Monday, November 16, 2009

Bicara Isu

Golongan Cacat Penglihatan Dan Fahaman Shiah
"Sebelum Parah Menjadi Barah, Masih Ada Jalan Pulang" (Tajuk Forum)

Sebelum saya meneruskan dengan tulisan kali ini, terlebih dahulu saya
mohon berbanyak maaf kerana ada beberapa maklumat yang telah saya
ketengahkan dalam posting semalam tidak tepat. Pertama, nama salah
seorang ahli panel bukannya Dr. Fadhli Hisham, tetapi nama beliau
ialah Dr. Badli Hisham bin Mohd Nasir. Kedua, beliau bukan pensyarah
dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), sebaliknya beliau
merupakan seorang pensyarah dari Fakulti Pengajian Islam, universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM). Ketiga, saya juga terlupa untuk
memaklumkan bahawa majlis forum berkenaan turut disiarkan menerusi
Radioweb PERTIS. Mereka yang tidak sempat untuk menghadiri forum
berkenaan masih boleh mengikutinya melalui alamat radioweb yang
sepatutnya saya nyatakan dan saya sepatutnya memautkan alamat tersebut
dalam blog ini. Segala kesilapan adalah bukan disengajakan.

Sepertimana yang telah dirancang, maka sekitar jam 10.30 pagi (Ahad
15 November), forum sebagaimana tajuknya di atas pun bermula.
Ketiga-tiga ahli panel yang terlibat ialah Ustaz Wan Mohd Nasir bin
Wan Abdul Wahab (penceramah bebas), Prof. Madya Dr. Badli Hisham bin
Mohd Nasir, pensyarah dari Fakulti Pengajian Islam, Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM) dan saya sendiri selaku Naib Yang Dipertua
Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS).

Forum dimulakan oleh Ustaz Wan Mohd Nasir yang mengupas persoalan
mengenai sebab-sebab berlakunya perpecahan dalam kalangan umat Islam.
Menurut Ustaz Wan Mohd Nasir, Kewafatan Rasulullah S.A.W. merupakan
detik penting bermulanya perpecahan dalam kalangan umat Islam. Ini
kerana , dengan kewafatan Rasulullah S.A.W., umat Islam telah
bertelingkah mengenai pelantikan khalifah bagi menggantikan Rasulullah
S.A.W. Walau bagaimanapun, ia telah dapat diselesaikan dengan baik.
Pembunuhan ke atas Khalifah Uthman bin Affan, pelantikan Saidina Ali
selaku khalifah untuk menggantikan Khalifah Uthman serta penentangan
daripada Muawiyah bin Abu Sufian telah menyemarakkan lagi perpecahan
dalam kalangan umat Islam. Kemunculan gerakan Abdullah bin Saba' juga
telah menyumbakgn kepada perpecahan dalam kalangan umat Islam. Ini
ditambah pula dengan kemunculan gerakan lain seperti Khawarij,
Qadariyah dan sebagainya. Faktor selanjutnya ialah faktor politik.
Kadang kala, orang politik lebih mengutamakan politik mereka daripada
agama. Hal ini bukan perkara baru, bahkan telah berlaku sejak sekian
lama. Menurut Ustaz Wan Mohd Nasir lagi, penduduk Iran, sebahagian
penduduk Lubnan, Iraq dan beberapa buah negara lagi merupakan penganut
Shiah Imamiyah Jaafariyah. Kata beliau, fahaman tersebut antara yang
ekstrim.

Seterusnya, Ustaz Wan Mohd Nasir juga menyatakan bahawa perpecahan
dalam kalangan umat islam punya implikasi tertentu. Umat Islam
menjadi lemah. Pergaduhan sesama umat islam sering berlaku.
Sebenarnya panjang lebar Ustaz Wan Mohd Nasir mengupas dan mengulas
persoalan-persoalan yang diberi. Apa yang saya kemukakan dalam
tulisan ini hanyalah ringkasan ulasan dan kupasan yang telah beliau
utarakan.

Prof. Madya Dr. Badli Hisham Mohd Nasir pula mengupas persoalan
mengenai mengapa sesetengah ahli masyarakat kita boleh tertarik dengan
fahaman Shiah. Kata beliau, ada antara pengikut ahli sunnah yang
belum benar-benar mendalami ilmu berkaitan dengan ahli sunnah. Bila
mereka diajukan mengenai unsur-unsur fahaman Shiah, mereka cepat
terpengaruh. Seterusnya kata beliau, unsur pernikahan mut'ah juga
menarik sebilangan orang untuk menganuti fahaman Shiah. Selanjutnya
menurut beliau, kepandaian pendakwah Shiah dalam membentangkan
hujah-hujah mereka untuk membuktikan bahawa Shiah merupakan ajaran
yang benar. Seterusnya, orang ramai juga tertarik kerana kecintaan
golongan Shiah terhadap Rasulullah serta para ahlul bait.

Seterusnya beliau juga diminta mengupas mengapa kerajaan hanya
mengizinkan satu fahaman sahaja untuk diamalkan di negara ini, iaitu
ahli sunnah waljamaah. Kata Dr. Badli Hisham, ia bertujuan untuk
mengelakkan umat Islam di negara ini daripada berpecah-belah dan
menjadi lemah. Ia juga bertujuan mengelakkan daripada berlakunya
kecelaruan dalam ajaran Islam yang diamalkan di negara ini. Lagi pun,
kata beliau, fahaman ahli sunnah telah diamalkan oleh umat Islam di
negara ini sejak ratusan tahun yang lalu. Bukanlah sesuatu yang mudah
untuk menukar fahaman dalam sekelip mata sahaja kerana implikasinya
sangat buruk.

Setelah itu, saya pula selaku Naib Yang Dipertua PERTIS, mengambil
giliran. Mulanya saya diminta mengupas mengenai satu kursus yang
pernah diajar di UM sekitar dekad 90-an lalu. Saya memberitahu,
kursus yang dimaksudkan ialah Perkembangan Pemikiran Islam I dan II.
Kursus ini mendedahkan kepada penuntut mengenai perkara-perkara asas
mengenai fahaman Shiah. Antaranya termasuklah hadith-hadith yang
mengizinkan untuk mengerjakan solat jamak dan kasar walaupun bukan
dalam musafir. Ia juga turut merangkumi kemuliaan keluarga Nabi
Muhammad S.A.W. serta zuriatnya. Ia juga mencakupi hujah mengapa
Saidina Ali yang sepatutnya menggantikan Nabi Muhammad selaku pemimpin
dan bukannya Saidina Abu Bakar, Saidina Umar atau Saidina Uthman.
Selanjutnya, ia turut mencakupi beberapa kesalahan yang pernah
dilakukan sama ada oleh Saidina Abu Bakar, Saidina Umar ataupun
Saidina Uthman bin Affan.

Seterusnya saya juga diminta untuk mengulas mengenai sejauh manakah
golongan cacat penglihatan sudah terpengaruh dengan fahaman Shiah.
Setakat yang saya maklum, sekurang-kurangnya 3 penuntut cacat
penglihatan pernah mengikuti kuliah mengenai Perkembangan Pemikiran
Islam di UM pada dekad 80-an dan 90-an lalu. Namun demikian, tiada
seorang pun dari mereka yang telah menukar fahaman mereka kepada
Shiah. Namun demikian, saya juga tidak menafikan bahawa sudah ada
sebilangan kecil golongan cacat penglihatan Islam di negara ini yang
mula cenderung kepada fahaman Shiah. Namun begitu, ia masih di
peringkat awal dan kecenderungan mereka pula belum pergi jauh. Saya
juga memaklumkan setakat ini saya kurang pasti berapakah jumlah
sebenar orang cacat penglihatan Islam di negara ini yang telah mula
cenderung dengan fahaman Shiah. Namun begitu, saya yakin jumlahnya
masih sangat kecil. Antara faktor mereka boleh terpengaruh dengan
fahaman Shiah ialah pergaulan dan hubungan dengan rakan-rakan mereka
yang berpenglihatan dan berfahaman Shiah.

Akhir sekali, saya selaku NYDP PERTIS memberi jaminan bahawa
persatuan akan berusaha memastikan supaya para ahlinya kekal dalam
anutan ahli sunnah waljamaah.

Apa yang saya tulis di sini merupakan ringkasan daripada perjalanan
forum berkenaan. Forum berkenaan sepatutnya berlangsung selama 2 jam
tetapi ia telah berlarutan sehingga 2 jam dan 45 minit. Kehadiran
juga amat memberangsangkan.

Untuk pengetahuan kita bersama, forum berkenaan juga telah dirakam
dalam bentuk CD audio. Mereka yang berminat boleh memperolehi CD
berkenaan. Untuk memperolehinya, sila hubungi Tuan Haji Muhammad Lee
Abdullah, kakitangan unit Penerbitan PERTIS di talian tangannya,
013-3403045, atau hubungi beliau di talian ibu pejabat PERTIS,
03-40212631 pada waktu pejabat.

1 comment:

puterimualim said...

PERTIS! Teruskan usaha membendung kesesatan yang berlaku. Moga-moga (jika ada) di kalangan mereka yang terlibat, kembalilah ke pangkal jalan.