Sunday, March 1, 2009

Kisah Dan Teladan

Ranjau-ranjau Kehidupan

 

            Siang tadi, saya telah ke Temerloh untuk menghadiri mesyuarat Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Negeri Pahang.  Kehadiran saya dalam mesyuarat tersebut adalah selaku penyelaras bagi PERTIS negeri Pahang.  Selesai mesyuarat, seperti biasa, saya dan seluruh AJK PERTIS Pahang menikmati satu jamuan kecil.  Sambil menikmati makanan alah kadar tetapi amat menyelerakan, saya dan mereka berbual-bual mengenai hal di sekitar kehidupan golongan cacat penglihatan di Pahang.

 

            Apa yang menarik perhatian saya ialah kisah mengenai 2 orang daripada AJK PERTIS Pahang sendiri.  Sebelum ini, kedua-dua AJK berkenaan hanya mencari rezeki di jalanan.  Ini termasuklah menjual tisu atau tanpa sebarang barangan pun.  Kata mereka, pekerjaan seperti itu terpaksa mereka lakukan demi untuk hidup dan menyara anak isteri.  Mereka pula bukanlah berkelulusan tinggi.  Ada juga yang tidak pernah bersekolah langsung.  Kebetulan pula mereka ini orang lama (berumur).  Bahkan salah seorang daripada mereka pernah ditangkap oleh pihak JKM ketika sedang mencari rezeki di jalanan.  Setelah ditangkap, ditempatkan pula di Mersing untuk beberapa ketika sebelum dilepaskan.

 

            Akhirnya, dengan berbekalkan modal yang tak seberapa, kedua-dua mereka bersama-sama seorang rakan lain yang juga cacat penglihatan pun membuka kedai urut di bandar Temerloh.  Lokasi kedai mereka tak berapa jauh dari Masjid Sultan Abu Bakar.  Dua jenis urut utama yang mereka lakukan ialah refleksologi (urut tapak kaki) dan urut badan.  Dari segi harga pula, memang ia masih rendah apatah lagi jika hendak dibandingkan dengan KL.  Bagi perkhidmatan refleksologi, mereka hanya mengenakan bayaran sebanyak RM 25.00 sahaja.  Kata mereka lagi, di bandar Temerloh ada sebuah kedai urut yang dikendalikan oleh orang biasa (berpenglihatan).  Bayaran yang dikenakan oleh kedai tersebut untuk perkhidmatan refleksologi mencecah sehingga RM 50.00.

 

            Setelah mereka memulakan usaha mencari rezeki melalui kebolehan mengurut, rupa-rupanya mereka masih tidak terlepas daripada mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan Hidup.  Antara cabaran utama yang dihadapi ialah kekurangan pelanggan.  Menurut cerita mereka, adalah perkara biasa bilamana dalam sehari ada 2 atau 3 orang pelanggan sahaja.  Pernah juga sampai seminggu tiada pelanggan langsung.  Saya dan mereka sendiri kurang pasti mengapa ianya boleh berlaku.  Dari aspek lokasi, kata mereka ia agak strategik.  Saya memberitahu mereka, kekurangan pelanggan mungkin kerana kurang promosi.  Lagi satu, sambutan orang ramai di bandar Temerloh tidak boleh disamakan dengan apa yang ada di KL atau di Pulau Pinang (bahagian pulau).

 

            Selain itu, ada juga dalam kalangan pelanggan yang masih meminta pengurangan harga dengan pelbagai cara.  Ada yang mengatakan mereka hanya ada RM 20.00 sahaja.  Ada juga pelanggan yang mengatakan mereka hanya ada RM 10.00 atau RM 15.00 sahaja.  Seringkali hal sebegini terjadi setelah para pelanggan tersebut selesai menerima perkhidmatan urut.  Kata mereka, daripada tak dapat langsung, terimalah apa yang diberi.  Apa yang menyedihkan mereka ialah perbuatan di atas dilakukan oleh para pelanggan yang berpenglihatan!

 

            Selain itu, ada juga pelanggan yang setelah selesai menerima perkhidmatan meminta untuk berhutang pula.  Hal sebegini sangat mendukacitakan mereka.  Kebiasaannya golongan yang berhutang ini tidak akan datang lagi ke kedai mereka.  Sekali lagi, hal sebegini dilakukan oleh pelanggan yang berpenglihatan!  Demikian cerita mereka.

 

            Salah seorang dari mereka turut menceritakan, pernah seorang pelanggan cuba mengajak beliau melakukan adegan tidak bermoral.  Tindakan yang beliau lakukan ialah memberhentikan perkhidmatan urut serta-merta, meminta dengan baik supaya pelanggan berkenaan meninggalkan kedainya dan tidak mengambil wang terhadap perkhidmatan urut yang telah diberi sebelum pelanggan berkenaan meminta melakukan perkara tidak bermoral itu.  Bagi saya, perlakuan pelanggan sedemikian sangat mengaibkan.  Sudahlah berpenglihatan, tidak bermoral pula.  Setelah itu ingin mengheret mereka yang tidak berpenglihatan ke lembah tidak bermoral pula.

 

            Bagi mereka, walaupun kadangkala mereka sering ditipu oleh para pelanggan yang berpenglihatan, namun mereka tetap mengatakan tidak semua golongan berpenglihatan mempunyai perangai sedemikian.  Kata mereka lagi, masih ramai lagi golongan yang berpenglihatan yang baik dan sudi untuk menolong mereka pada bila-bila masa.  Saya amat lega bila rakan-rakan saya itu masih berpersepsi sedemikian terutamanya kepada golongan yang berpenglihatan.

 

            Sebenarnya, kisah yang saya paparkan ini mungkin merupakan satu fenomena biasa di tempat-tempat lain.  Mungkin ia jarang dipaparkan untuk tatapan dan pengajaran kita bersama.  Dalam hidup cabaran pasti ada.  Kesabaran, ketabahan, tawakal, akur kepada takdir  serta sikap tidak putus asa merupakan perisai terbaik dalam mengharungi kesemua cabaran yang datang.

 

            Dalam diam-diam, saya mengkagumi mereka.  Walaupun pelajaran mereka tidak setinggi mana, pendapatan mereka tidak sebanyak mana, tetapi mereka masih sudi bermasyarakat melalui persatuan (PERTIS).  Sikap bantu-membantu, perpaduan dan keakraban antara sesama mereka (golongan cacat penglihatan di Pahang) turut menarik perhatian saya.  Dengan melihat kehidupan orang lain, kita akan menjadi lebih insaf dan tahu erti bersyukur.

 

5 comments:

Unknown said...

Assalamu'alaikum, sahabat (penulis) dan rakan-rakan sekalian.

Terima kasih. Memang, kisah sebeginilah yang wajar ditonjolkan. Malah, PERTIS, umpamanya, boleh cuba menggarap idea menampilkan kisah sebegini di media massa. Kalau kiranya TV3 umpamanya begitu ghairah menonjolkan artis comersil yang hanya pandai menghibur, tapi entah ke mana hala tuju akhir mereka menerusi pelbagai slot yang kelihatan menarik, mengapa mereka tidak mahu aktif menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat, dengan memaparkan kisah seperti ini? Bukankah itu setidak-tidaknya suatu kempen kesedaran agar masyarakat akan mesra-OKU?

Ya, syabas juga kepada rakan-rakan kita di Temerloh itu. Antara intisari pengajaran yang boleh dipetik daripada kisah mereka ini ialah walau apa sekalipun, ketahan fizikal dan mental serta jati diri, elemen terpenting untuk bertahan daripada pelbagai cabaran, serangan, provokasi ... entah apa lagilah tu ... Sememangnya, dunia ini merupakan tempat bertarungnya mulia dan keji, berupaya dan kurang upaya, kaya dan miskin, dan sebagainya. Lantaran itu, marilah kita bersama belajar daripada kisah ini untuk membina jati diri agar kita tidak mudah terpengaruh dik tawaran lumayan, tetapi hakikatnya pemusnah diri, zahir dan batin. Juga, sikap pelanggan yang pelbagai ragam, antara cabaran getir, yang mungkin, kalau saya di pihak mereka, takut-takut tak terpikul ... Justeru, marilah kita bersama bersyukur kepada-Nya, semoga kita menjadi antara makhluq kesayangan-Nya.

Terima kasih.

khairul said...

Salam buat semua.

Masalah yang dihadapi oleh golongan cacat penglihatan di Temerloh ini telah beberapa kali diwar warkan oleh rakan2 yang saya temui. bukan sahaja di Temerloh banyak lagi tempat lain yang berlaku masalah sebegini...
saya ingin menyentuh dua perkara tentang perkhidmatan urut oleh golongan cacat penglihatan..
pertama, saya pernah mendapatkan perkhidmatan urut di beberapa tempat urut di XXX... saya kenal sangat dengan orang yang memberi perkhidmatan tersebut.. kesimpulannya... lepas urut saya berkata dalam hati... first and last!!!! pasal apa? memang tak best dan tak berkemahiran langsung, main urut jer.
kedua, setelah mendapatkan perkhidmatan.... emm... kalau orang lain urut lagi best kot bleh rehat .... ini terjadikerana si tukang urut tu punyalah banyak cakap!!!

Tetapi, tak ramai yang begitu, hanya segelintir sahaja,

Cadangan saya,
1. biarlah tempat urut tu presentable skit, janganlah persekitarannya macam rumah tok bomoh dulu-dulu, baiki skit jaga kebersihan
2. tambahkan kemahiran anad adalam memberikan urutan. kerana... ramai yang mendapatkan perkhidmatan urutan sekarang merupakan golongan yang mempunyai skill menilai kerana pertumbuhan kedai urut yang tak terhitung banyakkya... pelanggan tau mana sedap dan mana yang hentam jer

Ok TQ

Cikgu Zakaria said...

Terima kasih Khairul. Ulasan anda realistik dan saya yakin ia dibuat atas landasan keikhlasan.

khairul said...

my blog

www.cikgukhairulec.blogspot.com

ummu said...

assalamualaikum,apakah kedai utut ini masih dibuka lagi cikgu?tq