Thursday, March 19, 2009

Menungan Pagi

Masih Guna Jampi Lagi Ke?

 

            Sekitar jam 10.15 malam tadi (18 Mac), seorang hamba Allah memberitahu saya, sudah tersebar dalam internet kononnya pihak berkenaan ada menemui kertas bertulisan jawi dan kayu jampi yang dibungkus dengan kertas.  Barang-barang jampi itu pula diletakkan di bawah meja presiden UMNO, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi, di ibu pejabat UMNO di PWTC.  Oleh kerana pada ketika itu saya masih berada di Nilai, maka saya terpaksa tangguhkan dahulu hasrat yang meluap untuk melayari internet bagi mencari berita lanjut.

 

            Kemudian, setelah tiba di rumah, tanpa berlengah lagi saya pun mula "menyelongkar" beberapa blog yang saya rasa boleh memberi maklumat lanjut mengenai cerita yang saya dengar tadi.  Akhirnya memang saya menemui (bukan barang-barang jampi), tetapi blog yang mengisahkan berita berkenaan.  Kononnya barang-barang yang ditemui itu telah dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis.  Demikian konon khabar beritanya.

 

            Sama ada apa yang ditemui itu benar-benar barang-barang jampi atau tidak saya sendiri tak berani memberi kepastian.  Lagipun ia khabarnya telah pun dihantar ke jabatan kimia.  Jadi kita tunggu sajalah apa hasilnya.

 

            Bila mengenangkan berita tersebut, saya teringat apa yang pernah ditulis oleh Frank Swettenham, seorang pegawai British yang akrab dengan bangsa dan budaya Melayu.  Antara lain, beliau ada mengatakan bahawa antara ciri-ciri orang Melayu ialah percaya kepada benda-benda tahyul, suka berbomoh dan berjampi.  Demikian apa yang pernah dikatakan oleh Frank Swettenham mengenai orang Melayu kira-kira 115 tahun yang lalu.

 

            Bila diselongkar secara rambang mengenai sejarah bangsa Melayu pasca merdeka, rasanya tanggapan Frank Swettenham itu masih tampak kebenarannya.  Kes Mona Fendi dan kematian Dato' Mazlan Idris beberapa belas tahun lalu juga ada kaitan dengan aktiviti perbomohan.  Pada zaman ini juga masih kedengaran ada orang besar tertentu yang masih menggunakan bomoh untuk mengekalkan kuasanya.  Demikian konon khabarnya.

 

            Nampaknya juga, sangkaan dan harapan saya selama ini turut meleset.  Sepatutnya apabila konsep Islam Hadhari telah diperkenalkan, ia mampu menghapuskan unsur-unsur karut-marut dari bangsa Melayu.  Rupa-rupanya, ia bukan sahaja belum mampu untuk kea rah itu, tapi orang yang telah memperkenalkan konsep Islam Hadhari pula yang hamper terkena jampi.

 

            Kadang-kadang terfikir juga saya, mengapa tidak minta sahaja kepada Allah?  Bukankah Allah telah memberi jaminan yang antara lain mafhumnya: "Mintalah kepada-Ku, nescaya Aku (Allah) akan perkenankan permintaanmu".  Tetapi, bila saya fikirkan dengan lebih jauh lagi, mungkin orang berkenaan segan hendak minta perkara tertentu daripada Allah kerana dia mungkin sedar apa yang hendak dimintanya itu benda-benda yang tidak elok.  Agaknya begitulah.  Jika demikian, kalau sesuatu itu memang tidak baik, kotor dan jijik, minta daripada siapa pun ia tetap tidak baik, kotor dan jijik juga.  Status kejijikannya tidak akan berubah.

 

            Oleh itu, saya suka untuk mengingatkan diri sendiri dan juga kepada sesiapa yang sukakan peringatan, sesungguhnya jika kita meminta dan berharap kepada yang lain selain daripada Allah, itu menuju kepada jalan syirik.  Di sisi Allah, syirik merupakan dosa yang amat besar.  Dalam hal ini, teringat saya kepada firman Allah yang antara lain mafhumnya: "Sesungguhnya Allah tidak mengampunkan dosa mereka yang menyengukutukannya dengan sesuatu dan Dia (Allah) akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendakinya, dan barang siapa yang menyengukutukan Allah, sesungguhnya ia merupakan dosa yang amat besar" (ayat 48, surah An-Nisa (5) juzuk ke 5).

 

            Dalam surah yang sama juga, sekali lagi Allah menegaskan melalui firman-Nya yang antara lain mafhumnya: "Sesungguhnya Allah tidak mengampunkan dosa mereka yang menyengukutukannya dengan sesuatu dan Dia (Allah) akan mengampunkan dosa yang lain daripada itu bagi sesiapa yang dikehendakinya, dan barang siapa yang menyengukutukan Allah, sesungguhnya ia merupakan kesesatan yang amat jauh" (ayat 116, Surah An-Nisa (5) juzuk ke 5).

 

            Oleh itu, marilah kita sama-sama menjauhi dosa dan kesesatan yang sukar untuk mendapat keampunan dari Allah itu.  Hidup ini bukannya lama pun.  Sementara matahari belum terbit di sebelah barat dan nyawa belum sampai di kerongkongan, segeralah bertaubat.  Sesungguhnya Allah penerima taubat.

 

1 comment:

Unknown said...

Assalamu'alaikum, saudara dan rakan-rakan sekalian.

Terima kasih atas ingatan itu. Setidak-tidaknya, saudara telah melangsaikan tanggungjawab mengingatkan kami dan mereka yang pelupa. Mudah-mudahan, tiada yang akan mampu mendakwa saudara pada hari agung itu.

Rasanya, memang manusia, berperangai pelik; suka sangat percaya lagi melakukan perkara karut-marut, walhal hakikat kebenaran telah jelas nyata. Dengan keadaan sebegitu, bagaimana orang yang mengaku dirinya Muslim itu boleh menunjukkan kepada rakan taulan yang belum Islam lagi, akan kebaikan dan kesempurnaan Islam? Malah, terdapat juga sesetengah puak ini yang boleh menyamaratakan taraf Islam dengan kepercayaan lain secara sedar atau tidak. Lantaran demikian, eloklah kita saling memperingatkan sesama kita dan ahli masyarakat Islam agar segera bertaubat seperti yang saudara sebutkan itu. Semoga dengan rajin bertaubat, bersihlah hati serta mengundang rahmat dan kasih-Nya, bukan sebaliknya. Ini pun, kita dah bernasib baik, tidak didatangkan azab secara tunai sebagaimana umat terdahulu ... Oleh itu, marilah kita bersyukur serta mengambil peluang sebegini untuk benar-benar kembali kepada-Nya.

Terima kasih.