Sunday, April 12, 2009

Sekalung Doa

Sekalung Doa Buat Penuntut USIM

 

            Bermula esok (13 April 2009) dan untuk beberapa minggu mendatang, para penuntut Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) akan menduduki peperiksaan akhir untuk semester ini.  Esok, jam 2.30 petang, para penuntut yang berkaitan akan menduduki peperiksaan bagi kertas Applikasi Braille Dalam Pengajian Quran Sunnah.

 

            Kepada penuntut yang terlibat dengan kursus/kertas di atas, saya mendoakan semoga anda semua akan berjaya menjawab dengan baik dan seterusnya akan beroleh keputusan yang cemerlang.  Anda semua merupakan generasi kedua dari USIM yang menduduki kursus/kertas di atas.  Minat, kesungguhan serta partisipasi  yang anda tunjukkan di sepanjang kursus ini berlangsung amat menggembirakan saya.

 

            Besarlah harapan saya semoga ilmu yang telah diperolehi tidak dilupakan begitu sahaja terutamanya setelah berlalunya musim peperiksaan.  Di bahu andalah akan tergalasnya seribu satu harapan khasnya yang berkaitan dengan Alquran Braille.  Anda telah berpeluang untuk memperoleh pengetahuan asas yang kukuh mengenai Quran Braille, maka andalah generasi berpenglihatan yang berpeluang cerah untuk meneruskan pengajian dan kajian dalam bidang ini.  Setelah ilmu yang diperlukan benar-benar mantap dan kukuh, maka anda semualah yang layak untuk berganding bahu bersama-sama kami dalam memartabatkan Alquran Braille.  Hari ini, permasalahan dan cabaran mengenai Alquran Braille khususnya di negara kita gagal ditangani dengan berkesan kerana terlalu sedikit bilangan mereka yang benar-benar berpengetahuan dan mempunyai pemahaman yang betul mengenai Alquran Braille.  Saya penuh yakin, insha Allah, dalam kalangan anda pasti ada bintang-bintang begemerlapan yang akan menyerlah dan akan sama-sama menyumbang untuk memberi sinar kepada hati nurani mereka yang tidak berpenglihatan dengan Alquran (kebolehan dalam Alquran Braille).  Biarlah mereka tanpa penglihatan, tetapi jangan biarkan hati mereka dalam kegelapan.

 

            Setiap langkah anda ke pusat peperiksaan saya iringi dengan doa semoga keberkatan dan kejayaan sentiasa mendampingi anda semua.

 

            Selamat berjaya.

 

1 comment:

NuHa said...

assalamualaikum ustaz..
terima kasih ustaz sebab banyak bagi tunjuk ajar ustaz pada saya dan rakan-rakan saya yang lain sepanjang proses pembelajaran aplikasi alquran braille. seronok sangat dapat belajar dengan ustaz..tak tertekan sangat..rasa macam nak wat kursus lanjutan kalau disediakan la..hehe.tapi soalan hari tu soalan kedua berkenaan dengan sejarah persaingan antara braille transciption dengan bentuk tulisan yang lain tu yang agak payah sikit.kalo sejarah hidup louis braille ker sejarah perkembangan quran braille kat malaysia ker confirm saya bleh jawab...hehe..tapi bleh la jugak wat soalan-soalan hari tu.ustaz esok kitorang ader paper digital library, doakan ye...wassalam