Monday, August 8, 2016

Perasmian Bulan Patriotik SMPK Setapak 2016




Pada 8 Ogos (Isnin), sekolah tempat saya bertugas telah melancarkan bulan patriotik bagi tahun 2016. Ucapan perasmian dan gimik perasmian telah disempurnakan oleh pengetua sekolah, Tn. Hj. Jalaluddin Yusof di dataran perhimpunan sekolah. Hampir seluruh warga sekolah yang terdiri daripada para guru, murid serta kakitangan kumpulan pelaksana turut hadir dalam majlis berkenaan. Bulan patriotik peringkat sekolah akan berlangsung dari 8 Ogos hingga 5 September nanti.

(Untuk gimik perasmian, sila klik
di sini)

Pelbagai aktiviti telah dirancang bagi sepanjang bulan patriotik kali ini. Antaranya termasuklah uji minda (kuiz sejarah dan kenegaraan), bacaan tokoh negara terpilih, ceramah patriotik, meneka suara ahli jemaah menteri, mencipta pantun bertemakan kemerdekaan, menghasilkan buku skrap, kibaran Jalur Gemilang, memperdengarkan lagu-lagu patriotik, dan lain-lain lagi. Sebagaimana kebiasaannya, aktiviti bulan patriotik kali ini juga adalah di bawah anjuran Panitia Sejarah sekolah.

Di samping gimik perasmian, majlis perasmian juga turut diserikan dengan nyanyian beramai-ramai lagu Jalur Gemilang. Terasa kemeriahannya.

(Untuk menonton nyanyian berkenaan, sila klik
di sini)

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pihak yang telahmemberikan kerjasama yang cukup baik khususnya dalam menjayakan majlis perasmian bulan patriotik kali ini. Ucapan terima kasih yang tidak terhingga saya tujukan kepada seluruh ahli Panitia Sejarah sekolah yang tidak kering idea untuk mempamirkan kelainan pada tahun ini. Selain itu, saya juga mengucapkan terima kasih kepada tuan pengetua yang turut sama memberi idea khasnya yang berkaitan dengan gimik perasmian. Terima kasih juga saya tujukan kepada Cikgu Nasir, Ustaz Azam dan ustaz Ghaffar yang turut sama bekerja keras bagi memastikan kelancaran majlis perasmian kali ini. Saya juga tidak lupa mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Cikgu Watie kerana sudi membantu saya mengambil foto dan video.

Di bawah ini saya kongsikan sebilangan foto yang saya kira menarik untuk tatapan bersama.








Walaupun murid-murid sekolah ini tanpa penglihatan, semangat patriotisme mereka sentiasa subur dan segar.