Monday, March 9, 2009

Bicara Isu

Penggunaan Kalimah Allah: Antara Kesucian dan Realiti

 

            Hari ini, satu isu yang sedang semarak diperbincangkan di seluruh Negara adalah mengenai penggunaan kalimah Allah oleh mereka yang bukan Islam, terutama dalam menterjemahkan maksud tuhan atau god.  Isu ini juga turut mendapat perhatian daripada ahli-ahli yang berhormat di Dewan Rakyat beberapa hari yang lalu.  (Untuk berita dan maklumat lanjut mengenai isu ini di Dewan Rakyat, sila klik Nama Allah…PAS jawab PAS).  Bila isu ini mula dicetuskan akhir-akhir ini, berbagai perkara dan persoalan muncul dalam minda saya.  Mengapa baru sekarang isu ini dicetuskan?  Adakah selama ini pihak-pihak yang berkaitan tidak sedar bahawa penggunaan kalimah Allah bagi maksud tuhan dalam kitab-kitab bible yang berbahasa Melayu/Indonesia sudah lama digunakan?  Sedarkah mereka bahawa kitab-kitab sedemikian sudah lama beredar di Negara kita?  Selain itu, tahukah mereka bahawa hal sedemikian juga sudah pun bersemarak dalam media penyiaran global seawall dekad 70-an, atau mungkin lebih awal lagi?  Mengapakah kepekaan kita terhadap isu ini terlalu lewat?

 

            Saya tidak nafikan sama sekali, dalam agama Islam kalimah Allah merupakan kalimah tersuci lagi termulia.  Sebagai penganut Islam, hal ini adalah sefakat, sebulat suara dan tiada perbalahan lagi.  Banyak dalil, sama ada berbentuk naqliyah mahupun bersifat akliyah yang menyokong pendirian dan kenyatan ini.

 

            Di sini, saya suka menyorot kembali kisah penggunaan kalimah Allah bagi maksud tuhan terutamanya oleh penganut agama Kristian.  Saya biasa mengikuti siaran radio yang dikendalikan oleh pihak Kristian yang berbahasa Melayu sejak dekad 70-an lagi.  Ia dipancarkan dari pulau Guam.  Siarannya memang dalam bahasa Melayu Malaysia dan bukan Melayu Indonesia.  Seingat saya, siaran tersebut akan berkumandang 2 kali sehari, iaitu waktu petang dan waktu malam.  Saya masih ingat lagi, antara penyiarnya yang terkenal dan punya suara sedap bernama Ratnasari.  Siarannya dipenuhi dengan pelbagai rancangan yang berkaitan dengan propaganda agama Kristian.  Antara kalimah dan frasa yang biasa digunakan termasuklah alkitab, firman Allah, nabi, rasul, ayat, surah dan sebagainya.  Kalimah Allah memang meluas digunakan bagi maksud tuhan.  Antara kalimah lain yang digunakan termasuklah Yesus, Abraham, Siti Hagar, Adam, Hawa dan sebagainya.  Pada mulanya, saya terkejut kerana orang Kristian juga menggunakan kalimah dan frasa seperti di atas.  Walau bagaimanapun, kekeliruan berkenaan lama kelamaan hilang kerana pada masa yang sama saya turut mengikuti pendidikan agama Islam secara berterusan.  Justeru, pada ketika itu saya bolehlah membezakan antara ceramah Kristian dengan dakwah islamiyah dan menerima hakikat iaitu orang Kristian juga turut menggunakan beberapa kalimah seperti di atas untuk tujuan keagamaan mereka.

 

            Pada masa yang sama, siaran agama Kristian yang berbahasa Indonesia turut aktif dengan propagandanya.  Siaran-siaran tersebut dipancarkan sama ada dari bumi Indonesia mahupun dari luar Indonesia, terutamanya dari pulau Guam atau pulau Saipan.  Sekali lagi dan seperti biasa, dalam siaran-siaran tersebut kalimah dan frasa sepertimana di atas memang meluas digunakan.

 

            Bagi mereka yang tidak mempunyai asas Islam yang baik atau kurang pendedahan mengenai corak dan cara propaganda Kristian, siaran-siaran sebegini mungkin boleh mengelirukan.  Namun begitu, bagi saya, sekiranya kita mempunyai pengetahuan yang agak mendalam mengenai Islam serta pendedahan yang agak baik mengenai propaganda Kristian, maka sudah tentu ia mudah untuk dibezakan.  Lagipun, pada hemat saya, waktu itu tidak ramai orang Malaysia yang mengikuti siaran berkenaan.  Mungkin sebab itulah juga orang Malaysia kurang terdedah dengan cara kumpulan Kristian melaksanakan propaganda mereka khasnya menerusi media penyiaran.  Walau bagaimanapun, yang pastinya, kalimah Allah bagi maksud tuhan oleh penganut Kristian bukan satu perkara baru. 

 

            Selain itu, pada dekad 80-an lagi saya sendiri pernah menemui kitab-kitab bible berbahasa Melayu dan dalam tulisan Braille pula.  Saya mengaku pernah membaca kitab-kitab berkenaan dan sangat biasa menemui kalimah Allah bagi maksud tuhan dalam kitab-kitab tersebut.  Jika kitab-kitab sedemikian yang bertulisan Braille sudah boleh ditemui pada ketika itu, maka pada perkiraan saya sudah tentulah kitab-kitab yang serupa dan bertulisan biasa lebih mudah ditemui dan sudah lama beredar di Negara kita.  Oleh itu, bagi mereka yang pernah membacanya, maka sudah tentulah penggunaan kalimah Allah bagi maksud tuhan oleh penganut Kristian bukanlah sesuatu yang baru dan mengejutkan.

 

            Beberapa orang rakan yang pernah belajar atau tinggal di beberapa buah Negara Arab seperti Lubnan dan Mesir memberitahu bahawa kalimah atau frasa yang mengandungi perkataan Allah turut meluas digunakan oleh penganut Kristian di sana.  Ini termasuklah insha Allah, biiznillah, subhanallah, bahkan mereka juga turut bersumpah dengan kalimah wallahi.  Bahkan seorang rakan ada memberitahu ketika beliau di Lubnan, beliau ada mendengar satu ceramah melalui satu siaran radio.  Mulanya beliau menyangka ia adalah ceramah agama Islam.  Walau bagaimanapun, setelah beliau mendengarnya beberapa ketika dengan penuh teliti, baru beliau menyedari iaitu ceramah tersebut merupakan satu ceramah mengenai agama Kristian dalam bahasa Arab.  Menurut beliau lagi, kalimah Allah turut digunakan dengan meluas dalam ceramah tersebut bagi merujuk kepada maksud tuhan.

 

            Di samping itu, oleh kerana hari ini kita berada pada zaman dunia tanpa sempadan, maka reality yang tak boleh kita ketepikan ialah perbincangan dan penggunaan kalimah Allah turut digunakan dengan meluas oleh penganut Kristian dalam propaganda mereka melalui pelbagai laman sesawang.  Antara yang menarik perhatian saya ialah seperti di sini.  Untuk rujukan lanjut, boleh juga klik di sini.  Jika ingin lagi bahan mengenai isu ini, sila klik di sini.

 

            Selain itu, satu lelaman sesawang ada membincangkan secara ringkas mengenai penggunaan kalimah Allah dalam agama lain.  Antara lain, penulis laman sesawang berkenaan menyatakan bahawa

 

Dalam surah az-Zumar 39:38 Allah berfirman bermaksud "Dan jika kamu tanya mereka (orang kafir) siapakah yang mencipta langit dan bumi? Mereka akan berkata Allah..."

Penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam telah berlaku sejak awal Islam. Sebahagian kitab suci mereka (terutama di Timur Tengah) juga menggunakan kalimah Allah. Di Indonesia, penggunaan kalimah Allah juga agak meluas di gereja-gereja. Cuma di Negara kita, fenomena ini agak baru dan memeranjatkan. Maka timbullah persoalan "sejak bila mereka mengaku Allah itu Tuhan?" dan soalan "Sejak bila pula mereka pandai menyebut Allah?" dan soalan lebih serius lagi "Apakah tujuan mereka ingin menggunakan kalimah Allah?" dan bermacam soalan lagi.

 

 

Untuk bacaan lanjut, sila klik pada Allah Dalam Agama Lain.

 

            Sebenarnya terlalu banyak lelaman sesawang yang membincangkan isu yang berkaitan mengenai penggunaan kalimah Allah.  Perbincangan itu pula boleh dilihat sama ada dari perspektif agama Islam, Kristian mahupun Yahudi.  Ada yang membincangkannya secara akademik.  Tidak kurang pula yang mengupasnya secara emosi.

 

            Setakat yang saya maklum, di dalam Alquran sendiri, tidak terdapat ayat-ayat yang melarang orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah.  Sedangkan di dalam Alquran juga terdapat ayat yang begitu jelas melarang golongan musyrikin daripada memasuki Masjidil-Haram sebagaimana mafhum ayat 28 dari surah At-Taubah (ayat 28, surah ke-9, juzuk 10).  Dengan erti kata yang lain, tidak terdapat ayat yang melarang orang bukan Islam menggunakan perkataan Allah sebagaimana adanya ayat yang melarang orang musyrikin daripada memasuki Masjidil-Haram.

 

            Dalam membicarakan ayat 38 dari surah Az-Zumar (39), seorang intelektual Islam setempat yang terkenal tatkala saya menghubunginya menyatakan, ayat berkenaan berbentuk cakap ajuk.  Ini bermakna, dalam ayat berkenaan Allah merakamkan percakapan segolongan orang kafir.  Katanya lagi, itu tidak bermakna Allah memberi kebenaran kepada orang bukan Islam untuk menggunakan kalimah-Nya sesuka hati.  Menurut beliau lagi, dalam konteks budaya dan bahasa Melayu yang sangat akrab dengan Islam, kalimah Allah tentu sekali merujuk kepada Tuhan Yang Esa dan bukan yang lain daripada itu.  Kata beliau lagi, masalah yang timbul di sini ialah apabila kita ingin merujuk maksud kalimah Allah menerusi kaca mata bahasa lain, seperti bahasa Inggeris.  Demikianlah pendapat beliau.

 

            Bagi saya, selaku orang Islam, apabila kita sebut sahaja Allah, Tuhan, Yang Esa, atau lain-lain kalimah yang membawa erti yang sama, maka secara spontan, padu dan tanpa ragu lagi kita wajib meyakini perkara-perkara berikut:

 

1.  Katakanlah Allah itu Esa;

2.  Allah tempat kita bergantung;

3.  Dia (Allah) tidak beranak dan tidak pula diperanakkan;

4.  Dan tiada sesuatu pun yang menyamai atau boleh disamakan dengan Allah.

(Mafhum ayat 1-4, surah Al-Ikhlas, surah ke-112, juzuk ke-30).

 

            Justeru, apabila pihak yang berkenaan ingin melarang penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain bagi merujuk maksud tuhan, maka perkara-perkara berikut harus diberi perhatian:

 

1.  Bagaimana dengan kalimah Allah yang telah digunakan dalam kitab-kitab bible berbahasa Melayu yang telah pun ada di Negara kita?

 

2.  Mampukah kita mengharamkan kesemua kitab bible berbahasa Melayu yang telah pun sedia ada di Negara kita hanya semata-mata di dalamnya ada kalimah Allah?

 

3.  Dalam dunia tanpa sempadan ini, mampukah kita menghalang mana-mana lelaman sesawang agama lain yang menggunakan kalimah Allah untuk maksud tuhan?

 

4.  Mampukah kita menghalang orang Islam/Melayu di Negara ini daripada mengakses mana-mana lelaman sesawang berbahasa Melayu tetapi berbentuk propaganda Kristian (kerana ada kalimah Allah di dalamnya)?

 

5.  Jika mereka (orang bukan Islam) guna kalimah Allah dalam penerbitan yang berbahasa Melayu, apakah tindakan yang sesuai untuk dipertimbangkan?  Sejauh mana pula tindakan berkenaan berkesan?

 

6.  Sejauh mana pula larangan penggunaan kalimah Allah kepada orang bukan Islam mampu menjaga akidah umat Islam di Negara ini?

 

            Dalam mencari penyelesaian mengenai isu dan permasalahan di atas, saya lebih suka melihat isu yang ada dari sudut pemantapan akidah itu sendiri.  Sekiranya akidah kita kukuh dan mantap, sudah pastilah kita mampu untuk membezakan antara penggunaan kalimah Allah yang benar dengan penggunaan kalimah Allah yang digunakan secara sesat dan batil.  Oleh itu, jika pihak-pihak yang berkenaan benar-benar ingin menjaga kesucian dan akidah umat Islam di Negara kita, maka langkah-langkah yang lebih praktikal dan realistic harus dipertimbangkan untuk dilaksanakan.  Antaranya adalah seperti berikut:

 

1.  Agama Islam hendaklah dimartabatkan melalui pendidikan.  Kurikulum dan sukatan pelajaran bagi mata pelajaran Pendidikan Islam hendaklah dikemas kini agar ia menepati keperluan, isu, cabaran serta permasalahan yang melanda umat Islam masa kini.

 

2.  Para pegawai di jabatan-jabatan agama Islam dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) seharusnya sentiasa peka dan terdedah dengan tektik dan bentuk propaganda yang dilaksanakan oleh musuh-musuh Islam yang bertujuan untuk memesongkan akidah umat Islam.

 

3.  Pihak-pihak yang berkenaan harus dirangka dan dilaksanakan rancangan bersepadu dan strategic untuk memastikan agar akidah umat Islam sentiasa kental dan tidak mudah untuk dipesongkan.

 

4.  Ahli-ahli politik Melayu/Islam sepatutnya mengenepikan politik kepartian dan bersatu di bawah nama Islam dalam menangani isu-isu yang ada kaitan langsung dengan akidah umat Islam.

 

5.  Golongan generasi muda Islam di Negara kita hari ini seharusnya diberi pendedahan yang sesuai mengenai cabaran dan permasalahan yang sedang melanda umat Islam dengan apa cara sekali pun.

 

6.  Para pemilik dan pengendali media, terutamanya media penyiaran khususnya yang beragama Islam hendaklah lebih bertanggungjawab dengan memastikan agar kandungan siaran bersifat sederhana dan tidak menuju kea rah pemesongan akidah umat Islam. 

 

7.  Di peringkat institusi keluarga pula, para ibu bapa hendaklah memastikan agar suasana agama sentiasa wujud dalam rumah tangga masing-masing.  Dengan itu, barulah konsep baiti jannati (rumahku syurgaku) benar-benar mencapai matlamatnya dan generasi anak-anak dapat didedahkan dengan suasana keagamaan sejak dari dalam rumah lagi.

 

            Akhirnya, sekali lagi saya ingin tegaskan, saya sama sekali tidak mempertikaikan kemuliaan dan kesucian kalimah Allah.  Walaupun agama Islam sudah pun mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Perlembagaan Persekutuan, tetapi ia masih tidak mampu untuk menghalang orang Melayu daripada gejala murtad.  Begitu juga, pada pandangan saya, dengan melarang orang bukan Islam menggunakan nama Allah, ia bukanlah cara terbaik untuk menjaga akidah umat Islam itu sendiri.  Bagi saya, oleh kerana penggunaan kalimah Allah bersifat sejagat dan global, maka adalah lebih sesuai dan wajar jika ia difahami dan ditangani secara sejagat dan global juga.  Dalam dunia tanpa sempadan hari ini, cara dan kaedah penyelesaian yang bersifat tertutup dan setempat semata-mata tidak akan dapat menyelesaikan isu ini secara berkesan dan menyuluruh.  Jjika isu ini hanya dilihat dari sudut yang sempit, saya bimbang kita tidak menemui jalan penyelesaian yang benar-benar terbaik.

 

1 comment:

Unknown said...

Assalamu'alaikum, sahabat penulis dan rakan-rakan pengunjung sekalian.

Allahu akbar! Alhamdulillah! Terima kasih atas sumbangan pelbagai fakta! Memang, topik ini sedang panas bagaikan minuman yang baru disediakan!

Saya secara peribadi bersetuju sekali dengan segala hujjah yang saudara bentangkan. Malah, pernah saya temui terjemahan Al-Quran Inggeris, yang menyebut kalimah "God" dan "Allah" bersilih ganti. Malah, saya pernah perasan, menerusi ayat daripada Surah Az-Zumar yang saudara bentangkan itu, terdapat terjemahan yang menyebutkan kalimah Allah itu digunakan dengan maksud "Tuhan" dengan penafsirannya ialah (dengan bahasa masing-masing). Ini kerana semua agama percaya adanya Tuhan, yang boleh diistilahkan sebagai mengakui kewujudan Allah. Cuma, dengan bahasa yang berbeza-beza serta dengan amalan syirik mereka, menyebabkan kalimah tersebut nampak janggal pada pendengaran warga Malaysia, sedangkan bangsa lain, apabila mengaitkan bala bencana atau rahmat, mereka akan menyebut antara lain, "semua ini adalah daripada Allah" yang mungkin bererti "Tuhan Langit" oleh orang Cina, umpamanya.

Oleh itu, saya rasa, langkah melarang penggunaan kalimah Allah, dikhuatiri hanya suatu permainan politik, walaupun tidak dinafikan ia berniat baik. Memang benar, rasminya Islam sebagai agama Persekutuan sendiri pun tak dapat mengurang, apatah lagi, menghapus gejala murtad! Ini kerana tiada komitmen serius pihak berwajib terhadap isu ini walau telah memakan korban beberapa ramai remaja dan saudara seagama kita! Maka, saya bersetuju benar dengan pelbagai langkah yang saudara sebutkan, kerana saya yakin, segalanya itu adalah atas kajian mendalam. Janganlah kita melakukan sesuatu hanya mencari "publicity" murahan dengan menimbulkan isu sensitif sebegini yang mungkin bersifat perkauman semata hanya kerana ingin rebutkan semula kemasyhuran yang telah dan sedang menghilang, sedang hakikatnya, kita sedang berterusan membunuh agama dan bangsa secara terancang tanpa kesedaran rakyat. Juga, jika benar baru sekarang kalimah Allah itu dirasakan suci, mengapa pula sebelum ini elemen kesucian itu dipadam secara senyap, umpamanya, dengan penghapusan penggunaan tulisan Arab/Jawi, lantas ramai sudah yang tak tahu baca Quran? Juga, sistem ejaan Allahyarham Za'ba yang cuba memaksima pengekalan sebutan dan makhraj Arabiyah serta Melayu asli dihapuskan? Kini, PPSMI: mengapa ia dilakukan dengan penuh tergesa-gesa tanpa memikirkan penguasaan bahasa generasi mendatang serta kepentingan Bahasa Melayu sebagai wadah ilmu? Bukan saya bermaksud mengaitkan isu semasa ini dengan topik perbincangan secara emosi, tetapi saya cuma khuatir ini hanya suatu tindakan sementara pihak berkenaan agar mereka dilihat terus relevan sebagai pejuang, kononnya. Oleh itu, bersamalah kita perkuat aqidah lagi memantapkannya agar kita tidak tersungkur dalam pertarungan duniawi yang semakin canggih ini. Teruskanlah menyumbang karya sebegini lagi demi manfaat kami, para pengunjung sekalian.

Terima kasih.