Saturday, April 11, 2009

Bicara Politik

Kejayaan Di Dua Bukit: Antara Harapan Dan Peringatan

 

            Pada 7 April 2009 (Selasa) lalu, rakyat di Bukit Gantang (Perak) dan Bukit Selambau (Kedah) telah memberi jawapan yang terang dan nyata iaitu parti politik pilihan mereka masa kini ialah Pas (Bukit Gantang) dan PKR (Bukit Selambau).  Kenyataan ini diperkukuhkan lagi bilamana majoriti yang diperoleh oleh kedua-dua calon yang menang di kedua-dua tempat itu turut bertambah jika dibandingkan dalam pilihanraya umum ke-12 tahun lalu.  Di sebalik kemenangan ini juga, pelbagai maksud tersirat kini dapat diterjemahkan.

 

            Kemenangan ini dirasakan lebih manis kerana ia adalah kesinambungan rekod cemerlang Pakatan Rakyat (PR) dalam pilihanraya kecil selepas pilihanraya umum ke-12 Mac tahun lalu.  Setakat ini, setelah 5 pilihanraya kecil berlalu, 4 daripadanya dimenangi oleh PR dan satu dimenangi BN iaitu di DUN Batang Ai, Sarawak.  Walaupun kemenangan BN hanya setakat ini merupakan kemenangan tunggal, tetapi ia telah digunakan sebagai bahan jajaan secara yang memualkan oleh media massa proUMNO.BN pada malam 8 april dan keesokan harinya.  Kalau UMNO/BN menang kesemua kerusi pada hari tersebut, tak tahulah entah berapa hari dan entah berapa malam pula topik kemenangan itu akan jadi bahan jajaan di media massa miliknya.

 

            Walau bagaimanapun, seperkara yang perlu diingat ialah kemenangan tersebut bukanlah bersifat mutlak dan kekal.  Lagi pun, pihak yang kalah akan sentiasa mencari peluang dan kesempatan untuk merampas semula setiap kerusi yang telah dimenangi oleh PR dengan apa cara sekali pun.  Apa yang berlaku di Perak 2 bulan yang lalu merupakan contoh yang paling nyata betapa pihak UMNO/BN akan menggunakan apa jua cara asalkan mereka dapat kembali kerusi yang telah diberikan oleh rakyat kepada PR.  UMNO/BN semakin sedar kini, setakat ini mereka tak berupaya untuk berhadapan dengan PR melalui pilihanraya secara terbuka.  Mood dan isu-isu yang sedang berbangkit banyak memberi kelebihan kepada PR.  Jadi tidaklah menghairankan jika taktik dan strategi lain pula akan digunakan untuk menumpaskan PR.

 

            Kemenangan yang dihadiahkan oleh rakyat kepada PR bukan secara percuma.  Rakyat telah memberikan kemenangan disertai dengan harapan yang menggunung kepada calon atau kerajaan PR untuk melaksanakan aspirasi mereka.  Sekiranya setelah mendapat kuasa dan diberi mandat oleh rakyat, tetapi pihak PR mensia-siakan kuasa dan mandat yang diberi, maka PR juga akan turut dihukum sebagaimana rakyat sedang menghukum UMNO/BN sekarang.  Oleh itu, kuasa dan mandat yang telah diamanahkan mestilah digalas dengan penuh tanggungjawab, jujur dan ikhlas tanpa jemu dan bosan, tanpa rasa sombong dan besar diri.

 

            Tatkala memilih calon PR, rakyat sangat berharap supaya mereka yang terpilih tidak terlibat dengan rasuah dan berupaya untuk menghapuskan rasuah.  Rasuah kini merupakan virus yang kian membarah dalam masyarakat.  Adalah amat malang bilamana mereka yang terpilih dan sepatutnya menggalas tanggungjawab seperti di atas, tetapi akhirnya terlibat pula dengan rasuah.  Rakyat tentu kecewa dan marah!  Inilah yang dikatakan, harapkan pagar, pagar pula yang makan padi.  Kini sudah mula terdengar beberapa orang wakil rakyat PR mula dikaitkan dengan rasuah.  Sama ada betul atau salah, mahkamah yang akan menentukan.  Walau bagaimanapun, untuk mengelakkan sebarang peluang dan kesempatan daripada dieksploitasi oleh pihak-pihak tertentu, maka para wakil rakyat PR seharusnya lebih berhati-hati.  Jika ada yang sudah tersasar, bertaubatlah dan bertanggungjawablah!  Dalam hal ini, tindakan yang telah diambil oleh bekas ADUN Bukit Selambau, V. Arumugam merupakan langkah yang sangat baik dan patut dicontohi.

 

            Rakyat juga sangat mengharapkan semoga mereka yang sudah terpilih sebagai wakil mereka sama ada di parlimen mahupun di DUN supaya lebih mesra rakyat.  Jangan mengadakan sebarang halangan yang tidak perlu untuk menyukarkan orang ramai bertemu dengan para wakil rakyat berkenaan.  Berkhidmatlah sepanjang masa dan setiap ketika.  Jangan berkhidmat secara bermusim dan pada ketika-ketika tertentu sahaja.  Jadi wakil rakyat memang sibuk, tetapi janganlah menyibukkan diri sehingga tidak ada masa langsung untuk bergaul dengan golongan bawahan dan marhaen.  Walhal golongan berkenaanlah yang mungkin telah menaikkan para wakil rakyat tersebut ke tahap seperti yang ada sekarang.

 

            Jika perlu untuk melantik orang kanan atau penasihat, lantiklah mereka yang jujur dan amanah.  Lantiklah mereka yang sanggup berkata benar walaupun apa yang diperkatakan itu mungkin tidak menggembirakan para wakil rakyat.  Jangan sekali-sekali melantik mereka yang hanya akan menyampaikan perkara-perkara yang baik-baik sahaja dan menyembunyikan perkara-perkara yang kurang baik, sedangkan perkara berkenaan sepatutnya berada dalam pengetahuan para wakil rakyat.  Ingatlah orang yang sentiasa manis dengan pujian bila berkata sebenarnya sangat bahaya dan bervirus.  Oleh itu, kepada para wakil rakyat pr, Tolong pastikan orang yang menjadi penasihat atau orang kanan anda terdiri daripada mereka yang baik dan mudah diterima oleh golongan bawahan dan bukan orang yang gah menunjuk kuasa kepada golongan berkenaan.

 

            Selaku wakil rakyat, anda juga seharusnya bersifat dan bersikap lebih terbuka.  Jangan sekali-sekali melihat lawan anda musuh yang mutlak.  Mungkin mereka akan menjadi rakan seperjuangan anda suatu hari kelak.  Oleh itu, layanlah mereka dengan cara yang baik dan sopan.  Saya yakin, kalau musuh seumpama itu dilayandengan baik, walaupun mereka tidak menyertai anda, tetapi para pengikut mereka mungkin akan bersama anda kerana kebaikan anda itu.

 

            Bagi saya, golongan ahli politik tanpa mengira siapa dan parti mana yang diwakili, ada tiga perkara yang akan sentiasa menjadi ujian dan cabaran.  Perkara-perkara tersebut ialah penyalahgunaan kuasa, harta dan wanita.  Dalam sejarah politik negara kita, memang ramai ahli politik yang telah kecundang gara-gara tiga perkara di atas.  Oleh itu, para wakil rakyat PR yang sedang di kemuncak harapan rakyat seharusnya berhati-hati khususnya dengan tiga perkara di atas.  Jadikanlah sejarah lalu sebagai iktibar berguna supaya kesilapan yang sama tidak berulang.  Demikianlah sejarah mengajar kita.

 

            Saya berpendapat, tugas pembangkang bukan sahaja untuk membangkang sahaja apa yang dibuat oleh kerajaan.  Tugas pembangkang ialah sebagai check and balance kepada apa yang dilakukan oleh pihak kerajaan.  Sekiranya apa yang dilakukan oleh kerajaan itu betul dan bermanfaat kepada rakyat, maka tiada salahnya ia disokong dan jika perlu janalah idea bagi melakukan penambahbaikan.  Jangan terikut-ikut cara sesetengah ahli politik UMNO/BN yang melihat pembangkang tidak betul keseluruhanya.  Kenyataan saya ini berdasarkan kepada peristiwa yang berlaku ketika isu AP (Approved Permit) menjadi hebat pada tahun 2007.  2 orang ahli parlimen dari BN telah ditegur secara terbuka kerana dikatakan menyebelahi dan menyertai pembangkang ketika membahaskan isu tersebut di dewan rakyat.  Sedangkan isu yang diketengahkan oleh pembangkang yang termasuk juga 2 ahli parlimen tersebut betul dan benar.  Mereka yang terlibat dipandang serong dan salah hanya semata-mata kerana mereka pembangkang dan menyertai pembangkang.  Itulah antara senario ketidakmatangan yang masih menyelubungi sebilangan ahli politik di negara kita.

 

            UMNO/BN nampaknya telah mula sedar mereka perlu berubah supaya terus relevan dengan aspirasi rakyat.  Saya kira itu merupakan sesuatu yang baik demi agama, bangsa dan negara.  Namun begitu, saya berpendapat, jika UMNO benar-benar mempunyai iltizam sedemikian, maka ia mengambil masa yang agak panjang untuk melihat realiti perubahan yang diimpikan.  Ini kerana penyakit yang sedang dihidapi oleh UMNO amat kronik dan sangat kritikal.  Ia bukan menimpa di satu atau dua peringkat, bahkan di semua peringkat parti berkenaan.

 

            Apa yang sedang dihadapi UMNO sekarang, tidak mustahil akan menimpa parti-parti politik lain, khususnya yang bergabung dan membentuk PR.  Hal ini boleh terjadi apabila para pemimpin dan ahli parti yang berkaitan mula leka dan lena diulit kejayaan yang masih tak seberapa.  Jika berlaku perebutan jawatan dan kuasa dalam sesuatu parti politik, itu tanda bibit-bibit perpecahan telah bermula.  Itulah juga yang telah berlaku dalam UMNO sehingga ia sukar diubati kini.  Pertandingan secara sihat tidak salah, tetapi perebutan yang diwarnai sikap tamak, iri hati dan hasad dengki hanya akan berakhir dengan musibah.

 

            Justeru, raikanlah kejayaan ini dengan penuh tawadhuk dan secara zuhud.  Ingatlah firman Allah yang antara lain mafhumnya: "Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan; dan engkau melihat manusia berbondong-bondong masuk agama Allah; maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampunan daripada-Nya, sesungguhnya Dia maha penerima taubat" (ayat 1-3, surah an-Nasr, juzuk 30).

 

            Saya sendiri tidak berparti, tetapi saya menyokong mana-mana jemaah yang berjuang demi agama, bangsa dan negara dengan penuh tanggungjawab, ikhlas, jujur tanpa mempunyai agenda peribadi yang tersembunyi.

 

2 comments:

Anonymous said...

sungguh bernas sekali posting cikgu. kalau kita singkap sejarah, memang 3 faktor ini menjadi faktor jatuh-bangunnya sesebuah kerajaan.
kuasa, harta dan wanita.
sejarah melayu dan kitab-kitab melayu yang lain banyak memperikan tentang hal ini.

Anonymous said...

yya, harta, kuasa dan wanita, faktor-faktor yang menjadi punca jatuh-bangunnya sesebuah kerajaan, misalnya kerajaan melayu melaka itu sendiri. sejarah melayu dan kitab-kitab melayu lain patut dibaca dari generasi supaya anak cucu dapat mengambil tauladan darinya.