Saturday, April 4, 2009

Bicara Pendidik

Menghormati Orang Berilmu

 

            Arkian Sultan Mahmud hendak pergi mengaji Maklumat pada Maulana Yusuf; akan tuan itu telah junun, jika layang-layang orang lalu di atas bumbungrumahnya, disuruhnya buangi ali-ali.  Setelah dapat, maka disuruhnya koyak layang-layang itu, dipesok-pesokkan; katanya "Biadab, lalu di atas rumahku," demikianlah kelakuan tuan itu.  Maka Sultan Mahmud pun datang bergajah, banyak orang mengiringkan baginda pergi ke rumah Maulana Yusuf itu.  Setelah datang ke pintu pagarnya, kata orang kepada penunggu pintunya, "Beritahu Maulana Yusuf, Yang Dipertuan datang".  Maka oleh penunggu pintu, diberinya tahu Maulana Yusuf; maka kata Maulana Yusuf, "Apa kerja sultan datang ke rumah fakir?  Tutup pintu!"  Maka Sultan Mahmud pun kembalilah ke istana baginda.  Setelah hari malam, maka segala hamba disuruh baginda pulang; setelah sunyi, maka Sultan Mahmud pun pergi dua berbudak, kitab Maklumat itu baginda sendiri membawa dia.  Setelah datang keluar pintu pagar Maulana Yusuf, maka titah Sultan Mahmud pada penunggu pintu, "Beritahu Maulana, bahawa fakir Mahmud datang".  Maka kata Maulana Yusuf, "Jikalau fakir Mahmud datang, bukai pintu; kerana fakir patutlah datang ke rumah sesama fakir."  Maka Sultan Mahmud dibawa naik, duduk ke rumahnya.  Maka Sultan Mahmud pun mengaji Maklumat pada Maulana Yusuf.

(Dipetik daripada Sulalatus Salatin, selenggaraan Abdul Samad Ahmad, halaman 101-102).

 

            Kisah kecil di atas memaparkan bagaimana penghormatan yang begitu besar dan tinggi telah diberikan oleh seorang yang bertaraf raja (Sultan Mahmud) kepada seorang yang berilmu atau alim (Maulana Yusuf).  Berdasarkan petikan tersebut, sekiranya seseorang itu hendak menuntut ilmu, janganlah menunjuk-nunjukkan segala kebesaran yang ada kerana ia mungkin akan mengakibatkan ilmu yang hendak dituntut tidak ada keberkatannya.  Oleh kerana golongan ilmuwan dan cendiakiawan mempunyai kedudukan yang istimewa dalam masyarakat, maka Sultan Mahmud tanpa ragu dan tanpa rasa ingin menunjukkan kebesaran yang ada pada baginda telah menurut sahaja kemahuan Maulana Yusuf.  Lagipun apa yang diperintahkan oleh Maulana Yusuf langsung tidak mendatangkan sebarang kemudaratan kepada Sultan Mahmud.  Bahkan ia merupakan satu cara untuk mendidik supaya setiap manusia mampu melihat dirinya dari kaca mata kebesaran dan kekuasaan Allah Yang Maha Esa.  Saya teringat firman Allah yang antara lain mafhumnya: "…. Dan diangkat orang yang beriman dan orang yang berilmu dari kalangan kamu dengan beberapa darjat (kelebihan) …" (surah Almujadalah, ayat 11).

 

            Seandainya orang itu bukannya Maulana Yusuf, tetapi hanya rakyat biasa atau sekadar pembesar negeri, kedatangan Sultan Mahmud bukan sahaja tidak disambut bahkan disuruh tutup pintu pagar pula, maka sudah tentulah kejadian itu dianggap mengaibkan raja. Kesalahan sedemikian seakan menderhaka dan hukumannya ialah bunuh.  Oleh kerana yang terlibat dalam peristiwa itu ialah seorang maulana (orang berilmu), maka Sultan Mahmud bukan sahaja akur dan pulang semula ke istana, bahkan baginda sanggup merendah diri dengan "memfakirkan" diri baginda di hadapan seorang yang berilmu semata-mata untuk berguru dan mencari ilmu.  Demikianlah mulianya martabat seorang guru pada zaman itu.  Jangankan rakyat biasa atau pembesar negara, raja sendiri turut akur dengan perintah seorang yang berstatus guru.  Sesungguhnya penghormatan yang diberi kepada golongan guru atau pendidik amat besar sekali pada waktu itu dan tiada tolok bandingnya pada zaman ini.

 

            Hari ini, banyak kisah telah kita dengar dan tatap melalui pelbagai media bagaimana seseorang guru itu bukan sahaja tidak lagi dihormati bahkan "diderhakai" pula.  Ada guru yang pernah ditampar oleh murid perempuan; ada guru yang pernah ditumbuk; ada guru yang pernah dimaki; banyak juga kenderaan guru yang telah dirosakkan dengan pelbagai cara; bermacam cara lagi pernah dilakukan ke atas guru.

 

            Keadaan semakin kalut apabila segelintir para ibu bapa mula campur tangan dan tanpa usul periksa turut menyebelahi anak-anak mereka secara membuta-tuli.  Ada juga ibu bapa yang seakan memberi amaran kepada guru supaya jangan "sentuh" anak mereka.  Bagaimana mungkin proses mendidik dapat berjalan dengan sempurna jika anak murid tidak boleh "disentuh" langsung?  Ada juga ibu bapa yang memaklumkan kepada guru supaya jangan paksa anak mereka buat apa yang dia tidak suka.  Jadi, kalau anak mereka tidak suka buat kerja rumah, bagaimana?  Pernah juga seorang ibu yang berstatus kaunselor datang ke sebuah sekolah menengah dan mendesak seorang guru supaya jangan paksa anaknya menduduki ujian PAFA (Pengajian Alquran dan Fardu Ain) semata-mata kerana anaknya tidak berminat untuk mengikuti ujian tersebut.  Sedangkan Nabi Muhammad sendiri pernah berpesan dalam satu hadith baginda yang antara lain mafhumnya: "Suruhlah anak-anak kamu solat ketika mereka berusia 7 tahun dan pukullah mereka (anak-anak itu) jika mereka enggan solat setelah berusia 10 tahun".

 

            Selain itu, semakin jarang para ibu bapa yang menghubungi guru dari semasa ke semasa untuk mengetahui perkembangan anak-anak mereka secara lebih dekat lagi.  Selama 10 tahun saya terlibat dalam profesion pendidikan, seingat saya baru sekali seorang bapa menghubungi saya untuk mengetahui perkembangan anaknya dalam mata pelajaran yang saya ajar.  Itu pun mungkin kerana bapa tersebut juga merupakan seorang guru.

 

            Saya kira, hari ini pun semakin jarang kita menyaksikan bekas-bekas anak murid apabila bertemu dengan bekas gurunya akan bersalaman dan mencium tangan gurunya.  Bukankah cara ini sebenarnya bukan sahaja akan menambah lagi keakraban antara guru dan murid, tetapi ia juga akan menambah keberkatan kepada ilmu yang pernah diperoleh daripada guru berkenaan.

 

            Satu fenomena yang semakin berleluasa ialah anak-anak murid sekarang sudah hilang rasa malu kepada para guru terutama ketika berada di luar sekolah.  Justeru, ada antara mereka tanpa segan silu merokok walaupun dia sedar perbuatannya itu dilihat oleh gurunya.  Ada juga yang sengaja mempamerkan kelakuan sedemikian kononnya untuk menunjuk berani kepada rakan-rakannya yang lain.  Bila perlakuan sumbangnya tidak ditegur, maka ia merupakan satu kemenangan dan kebanggaan kepada golongan murid tadi.  Dalam situasi ini, guru pula merasakan lebih baik jika perbuatan negatif itu tidak ditegur untuk mengelakkan campur tangan daripada para ibu bapa.  Jika ini berlaku, perkara yang lebih buruk dan tidak diingini mungkin akan terjadi.

 

            Di samping itu, golongan guru sebagai golongan yang dianggap berilmu adakalanya sudah lari dari peranan utama mereka.  Guru bukan sahaja berperanan dalam kelas semata-mata.  Sebagai golongan yang sering menjadi contoh dan teladan, kelakuan guru termasuklah tutur katanya akan sentiasa diperhati dan akan jadi ikutan tanpa mengira waktu dan tempat.  Di sekolah guru akan mengajar bahawa merokok membahayakan kesihatan.  Apa pula perasaan seorang murid apabila terlihat gurunya merokok walaupun di luar sekolah?  Di sekolah, guru akan mengajar murid-muridnya supaya menggunakan perkataan seperti "saya" atau "awak".  Apa pula perasaan murid apabila mendengar para guru menggunakan perkataan "aku" dan "engkau" apabila berkomunikasi sesama mereka?  Jika fenomena ini berterusan, secara tidak langsung guru sendiri turut berperanan supaya profesionnya tidak lagi dipandang mulia dan kurang dihormati.

 

            Saya berpendapat, kita selaku anggota masyarakat masih ada ruang dan peluang untuk memulihkan keadaan.  Para guru harus menghayati dengan sepenuhnya profesion yang sedang mereka ceburi agar tugas dan tanggungjawab yang sedang dilaksanakan sentiasa berada pada landasan yang betul.  Para ibu bapa pula harus memberi kepercayaan yang penuh kepada guru untuk mendidik anak-anak mereka.  Para ibu bapa juga secara tidak langsung mesti beperanan seperti guru ketika di rumah.  Ibu bapa harus memastikan anak-anak mereka menyiapkan segala tugasan yang telah diamanahkan oleh guru.  Sesungguhnya tugas dan tanggungjawab mendidik anak-anak bukanlah tugas dan tanggungjawab golongan guru semata-mata.  Lagipun masa anak-anak ketika di luar sekolah lebih panjang daripada ketika di sekolah.  Masyarakat juga mempunyai peranan tertentu yang harus dimainkan.  Apabila melihat seseorang murid ponteng sekolah, merokok atau melakukan apa sahaja perkara yang tidak betul, tindakan yang segera dan sesuai harus diambil.  Sekurang-kurangnya ia harus dilaporkan kepada sama ada pihak sekolah ataupun kepada pihak yang berwajib lain.

 

            Apa yang saya tulis ini bukanlah semata-mata kerana saya seorang guru, kerana pada masa yang sama saya juga mempunyai ramai bekas guru.  Saya sedar adalah menjadi kewajipan bagi saya untuk menghormati semua guru saya.

 

No comments: