Saturday, September 6, 2014

Kemelut Politik Selangor: Imbasan Semalam



Sehingga ke hari ini, kemelut politik di Selangor masih belum ada penghujungnya. Kesediaan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk berundur daripada kerusi menteri besar masih belum berupaya menyelesaikan masalah yang sedang berkocak. Pencalonan Datuk Seri Dr. Wan Azizah selaku calon menteri besar yang baru juga masih jauh daripada menyelesaikan masalah. Ketidakupayaan parti-parti dalam Pakatan Rakyat untuk menampilkan calon menteri besar yang berpotensi untuk memperoleh restu dan perkenan istana merupakan kegagalan berpanjangan Pakatan Rakyat yang sukar untuk difahami.



Pada hemat saya, kemelut ini berpanjangan kerana rendahnya kebijaksanaan pihak-pihak yang terlibat dalam menguruskan isu yang sedang berbangkit. Ia juga menunjukkan pihak-pihak yang terlibat juga tidak peka kepada denyut nadi para pengundi dan rakyat Selangor. Bahkan jika ada yang mengatakan kemelut ini berpanjangan kerana ada agenda tersembunyi yang sedang cuba direalisasikan oleh puak-puak tertentu juga tidak boleh ditolak. Sesungguhnya kegagalan menyelesaikan kemelut ini dengan segera amat tidak disenangi oleh pengundi dan rakyat Selangor. Maka itulah tidak menghairankan apabila kaedah pembubaran DUN merupakan sesuatu yang amat tidak digemari oleh parti-parti siasah yang terbabit.

Puak-puak tertentu dalam PKR telah menuding kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai punca kepada tercetusnya kemelut yang sedang berlaku. Keengganan Tan Sri Abdul Khalid mematuhi arahan parti khasnya agar meletakkan jawatan selaku menteri besar didakwa merupakan punca utama kepada kemelut yang sedang berlaku.

Dalam hal ini, orang bijak pandai dalam PKR mungkin kurang memahami iaitu jawatan menteri besar bukan jawatan peringkat parti politik. Ia merupakan jawatan tertinggi dalam sesebuah kerajaan peringkat negeri. Justeru, menukar seorang menteri besar sama sekali tidak sama dengan menukar seorang presiden parti politik. Apabila pelantikan seseorang menteri besar (khasnya di Selangor) perlu mendapat perkenan daripada istana, maka penukaran atau perlucutan jawatan seseorang menteri besar juga seharusnya melalui proses yang serupa. Adalah amat dangkal sekali bilamana seseorang menteri besar diarah meletakkan jawatannya tanpa terlebih dahulu merujuk atau memperoleh perkenan daripada istana. Penukaran menteri besar sebagaimana yang berlaku di Perak pada tahun 2009 dan di Terengganu pada tahun ini telah terlebih dahulu mendapat perkenan daripada raja-raja di negeri yang berkenaan. Bagaimana UMNO/BN memperoleh restu dan perkenan daripada raja-raja, yang itu PKR boleh belajar sendiri daripada UMNO/BN.

PKR juga kurang memahami apa yang disebut sebagai “kuasa budi bicara sultan”. Walaupun PKR telah menampilkan tokoh tertentu sebagai calon untuk jawatan menteri besar bagi menggantikan Tan Sri Abdul Khalid, tetapi sultan Selangor mempunyai kuasa budi bicara baginda sama ada untuk menerima atau sebaliknya calon yang dikemukakan. Maka itulah baru-baru ini ke bawah duli Tuanku Sultan Selangor telah menitahkan agar setiap parti dalam PR mengemukakan 2 nama untuk mengisi jawatan menteri besar. Tujuannya ialah untuk memudahkan baginda menggunakan kuasa budi bacara baginda bagi melantik menteri besar yang baru. Titah berkenaan juga boleh difahami iaitu calon menteri besar yang telah dikemukakan sebelumnya mungkin tidak mendapat restu daripada istana. Kriteria calon yang dikemukakan pula hendaklah selari dengan Perkara 51 (2) Undang-undang Tubuh Negeri Selangor. Percubaan untuk menghantar hanya satu nama merupakan perlakuan tidak molek kerana seolah-olah cuba membelakangkan titah raja. Datuk Harun Idris (Allahyarham) dapat meneruskan jawatannya selaku menteri besar Selangor selepas pilihanraya umum tahun 1969 adalah atas kuasa budi bicara sultan Selangor ketika itu (Sila baca buku Politik Dan Kerajaan Di Malaysia oleh Andaya dan D. K. Mauzy).

Apa yang pernah berlaku di Terengganu dan Perlis selepas pilihanraya umum 2008 harus benar-benar dijadikan iktibar. Walaupun BN mempunyai kedudukan majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN) kedua-dua negeri berkenaan, dengan kuasa budi bicara yang ada, raja-raja di kedua-dua negeri berkenaan telah menolak tokoh yang telah dicalonkan sebagai menteri besar. Adalah kurang tepat bila dirumuskan apa yang berlaku di Selangor adalah kerana ia melibatkan parti-parti pembangkang kerana UMNO/BN juga pernah mengalami liku yang hampir serupa.



Puak-puak tertentu dalam PKR juga mendakwa bahawa Tan Sri Abdul Khalid merupakan orang yang bermasalah. Dengan itu, beliau tidak berkelayakan lagi untuk meneruskan jawatannya selaku menteri besar. Sebenarnya dakwaan bahawa Tan Sri Abdul Khalid ada masalah tertentu telah mula kedengaran sejak sebelum pilihanraya umum tahun lepas lagi. Kesilapan PKR di sini ialah apabila Tan Sri Abdul Khalid terus dicalonkan bertanding di peringkat DUN dan parlimen untuk mewakili parti. Tidak cukup di situ, Tan Sri Abdul Khalid juga turut dicalonkan untuk jawatan menteri besar Selangor selepas pilihanraya umum tahun lalu. Jika sudah diketahui dengan pasti Tan Sri Abdul Khalid ada masalah, mengapa beliau terus dicalonkan di kedua-dua posisi berkenaan? Sepatutnya bila sudah diketahui dengan pasti Tan Sri Abdul Khalid orang yang bermasalah, beliau seharusnya digugurkan sahaja daripada mewakili PKR dalam pilihanraya umum tahun lalu. Kalau pun pengaruh Tan Sri Abdul Khalid masih kuat ketika itu, PKR hanya akan kehilangan satu kerusi sahaja. Oleh kerana isu ini gagal ditangani sejak awal, maka kini PKR/PR hampir kehilangan negeri pula.

Walaupun mungkin ada persetujuan supaya Tan Sri Abdul Khalid akan memegang jawatan menteri besar untuk tempoh setahun sahaja selepas pilihanraya umum tahun 2013, tetapi orang politik harus faham iaitu janji orang politik merupakan antara perkara yang paling sukar untuk dipercayai. Pelantikan dan pelucutan jawatan seseorang menteri besar seharusnya mendapat restu daripada istana. Janji sedemikian juga mungkin sukar untuk dipenuhi jika sultan dengan kuasa budi bacara yang ada pada baginda tidak merestui calon penggantinya.

Selanjutnya, bagi menyelesaikan isu yang mula menjadi kemelut, maka kerusi DUN Kajang terpaksa dikosongkan bagi memberi laluan kepada tokoh lain untuk mengisinya. Sekali lagi pengundi DUN Kajang telah memberi kepercayaan tidak berbelah bagi kepada PKR untuk terus bertapak di DUN Kajang. Namun demikian, kepercayaan yang diberi sia-sia sahaja bilamana strategi yang dihasratkan menerusi pilihanraya kecil Kajang gagal mencapai objektifnya. Kemelut politik Selangor semakin membuak. Pengorbanan Lee Chin Cheh amat tidak berbaloi. Datuk Seri Dr. Wan Azizah yang menang di Kajang masih kempunan untuk menduduki kerusi menteri besar Selangor. Datin Paduka Chu Mei Fun yang kalah di Kajang sudah pun dilantik sebagai timbalan menteri.

Pemecatan Tan Sri Abdul Khalid sebagai ahli PKR pada 9 Ogos lalu juga masih tidak berupaya menyelesaikan kemelut yang ada. Sebaliknya kemelut semakin rumit. Dengan kuasa budi bicara yang ada pada sultan, Tan Sri Abdul Khalid masih menduduki kerusi menteri besar hingga kini. Walaupun Tan Sri Abdul Khalid akan mengosongkan kerusi menteri besar, tetapi PKR gagal untuk mengemukakan calon yang boleh mendapat restu selaku menteri besar. Maka itulah kemelut yang ada masih berpanjangan hingga kini.

Selepas pilihanraya umum 2008, jawatan menteri besar Selangor telah diberikan kepada wakil daripada PKR. Sebabnya mudah sahaja kerana ketika itu PKR memperoleh kerusi terbanyak iaitu 15 kerusi di DUN Selangor berbanding dengan DAP (13 kerusi) dan PAS (8 kerusi). Kesilapan yang berlaku di sini ialah bilamana puak-puak tertentu berpersepsi jawatan menteri besar di Selangor adalah hanya untuk PKR sahaja. Sepatutnya jawatan menteri besar diberikan kepada wakil parti yang memperoleh kerusi terbanyak dan bukan hak mutlak satu pihak semata-mata. Dengan itu, jika pelantikan menteri besar di Selangor didasarkan kepada parti mana yang beroleh kerusi terbanyak, maka selepas pilihanraya umum 2013 yang lalu, wakil dari PAS sepatutnya diberi peluang untuk menduduki kerusi menteri besar Selangor. Seandainya prinsip ini dikuti selepas pilihanraya umum lalu, saya penuh yakin kemelut yang ada mungkin tidak berlaku.

Walaupun selepas pilihanraya umum 2008 DAP memperoleh kerusi terbanyak dalam DUN Perak, oleh kerana dalam kalangan ADUN Perak daripada DAP ketika itu tiada seorang pun yang memenuhi kriteria calon menteri besar sebagaimana yang diperuntukkan dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perak, maka itulah DAP melopong dan kempunan untuk mendapatkan jawatan tersebut. Justeru, prinsip pelantikan menteri besar berdasarkan parti yang beroleh kerusi terbanyak tidak relevan di Perak ketika itu.



Pencalonan Datuk Seri Wan Azizah sebagai menteri besar Selangor untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid juga merupakan satu tindakan yang tidak berpandangan jauh. Dr. Wan Azizah mungkin mendapat sokongan hampir sebulat suara dalam kalangan ahli parti, tetapi ia tidak bermakna beliau juga akan mendapat sokongan daripada rakyat Selangor secara keseluruhannya. Selain itu, Dr. Wan Azizah juga harus melepasi satu lagi tapisan, iaitu perkenan daripada sultan. Apa yang sedang berlaku sekarang menyerlahkan lagi kebenaran apa yang saya nyatakan. PKR sepatutnya mengemukakan calon yang memiliki 3 kriteria penting, mendapat sokongan daripada parti, mendapat sokongan daripada keseluruhan rakyat Selangor dan berpotensi mendapat perkenan daripada istana.

Dalam kemelut di Selangor sekarang, jika PR masih gagal untuk memberi sokongan kepada calon menteri besar yang akan diperkenankan oleh istana, maka satu pilihanraya negeri mungkin tidak dapat dielakkan. Semua orang politik PR di Selangor rasanya gusar dan gementar untuk menghadapi pilihanraya negeri jika diadakan. Maklumlah jika pilihanraya negeri dilaksanakan, pelbagai kemungkinan boleh terjadi. Perubahan yang pernah dibuat oleh para pengundi Selangor pada tahun 2008 mungkin akan berlaku semula jika pilihanraya negeri diadakan dalam masa terdekat. Silap hari bulan, yang ada di Kajang pun terpaksa balik semula ke Pulau Pinang.

Implikasi daripada kemelut yang sedang berlaku boleh dilihat daripada pelbagai dimensi. Bilamana PR gagal mengurus dan mengendalikan kemelut yang berstatus negeri dengan baik dan berkesan, maka kemampuannya untuk mengurus dan mengendalikan isu-isu nasional (jika diberi peluang memerintah) secara efektif turut sama boleh diragui. Rasanya PR perlu belajar lebih banyak lagi bagaimana untuk berhadapan dan menangani isu dan krisis yang berlaku secara lebih berkesan.

Di samping itu, anggapan bahawa PR merupakan suatu gabungan kumpulan siasah yang amat longgar ada benarnya. Dalam kemelut jawatan menteri besar Selangor, nampaknya tiada kesepakatan yang jitu di antara parti-parti dalam PR. Tindak-tanduk masing-masing lebih menjurus kepada bak enau dalam belukar yang sekadar melepaskan pucuknya sahaja. Walaupun boleh duduk semeja, tetapi kerusi tetap masing-masing yang punya.

Hasrat dan rancangan untuk menuju ke Putrajaya bermula dari Shah Alam, hanya sekadar retorik semata-mata. Bagaimana mungkin dapat mara ke Putrajaya kerana belum pun sempat memulakan langkah, kaki sudah tersandung manakala badan pula kian tersungkur.

Ada kemungkinan rakyat dan para pengundi di Selangor sudah mula jelak dan muak dengan kemelut yang sedang melanda negeri mereka. Pada hemat saya, sebahagian besar pengundi Selangor bukanlah golongan penyokong tegar kepada mana-mana parti siasah. Justeru, jika pilihanraya negeri diadakan, tidak mustahil untuk mereka menukar semula kerajaan kepada yang lama.

Semua pihak yang berkepentingan di Selangor harus berusaha sekeras mungkin untuk mengakhiri kemelut yang sedang berlaku. Semakin lama kemelut ini berpanjangan maka semakin jelak dan muak rakyat jelata memerhatikannya. Orang politik harus peka dengan denyut nadi dan suara hati para pengundi yang telah memangkah mereka dalam pilihanraya.


No comments: