Hari ini, fenomena mengalunkan bacaan ayat-ayat suci Alquran di masjid atau surau menerusi kaset, CD atau lain-lain kaedah sudah menjadi semakin biasa. Kemudian, bila zaman semakin silih berganti, ada pula masjid atau surau yang mengalunkan bacaan ayat-ayat Alquran langsung daripada siaran-siaran radio yang bersesuaian. Di sini, saya tidaklah sampai mengatakan bacaan yang dikumandangkan itu salah. Sama sekali tidak.
Dari satu sudut, tampak seakan tiada bezanya di antara kedua-dua fenomena tersebut. Sama ada bacaan Alquran tersebut dibaca secara langsung oleh individu tertentu, atau diperdengarkan daripada kaset, CD atau yang seumpamanya, yang dapat kita sama-sama dengar ialah alunan bacaan ayat-ayat suci Alquran. Bezanya, kalau alunan bacaan itu datangnya daripada kaset atau CD, alunan suara imam Masjidil-Haram pun boleh kita dengar di tanah air sendiri.
Saya semakin kerap bertemu dengan masjid atau surau yang mengalunkan bacaan Alquran langsung dari siaran radio tertentu. Apa yang menjadi perhatian saya ialah, bacaan Alquran yang dikumandangkan menerusi siaran radio ini seringkali tiada saringan secara khusus. Maknanya, jika siaran radio tersebut dikumandangkan 15 minit sebelum azan, siaran berkenaan akan dikumandangkan menerusi corong pembesar suara masjid atau surau tanpa mempedulikan kaddungan bahan yang disiarkan oleh radio berkenaan. Kita harus faham, dalam tempoh tertentu sebelum azan, tidak semestinya radio berkenaan akan hanya menyiarkan bacaan Alquran semata-mata. Ada ketikanya di antara waktu tersebut radio berkenaan akan menyiarkan iklan, nasyid, irama zikir, pengumuman, lagu atau sebagainya.
Apa yang menjadi kemusykilan saya ialah, tidakkah kandungan siaran yang digemakan menerusi pembesar masjid atau surau memberi gangguan kepada para jemaah yang sedang berada dalam masjid atau surau berkenaan? Mungkin ada di antara jemaah berkenaan sedang solat sunat, membaca Alquran, berzikir atau sebagainya. Kalaulah ada di antara para jemaah dalam masjid atau surau itu sendiri yang membaca Alquran dengan suara yang agak kuat dan bunyi bacaannya boleh mengganggu ibadah para jemaah lain, maka sipembaca tadi harus memperlahankan suaranya agar tidak lagi menimbulkan gangguan. Maka sudah tentulah siaran radio yang digemakan menerusi corong pembesar masjid atau surau berpotensi besar untuk menghasilkan gangguan kepada para jemaah di masjid atau surau yang berkenaan. Walaupun siaran radio berkenaan dikumandangkan menerusi corong pembesar di bahagian luar masjid atau surau, namun bunyinya yang kuat tetap masuk juga ke dalam masjid dan tetap berpotensi untuk memberi gangguan. Di sini, sekali lagi, saya tidaklah berniat untuk menyalahkan radio yang berkenaan. Yang mungkin terkhilaf ialah pihak masjid atau surau yang mengumandangkan siaran radio berkenaan menerusi corong pembesar suaranya tanpa sebarang saringan.
Keadaan akan lebih bercelaru apabila berlaku kesilapan pemilihan siaran radio. Keadaan sebegini memang pernah berlaku. Saya pernah menulis pengalaman berkenaan yang berlaku pada tahun 2009 yang lalu. Bayangkan, dari corong pembesar suara sebuah surau bergema lagu mat salleh pada waktu subuh! Bukannya sekejap punya masa.
Dari sudut yang lain pula, fenomena yang berlaku bolehlah diringkaskan begini, pada masa dahulu bacaan Alquran di rumah Allah dialunkan sendiri oleh jemaahnya. Kemudian, alunan bacaan para jemaah mula digantikan oleh rakaman bacaan daripada kaset dan CD. Sejak akhir-akhir ini, alunan bacaan Alquran itu dikumandangkan pula menerusi siaran radio. Mengapakah fenomena sebegini berlaku? Adakah golongan qari’ semakin pupus? Adakah rasa malu untuk mengalunkan bacaan Alquran di rumah Allah semakin menular? Atau, adakah fenomena sebegini merupakan sebahagian daripada proses Alquran sedang diangkat semula ke langit? Jika benar apa yang saya rasakan, maka sesungguhnya ketibaan saat yang penuh rahsia itu kian hampir. Wallahu aalam.
Bila dimenung-menungkan hal ini, rasa gerun menyelinap juga dalam diri saya.
lafaz takbir raya dan maknanya
4 months ago
No comments:
Post a Comment