Assalamualaikum..tlng jangan dihps sms ini dari ibu said (juru kunci mekah) la bermimpi.ketemu muhammad rasullullah s.a.w.dalam mimpi itu beliau berpesan kuatkan akidah dlm ibadah,krn dunia sdh goyah dan tua jgn tinggalkan solat setiap waktu.tlg sebarkah sms ini ke 20 muslim insyaallah dalam jangka waktu 10 hari anda dapat rezeki besar dan bila tidak disebarkan maka anda akan menemukan kesulitan yg tiada henti2nya.demi allah terbukti.
Saya agak kerap menerima mesej menerusi SMS sebagaimana isi kandungannya di atas. Saya rasa orang lain pun mungkin begitu juga. Namun begitu, sejak akhir-akhir ini, SMS sedemikian agak kerap saya terima daripada rakan-rakan senasib. Sebelum ini pun, saya telah pun punyai pandangan tersendiri mengenai kandungan SMS sedemikian. Walau bagaimanapun, apabila saya semakin kerap menerima sebaran SMS serupa daripada rakan-rakan senasib, maka di sini saya ingin berkongsi pandangan peribadi saya mengenai kandungan mesej sebagaimana di atas.
Bagi saya, dahulu, kini dan insha-Allah selama-lamanya, mesej sedemikian sama ada disebarkan menerusi surat, email ataupun berbentuk SMS, tidak berfaedah, tiada manfaat, bahkan boleh jadi racun kepada akidah dan iman kita. Sudahlah di akhir zaman seperti ini iman umat Islam tidaklah sekuat mana. Apabila terkena racun sepertimana kandungan SMS di atas, makin cepatlah reput iman yang sudah sedia nipis itu.
Pada asasnya mimpi bertemu Rasulullah S.A.W. adalah benar. Walau bagaimanapun, apabila terdapat unsur-unsur keraguan pada kandungan mesej berkenaan, maka peristiwa mimpi bertemu dengan Nabi Muhammad S.A.W. juga turut boleh diragui. Lagipun, kandungan mesej berkenaan telah pun disampaikan oleh Rasulullah dalam bentuk lain, seperti menerusi hadith dan juga menerusi khutbah baginda dalam haji yang terakhir. Setakat yang saya tahu, di akhir mesej Rasulullah terutamanya menerusi hadith tidak pula diakhiri dengan perintah harus disampaikan kepada sejumlah orang tertentu, dalam tempoh tertentu, akan dapat pula habuan tertentu jika dilakukan dan akan menghadapi bala tertentu pula bila ingkar.
Kibiasaannya, orang yang bermimpi dapat bertemu dengan Rasulullah S.A.W. tidak akan menceritakannya kepada orang lain kerana mimpi yang sedemikian merupakan suatu rahmat dan nikmat peribadi kepada orang berkenaan. Demikianlah kebiasaannya. Mimpi yang ini pula, bukan setakat diceritakan kepada orang lain, bahkan disebarkan pula ke serata pelusuk maya menerusi SMS.
Bukankah kita dituntut supaya berdakwah dengan seramai mungkin manusia? Mengapa usaha dakwah harus ditumpukan hanya kepada sejumlah orang tertentu sahaja? Mengapa tempoh dakwah pula dihadkan kepada jumlah hari tertentu sahaja? Mengapa imbuhan dakwah (dalam konteks kandungan SMS di atas) harus berbentuk material (rezeki)? Bukankah pahala itu lebih besar dan lebih bermakna di sisi Allah? Rezeki diberikan kepada semua makhluk sama ada manusia, haiwan, tumbuhan dan sebagainya tanpa mengira mukmin ataupun kafir, sedangkan pahala hanya dianugerahkan kepada orang-orang beriman yang melakukan pekerjaan yang diridhai Allah sahaja. Bukankah Allah sahaja yang berkuasa untuk memberikan hidayah-Nya kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki? Sesungguhnya hanya mereka yang bertakwa sahaja yang akan dikurniakan Allah rezeki dari sumber yang tidak mereka sangka-sangka (rujuk ayat 2 dan 3 dari surah At-Talaq, juzuk 28).
Seperkara lagi, selepas kewafatan baginda, Rasulullah tidak akan lagi menyampaikan sesuatu yang baru. Ini kerana Islam yang ada pada hari ini sudah cukup lengkap dan sempurna (rujuk ayat 3 surah Al-ma’idah, juzuk 6) dan tidak memerlukan sebarang penambahan walaupun satu huruf. Tidakkah “dalam jangka waktu 10 hari anda dapat rezeki besar dan bila tidak disebarkan maka anda akan menemukan kesulitan yg tiada henti2nya.demi allah terbukti” mengandungi unsur-unsur penambahan yang tidak sepatutnya berlaku?
Ingatlah, rezeki dan bala dan segala-galanya, semuanya pekerjaan Allah. Di dalam Alquran Al-Karim, Allah sudah menjelaskan dengan terang dan nyata golongan mana yang akan mendapat balasan baik dan golongan mana pula yang akan mendapat azab siksa daripada-Nya. Setakat yang saya maklum (kebetulan ilmu saya tidak setinggi mana) tiada satu ayat pun yang menjelaskan bahawa orang yang gagal menyempurnakan sebagaimana kandungan SMS di atas akan mendapat bala (mungkin yang dimaksudkan ialah azab) dan mereka yang berjaya menyempurnakan sebagaimana kandungan SMS berkenaan pula akan mendapat rezeki. Wallahu aalam.
Untuk meyakinkan lagi apa yang saya pegang selama ini benar, saya telah forewardkan SMS berkenaan kepada beberapa tokoh dan agamawan tertentu sambil bertanya pendapat masing-masing mengenai kandungan SMS berkenaan. Kesemua tokoh agamawan telah membalas SMS saya dan kandungan jawapan mereka boleh dikatakan sama sahaja.
Berikut adalah jawapan menerusi SMS kepada saya oleh bekas pensyarah yang pernah berkhidmat di Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Beliau mencatat:
Sms mcm 2 blh rosakkan aqidah klu kita pecaya.. Ke2 ia membazir, cuma mengayakan syarikat HP. Jgn layan n jgn takut.. Hanya Allah berkuasa beri manfaat atau mudarat pd kita, bukan sms. Slm.
Berikut pula adalah jawapan menerusi SMS yang telah dihantar kepada saya oleh salah seorang pensyarah yang sedang bertugas di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM). Antara lain beliau mencatat:
Jgn layan dan delete je. Pesanan tu tlhpun dicatat dlm hadis @ kutbah terakhir nabi.
Saya bersetuju bahawa SMS berantai dan beracun seumpama di atas hanya mengayakan syarikat telekomunikasi sahaja. Di sini, saya tidaklah sampai mendakwa bahawa syarikat telekomunikasi tertentu turut terlibat dengan “konspirasi” penyebaran SMS liar dan beracun seperti di atas. Hakikatnya, apabila satu SMS mula disebarkan kepada 20 penerima dan setiap penerima berkenaan menyebarkan pula kepada 20 penerima lagi, maka pihak yang mula-mula sekali mendapat rezeki tentulah syarikat telekomunikasi yang berkaitan.
Oleh itu, saya sukalah mengingatkan kepada diri sendiri supaya janganlah jadi tukang sebar SMS liar dan beracun sebagaimana di atas. Salah hari bulan, bukan akidah dan iman sendiri yang akan rosak dan hancur, mungkin kita juga akan dipertanggungjawabkan di atas kerosakan dan kehancuran iman dan akidah orang lain pula. Barang dijauhkan Allah daripada yang demikian itu.
Bakul rotan jatuh ke sungai,
Suruh Pak Ngah tolong timbulkan;
Saya bukan menunjuk pandai,
Kalau salah tolong betulkan.
No comments:
Post a Comment