Saturday, September 27, 2014

Keputusan PRK Pengkalan Kubur: Sekadar Coretan



Pada 25 September 2014 (Khamis), pilihanraya kecil (PRK) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Kelantan N01, Pengkalan Kubur, telah berlangsung. Pilihanraya kecil berkenaan diadakan setelah kematian penyandangnya, Datuk Noor Zahidi Omar (Allahyarham). Dalam pilihanraya kecil kali ini, BN telah mempertaruhkan Cikgu Mat Razi Mat Ail sebagai calonnya. Manakala PAS pula telah menampilkan Wan Rosdi bin Wan Ibrahim sebagai calonnya. Manakala Izat Bukhary Ismail Bukhary masih tidak serik untuk ikut serta dalam PRK kali ini.

Sepertimana yang semua telah maklum, Keputusan PRK berkenaan telah memihak kepada calon Barisan Nasional (BN), Cikgu Mat Razi Mat Ail. Beliau telah mendapat 9,961 undi, PAS yang diwakili Wan Rosdi Wan Ibrahim pula memperoleh 7,326 undi. Manakala calon Bebas iaitu Izat Bukhary Ismail Bukhary pula mengutip 38 undi dan hilang deposit. Majoriti yang diperolehi oleh calon BN ialah sebanyak 2,635 undi. Kejayaan Cikgu Mat Razi lebih manis bilamana beliau berjaya menambah majoriti untuk BN sebanyak 899 undi lagi berbanding dengan majoriti yang dapat diraih pada pilihanraya umum 2013.

Berdasarkan rekod keputusan pilihanraya sejak tahun 2004, ia menunjukkan kawasan DUN Pengkalan Kubur merupakan kubu kuat BN di Kelantan. Dalam Pilihanraya umum 2004, Datuk Noor Zahidi yang bertanding atas tiket BN telah berjaya menang dengan memperolehi 6,638 undi. Manakala Wan Husain Wan Ahmad (Tok Imam Wan Husain) daripada PAS telah mendapat 5,924 undi. Majoriti yang telah diraih oleh Noor Zahidi ialah sebanyak 714 undi.

Dalam pilihanraya umum 2008 pula, Datuk Noor Zahidi Omar berjaya mengekalkan kerusi berkenaan untuk BN dengan majoriti 100 undi. Beliau telah berjaya meraih 7,643 undi. Manakala lawannya daripada PKR, HASSAN BIN BERAHIM, pula hanya meraih sebanyak 7,543 undi.

Dalam pilihanraya umum tahun lalu pula, kecemerlangan Noor Zahidi dalam mempertahankan kerusi berkenaan untuk BN diteruskan lagi. Dalam pilihanraya tersebut beliau telah berjaya meraih sebanyak 10,174 undi. Manakala lawannya daripada PKR, Saharun Ibrahim, hanya berjaya meraih sebanyak 8,438 undi. Sementara Izat bukhary Ismail Bukhary (Bebas): pula sekadar meraih 65 undi sahaja. Majoriti yang berjaya diperolehi oleh Datuk Noor Zahidi ialah sebanyak 1,736 undi.

Berdasarkan rekod sejak tahun 2004, amat jelas di sini iaitu kawasan DUN Pengkalan Kubur merupakan “kubur kepada sesiapa sahaja yang menentang calon dari BN. Walaupun majoriti yang diperolehi oleh BN ada turun naiknya, tetapi yang pasti mereka terus berjaya bertapak kukuh di kawasan DUN tersebut. Manakala Pakatan Rakyat (PR) yang masih belum pandai untuk benar-benar berpakat terus dirundung malang bilamana terus tewas untuk kali ke-4 berturut-turut dalam PRK pada 25 September yang lalu.

Sama ada PKR mahupun PAS, tidak boleh menyalahkan antara satu sama lain atas kekalahan yang berlaku. Kedua-dua pihak juga tidak perlu lagi mendakwa bahawa satu pihak lebih unggul di Pengkalan Kubur berbanding pihak yang satu lagi. Hakikatnya kedua-dua parti siasah berkenaan sama-sama telah ditolak oleh para pengundi di Pengkalan Kubur. Penolakan yang berlaku pula bukannya sekali. Walau bagaimanapun, penolakan para pengundi Pengkalan Kubur kali ini terhadap PR khususnya terhadap PAS agak ketara. Ini diserlahkan dengan majoriti yang telah diperolehi oleh calon BN yang melebihi 2000 undi.

Dalam konteks kerajaan PAS di Kelantan, pilihanraya kecil yang telah diadakan tidak mempunyai signifikan yang besar. Sama ada menang atau kalah, ia tidak memberi kesan apatah lagi untuk menggugat kerajaan negeri yang sedia ada. Lagi pun, dalam konteks PAS sendiri, ia bukan berada pada kedudukan “untuk mempertahankan” tetapi kedudukan PAS adalah “untuk merampas” kerusi DUN berkenaan. Dengan erti kata lain, keputusan pilihanraya kecil berkenaan tidak mengubah status quo yang sedia ada di DUN Kelantan.

Manakala naik dan turunnya jumlah majoriti yang diperolehi oleh calon BN setiap kali menang di Pengkalan Kubur mungkin banyak dipengaruhi oleh faktor setempat dan juga faktor semasa di luar Pengkalan Kubur itu sendiri. Setakat yang saya maklum, populariti (Allahyarham) Datuk Noor Zahidi di kawasan DUN berkenaan memang cukup tinggi. Justeru beliau berjaya meningkatkan jumlah majoriti yang diperolehinya pada tahun 2013 jika dibandingkan dengan yang diperolehi beliau dalam pilihanraya umum tahun 2008. Manakala legasi yang ditinggalkan oleh beliau masih hangat dan turut menyumbang kepada penambahan jumlah majoriti yang telah diperolehi oleh Cikgu Mat Razi dalam pilihanraya kecil yang baru berlangsung.

Manakala PAS telah melangkah dengan langkah yang kurang mantap dalam pilihanraya kecil kali ini. Perselisihan dalaman dan perselisihan yang berlaku antara PAS dengan PKR khususnya dalam isu jawatan menteri besar di Selangor telah mengakibatkan PR dilihat semakin sumbang terutama oleh para pengundi di Pengkalan Kubur. Seperti yang telah saya katakan, nama sahaja “pakatan” tetapi ketiga-tiga parti di dalamnya gagal menunjukkan cara berpakat yang betul kepada rakyat. Akibatnya, kawasan yang sememangnya sudah menjadi kubu kuat untuk BN semakin pekat warna birunya. Sokongan pengundi di sana terhadap UMNO/BN semakin kukuh. Inilah yang dibidalkan orang lama, bersatu teguh, bercerai roboh.

Walau bagaimanapun, ia tidaklah bermakna UMNO semakin kuat di Kelantan secara keseluruhannya. Ini kerana UMNO dan BN berada pada posisi mempertahankan kerusi. Kegagalan PAS di sini ialah bukan untuk mempertahankan apa yang ada tetapi merampas apa yang belum dimilikinya.

Namun demikian, untuk jangka panjang, sekiranya langkah-langkah dan strategi yang lebih berkesan gagal diambil dari sekarang, maka kekalahan PAS di Pengkalan Kubur dua hari lepas bakal menjadi virus yang mudah merebak bagi merudumkan lagi keunggulan PAS di Kelantan. Hal ini diperkuatkan lagi bilamana majoriti kemenangan sebilangan ADUN pas di Kelantan pada pilihanraya umum tahun lalu berada di paras bawah 1000 undi. Dalam memperkukuhkan kedudukannya khasnya di Kelantan, PAS tidak boleh bergantung hanya kepada legasi Datuk Setia Bentara Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz semata-mata. PAS sendiri harus berupaya melahirkan lebih ramai tokoh seperti beliau.

Satu ketika dahulu, golongan guru pernah mewarnai arena politik bangsa kita.


No comments: