Tak Sanggup Merotan Anak
Pada 19 April 2009 (Ahad) lalu, di sebelah pagi saya telah menghadiri temasya sukan tahunan sekolah anak saya. Ia telah berlangsung bermula jam 7.30 pagi dan saya telah meninggalkan temasya tersebut pada jam 12.30 tengahari dan temasya belum lagi tamat. Saya terpaksa meninggalkan temasya tersebut lebih awal kerana untuk ke pesta buku di PWTC pula di sebelah tengah harinya. Di sebelah malamnya pula, saya wajib menghadiri undangan makan malam oleh ibu saudara saya.
Apa yang ingin saya kisahkan di sini bukanlah mengenai temasya sukan tersebut, tetapi perbualan antara isteri saya dengan ibu kepada salah seorang rakan sekelas anak saya. Saya tidak ikut serta dalam perbualan tersebut. Saya sekadar menjadi pendengar sahaja. Kebetulan perbualan tersebut betul-betul di sebelah saya. Saya penuh yakin si ibu itu memang tidak akan menyangka perbualannya dengan isteri saya sedang saya dengar dengan penuh teliti. Sehingga akhir saya tidak ikut serta dalam perbualan antara kedua-dua wanita/ibu itu. Perbualan berlangsung dengan agak panjang.
Si ibu tersebut bertugas di TNB. Anaknya yang satu kelas dengan anak saya merupakan satu-satunya anak lelaki dan anak bungsu pula. Menurut si ibu tersebut, perangai anaknya bila di rumah kasar, sukar untuk mendengar cakap kedua ibu bapanya. Katanya lagi, anaknya sering bercakap kasar dengan pembantu rumahnya. Bila dinasihati supaya bercakap dengan lebih sopan, anaknya akan memperkecilkan pembantu rumah tersebut. Walaupun usia anaknya seusia dengan anak saya (8 tahun), tetapi anaknya sudah pandai mengugut jika permintaannya tidak dipenuhi. Sebenarnya panjang lagi luahan si ibu tadi mengenai perangai anaknya kepada isteri saya. Saya terus diam dan tetap sabar mendengar.
Apa yang lebih memeranjatkan saya ialah si bapa bukan sahaja tidak pernah merotan anaknya, bahkan sanggup ke sekolah untuk bertemu dengan mana-mana guru yang merotan anaknya pula. Sebab itu, kata si ibu tadi, anaknya tidak boleh bercerita kepada bapanya yang dia telah dirotan oleh cikgu di sekolah. Bahkan si ibu itu agak terperanjat bila diberitahu oleh isteri saya, ada kalanya anak saya bercerita di sekolah tadi dia dirotan kerana tidak siap kerja sekolah, atau kerana main-main ketika solat, atau kerana berkelahi dengan rakan-rakan. Isteri saya memberitahu si ibu tadi, bila anak kami bercerita kisah dia dirotan di sekolah, kami akan memberitahu anak kami dia dirotan kerana dia buat salah dan cikgu tidak akan merotan orang yang tidak buat salah.
Si ibu itu seterusnya mengatakan bila dia dan suaminya sudah bosan kerana anak lelakinya yang tunggal itu tidak langsung mendengar nasihat daripada kedua mereka, mereka akan membiarkan sahaja perlakuan anaknya itu. Kelakuan buruk anaknya itu akan ditegur semula bila rasa bosan mula reda. Memang agak panjang si ibu tadi bercerita kepada isteri saya perihal anaknya.
Setibanya kami di rumah, saya turut bertanya kepada anak saya adakah rakannya yang bernama …. Nakal di sekolah. Kata anak saya, kadang-kadang nakal juga, tetapi mereka berdua berkawan agak rapat.
Sebagai guru, saya berpendapat merotan merupakan sebahagian daripada pendidikan. Walau bagaimanapun, hukuman rotan hendaklah dilaksanakan secara berhemah dan sekadar untuk mendidik dan bukan untuk melepaskan geram. Secara peribadi, saya berpendapat antara punca gejala sosial dalam kalangan generasi muda hari ini kerana merotan tidak lagi merupakan sebahagian daripada kaedah mendidik. Ramai yang salah faham, bila disebut sahaja rotan yang mereka faham ialah hukuman dengan merotan.
Sebuah kelas yang mengandungi seramai 40 murid sedang buat bising ketika guru tiada dalam kelas. Tiba-tiba lalu seorang guru disiplin dengan memegang sebatang rotan. Melihatkan guru disiplin yang lalu dengan sebatang rotan, secara spontan kelas tersebut menjadi senyap. Kelas tersebut berjaya disenyapkan bukan dengan merotan, tetapi dengan hanya murid-muridnya melihat rotan. Walau bagaimanapun, di sekolah rotan tidak boleh dijadikan pameran semata-mata. Jika perlu ia harus digunakan secara berhemah agar "kegerunan" yang ada pada rotan itu tidak hilang.
Sebagai ibu dan bapa, ada kalanya kaedah merotan juga perlu digunakan secara berhemah dan dengan tujuan untuk mendidik. Nabi Muhammad S.A.W. pernah bersabda yang antara lain mafhumnya: "Suruhlah anak kamu solat ketika berusia 7 tahun, dan pukullah (rotanlah) mereka jika mereka tidak mengerjakan solat ketika berusia 10 tahun".
Dari hadith di atas, jelas bahawa merotan boleh digunakan sebagai sebahagian daripada kaedah mendidik. Malangnya ada pula yang menyalahtafsirkan hadith tersebut di mana mereka berpendapat anak-anak hanya boleh dirotan setelah mereka berusia 10 tahun. Bagi saya, anak-anak boleh dirotan (untuk tujuan mendidik) lebih awal dari usia 10 tahun jika kesalahan yang mereka laakukan memerlukan tindakan merotan dan merupakan kesalahan berulang. Antara kesalahan yang saya maksudkan termasuklah mencuri secara serius, biadab yang keterlaluan, mengeluarkan kata-kata tidak manis seperti maki hamun dan mencarut dan yang seumpamanya.
Bagi saya, biarlah anak-anak kita menangis ketika mereka masih kecil, jangan kita pula yang akan menangis setelah anak-anak kita besar.
No comments:
Post a Comment