Dari Kaca Mata Seorang Pemandu Teksi
Semalam, saya telah menggunakan perkhidmatan teksi untuk ke Puduraya. Pemandu teksi seorang yang peramah dan mudah untuk dibawa bicara. Beliau yang memulakan bicara dengan bertanyakan ke mana tujuan saya. Saya memberitahunya, saya hendak ke Melaka. Beliau bertanya lagi, mengapa isteri saya tidak menghantar saya ke Melaka? Saya memberitahu pemandu tersebut, isteri saya tidak perlu hantar saya kerana saya boleh pergi sendiri. Mendengar jawapan saya, pemandu teksi itu semakin bertalu-talu bertanya. Antara pertanyaannya ialah, saya tidak takut sesat ke; saya tidak takut jatuh atau melanggar sesuatu; bagaimana saya boleh tahu kalau sudah sampai ke tempat yang dituju; macam mana saya boleh tahu bas mana yang akan saya naik; macam mana saya boleh tahu ada orang di sekeliling atau tidak; pernah kena langgar ke sebelum ini; …. Bertalu-talu soalannya macam tembakan machine gun! Satu pun soalannya belum sempat saya jawab. Namun begitu, saya sempat membuat analisis spontan, pemandu ini tidak mempunyai maklumat langsung tentang golongan cacat penglihatan.
Setelah pertanyaannya reda, saya pun mula menjawab. Saya mengatakan, memang sudah lumrah bagi orang cacat penglihatan akan terlanggar dan terjatuh. Kalau dia tidak langgar dan tidak pernah jatuh, mungkin orang itu tidak cacat penglihatannya. Seterusnya saya beritahu, kalau malu bertanya sesat jalan. Jadi, kalau tak mahu sesat, jangan malu untuk bertanya. Kemudian pemandu tersebut mencelah lagi, ada orang akan tolong ke. Saya menjawab, bukan semua orang hatinya tidak baik sepertimana tidak semua orang hatinya sentiasa baik.
Jalan raya yang agak sesak memberi peluang yang lebih luas kepada pemandu teksi itu untuk berbicara lebih panjang.
Kemudian, pemandu itu bertanya lagi, adakah tujuan saya ke Melaka untuk bermain muzik? Saya menjawab, saya ke Melaka kerana menghadiri satu mesyuarat. Pemandu itu bertanya lagi, awak kerja apa? Saya menjawab, saya kakitangan kerajaan. Pemandu itu bertanya lagi, dulu awak ada pergi sekolah ke? Saya menjawab, saya lulusan universiti. Kemudian pemandu itu mengasak lagi dengan bertanya, orang buta boleh masuk universiti ke? Oleh kerana saya hamper kehabisan jawapan, akhirnya saya pun menjawab, kalau JPJ bagi saya lessen, awak punya teksi pun saya boleh pandu! Pemandu tersebut ketawa besar.
Daripada peristiwa kecil di atas, saya sama sekali tidak menyangka masih ada dalam kalangan rakyat Negara ini yang tidak mempunyai pengetahuan langsung mengenai golongan cacat penglihatan. Oleh kerana orang seperti pemandu teksi tadi tidak mempunyai pengetahuan yang minimum mengenai golongan cacat penglihatan, sudah tentu persepsi dan tanggapan mereka terhadap golongan cacat penglihatan tidak positif. Bukankah sekali-sekala kejayaan dan ketokohan golongan cacat penglihatan terpapar juga di media
Walau bagaimanapun, bila difikir-fikirkan, pengetahuan pemandu teksi tadi mengenai golongan cacat penglihatan berada di tahap itu mungkin kerana beliau tidak pernah bergaul langsung dengan golongan cacat penglihatan. Mungkin sikap ingin tahunya mengenai golongan cacat penglihatan berada di tahap paling rendah. Mungkin dia tidak mempunyai kepentingan langsung dengan golongan cacat penglihatan. Segalanya mungkin!
Bagi saya, oleh kerana dia hanya seorang pemandu teksi, maka kekurangan pengetahuannya mengenai golongan cacat penglihatan tidaklah memberi kesan yang besar kepada golongan tersebut. Tetapi, jika peneraju institusi pendidikan khas tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam dan mencukupi serta tidak mempunyai pandangan dan tanggapan yang betul dan positif terhadap golongan cacat penglihatan, maka tidak mungkin golongan berkenaan mampu untuk memberi kebaikan kepada mereka yang cacat penglihatan.
Agaknya, inilah yang dikatakan orang, banyak berjalan, luas pengalaman!
Salam dari Melaka.
No comments:
Post a Comment