Tuesday, September 9, 2014

Hormatilah Titah Sultan


Semalam (8 September), istana Selangor telah mengeluarkan satu kenyataan berhubung dengan kemelut jawatan menteri besar Selangor. Kenyataan berkenaan telah dikeluarkan oleh Datuk Mohamad Munir Bani, Setiausaha Sulit kepada Tuanku Sultan Selangor. Ia adalah sebagai rentetan daripada titah Tuanku Sultan Selangor sebelum ini agar parti-parti dalam Pakatan Rakyat mempersembahkan kepada baginda lebih daripada 2 nama yang memenuhi kriteria untuk mengisi jawatan menteri besar yang mungkin akan dikosongkan oleh penyandang sekarang bila tiba masanya nanti.

Sebagai menjunjung titah berkenaan, PAS diberitakan telah mempersembahkan lebih daripada dua nama kepada Tuanku Sultan Selangor untuk pertimbangan baginda. Manakala PKR dan DAP pula telah menghantar satu nama yang sama sahaja. Dari awal lagi saya telah mengatakan perlakuan menghantar satu nama merupakan perlakuan dan tindakan tidak molek yang tidak memenuhi apa yang telah dititahkan oleh Tuanku Sultan Selangor. Perlakuan menghantar satu nama kurang bijak kerana ia seolahnya tidak menghormati titah raja. Walaupun dalam sistem raja berperlembagaan kuasa raja adalah setakat mana yang termaktub dalam perlembagaan, tetapi dalam mendepani kemelut yang sedang berlaku, baginda mempunyai kuasa budi bicara yang harus dihormati dan sepatutnya diberi perhatian yang cukup serius. Sebagai seorang ketua negeri, sudah tentulah baginda Tuanku Sultan ingin membuat pertimbangan yang seadilnya demi kesejahteraan rakyat dan negeri baginda. Justeru, baginda memerlukan ruang yang cukup untuk membuat pertimbangan dan keputusan yang benar-benar saksama dan adil.

Antara lain, kenyataan berkenaan telah menyifatkan tindakan PKR dan DAP mengemukakan satu nama sahaja sebagai calon Menteri Besar Selangor yang baharu sebagai mengingkari Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Tegas Datuk Mohamad Munir, tindakan itu adalah perbuatan biadap dan merupakan satu penderhakaan kepada Sultan Selangor. Menurut Datuk Mohamad Munir hanya parti PAS yang akur dengan titah Sultan Sharafuddin dengan menyenaraikan tiga nama calon Menteri Besar Selangor. Tambah Datuk Mohamad Munir, titah Sultan Selangor supaya pakatan rakyat mengemukakan senarai lebih daripada dua calon Menteri Besar adalah satu amalan atau konvensi bagi membolehkan baginda membuat pilihan terhadap bakal Menteri Besar Selangor. Tambah Datuk Mohamad Munir lagi, pilihan akan dibuat dari segi kemahiran, pengalaman, integriti serta kebolehan seseorang calon dan sokongan majoriti yang diterimanya daripada anggota Dewan Undangan Negeri, ADUN.

Penzahiran rasa dukacita daripada istana Selangor merupakan sesuatu yang tidak sepatutnya terjadi. Ini adalah kerana semua pihak yang sedang terlibat secara langsung dalam kemelut yang sedang berlaku sama-sama mengakui menjunjung tinggi prinsip demokrasi dan raja berperlembagaan. Semua pihak yang berkenaan juga turut melahirkan penghormatan yang tinggi terhadap institusi raja di negara kita. Justeru, bilamana istana Selangor menitahkan agar pihak-pihak yang terlibat mempersembahkan lebih daripada dua nama, sepatutnya ia harus ditaati tanpa berhelah lagi. Barulah pengakuan kononnya menjunjung tinggi institusi raja benar-benar fasih di lidah dan ikhlas di hati.

Hakikat yang perlu diakui ialah sebahagian besar orang Melayu masih memandang tinggi terhadap institusi raja. Ketaatan dan kesetiaan mereka terhadap raja masih di tahap tidak berbelah bagi. Penghormatan mereka terhadap raja masih kuat dan utuh tanpa mempersoalkan apa fiil raja itu. Sesungguhnya dokongan dan pegangan sebahagian besar orang Melayu terhadap konsep daulat dan derhaka masih kuat dan utuh, tidak lekang dek panas dan tidak lapuk dek hujan.

Amat malang sekali bila ada mana-mana individu atau pihak jika sudah dicap sebagai ingkar atau derhaka oleh seseorang raja. Silap hari bulan, individu atau pihak yang berkenaan turut sama akan dipandang negatif oleh golongan yang benar-benar masih menjunjung tinggi institusi raja. Situasi ini mungkin akan memberi kesempatan kepada pihak lain untuk memijak kepala individu atau pihak yang telah dicap sebagai ingkar atau derhaka itu untuk membolehkannya melonjak dan menggapai semula puncak kekuasaan yang pernah terlepas daripada genggaman mereka beberapa musim yang lalu.

Oleh itu, kalau urusan dengan raja hendak berjalan lancar, kena khatam dahulu isi tersurat dan maksud tersirat beberapa kitab Melayu lama seperti Sejarah Melayu, Hikayat Raja-raja Pasai, Tuhfat An-Nafis, Silsilah Melayu Dan Bugis dan sebagainya. Oleh kerana teliti dan halusnya diplomasi Tun Perak dengan raja, maka penolakan beliau terhadap Raja Muhammad untuk menjadi sultan Melaka tidak dianggap derhaka oleh ayahandanya, Sultan Mansur Shah.

Untuk menjernihkan semula keadaan yang ada, saya rasa selepas ini semua pihak harus akur dengan mana-mana calon yang ditunjuk oleh Tuanku Sultan sebagai menteri besar yang baru. Jangan keruhkan lagi ssuasana dengan membuat onak baru pula. Barulah ungkapan menjunjung tinggi prinsip raja berperlembagaan benar-benar ikhlas di hati dan tidak sekadar fasih di lidah sahaja.


No comments: