Tuesday, September 16, 2014

Hari Malaysia



Pada hari ini (16 September), seluruh negara menyambut apa yang dikenali sebagai Hari Malaysia. Beberapa tahun lalu, cuti umum telah diisytiharkan bagi seluruh negara bersempena dengan Hari Malaysia. Secara umumnya, Hari Malaysia ialah hari/tarikh di mana perisytiharan negara Malaysia telah dilakukan dengan rasminya. Pada asalnya perisytiharan Hari Malaysia dirancang pada 31 Ogos 1963. Oleh kerana wujud bantahan daripada Indonesia dan Filipina terhadap penubuhan Malaysia ketika itu, maka perisytiharan penubuhan Malaysia telah ditangguhkan pada 16 September.

Sewaktu negara kita mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, nama negara kita ketika itu ialah Persekutuan Tanah Melayu (Federation Of Malaya). Persekutuan Tanah Melayu ketika itu hanya mengandungi 11 buah negeri sahaja iaitu Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Pahang, Terengganu dan Kelantan. 9 buah negeri merupakan negeri yang mengamalkan sistem beraja, manakala Melaka dan Pulau Pinang pula tidak mempunyai raja.

Apabila negara Malaysia diisytiharkan pada 16 September 1963, jumlah negeri dalam Malaysia telah bertambah daripada 11 buah kepada 14 buah. Selain daripada 11 buah negeri yang telah sedia ada dalam Persekutuan Tanah Melayu sebelumnya, Malaysia turut dianggotai Singapura, Sarawak dan Sabah. Brunei pula telah menolak untuk menyertai Malaysia atas beberapa faktor. Berdasarkan kenyataan di atas, tentu kita dapat membezakan di antara Persekutuan Tanah Melayu dengan Persekutuan Malaysia.

Walau bagaimanapun, pada 9 Ogos 1965, Singapura telah berjaya keluar dari Persekutuan Malaysia dan muncul sebagai sebuah entiti politik yang merdeka. Ini bermakna, mulai saat itu keluasan Persekutuan Malaysia telah mengecil daripada keluasan asalnya pada 16 September 1963. Sesetengah penyelidik sejarah di Malaysia menyifatkan peristiwa pada 9 Ogos 1965 sebagai tarikh pemecatan Singapura daripada Malaysia. Manakala ada pula penyelidik yang mentafsirkan peristiwa tersebut sebagai hari kemerdekaan Singapura daripada Malaysia.

Walau apa pun tafsiran dan istilah yang diberi kepada peristiwa 9 Ogos 1965, Singapura telah berjaya muncul sebagai sebuah negara yang merdeka, berdaulat dan berkuasa penuh untuk mencorakkan hala tujunya pada masa hadapan. Lee Kuan Yew berjaya mencapai objektif utamanya iaitu untuk menjadikan Singapura sebuah negara yang bebas, berdaulat dan merdeka. Ada juga pandangan yang mengatakan persetujuan Lee Kuan Yew ketika itu untuk menyertai Malaysia bukanlah ikhlas. Ia lebih bertujuan untuk memudahkan Singapura merdeka daripada British. Selain itu, penyertaan ke dalam Malaysia juga bertujuan sebagai helah untuk menentang pengaruh golongan sosialis yang semakin kuat di Singapura waktu itu. Sebab itulah setelah menyertai Malaysia, Singapura telah membuat pelbagai onar untuk mencari masalah dengan kerajaan Persekutuan di Kuala Lumpur. Konvensyen Malaysian Malaysia merupakan antara contoh terbaik mengenai hal ini. Ia dengan jelas telah menonjolkan sifat sebenar Lee Kuan Yew yang enggan menghormati dan seterusnya mencabar antara prinsip asas kontrak sosial yang telah dipersetujui sebelum ini. Sesungguhnya “pemecatan” Singapura daripada Persekutuan Malaysia pada 9 Ogos 1965 merupakan jalan mudah bagi menyelesaikan segala mehnah dan onar yang sengaja ditimbulkan oleh Lee Kuan Yew.

Setelah muncul sebagai sebuah negara yang merdeka, adakalanya Singapura akan memberikan saingan yang tidak sihat kepada Malaysia. Singapura secara halus telah memaksa Malaysia agar memindahkan pangkalan tentera lautnya dari Woodlands ke Lumut. Dengan diplomasi yang sangat halus juga, Singapura telah berjaya mempengaruhi Malaysia agar memindahkan stesen KTM dari Tanjung Pagar. Kemuncak kepada saingan yang tidak sihat ini ialah apabila Singapura berjaya memuktamadkan kedaulatannya ke atas Pulau Bagu Putih menerusi keputusan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Kalau tidak kerana sesuatu tak akan tempua bersarang rendah. Kalau tidak kerana kedudukan strategik pulau yang sebesar padang bola sepak itu, Singapura tidak akan beriya untuk memperolehinya. Rakyat Malaysia khususnya orang Johor pasti amat merasai kehilangan Pulau Batu Putih. Justeru tidak hairanlah bilamana masih ada suara yang berbunyi bagi melontarkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kehilangan pulau tersebut khususnya daripada genggaman kedaulatan negeri Johor. Sesungguhnya kehilangan Pulau Batu Putih daripada negara ini telah mengecilkan lagi saiz Persekutuan Malaysia. Kini Singapura dan Malaysia sedang “bermain catur” di pintu tol kedua-dua negara pula.

Hari Malaysia juga turut menampilkan kisah dalam negara yang tidak kurang hebatnya. Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi keyakinan khususnya kepada para penyokongnya iaitu pada 16 September 2008 sekumpulan ahli parlimen kerajaan akan melompat menyeberangi sebelah pembangkang. Hasil daripada penyeberangan ini nanti, maka penghuni di Putrajaya akan bertukar wajah. Apa yang diwar-warkan beliau sedikit sebanyak telah menyebabkan ahli politik BN tidak lelap tidur dibuatnya.

Namun demikian, 16 September 2008 telah berlalu dengan tenang dan aman. Tiada sebarang peristiwa lain yang terjadi di Putrajaya ketika itu. Segalanya berjalan sebagaimana biasa. Sebilangan ahli politik BN yang tidak lelap tidur sebelumnya, telah mengqadha semula tidur mereka dengan begitu nyenak sekali. Sesungguhnya apabila sesuatu peristiwa itu sudah menjadi sejarah, ia tidak mungkin akan padam dengan apa cara sekali pun. Ia akan diperkatakan orang dari masa ke masa. Ia akan dikenang sepanjang zaman.

Justeru, bersempena dengan Hari Malaysia, seeloknya rakyat negara ini didedahkan dengan terperinci sejarah penubuhan Malaysia. Di samping itu, rakyat juga seharusnya didedahkan dengan proses pengecilan yang telah berlaku terhadap keluasan asal negara Malaysia. Tujuannya supaya kesilapan yang serupa tidak diulangi lagi oleh generasi yang akan datang.

Sebenarnya perkara yang saya perkatakan dalam tulisan kali ini pernah saya perkatakan beberapa kali terutamanya bila menjelangnya 16 September. Hanya olahannya sahaja yang mungkin berbeza. Evolusi pengecilan saiz geopolitik Persekutuan Malaysia jarang diperkatakan orang. Tiada siapa yang boleh memberi kepastian esok atau lusa, entah tanah mana, daerah mana, lembah mana, laut mana, hutan mana, gunung mana yang sebelum ini milik kita akan terlepas pula ke tangan orang lain. Kita pun tidak pasti apa yang akan berlaku seterusnya kepada negara dan bangsa kita pada masa yang akan datang. Justeru kita seharusnya berpandu kepada sejarah untuk mengukuhkan jati diri dan identiti bangsa dan negara kita. Pengukuhan jati diri dan identiti ini harus dilakukan secara berterusan sehinggalah generasi selanjutnya benar-benar bersedia untuk mengharungi apa jua cabaran.


No comments: