Sunday, February 20, 2011

Menghadiri Majlis Maulidul Rasul Anjuran PERTIS Pusat

Semalam (19 Februari), saya telah berkesempatan menghadiri majlis sambutan Maulidul Rasul anjuran Biro Pendidikan Dan Pembangunan Ummah, Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS). Majlis telah berlangsung di dewan utama, Kompleks MAB di Brickfields. Majlis telah bermula pada sekitar jam 3.00 petang. Namun demikian, saya hanya tiba di lokasi majlis pada sekitar jam 3.30 petang. Kelewatan saya tiba kerana sebelumnya saya di sekolah.



Untuk maklumat bersama, pengumuman mengenai majlis sambutan Maulidul Rasul semalam telah pun diwar-warkan menerusi talian maklumat PERTIS dan ia juga turut dihebahkan menerusi email. Oleh itu, rasanya tidak seharusnya jika masih ada lagi khasnya dalam kalangan ahli PERTIS sendiri yang mengatakan bahawa mereka tidak mengetahui mengenai majlis yang telah berlangsung semalam.



Antara tetamu lain yang turut hadir ialah Ustaz Khairul Anuar dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Ilmu Khas yang juga merupakan penceramah jemputan dan juga Ustazah Masliza, salah seorang penolong pengarah dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).



Majlis telah dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Alquran Al-Karim. Seterusnya, majlis telah diteruskan lagi dengan bacaan berzanji yang telah dialunkan oleh ahli-ahli muslimat PERTIS.





Majlis kemudiannya diteruskan dengan ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Khairul Anuar. Ustaz Khairul Anuar memang agak biasa menyampaikan ceramah dalam majlis-majlis anjuran PERTIS. Kali ini, antara lain, intipati ceramah beliau ialah mengenai kehebatan dan keagungan Rasulullah S.A.W., antara perkara-perkara yang harus diteladani daripada Rasulullah dan sebagainya. Beliau juga turut melahirkan kekagumannya mengenai kehadiran para hadirin yang pada hemat beliau cukup memberangsangkan.



Di sini, saya bagi pihak saf kepimpinan PERTIS ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu dalam menjayakan majlis semalam. Saya juga tidak lupa mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada mereka yang telah hadir dalam majlis berkenaan. Kehadiran semalam memang memberangsangkan. Saya dimaklumkan, menurut pandangan kasar, kehadiran melebihi 100 orang. Terima kasih daun keladi diucapkan, lain kali datanglah beramai-ramai lagi.

Majlis telah diakhiri dengan jamuan petang.

No comments: