Thursday, April 16, 2009

Bicara Buku

Kisah-kisah Haiwan Orang Asli

 

            Bicara Buku merupakan satu lagi ruangan baru yang cuba saya ketengahkan dalam blog ini.  Tujuan utama saya ialah untuk berkongsi dengan mereka yang sudi berkenaan buku yang saya baca dari pelbagai aspek.  Mungkin kita mempunyai pandangan dan pendapat yang berbeza mengenai judul buku yang sama.  Bagi saya, itulah yang menariknya.

 

            Untuk kali ini, saya akan cuba ketengahkan sebuah buku yang berjudul Kisah-kisah Haiwan Orang Asli.  Buku ini telah ditulis oleh Dr. Lim Boo Liat dan telah diterbitkan oleh Eastern University Press. (M) Sdn Bhd, Petaling Jaya, (1984).

 

            Buku ini berketebalan 130 halaman.  Ia didahului dengan pendahuluan oleh F.L. Dunn.  Prakata buku ini telah disusun oleh pengarangnya sendiri.  Buku ini turut memuatkan biodata ringkas Sipang Anak Ecoin, seorang orang asli yang banyak berkongsi pengetahuannya mengenai kisah-kisah lagenda binatang-binatang yang terdapat dalam buku ini.

 

            Secara ringkasnya, buku ini adalah mengenai beberapa haiwan yang rapat dengan kehidupan dan persekitaran semula jadi bagi masyarakat orang asli di negara kita.  Haiwan-haiwan itu pula ditinjau dari beberapa aspek, termasuklah aspek nama haiwan, nama saintifik haiwan, lagenda mengenai haiwan (dari kaca mata orang asli), serta beberapa keterangan umum lain mengenai setiap haiwan seperti fizikal, jangka hayat, aktiviti.  Selain itu, pengarang juga turut memberi maklumat mengenai taburan haiwan berkenaan, tabiat (sama ada di habitat semula jadinya atau dalam kurungan), serta kepentingannya dari sudut ekonomi dan perubatan.

 

            Haiwan-haiwan yang telah diketengahkan dalam buku ini ialah cencurut rumah, tikus Bulan, tikus babi (Hylomys Suillus), kubung, keluang, siamang, kongkang, tikus babi (Ptilocercus Lowii), tenggeling, dekan atau tikus buluh (menurut lagenda, dekan bermakna pendamai yang baik dan bijaksana), landak raya, musang pandan, beruang, tapir, beruk, lotong, musang coreng, memerang kuku kecil, babun ekor pendek, kerawak hitam (keluarga tupai), tupai terbang dada putih, gajah, harimau belang, kancil, kucing batu dan harimau bintang.

 

            Buku ini telah diakhiri dengan satu epilog yang sangat menarik (halaman 118-130).

 

            Bagi saya, pembaca dalam kalangan kanak-kanak mungkin tertarik dengan kisah-kisah lagenda mengenai setiap haiwan yang diketengahkan.  Bagi murid-murid sama ada di peringkat rendah mahupun menengah, ia bakal memperolehi maklumat ringkas mengenai pelbagai aspek seperti yang telah dinyatakan di atas.  Golongan lelaki tertentu pula mungkin tertarik dengan satu maklumat yang boleh didapati pada halaman 102.

 

Selamat membaca.

 

No comments: