Wednesday, February 9, 2011

Diceroboh!!!

Pagi tadi, sekitar jam 8.30 pagi tatkala saya sedang mengajar, saya menerima satu panggilan dari seorang kenalan yang memang baik hati. Suaranya agak cemas. Bila saya jawab sahaja panggilannya, beliau terus bertanya: “Zakaria di mana sekarang?” Saya jawab: “Di sekolah sedang mengajar”. Tanya kenalan saya lagi: “Bukan di Scortland?” Saya jawab: “Di Malaysia lagi, tak ada duit nak ke sana”.

Rupa-rupanya kenalan saya baru sahaja membaca satu email yang kononnya datangnya daripada saya. Antara isi kandungan email berkenaan ialah kononnya saya sekarang sedang berada di Scortland untuk menghadiri satu seminar. Saya telah dirompak dan memerlukan wang berjumlah 1600 pound. Selanjutnya, hackers berkenaan meminta penerima email berkenaan memasukkan wang ke dalam akaun yang telah ditetapkan.

Mungkin kerana rasa prihatin yang tinggi, kenalan saya telah meminta agar suaminya segera memasukkan jumlah wang berkenaan ke dalam akaun yang telah dinyatakan. Namun demikian, kenalan saya tiba-tiba terus mendail nombor telefon saya dengan tujuan untuk mendapatkan pengesahan. Memang benar, email berkenaan adalah email saya tetapi ia bukannya daripada saya. Email saya telah diceroboh. Alhamdulillah! Allah telah menyelamatkan orang yang sangat baik hati seperti kenalan saya itu. Saya sendiri tidak menyangka bahawa kenalan saya itu begitu tinggi sekali prihatinnya!

Sekitar jam 9.00 pagi pula, Saya mula menerima beberapa SMS mengenai hal yang sama. Oleh kerana pada ketika itu saya tidak dapat akses kepada internet, maka saya tidak dapat melaksanakan sebarang langkah pencegahan segera.

Oleh itu, kepada sesiapa yang telah menerima email berkenaan sama ada menerusi email ataupun blog, saya minta berbanyak-banyak maaf. Ia mungkin kerana kelalaian saya yang tidak saya sengajakan dan yang mungkin juga tidak saya sedari. Maklumlah penjenayah masa ini pelbagai jenisd dan pelbagai cara dan mangsanya tidak kira siapa. Sehingga kini pun saya sendiri tidak membaca kandungan email berkenaan. Saya hanya diberitahu oleh beberapa rakan selain kenalan saya tadi.

Setakat ini, posting haram yang sempat menyelinap dan telah termuat dalam blog ini untuk beberapa jam telah pun saya nyahkan. Selain itu, langkah pencegahan segera telah pun saya laksanakan. Mudah-mudahan ia berkesan, insha-Allah.

Di sini, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada En. Mohd Faizal kerana telah mempostingkan maklumat awal menerusi blognya mengenai apa yang telah saya alami. Saya juga mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua rakan yang begitu prihatin mengenai hal ini dan telah sama-sama memaklumkannya kepada saya. Kepada kenalan saya yang sangat prihatin sebagaimana di atas, jazakillah saya ucapkan. Hanya Allah sahaja yang akann memberikan balasan terbaik dan melindungi anda sekeluarga daripada apa juga musibah.

No comments: