinan sauara untuk saya meluahkan idea dan pandangan, dan kiranya apa yang tak wajar tu, elok jangan disiarkan agar tidak menimbulkan fitnah. Sesungguhnya, yang baik lagi sempurna itu, datan daripada, dan milik-Nya jua.
Terima kasih dan teruskan berkarya ...
Post a Comment