Friday, April 10, 2009

Bicara Jumaat

SAKITNYA SAKARATUL MAUT

 

            Diriwayatkan bahawa Nabi Isa a.s telah menghidupkan beberapa orang yang  telah meninggal dunia dengan izin Allah Taala.  Menghidupkan orang yang telah mati merupakan antara mukjizat yang telah dikurniakan oleh Allah kepada Nabi Isa.  Maka sebahagian orang kafir berkata: "Sesungguhnya engkau telah menghidupkan orang-orang yang telah mati  yang masih baru, yang mungkin mereka itu belum benar-benar mati.  Maka cuba hidupkan untuk kami orang yang telah mati pada zaman yang awal dahulu".

 

      Kata Nabi Isa a.s: "Pilihlah kamu semaumu!" mereka berkata: "Hidupkanlah untuk kami Sam bin Nuh". Maka Nabi Isa a.s telah pergi kekuburannya lalu melakukan solat dua rakaat dan berdoa kepada Allah Ta'ala. Dan Sam bin Nuh pun dihidupkan kembali, sedangkan rambutnya beserta janggutnya telah putih.  Kata Nabi Isa a.s: " Mengapa rambutmu menjadi putih (beruban) seperti ini? Sedangkan di masamu dulu belumlah sedemikian?"

 

      Berkata Sam bin Nuh: " Saya telah mendengar panggilanmu, dan saya mengira hari kiamat telah tiba, maka sesungguhnya rambut dan janggut saya berubah  menjadi putih kerana takutnya hari kiamat."

 

      Berkata Nabi Isa a.s: " Semenjak berapa tahun engkau meninggal dunia?" Kata Sam: " Semenjak 4000 tahun, maka belumlah hilang rasa sakit dari sakaratul maut."

(Sumber: Durratun Nasihin)

 

            Marilah kita sama-sama beringat bahawa kematian itu suatu kepastian.  Hanya bila, di mana dan bagaimana kematian itu menjenguk kita yang masih dalam rahsia Allah.  Sesungguhnya tiada kesakitan yang terlebih sakit daripada sakit ketika nyawa akan berpisah dari jasad.  Tatkala mencabut nyawa makhluk yang paling dikasihi Allah (Nabi Muhammad S.A.W.), Malaikat Izrail telah menggunakan cara yang paling lembut, itupun kesakitannya seakan tidak tertanggung oleh Nabi Muhammad S.A.W.

 

            Marilah kita bersama-sama insaf akan peristiwa yang bakal kita tempuhi nanti!

 

No comments: