Thursday, April 9, 2009

Bicara Politik

Kabinet Baru: Sekadar Pandangan

 

            Siang tadi, YAB Perdana Menteri Malaysia yang keenam, Dato' Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, telah mengumumkan barisan kabinet yang baru.  Barisan kabinet ini dibentuk selepas selesai peralihan kuasa dalam UMNO, yang merupakan parti tunjang dalam Barisan Nasional.  Prinsip atau falsafah dalam pembentukan kabinet baru ini ialah "Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan dan Prestasi Diutamakan".  Bunyi prinsip atau falsafah ini memang menarik.  Namun begitu, dalam era di mana majoriti rakyat sudah celik huruf dan ditambah pula dengan kepelbagaian sumber maklumat, maka sudah pastilah segenap lapisan rakyat akan menanti dan seterusnya bakal menilai adakah falsafah di atas merupakan satu retorik atau kayu ukur yang benar-benar efektif kepada barisan kabinet yang baru diumumkan.  Walau bagaimanapun, berdasarkan senarai barisan kabinet tersebut, memang nyata bahawa YAB Dato' Seri Perdana Menteri mahukan suatu perubahan dan ia harus bermula dari peringkat yang tertinggi.  (Untuk senarai penuh barisan kabinet terkini, sila rujuk di hujung rencana ini).

 

            Seramai 8 orang telah sama ada digugurkan atau menggugurkan dari kabinet yang baru ini.  Mereka termasuklah Senator Tan Sri Muhammad Mohd Taib, Dato' Seri Syed Hamid Albar, Dato' Seri Zulhasnan Rafique, Tan Sri Amir Syam Aziz, Dato' Seri IR Mohd Zain Mohamad, Dato' Ong Ka Chuan, Dato' Seri Azalina Othman Said dan Datuk Shahril Samad.  Jika diteliti senarai ini, kebanyakan mereka merupakan golongan yang tewas dalam pemilihan parti yang baru berlalu, termasuklah Dato' Ong Ka Chuan.  Ini bermakna, pemergian mereka dari barisan kabinet tidaklah memberi kesan besar kepada parti itu sendiri.  Bagi mereka yang tidak lagi menyertai kabinet tetapi masih menyimpan hasrat untuk menyertainya semula, jangan bimbang!  Sejarah telah membuktikan beberapa orang yang pernah terkeluar dari kabinet kemudian dapat masuk semula.  Tun Abdullah Ahmad Badawi merupakan contoh yang nyata di mana pada penghujung dekad 80-an lalu beliau pernah terkeluar dari kabinet, tetapi kemudian dapat masuk semula dan berjaya hingga menjadi "orang nombor wahid negara pula".

 

            Saya tertarik dengan falsafah "Rakyat Didahulukan".  Jika diteliti maksud falsafah ini, mereka yang dilantik sama ada sebagai menteri atau timbalan menteri sepatutnya terdiri daripada orang yang diterima rakyat dan bukan orang yang telah ditolak oleh rakyat.  Ini bermakna, mereka yang tidak lagi diterima rakyat dalam pilihanraya ke-12 lalu sepatutnya tidak dibawa semula ke dalam kabinet kerana mereka telah ditolak oleh rakyat (setidak-tidaknya rakyat di kawasan di mana mereka telah tewas).  Antara mereka yang telah ditolak oleh rakyat tetapi dibawa semula ke dalam kabinet sama ada sebagai menteri ataupun timbalan menteri termasuklah Dato' Seri Syahrizat Abdul Jalil, Tan Sri Dr. Koh Soo Khoon, Dato' Dr. Awang Adik Hussein dan Datin Paduka Chew Mei Fun. 

 

            Persoalan juga timbul iaitu mengapa Khairy Jamaluddin selaku Ketua Pemuda UMNO tidak dibawa masuk ke dalam barisan kabinet yang baru diumumkan!  Persoalan ini semakin kuat bermain di minda saya kerana ketua sayap Wanita UMNO, Dato' Seri Syahrizat Abdul Jalil, dan ketua sayap Puteri UMNO, Datuk Rosnah Rashid Shirlin, telah dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri.  Bahkan Datuk Razali Ibrahim yang juga merupakan Naib Ketua Pemuda UMNO turut dilantik sebagai timbalan menteri.  Adakah ia ada kaitan dengan peranan Khairy sebelum ini yang sangat tidak digemari oleh sebilangan ahli UMNO?  Walau bagaimanapun, kita harus menghormati hak YAB perdana menteri untuk melantik sesiapa yang beliau fikir layak dan sesuai untuk memikul tanggungjawab sebagai menteri atau timbalan menteri.  Lagipun, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sewaktu memenangi jawatan Ketua Pemuda UMNO suatu ketika dahulu juga tidak dilantik menganggotai kabinet oleh Tun Dr. Mahathir yang pada ketika itu selaku perdana menteri.

 

            Satu lagi perkara yang menarik perhatian saya ialah bekas-bekas ketua Puteri UMNO, iaitu Datuk Noraini Ahmad dan Dato' Seri Azalina Othman Said.  Nampaknya setakat ini, selepas meninggalkan sayap Puteri, mereka tidak mampu untuk pergi lebih jauh.  Kedua-dua bekas pemimpin nombor satu Puteri tewas dalam pemilihan UMNO baru-baru ini.  Kini, mereka tidak lagi dilantik sama ada selaku menteri ataupun timbalan menteri.  Mengapa?

 

            Walau apa pun, senarai kabinet baru telah pun sama-sama kita ketahui.  Kepada mereka saya ucapkan tahniah dan selamat bertugas.  Hayati dan realisasikanlah falsafah "Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan".  Hapuskanlah apa-apa halangan yang menyukarkan rakyat untuk berurusan dengan anda.  Lantiklah orang yang sesuai dan layak sebagai penasihat anda.  Jangan sesekali melantik orang yang tidak sabar-sabar untuk menggantikan tempat anda sebagai penasihat dan orang kanan anda.

 

 

Senarai Penuh Kabinet

 

Berikut ialah senarai penuh barisan Kabinet baru yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak:

 

PERDANA MENTERI : Datuk Seri Najib Tun Razak

 

TIMBALAN PERDANA MENTERI: Tan Sri Muhyiddin Yassin

 

JABATAN PERDANA MENTERI:

Menteri:

1. Tan Sri Dr Koh Tsu Koon (Hal Ehwal Perpaduan & Pengurusan Prestasi)

2. Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Hal Ehwal Perundangan dan Parlimen)

3. Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (Unit Perancang Ekonomi)

4. Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom (Hal Ehwal Agama Islam)

Timbalan Menteri:

1. Datuk Liew Vui Keong

2. Datuk Dr. Mashitah Ibrahim

3. Datuk S.K. Devamany

4. Ahmad Maslan

5. T. Murugiah

 

KEMENTERIAN KEWANGAN:

Menteri: Datuk Seri Najib Tun Razak

Menteri II: Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah

Timbalan Menteri:

1. Datuk Chor Chee Heung

2. Datuk Dr. Awang Adek Hussin

 

KEMENTERIAN PELAJARAN:

Menteri: Tan Sri Muhyiddin Yassin

Timbalan Menteri:

1. Datuk Dr Wee Ka Siong

2. Dr. Mohd Puad Zarkashi

 

KEMENTERIAN PENGANGKUTAN:

Menteri: Datuk Ong Tee Keat

Timbalan Menteri:

1. Datuk Abdul Rahim Bakri

2. Datuk Robert Lau Hoi Chew

 

KEMENTERIAN PERUSAHAAN, PERLADANGAN DAN KOMODITI:

Menteri: Tan Sri Bernard Dompok

Timbalan Menteri: Datuk Hamzah Zainudin

 

KEMENTERIAN DALAM NEGERI:

Menteri: Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

Timbalan Menteri:

1. Datuk Wira Abu Seman Yusop

2. Jelaing anak Mersat

 

KEMENTERIAN PENERANGAN, KOMUNIKASI, KESENIAN DAN KEBUDAYAAN:

Menteri: Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim

Timbalan Menteri:

1. Datuk Joseph Salang Gandum

2. Senator Heng Seai Kie

 

KEMENTERIAN TENAGA, TEKNOLOGI HIJAU DAN AIR:

Menteri: Datuk Peter Chin Fah Kui

Timbalan Menteri: Noriah Kasnon

 

KEMENTERIAN KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH:

Menteri: Datuk Seri Shafie Apdal

Timbalan Menteri:

1. Datuk Hassan Malek

2. Datuk Joseph Entulu anak Belaun

 

KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI:

Menteri: Datuk Seri Mohd Khaled Nordin

Timbalan Menteri:

1. Datuk Dr. Hou Kok Chung

2. Datuk Saifuddin Abdullah

 

KEMENTERIAN PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI:

Menteri: Datuk Mustapa Mohamed

Timbalan Menteri:

1. Datuk Mukhriz Mahathir

2. Datuk Jacob Dungau Sagan

 

KEMENTERIAN SAINS, TEKNOLOGI DAN INNOVASI:

Menteri: Datuk Dr. Maximus Ongkili

Timbalan Menteri: Fadillah Yusof

 

KEMENTERIAN SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR:

Menteri: Datuk Douglas Uggah Embas

Timbalan Menteri: Tan Sri Joseph Kurup

 

KEMENTERIAN PELANCONGAN:

Menteri: Datuk Ng Yen Yen

Timbalan Menteri: Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib

 

KEMENTERIAN PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI:

Menteri: Datuk Noh Omar

Timbalan Menteri:

1. Datuk Johari Baharum

2. Datuk Rohani Abdul Karim

 

KEMENTERIAN PERTAHANAN:

Menteri: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Timbalan Menteri: Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad

 

KEMENTERIAN KERJA RAYA:

Menteri: Datuk Shaziman Abu Mansor

Timbalan Menteri: Datuk Yong Khoon Seng

 

KEMENTERIAN KESIHATAN:

Menteri: Datuk Liow Tiong Lai

Timbalan Menteri: Datuk Rosnah Rashid Shirlin

 

KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN:

Menteri: Datuk Ahmad Shabery Cheek

Timbalan Menteri:

1. Datuk Razali Ibrahim

2. Wee Jeck Seng

 

KEMENTERIAN SUMBER MANUSIA:

Menteri: Datuk Dr S.Subramaniam

Timbalan: Datuk Maznah Mazlan

 

KEMENTERIAN PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN HAL EHWAL PENGGUNA:

Menteri: Datuk Ismail Sabri Yaakob

Timbalan Menteri: Datuk Tan Lian Hoe

 

KEMENTERIAN PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN:

Menteri: Datuk Kong Cho Ha

Timbalan Menteri: Datuk Lajim Ukin

 

KEMENTERIAN PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT:

Menteri: Datuk Seri Sharizat Jalil

Timbalan Menteri: Datin Paduka Chew Mei Fun

 

KEMENTERIAN LUAR:

Menteri: Datuk Anifah Aman

Timbalan Menteri:

1. A. Kohilan Pillay

2. Datuk Lee Chee Leong

 

KEMENTERIAN WILAYAH PERSEKUTUAN:

Menteri: Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin

Timbalan Menteri: Datuk M. Saravanan

 

(Sumber: Utusan Malaysia Online (Terkini 9 April 2009, 4.23 P.M.).

 

2 comments:

Mohd Shahridan said...

wah!bersemangat bicara saudara Pak Ya tentang pilitik....

stainlessstylus said...

Satu pemerhatian dan analisis yang menarik. Mungkin menarik juga kalau diperkatakan perrlantikan kabinaet baru ini menurut kaca mata oku pula. Datuk Sri Sharizat dan Datin Paduka Chew Mei Fun umpamanya balik semula ke kementerian lama mereka. yab datuk Sri Najib juga ada menyumbang untuk golongan oku penglihatan khususnya semasa beliau menjadi meneteri pendidikan dulu. Apakah kita boleh mengharap yang lebih menarik dan memberansangkan lagi selepas ini?