Saturday, April 18, 2009

Bicara Alquran Braille

Naskah-naskah Alquran Braille Yang Pernah Ada Di Malaysia

 

            Alquran merupakan kitab suci bagi umat Islam.  Dengan wujudnya Alquran bertulisan Braille, maka ia telah membolehkan golongan cacat penglihatan untuk sama-sama membaca dan seterusnya beroleh manfaat daripada kitab suci tersebut.  Secara umumnya, Alquran Braille ialah kitab suci Alquran yang menggunakan kaedah penulisan huruf Arab Braille.  Dari segi bentuk huruf ia memang berbeza dengan bentuk huruf pada Alquran cetakan biasa.  Walaupun wujud perbezaan dari segi bentuk huruf antara Alquran cetakan biasa dengan Alquran Braille, tetapi bunyi setiap huruf adalah sama tanpa mengira cetakan biasa mahupun cetakan Braille dan tidak boleh berbeza sama sekali.  Oleh kerana bunyi huruf antara keduanya sama, maka sudah tentulah kalimah-kalimah yang terhasil daripada huruf-huruf Arab Braille itu tidak akanberbeza sama sekali dengan Alquran cetakan biasa.

 

            Di negara kita, maklumat dan pengetahuan mengenai Alquran Braille masih tidak diketahui ramai.  Ini termasuklah sejarahnya, statistik penggunanya, cetakan Alquran Braille dari mana yang digunakan, statistik serta taburan golongan yang mahir dengan Alquran Braille dan sebagainya.  Dalam tulisan kali ini, saya tidak berhasrat untuk menyingkat sejarah mengenai Alquran Braille.  Insha Allah ia akan saya ketengahkan dalam posting yang akan datang.  Untuk posting kali ini, saya akan berkongsi mengenai naskah-naskah Alquran Braille yang pernah ditemui di negara kita dan di mana ia boleh ditemui.  Kebanyakan naskah Alquran Braille itu pula datangnya dari beberapa buah negara, terutamanya negara-negara Arab.

 

            Antara naskah-naskah Alquran Braille yang pernah ditemui di Malaysia termasuklah:

 

1.  Alquran Braille yang diterbitkan oleh negara Jordan (tahun terbitan 1952).  Ia dicetak secara double sided dan dengan menggunakan kertas Braille.  Berdasarkan kajian saya setakat ini, naskah Alquran ini merupakan Alquran Braille pertama yang terdapat di negara kita.  Ia dipercayai telah pun sampai di negara kita pada awal tahun 1950-an lagi.  Sekolah Princess Elizabeth merupakan institusi pendidikan khas yang terawal memiliki Alquran ini.  Alquran ini mengandungi 6 jilid (30 juzuk).  Pada hari ini, hanya 1 jilid sahaja yang ditemui iaitu tersimpan di Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) di Kuala Lumpur.

 

2.  Alquran Braille terbitan negara Mesir (tahun terbitan antara 1962-1964).  Alquran Braille ini juga mengandungi 6 jilid.  Ia dicetak secara double sided dan dengan menggunakan kertas Braille.  Pada mulanya saya telah temui naskah ini dalam simpanan Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB).  Walau bagaimanapun, pada tahun 1997, pihak MAB bersetuju untuk menyerahkan penjagaan naskah Alquran Braille berkenaan kepada PERTIS.  Hari ini ia masih ada dalam simpanan PERTIS tetapi dari sejak penjagaannya diambil alih oleh PERTIS jumlah jilidnya hanya 5 sahaja.  Jilid terakhir didapati telah hilang.

 

3.  Alquran Braille yang diterbitkan oleh negara Mesir (tahun terbitan 1985).  Ia dicetak secara double sided dan dengan menggunakan kertas Braille.  Alquran Braille ini dibawa pulang ke Malaysia pada tahun 2003 hasil lawatan oleh para pegawai Jabatan Pendidikan Khas (kini Bahagian Pendidikan Khas), Kementerian Pelajaran Malaysia ke beberapa buah negara Asia Barat termasuklah Mesir.  Alquran Braille ini juga mengandungi 6 jilid dan pada masa ini ia tersimpan di Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia (Putrajaya).

 

4.  Alquran Braille yang diterbitkan oleh Yayasan Kesejahteraan Tuna netra Islam Indonesia (Yaketunis) di Yogyakarta (tahun terbitan 1976).  Ia dicetak secara single sided dan dengan menggunakan Braillon.  Alquran ini mengandungi 30 jilid (satu juzuk satu jilid).  Pada masa lalu, ia dimiliki oleh ramai golongan cacat penglihatan di negara kita.  Pada hari ini naskah Alquran ini masih boleh ditemui dalam simpanan perpustakaan Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB).  Selain itu, beberapa individu cacat penglihatan juga masih memiliki naskah ini.

 

5.  Alquran Braille yang diterbitkan oleh Badan Pembina Wiyata Guna, Bandung, Indonesia (tahun terbitan 1976).  Alquran Braille ini juga mengandungi 30 jilid (satu juzuk satu jilid).  Alquran Braille ini bersaiz lebih kecil sedikit daripada Alquran Braille terbitan Yaketunis.  Ia dicetak secara double sided dengan menggunakan kertas Braille.  Naskah Alquran Braille ini pernah ditemui dalam simpanan perpustakaan Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB).  Walau bagaimanapun, pada hari ini ia tidak lagi ditemui di perpustakaan tersebut.  Terdapat individu tertentu yang masih menyimpan naskah Alquran Braille ini tetapi bilangan mereka sangat sedikit.  Pada perkiraan saya, tidak sampai pun 5 orang individu cacat penglihatan yang memiliki naskah ini.

 

6.  Alquran Braille yang diterbitkan oleh Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS).  Ia dicetak secara berkomputer dengan menggunakan kertas Braille dan secara double sided.  Kaedah penulisan Alquran Braille ini adalah berdasarkan kaedah penulisan yang terdapat pada Alquran Braille terbitan Yaketunis (Indonesia).  Ia mula dicetak pada tahun 1998 dan mengandungi 6 jilid.  Naskah Alquran ini telah mendapat pengesahan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).  Berdasarkan kajian yang telah saya lakukan, naskah Alquran Braille ini merupakan naskah pertama Setidak-tidaknya di Asia Tenggara yang dicetak secara berkomputer.

 

7.  Alquran Braille yang diterbitkan oleh kerajaan Tunesia (tahun terbitan 1976).  Ia dicetak secara double sided dan menggunakan kertas Braille.  Satu naskah lengkap Alquran Braille ini ada dalam simpanan PERTIS.

 

8.  Alquran Braille yang diterbitkan oleh Pakistan (tahun terbitan 1985).  Setakat yang saya ketahui, hanya terdapat satu naskah sahaja Alquran Braille ini di negara kita iaitu dalam simpanan Saudara Abdul Rahman Siva Abdullah.  Malangnya ia telah musnah dalam satu malapetaka banjir beberapa tahun lalu.  Walau bagaimanapun, saya sempat membaca dan meneliti kaedah penulisan pada Alquran Braille berkenaan.

 

9.  Alquran Braille yang diterbitkan oleh kerajaan Arab Saudi (tahun terbitan 2005).  Ia diterbitkan secara double sided dan mengandungi 6 jilid.  Pada pengamatan saya, kaedah penulisan Alquran Braille ini telah diselaraskan dengan kaedah penulisan resam Uthmani (pada Alquran biasa).  Setakat yang saya ketahui, satu naskah Alquran ini ada  tersimpan di surau MAB.

 

      Hasil penelitian yang telah saya lakukan ke atas kesemua naskah Alquran Braille seperti yang tersenarai di atas, maka perkara-perkara berikut dapat dirumuskan:

 

I.  Kesemua Alquran Braille di atas ditulis lengkap dengan huruf, tanda baris dan tanda bacaan.

 

II.  Memang wujud perbezaan kecil dari sudut kaedah penulisan Alquran Braille di atas, tetapi perbezaan yang wujud itu kecil dan tidak begitu ketara dan naskah-naskah Alquran Braille itu boleh dibaca oleh sesiapa sahaja asalkan pembacanya boleh membaca Alquran Braille.

 

III.  Dari sudut pembahagian jilid pula, naskah-naskah Alquran Braille daripada negara-negara Arab terikat kepada surah, contohnya jilid 1 Alquran Braille terbitan negara Jordan akan bermula dari surah Alfatihah dan berakhir pada akhir surah an-nisa.  Manakala naskah Alquran Braille daripada negara bukan Arab terikat dengan juzuk, contohnya jilid 1 Alquran Braille keluaran Malaysia akan bermula dengan surah alfatihah dan berakhir pada akhir juzuk kelima (ayat 147 surah an-nisa).

 

IV.  Walaupun negara-negara Arab sudah lama mempunyai sistem kod Braille Bahasa Arab grade 2 (contracted Braille), tetapi ia sama sekali tidak pernah digunakan dalam penulisan Alquran Braille.

 

V.  Oleh itu, pada pandangan saya, jika ada mana-mana pihak yang cuba untuk mengenengahkan kaedah penulisan Alquran Braille dengan menggunakan kaedah contracted Braille, maka ia hanya merupakan usaha yang sia-sia dan membuang masa sahaja.  Ia sama sekali tidak selari dan dan tidak selaras dengan kaedah penulisan Alquran Braille yang digunakan di peringkat antarabangsa.

 

            Sesungguhnya sebelum ini maklumat mengenai Alquran Braille di negara kita masih berkurangan.  Bahkan penyelidikan dan kajian mengenainya juga boleh dikatakan hampir tiada langsung.  Walau bagaimanapun, perkembangan mutakhir mengenai Alquran Braille di negara kita agak membanggakan.  Dua buah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) telah memulakan usaha-usaha ke arah memartabatkan Alquran Braille.  Di sebuah universiti, kursus/kertas mengenai kaedah penulisan Alquran Braille telah pun diperkenalkan.  Manakala di sebuah universiti lagi, kajian sedang diusahakan untuk menghasilkan alat yang berupaya menimbulkan tulisan Alquran Braille yang bertujuan untuk memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran Alquran Braille itu sendiri.  Secara ringkasnya, alat ini mungkin berbentuk satu kepingan (dalam jumlah tertentu), bersaiz buku Braille, dikawal oleh komputer, apabila orang yang mengawal komputer itu menekan huruf-huruf Arab Braille tertentu, ia akan timbul pada setiap kepingan tadi secara serentak.  Marilah kita sama-sama berdoa semoga usaha murni ini akan diberkati Allah dan beroleh kejayaan besar supaya akhirnya nanti golongan cacat penglihatan juga yang akan beroleh manfaatnya, insha Allah.

 

2 comments:

Unknown said...

Assalamu'alaikum, saudara penulis, serta rakan-rakan pengunjung sekalian.

Alhamdulillah! Tahniah sekali lagi di atas tulisan berfakta ini! Memang benar, Al-Quran Braille, suatu agenda yang masih lagi asing di negara kita, termasuk mereka yang di Bahagian Pendidikan Khas itu sendiri. Malah, sepanjang pengetahuan saya, boleh dikatakan "TIADA" pengajian Al-Quran Braille di MPIK untuk guru-guru yang akan bertugas mengajar pada aliran agama. Mereka terpaksa mencari dan menggeledah sendiri kaedah penulisan tersebut sewaktu bertugas. Itupun, sedihnya ialah mereka terpaksa meminta anak-anak murid mereka sendiri menjadi "proofreader". Oleh itu, sebagaimana yang saudara katakan, langkah pihak tertentu mahu menyingkatkan penulisan Al-Quran Braille ini, pada hemat saya, merupakan suatu penyelewengan yang mesti diperangi, selaras kesucian Al-Quran itu sendiri serta "nature" penulisan itu sendiri, di mana orang Arab sendiri tidak pernah memikirkan idea sekarut itu walaupun ia dalam bahasa mereka. Malah setahu kita, hanya mereka yang tertentu di Malaysia ini sahaja yang berperangai karut seperti itu, kan? Janganlah, demi dunia, maruah dan kehormatan menjadi taruhan!

Syabas juga saya ucapkan kepada pihak-pihak IPT yang sedang cuba memartabatkan Al-Quran Braille ini. Semoga usaha murni ini akan diberkati, seterusnya faedah yang berpanjangan itu akan menjadi sedekah jariah untuk mereka kemudian. Dari sini juga, kita dapat melihat kebenaran firman Allah yang antara lain, menyatakan Dia boleh mengurniai hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya ... Maksudnya, IPT berkenaan bukanlah daripada BPK, tetapi boleh berpendirian lagi bersikap murni sebegitu. Akhirnya, marilah kita bersama mendoakan kejayaan projek-projek mereka demi faedah saudara-saudara kita hingga ke seluruh dunia, insha Allah.

Terima kasih.

TINTA EMAS said...

Assalammualaikum...
Saya amat tidak setuju sekiranya Al-Quran brail ditulis secara contracted kerana pembacaan Al-Quran memerlukan baris untuk kita mengetahui hukum tajwidnya. Harus diingat, penulisan Al-Quran bukan seperti penulisan Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris yang boleh ditulis secara contracted. Oh ya, buat pengetahuan cikgu, Al-Quran yang ditulis secara singgle sided dalam kertas braillon, sebanyak 30 jilid terdapat di surau Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth Johor Bahru dan saya pernah membacanya. Tetapi saya tidak pasti sama ada ia masih wujud atau tidak kerana saya sudah lama tidak ke sana. Berdasarkan kepada entri cikgu ini, saya percaya, Al-Quran tersebut adalah keluaran Yaketunis pada tahun 1976.

Jika berkesempatan, lawatilah blog saya di darihatiseorangperempuan tinta emas blogspot.com

Wassalam, Siti Huraizah