Monday, February 21, 2011

Tahniah Kepada Mohd Rifaat Hussin

Siang tadi, keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi tahun 2010 telah diumumkan. Pengumuman telah dibuat oleh Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof. Tan Sri Zulkifli Razak.

Antara calon cacat penglihatan yang turut mendapat keputusan cemerlang ialah Mohd Rifaat bin Hussin. Beliau telah memperoleh 4A dan 1B. Bagi saya, ia merupakan satu pencapaian yang cukup cemerlang.



Satu kelaziman yang ada pada Rifaat ialah sebelum beliau menduduki peperiksaan besar, beliau akan menghantar SMS kepada saya untuk memohon restu dan doa. Kebetulan saya antara guru yang pernah mengajar beliau semasa beliau menuntut di SMPK Setapak. Di sini, saya tidaklah sampai mendakwa bahawa kejayaan beliau kerana doa daripada saya. Tetapi yang ingin saya ketengahkan ialah sikap beliau yang sentiasa menghormati semua gurunya mungkin merupakan antara resepi kejayaan beliau hari ini. Selain itu, Rifaat juga merupakan seorang yang rajin dan kuat berusaha. Inilah yang diperikan orang tua-tua dahulu, rajin dan usaha tangga kejayaan.

Setelah berjaya dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Mohd Rifaat telah meneruskan pelajarannya di tingkatan di SMK St. John, Kuala Lumpur. Sekolah ini bukan merupakan sekolah khas seperti SMPK Setapak. Sebaliknya Rifaat dan rakan-rakannya belajar menerusi satu program yang dikenali sebagai Program Integrasi. Menerusi program ini, murid-murid cacat penglihatan akan belajar bersama-sama dengan murid yang berpenglihatan dalam kelas yang sama. Mereka pula akan diajar oleh guru-guru mata pelajaran yang sama. Untuk membolehkan murid-murid cacat penglihatan dalam program ini mengikuti pelajaran dengan lancar dan setanding (jika boleh) dengan rakan-rakan mereka yang berpenglihatan, maka sekumpulan guru khas (lebih dikenali sebagai guru resos) telah ditempatkan di sekolah seperti ini. Secara umumnya, Antara tanggungjawab utama guru-guru resos ini ialah untuk memastikan supaya semua elemen khas yang diperlukan ke arah pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran untuk murid-murid cacat penglihatan di sekolah-sekolah seperti ini dapat dipenuhi sesempurna mungkin. Justeru, peranan dan sumbangan guru-guru resos ini dalam mencemerlangkan murid-murid cacat penglihatan di sekolah-sekolah seperti ini sebenarnya amat besar sekali. Saya pernah melaluinya suatu ketika dahulu, maka itulah saya boleh berbicara mengenainya pada hari ini.

Kepada Rifaat, tahniah diucapkan. Ingatlah, kejayaan hari ini bukan bermakna kejayaan buat selama-lamanya. Sebaliknya, hanya rajin dan usaha yang berterusan akan menghasilkan kejayaan yang berpanjangan.

1 comment:

Cikgu Ruby said...

Salam Hormat saya pada Cikgu Zakaria, saya juga turut berasa bangga dengan pencapaian Rifaat. Pelajar yang kurang berkata-kata ini amat tekun menelaah matapelajaran walaupun di Bilik Resos amat kurang buku-buku rujukan dalam Braille. Cikgu Zakaria sedia maklum tentang perkara ini kan? Tapi atas daya usaha beliau dan dengan berkat doa semua guru sama ada di SMPK Setapak mahupun di SMK St. John, hari ini dengan penuh bangganya cerita tentang kejayaan Rifaat memenuhi dada-dada akhbar. Rasa bangga, terharu dan amat teruja!!! Tahniah kepada semua guru yang telah mendorong Rifaat sehingga mendapat keputusan yang amat cemerlang sehingga berjaya di peringkat kebangsaan.
Oh ya..tak semua memahami peranan guru resos..Terima kasih kepada Cikgu kerana telah menerangkan serba sedikit tentang peranan guru resos yang ada kalanya dianggap tidak relevan!!!!!!