UMNO Mampu Bangkit Semula!
Pada 24 April 2009 (Jumaat) lalu, Majlis Tertinggi UMNO telah mengadakan mesyuaratnya yang pertama selepas pemilihan parti tersebut pada bulan lepas. Dalam mesyuarat tersebut, presidennya, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak antara lain telah mengumumkan senarai ketua-ketua Badan Perhubungan UMNO peringkat negeri. 8 badan perhubungan negeri mendapat ketua yang baru. Dari presiden hinggalah kepada ketiga-tiga orang naib presiden, semuanya ditugas untuk mengepalai satu badan perhubungan negeri setiap seorang. Selain itu, dengan kuasa yang dibenarkan oleh perlembagaan UMNO, presiden telah menamakan beberapa tokoh sebagai ahli Majlis Tertinggi yang dilantik walaupun ada di antara mereka telah kalah dalam pemilihan UMNO yang lalu. Presiden UMNO masih membariskan golongan tersebut ke dalam Majlis Tertinggi kerana mereka masih dianggap berwibawa, beridea dan masih berguna kepada parti. Antara mereka termasuklah Tan Sri Rafidah Aziz dan Dato' Seri Dr. Rais Yatim. Dengan erti kata lain, strategi telah disusun, langkah telah diatur, UMNO mula menggempur!
Dalam melihat apa yang telah diputuskan pada mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO Baru-baru ini, pelbagai pandangan, pendapat dan juga tafsiran telah dibuat oleh pelbagai pihak.
Memang tidak dinafikan sejak beberapa tahun kebelakangan ini UMNO memang bergolak dan menghadapi pelbagai masalah. Kekalahan ramai calon UMNO dalam pilihanraya umum ke-12 dan diikuti oleh kekalahan 3 calon UMNO dalam siri pilihanraya kecil selepas PRU 12 merupakan sebahagian rentetan ketidakstabilan yang masih wujud dalam UMNO. Kalau diteliti dari sejarah UMNO itu sendiri, hal seumpama ini bukanlah suatu perkara baru dalam UMNO. Bahkan ia sudah menjadi asam garam dalam kehidupan rumah tangga UMNO. Kemuncak kepada krisis dalaman UMNO ialah pada tahun 1988 apabila parti itu telah diharamkan dan UMNO Baru terpaksa dilahirkan sebelum ia bertukar kulit kepada UMNO semula sebagaimana yang ada pada hari ini.
Pada tahun 1969 apabila UMNO dan Perikatan mengalami kekalahan teruk dalam pilihanraya ke-3, UMNO telah menukar pemimpinnya daripada Almarhum Tunku Abdul Rahman kepada Allahyarham Tun Abdul Razak. Kesannya, UMNO dan BN telah beroleh kemenangan besar dalam pilihanraya ke-4 pada tahun 1974. Bukan setakat itu, Kelantan yang sebelumnya dikuasai PAS juga telah berjaya "dibarisankan". Hal yang sama turut berlaku pada kerajaan Pulau Pinang.
Pada tahun 1988, sekali lagi UMNO bergolak kesan daripada pemilihan parti tersebut pada tahun 1987. Kesannya wujudlah team A dan team B dalam UMNO. Tidak cukup dengan itu, lahir pula Parti Melayu Semangat 46. Akibatnya, dalam pilihanraya ke-8 pada tahun 1990 Kelantan dikuasai semula oleh PAS yang bergabung dengan Parti Melayu Semangat 46 di bawah Angkatan Perpaduan Ummah. Kesannya tidak terhenti setakat itu, pada tahun 1999 pula melalui pilihanraya umum ke-10 Terengganu pula dapat dikuasai oleh PAS.
UMNO mungkin sedar, jika keyakinan rakyat ingin dipulihkan semula, perubahan tertentu mesti dilakukan. Maka pada 31 Oktober 2003, berlakulah perubahan dalam tampuk kepimpinan dalam UMNO yang sekaligus turut mengubah tampuk kepimpinan negara. Tun Dr. Mahathir berundur, Tun Abdullah muncul mengambil alih kepimpinan UMNO, BN dan negara. Berbekalkan perubahan kepimpinan yang telah dilakukan, pada bulan Mac 2004 Tun Abdullah Ahmad Badawi telah memimpin UMNO dan BN untuk menyertai PRU 11. Ternyata perubahan kepimpinan yang telah dilakukan tidak sia-sia. Langkah tun Abdullah tidak sumbang. Dalam pilihanraya umum tersebut, UMNO dan BN beroleh kemenangan gemilang. Kerajaan PAS Terengganu tumbang. Kerajaan PAS Kelantan pula hampir kecundang. Demikianlah gagahnya Tun Abdullah, UMNO dan BN dalam PRU 11.
Dalam pilihanraya kecil DUN Pangkalan Pasir (Kelantan) pada penghujung tahun 2005, sekali lagi UMNO di bawah kepimpinan Tun Abdullah telah membuktikan kebangkitan mereka. Kerusi tersebut telah berjaya dirampas oleh calon UMNO daripada PAS. Keputusan ini telah meletakkan kerajaan PAS Kelantan ketika itu berada pada kedudukan yang sangat kritikal, umpama telur di hujung tanduk. Hanya satu kerusi sahaja yang memisahkan antara PAS dan UMNO waktu itu. Bahkan ada penganalisis politik yang berpendapat, jika ada lagi pilihanraya kecil di Kelantan selepas Pangkalan Pasir, mungkin Kerajaan Pas di negeri itu akan turut kecundang.
Walau bagaimanapun, dengan kejayaan cemerlang yang dikecapi, sebilangan pemimpin dan ahli UMNO telah mula leka dan lupa daratan.
Sikap Tun Dr. Mahathir yang mula mengkritik kepimpinan UMNO secara terbuka mula membuka ruang kepada pergolakan semula dalam UMNO. Kalau sebelumnya ucapan-ucapan Tun Dr. Mahathir hanya boleh diikuti di media-media utama negara, tetapi ketika itu ucapan-ucapan beliau sudah boleh diperoleh melalui CD yang boleh dibeli di pasar-pasar malam. Pada masa yang sama, Tun Mahathir sudah mula sepentas dengan para pemimpin pembangkang.
Peranan Khairy Jamaluddin yang umpama lebih sudu dari kuah turut menyemarakkan lagi keretakan dalam UMNO. Khairy yang juga mendapat jolokan "Penghuni Tingkat 4" juga dikatakan sering campur tangan dan adakalanya menjadi penentu kepada dasar-dasar negara. Sikap Khairy ini sama ada beliau perasan atau tidak, memang tidak disukai oleh bukan sahaja ahli UMNO, tetapi sebilangan rakyat jelata.
Selain itu, UMNO terus dibelenggu dengan pelbagai masalah lain seperti rasuah dan politik wang. Ini telah menambah lagi parah dalam luka yang sedang dihadapi oleh UMNO. Kesan kepada semuanya itu, maka dalam PRU 12 tahun lalu, UMNO telah ditolak rakyat. Kekalahan calon-calon UMNO dalam beberapa siri pilihanraya kecil yang menyusul selepasnya membuktikan parti itu masih ditolak rakyat.
Bertitik tolak daripada semuanya itulah, maka UMNO telah mula melakukan perubahan. Paling utama UMNO telah melakukan perubahan kepada barisan kepimpinan tertingginya. Perubahan ini boleh memungkinkan perubahan kepada persepsi dan penerimaan rakyat terhadap parti itu sebagaimana yang pernah dilakar oleh sejarah UMNO. Kita tidak boleh menolak kemungkinan perubahan-perubahan yang dilakukan oleh UMNO baru-baru ini melalui mesyuarat Majlis Tertingginya merupakan satu strategi yang mungkin berkesan untuk UMNO bangkit semula. Hal ini diperkukuhkan lagi apabila kita meneliti
Kepada parti-parti pembangkang pula, bagi saya, adalah sesuatu yang tidak menguntungkan jika mereka terlalu ghairah dan seronok meneropong dan mengintai isu-isu rumah tangga UMNO. Setidak-tidaknya UMNO telah mula melakukan perubahan. Sekurang-kurangnya UMNO sudah mengenal pasti penyakit yang sedang dihadapinya dan mula mencari ubat mujarab sebagai penyembuhnya. Penyakit-penyakit politik bukan sahaja boleh melanda UMNO semata-mata, bahkan ia boleh berjangkit kepada apa sahaja yang berbau dan bernama politik, sama ada orang politik mahupun parti politik tanpa mengira ideologi atau warnanya. Penyakit-penyakit yang dimaksudkan termasuklah perebutan jawatan, rasuah, hasad dengki, gila kuasa dan yang seumpamanya. Jangan sampai dikatakan orang kelak, kuman di seberang nampak, gajah di depan mata tak nampak.
Sekiranya parti-parti pembangkang asyik leka mengumpat masalah rumah tangga UMNO, hal ini boleh memungkinkan mereka terlupa masalah yang sedang dihadapi dalam rumah tangga sendiri. Hal seumpama ini akan memberi ruang yang lebih besar kepada UMNO untuk bangkit semula dan seterusnya memenangi semula hati rakyat. Parti-parti pembangkang harus membuktikan negeri-negeri yang mereka perintah lebih baik dalam pelbagai aspek daripada negeri-negeri yang sedang diperintah oleh UMNO dan BN. Sesungguhnya rakyat sedang membuat penghakiman dan keputusan serta hukumannya akan dijatuhkan dalam pilihanraya yang akan datang.
No comments:
Post a Comment