Friday, May 1, 2009

Kisah Dan Teladan

Ini Kecuaian Siapa?

 

            Beberapa hari yang lalu, saya telah menghadiri satu mesyuarat di sebuah hotel yang agak ternama di Kuala Lumpur.  Antara rakan-rakan lain yang turut menghadiri mesyuarat tersebut ialah Cikgu Saifuddin yang mewakili Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) dan En. Silatul Rahim yang mewakili Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB).  Mesyuarat tersebut telah berlangsung selama dua hari.

 

            Saya telah checked in pada tengah hari hari pertama mesyuarat.  En. Silatul Rahim telah pun checked in lebih awal sedikit.  Begitu juga dengan Cikgu Saifuddin.  Sewaktu saya mendaftar di kaunter hotel, pihak berkenaan meletakkan saya sebilik dengan En. Silatul rahim.  Saya tiada masalah walaupun sesama buta.  Walau bagaimanapun, seorang kakitangan di kaunter memberitahu bilik yang telah diberi kepada En. Silatul Rahim sudah pun dihuni oleh orang lain lebih awal dan En. Silatul Rahim terpaksa dipindahkan ke bilik yang lain.  Oleh kerana saya baru hendak mendaftar, akhirnya saya dan En. Silatul Rahim pun diberi bilik yang lain yang terletak di antara tingkat yang hampir paling atas.  Itu tidak langsung menjadi masalah kepada kami.  Pihak kaunter terus menghubungi En. Silatul Rahim untuk urusan pindah bilik.

 

            Setibanya En. Silatul Rahim di kaunter, beliau memberitahu telah pun masuk ke bilik yang diberi oleh pihak hotel pagi tadi dan beliau memang mendapati sudah ada barang orang lain di bilik tersebut.  Walau bagaimanapun, beliau tetap meninggalkan beg pakaiannya dalam bilik tersebut.  Setelah kami meminta penjelasan daripada pihak kaunter, akhirnya kami diberitahu nama orang yang telah menghuni bilik tersebut lebih awal.  Masha Allah, saya memang kenal dengan nama itu.  Beliau ialah Timbalan Pengarah yang juga merupakan pengerusi mesyuarat.  Hairan, bagaimana pihak kaunter boleh memberi En. Silatul Rahim bilik yang telah pun dihuni oleh orang lain?  Walau bagaimanapun, saya tidak berhasrat untuk campur tangan lebih jauh.  Lagi pun, itu masalah pihak hotel.  Memadailah bila kami sudah dapat bilik yang betul.

 

            Setelah mendapat kunci (yang berbentuk kad), saya dengan ditemani oleh En. Ahmad Bustamam (penolong pengarah dari Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian pelajaran Malaysia) pun terus ke bilik yang telah diberikan kepada saya dan En. Silatul Rahim untuk dihuni.  Sementara itu, En. Silatul Rahim dengan ditemani oleh En. Aliodin (penolong pengarah dari Bahagian Buku Teks, Kementerian pelajaran Malaysia) ke bilik asal En. Silatul Rahim untuk mengambil beg pakaiannya untuk dipindahkan ke bilik yang baru.

 

            Setelah saya tiba di bilik dan setelah en. Ahmad Bustamam berpuas hati dengan keadaan dalam bilik, En. Ahmad Bustamam pun kembali ke biliknya yang terletak selang sebilik dengan bilik saya.  Tidak berapa lama kemudian, Cikgu Saifuddin pun datang dan sudah tentu saya persilakan beliau masuk.  Tidak lama kemudian, saya mendapat panggilan telefon daripada En. Aliodin untuk mendapat kepastian mengenai nombor bilik yang telah ditetapkan untuk saya dan En. Silatul Rahim.  Setelah saya memaklumkan nombor bilik, En. Aliodin memberitahu nombor bilik yang tercatat pada kunci (kad) yang diberi oleh pihak kaunter berbeza dengan nombor bilik yang telah ditetapkan untuk saya dan en. Silatul Rahim.  Walau bagaimanapun, En. Aliodin dan En. Silatul Rahim telah ke bilik yang tercatat nombornya pada kunci yang mereka dapat dan mendapati dalam bilik tersebut penuh dengan barangan orang lain.  Ini bermakna bilik tersebut sudah pun ada penghuninya.  Nasib baik juga penghuni bilik berkenaan tiada di biliknya ketika itu.  Saya segera menyuruh En. Aliodin membawa En. Silatul Rahim ke bilik yang telah ditetapkan untuk saya dan En. Silatul Rahim dan masalah kunci akan kita selesaikan kemudian.

 

            Setelah menghantar En. Silatul Rahim ke bilik yang betul, kemudian En. Aliodin pun kembalilah ke biliknya.  Maka tinggallah saya, En. Silatul Rahim dan Cikgu Saifuddin dalam bilik kami.  Sewaktu sedang berbual dan berehat, tiba-tiba muncul seorang wanita dan terus bertanya, "buat apa dalam bilik saya ni?"  Kami bertiga terkejut.  Kami memberitahu ini bilik kami dan pihak kaunter yang memberi kunci bilik ini kepada kami.  Lagi pun, kalau tanpa kunci bagaimana mungkin kami boleh masuk ke dalam bilik ini?  Wanita tersebut merupakan salah seorang urus setia mesyuarat.  Kami kenal beliau dan beliau juga kenal kami.  Beliau memberitahu, beliau telah pun masuk ke bilik ini pada awal pagi tadi.  Oleh kerana beliau merupakan antara penganjur mesyuarat, kami meminta jasa baik beliau untuk menguruskan hal itu hingga selesai.  Beliau tenpa membuang masa terus menghubungi kaunter dengan meminta penjelasan.  Marah juga beliau.  Akhirnya pihak kaunter berjanji akan menyelesaikan masalah itu segera.  Rasa kesal yang amat sangat jelas kedengaran dari suara dan rungutannya.  Walau bagaimanapun, wanita tersebut memberitahu beliau tidak marah kepada kami bertiga kerana telah "menceroboh" ke biliknya, tapi kepada pihak hotel.  Nasib baik juga sewaktu beliau datang ke biliknya kami bertiga yang ada.  Kalaulah ketika itu hanya salah seorang daripada kami sahaja yang ada dan dalam keadaan yang tidak sesuai untuk dipandang oleh orang lain, bagaimana?

 

            Akhirnya pihak hotel telah menghantar kunci bilik yang lain kepada kami.  Kami bertiga pun ke bilik berkenaan.  Malangnya kami mendapati sudah ada penghuni lain pula.  Penghuni berkenaan memberitahu mereka hanya tumpang solat sahaja.  Itu tidak menjadi masalah kepada kami, tetapi yang dimusykilkan, bagaimana beberapa orang boleh mempunyai kunci bilik yang sama?  Setelah mereka selesai solat, kami pun masuklah ke bilik tersebut.  Lagi sekali malang kerana bilik airnya tersumbat pula.  Seorang kakitangan yang menghantar kunci tadi berjanji akan menyelesaikan masalah itu dengan segera.  Kami bersetuju sahaja.  Lagipun waktu untuk sesi mesyuarat sebelah petang sudah hampir.  Sewaktu sedang bermesyuarat, seorang urus setia memberi kunci bilik kepada saya dan memberitahu pihak hotel memaklumkan kepadanya masalah bilik air sudah selesai.  Sebenarnya ini bukanlah kali pertama saya menginap di hotel ini, tetapi ini kali pertama saya mengalami masalah sebegini di hotel yang agak ternama seperti hotel ini.  Walau apa pun alasannya, peristiwa dan masalah yang saya telah alami tetap tidak memberikan kepuasan dan keselesaan kepada penghuni seperti saya.

 

            Banyak pengajaran yang boleh diambil daripada peristiwa yang saya dan rakan-rakan alami seperti di atas.  Bilik hotel memang tidak selamat.  Jangan simpan barang-barang berharga dalam bilik.  Kalau kaunter tidak mahu menyimpan barang-barang berharga, eloklah dibawa sahaja ke mana kita pergi walaupun ia akgak tidak menyelesakan.  Kalau tinggal seorang diri dalam bilik hotel, lebih selamat kalau diselak pintunya.  Memang tidak mustahil jika beberapa orang boleh memiliki kunci yang sama untuk satu bilik.  Ingat!  Jangan sudah terhantuk, baru nak tengadah.

 

Inilah yang dikatakan orang "banyak berjalan, luas pengalaman".

 

6 comments:

pen buruk ™ said...

alahai cikgu zakaria. apasal jadi macam tu. apapun, saya teruja nak tahu keputusan mesyurat. boleh hubungi saya melalui email tak?

blog saya : http://www.myazhar4u.blogspot.com

Unknown said...

Assalamu'alaikum, saudara Penulis dan rakan-rakan pengunjung sekalian.

Pelik tapi benar! Inilah "KECUAIAN", namanya, kan? Keadaan sebegini bukan setakat tak selesa, tapi merunsingkan! Justeru, di sini, pada pendapat saya, pengurusan hotel itulah yang bersalah dan patut dipertanggungjawabkan. Sepatutnya, tempat penginapan peserta perlu jelas tanpa keraguan dan tanpa mengira status serta keadaan peserrta. Dengan keadaan petugas kaunter yang bercelaru pada menguruskan bilik penginapan serta kemudahan asas yang agak tak memuaskan, pasti akan merosakkan nama baik hotel berkenaan. Mana tak: bagaimana boleh begitu bercelarunya pendaftaran peserta penginapan? Juga, bagaimana boleh terjadinya bilik air tersumbat? Mengapa perkara asas sebegitu boleh dicuaikan?

Justeru, inilah yang patut kita renungkan sebagai pemberi khidmat, agar kita juga tidak terjebak ke dalam kancah sebegitu. Memang, salah dan silap tentu ada, tetapi biarlah ianya menasabah.

Terima kasih.

TINTA EMAS said...

Memang tidak patut dan kalau hotel itu hotel ternama lagi tidak patut. Cikgu, En. Ahmad Bustamam ni... Cikgu Bustamam yang pernah mengajar di PES ke?

Cikgu Zakaria said...

Tinta Emas! Benar, beliau ialah Cikgu Ahmad Bustamam yang pernah mengajar di PES suatu ketika dahulu. Kini beliau merupakan salah seorang daripada penolong pengarah di Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia.

serikinda said...

Malang betul kau pak ya, nasib baik dalam keadaan berbaju heh heh heh

Tai said...

Oh wow, ini macam pun ada ha? Susah ni.