Siang tadi, sebagaimana yang telah dirancang, sesi demo hari kedua yang berlangsung di Hotel Legend, Kuala lumpur diteruskan. Walau bagaimanapun, saya tidak dapat hadir pada sesi pertama (jam 9.00 pagi) kerana saya harus ke ibu pejabat Persatuan Orang-orang cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) untuk menguruskan kemasukan 3 orang kakitangan baru. Sekitar jam 10.15 pagi baru saya tiba semula di Hotel Legend untuk hadir pada sesi-sesi berikutnya. Bukannya hendak mewar-warkan kesibukan sendiri, sekadar memberitahu kepada mereka yang tertanya-tanya mengenai ketidakhadiran saya pada sesi sebelah pagi. Walau bagaimanapun, daripada maklum balas yang saya terima daripada rakan-rakan yang telah hadir pada sesi berkenaan, demo telah berjalan baik.
Sesi berikutnya telah bermula pada jam 11.00 pagi. Sesi ini dikhususkan kepada para jemputan khas. Jemputan khas yang dimaksudkan ialah mereka yang mewakili jabatan, agensi, institusi tertentu serta badan-badan bukan kerajaan yang ada kaitan dengan golongan cacat penglihatan.
Antara tetamu yang hadir termasuklah Dr. Badariah Salleh, Timbalan Setiausaha Bahagian, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI); En. Aliodin Daud dan Ustaz Mohd Anuar yang mewakili Bahagian Buku Teks, Kementerian Pelajaran Malaysia; En. Ahmad Bustamam Ali yang mewakili Bahagian Pembangunan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia; Ustaz Rahimi yang mewakili Bahagian Teks Dan Kawalan Alquran, Kementerian Dalam Negeri; Ustaz Norakyairi yang mewakili Dekan Fakulti Pengajian Quran Sunnah, USIM; tiga orang yang mewakili Darul Quran JAKIM; tiga orang yang mewakili MISC Bhd; Cikgu Mohd Fekkeri yang mewakili Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) serta lain-lain lagi.
Saya yakin kehadiran mereka adalah untuk mengetahui secara lebih dekat lagi mengenai perkembangan panel E-Braille Quran For Teaching Aid serta manfaatnya khususnya kepada golongan yang cacat penglihatan. Selain itu, mereka yang hadir juga telah menunjukkan minat yang mendalam berkenaan produk khas untuk golongan cacat penglihatan yang sepenuhnya dihasilkan oleh para penyelidik tempatan dan dihasilkan pula dalam negeri.
Di samping itu, orang seperti En. Ahmad Bustamam juga dapat mengetahui dengan lebih lanjut lagi kegunaan lain alat ini selain sebagai medium untuk pengajaran dan membaca Alquran Braille. Sebagaimana yang telah saya nyatakan sebelum ini, menerusi mod kluster, panel ini juga boleh digunakan untuk P & P bagi mata pelajaran lain.
Pun begitu, saya merasa sedikit hairan apabila tiada seorang pun wakil daripada Bahagian Pendidikan Khas (BP Khas), Kementerian Pelajaran Malaysia yang hadir untuk melihat demo secara lebih dekat lagi walaupun mereka telah dijemput dengan faks, surat dan telefon. Saya sendiri tidak pasti sebab sebenar mengapa BP Khas tidak dapat menghantar walaupun seorang wakil. Jabatan dan agensi lain ada yang menghantar sampai dua atau tiga wakil. Bahkan MOSTI telah diwakili oleh kakitangannya yang berstatus Timbalan Setiausaha Bahagian. Kalau ya pun semua kakitangan yang berstatus pegawai terlalu sibuk, Apalah salahnya jika dihantar juga seorang wakil walaupun hanya seorang pencuci bilik air. Setidak-tidaknya ada juga ilmu dan perkembangan mutakhir mengenai dunia pendidikan khas yang boleh dibawa pulang ke bP Khas sebagai ole-ole kepada para kakitangan yang sentiasa sibuk itu. Saya sama sekali tidak kecewa atau pun terkilan. Sekadar hairan sahaja.
Kehairanan saya berasaskan kepada tanggungjawab sosial bahagian berkenaan yang sepatutnya menjadi kumpulan yang paling ke hadapan dalam apa jua perkara dan perkembangan mengenai pendidikan khas. Menerusi sesi demo seperti inilah sepatutnya BP Khas dapat mengemas kini pengetahuan dan maklumat mutakhir mengenai pendidikan khas dalam apa jua aspek sekali pun. Apatah lagi alat yang didemokan punya potensi besar untuk digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran (P & P) untuk murid cacat penglihatan di peringkat sekolah suatu hari nanti. Bukankah dengan menyaksikan sendiri itu jauh lebih baik daripada sekadar memperolehi maklumat daripada pihak ketiga atau selanjutnya? Adakah ketidakhadiran pihak BP Khas kerana surat jemputan tersebut datangnya daripada badan bukan kerajaan (NGO) seperti PERTIS yang mungkin dianggap sebuah NGO berstatus ikan bilis sahaja? Atau adakah kerana surat jemputan tersebut ditandatangani oleh YDP-nya yang buta dan tak punya apa-apa status? Wallahu Aalam.
Sebenarnya jika selama ini golongan cacat penglihatan mengimpikan untuk menemui senaskah Alquran Braille yang lengkap dimuatkan dalam sebuah panel yang lebih kecil saiznya dan lebih ringan daripada sebuah mesin Braille, sesungguhnya ia pun sudah tercapai. Walaupun begitu, alat ini masih belum benar-benar sempurna. Pasukan penyelidik akan menjadikan butiran dan maklum balas yang diperolehi daripada para pengunjung untuk memantapkan alat ini dari pelbagai aspek. Demikianlah kebesaran Allah, apa yang kita rasa hampir mustahil suatu masa dahulu kini menjadi realiti.
Akhirnya, saya bagi pihak seluruh ahli kumpulan penyelidik daripada Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak yang telah hadir ke sesi demo yang telah berlangsung selama dua hari. Segala maklum balas yang telah diutarakan merupakan sesuatu yang sangat berharga kepada kami bagi memastikan agar alat yang dibangunkan ini benar-benar dapat menepati ciri dan cita rasa penggunanya kelak, insha-Allah.
UCAPAN PENGHARGAAN.
1 week ago
No comments:
Post a Comment