Friday, August 31, 2012

Menghadiri Majlis Perkahwinan Anak Perempuan Dr. Hasnilawati






Dr. Hasnilawati Mohamad merupakan seorang doktor perubatan yang mengendalikan klinik sendiri di Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Klinik kendalian beliau, iaitu Klinik Ampang terletak bersebelahan dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) Wangsa Maju. Saya sekeluarga memang sudah bertahun-tahun berurusan dengan klinik beliau bila ada keperluan kesihatan. Bahkan beberapa orang guru di sekolah tempat saya bertugas turut berurusan dengan klinik beliau bila ada keperluan sedemikian. Agaknya salah satu keistimewaan Dr. Hasnilawati ialah, beliau akan memberikan penerangan mengenai masalah kesihatan yang kita hadapi selagi kita bertanya. Hal inilah agaknya yang amat disenangi dan sangat digemari oleh para pesakit beliau.



Mungkin kerana saya sekeluarga sudah lama mengenali beliau, maka itulah hubungan kami bukan setakat antara doktor dan pesakitnya. Maka itulah juga saya sekeluarga sudah beberapa kali bertandang ke rumah Dr. Hasnilawati yang kebetulan letaknya tidaklah berapa jauh daripada rumah saya. Hanya Dr. Hasnilawati dan keluarganya sahaja yang masih belum berkesempatan untuk bertandang pula ke rumah saya.



Sebentar tadi, saya sekeluarga telah berkesempatan menghadiri majlis perkahwinan anak sulung Dr. Hasnilawati. Majlis telah diadakan di sebuah premis di Taman Melawati, berhampiran Kuala Lumpur. Saya telah tiba di lokasi majlis sekitar jam 8.15 malam. En. Wan Aminuddin, suami Dr. Hasni telah menyambut kehadiran saya dengan begitu mesra. Majlis yang serba sederhana ini cukup meriah dengan kehadiran para tetamu yang pelbagai.



Pengantin perempuan ialah Dr. Wan Fatimah Nabila binti Wan Aminuddin merupakan anak sulung Dr. Hasnilawati. Manakala pengantin lelaki pula ialah Dr. Sulthanul Arifiin bin A. A. Basheer Ahamed. Kedua-duanya doktor perubatan yang sedang bertugas di dua buah hospital kerajaan di sekitar Kuala Lumpur. Khabarnya kedua-dua mempelai ini telah bertemu sewaktu mereka sama-sama menuntut di tahun akhir dalam jurusan perubatan di Ucraine.

Setelah sekitar 50 minit di majlis berkenaan, saya sekeluarga pun meminta diri untuk pulang. Kepada Dr. Hasni dan En. Wan, terima kasih banyak-banyak kerana sudi mengundang saya sekeluarga untuk menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan kalian.























Kepada Dr. Wan Fatimah Nabila dan Dr. Sulthanul Arifiin, kami ucapkan selamat penganin baru. Manakala kepada Dr. Hasni dan En. Wan, kami ucapkan selamat menerima menantu. Kalau ada rezeki tahun depan boleh timang anak dan cucu pula, insha-Allah.

MAB: Sesi Dialog 29 Ogos 2012




Setelah menghadapi pelbagai khabar sensasi, akhirnya pada 29 Ogos 2012 (Rabu) lalu, sesi dialog antara Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB) telah diadakan juga. Khabarnya sesi berkenaan telah berlangsung di dewan utama, Kompleks MAB. Mungkin bagi pihak MAB sendiri, sesi dialog tersebut amat wajar diadakan pada masa dan hari berkenaan. Setidak-tidaknya jumlah orang buta yang akan hadir dapat dikurangkan. Bila kurang jumlah kehadiran dalam kalangan orang buta, maka akan berkuranganlah juga persoalan yang bakal ditimbulkan. Jadi dengan itu tentulah kerja jadi lebih mudah. Itu taktik biasa bagi mana-mana pihak yang gemar melaksanakan sesuatu secara melepaskan batuk ditangga. Itu bila ditinjau dari kaca mata MAB sendiri?

Manakala bagi pihak masyarakat cacat penglihatan secara umum pula, orang buta harus faham bahawa majoriti komuniti mereka bukannya ahli MAB. Sebaliknya golongan cacat penglihatan hanya merupakan pengguna pelbagai perkhidmatan yang disediakan oleh pihak MAB. Lagipun, wang yang mengalir masuk ke kantung MAB selama ini pun bukan wang orang buta, tetapi wang yang dikutip atas nama orang buta, itu sahaja.

Mungkin menyedari hakikat itulah, maka pihak MAB merasakan amat wajar sekali jika sesi dialog berkenaan diadakan pada masa dan ketika di mana majoriti orang buta tidak dapat hadir. Sepertimana yang saya katakan, kehadiran orang buta yang ramai dalam sesi dialog berkenaan dirasakan tidak perlu. Lebih ramai orang buta yang hadir, maka akan lebih komplekslah isu yang bakal diketengahkan. Jadi, sebagai penyelesaian mudah, anurkan sahaja sesi dialog pada masa dan waktu yang paling sukar untuk dihadiri oleh golongan cacat penglihatan. Maka itulah notis pemberitahuan mengenainya juga tidak disebarkan dengan seluas-luasnya.

Di sini, saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada individu yang telah merakam sesi dialog berkenaan untuk pendengaran kita bersama. Kita hanya boleh mendengarnya sahaja. Maklumlah bukan ahli MAB pun!

Saya juga tidak lupa untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada sahabat yang sudi berkongsi dengan saya dan dengan kita semua saluran yang boleh kita sama-sama gunakan untuk memperolehi rakaman sesi ddialog berkenaan menerusi ruang maya ini. Saya minta berbanyak maaf kerana agak lewat mengongsikan pautan di bawah walaupu saya telah menerimanya agak awal kerana beberapa kesibukan yang tidak dapat saya elakkan.

Maka, di bawah ini adalah pautan yang boleh dilayari bagi sesiapa sahaja yang berminat untuk mendengar rakaman sesi dialog berkenaan. Kalau download untuk simpanan sendiri pun boleh juga.

https://dl.dropbox.com/u/3021838/Mab1.WMA

Wednesday, August 29, 2012

MAB: Mesti Ikhlas Dalam Menyelesaikan Masalah


Sekitar jam 9.21 malam sebentar tadi, saya menerima email daripada salah seorang rakan sejawat. Antara lain, kandungan email beliau ialah memaklumkan perkembangan terkini mengenai berita kononnya pertemuan yang bakal diadakan di antara pihak pengurusan tertinggi Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB) dengan komuniti cacat penglihatan pada 29 Ogos (Rabu). Mengikut maklumat berkenaan, pertemuan berkenaan adalah sahih dan ia berdasarkan sumber daripada presiden MAB sendiri. Walau bagaimanapun, pertemuan berkenaan telah ditunda ke tarikh lain. Tarikh yang dicadangkan untuk perjumpaan berkenaan ialah pada 29 September 2012 (Sabtu) nanti. Namun demikian, tarikh yang dicadangkan itu masih lagi dalam perbincangan dan buat masa ini ia masih belum disahkan lagi oleh mana-mana pihak. Demikianlah antara maklumat yang saya perolehi setakat ini. Kepada rakan berkenaan, terima kasih banyak-banyak saya ucapkan.

Di sini, saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih juga khususnya kepada pihak pengurusan tertinggi MAB kerana bersedia untuk menunda tarikh pertemuan berkenaan. Kesediaan untuk menunda tarikh pertemuan berkenaan ke satu masa yang lebih sesuai sedikit sebanyak menunjukkan bahawa pihak pengurusan tertinggi MAB bukanlah berhati keras sebagaimana kerasnya tembok dan tiang bahagian hadapan kompleks MAB itu sendiri. Mereka (pihak pengurusan tertinggi MAB) masih boleh dibawa berunding walaupun hasilnya masih belum lagi pasti.

Oleh kerana tarikh pertemuan itu masih dalam perbincangan, maka besarlah harapan semua warga cacat penglihatan supaya tarikh dan masa pertemuan yang akan ditentukan nanti merupakan tarikh dan masa yang benar-benar sesuai untuk semua orang hadir. Janganlah lagi pilih tarikh dan masa yang sememangnya sukar untuk orang ramai datang. Itu tidak ikhlas namanya. Ia lebih kepada sekadar bagai melepaskan batuk di tangga semata-mata. Satu lagi, oleh kerana apa yang sedang berlaku ini mempunyai kepentingan majoriti masyarakat cacat penglihatan, maka notis pemberitahuan juga hendaklah dihebahkan dalam jangka waktu yang munasabah. Adalah tidak masuk akal notis pemberitahuan pertemuan itu dimaklumkan dua hari sebelum tarikh pertemuan akan diadakan. Itu juga tidak ikhlas namanya. Seperkara lagi, kaedah pemberitahuan juga hendaklah dipelbagaikan agar maklumatnya sampai kepada seramai mungkin golongan sasar. Itu baru ikhlas namanya.

Dalam menentukan sama ada isu-isu yang sedang melanda MAB sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan komuniti cacat penglihatan dapat diselesaikan secara adil dan saksama, ia amat bergantung kepada ketinggian sifat ikhlas pihak MAB itu sendiri untuk menyelesaikan masalah yang ada. Dalam konteks ini, persepsi umum pihak pengurusan tertinggi MAB khususnya ahli-ahli Majlis (Council) terhadap masyarakat cacat penglihatan mempunyai peranan dan pengaruh yang cukup besar dalam menentukan corak penyelesaian yang akan dicapai nanti.

Sekiranya dari kaca mata pihak pengurusan tertinggi MAB, orang buta hanya sekadar penerima bantuan, pengguna perkhidmatan yang disediakan, golongan yang hanya layak untuk diberi simpati sahaja, hanya berstatus pengemis dan peminta sedekah atau golongan kuli dan pecacai semata-mata, maka percayalah, sampai bila pun penyelesaian yang benar-benar adil tidak mungkin akan dapat dicapai. Jika demikianlah persepsi mereka terhadap masyarakat buta, selama-lamanya mereka hanya mahu bahkan jika perlu akan memaksa masyarakat buta agar terima apa sahaja yang mereka laksanakan.

Sebaliknya, jika pihak pengurusan tertinggi MAB sedar diri dan insaf bahawa selama ini MAB dapat banyak wang, dapat geran itu dan dapat geran ini kerana adanya nama orang buta, maka saya penuh yakin mereka akan mendengar dengan kedua-dua belah telinga mereka keresahan dan rungutan tidak puas hati daripada masyarakat cacat penglihatan dengan penuh teliti dan berhati-hati. Tidak akan terlintas dalam hati mereka (pihak pengurusan tertinggi MAB) untuk membazirkan wang dengan begitu sahaja, apatah lagi jika ia tidak bermanfaat langsung kepada orang buta itu sendiri. Jika satu-satu latihan atau kursus itu berupaya dilaksanakan dalam kawasan kompleks MAB, mengapa ia harus dilaksanakan di luar kompleks MAB pula? Tidakkah itu pembaziran namanya? Siapa pula yang mendapat untung daripada pembaziran tersebut? Wang siapakah yang dibazirkan itu? Atas nama siapa pula selama ini wang berkenaan dicari dan dikutip?

Jika pihak pengurusan tertinggi MAB ikhlas dan sentiasa mementingkan orang buta, maka dari awal-awal lagi mereka akan mendengar pandangan orang buta bahawa fountain yang dibina itu tiada manfaat langsung kepada masyarakat buta. Adakah itu yang telah dilakukan oleh mereka? Khabarnya fountain sudah siap dan sedang diuji. Manfaatnya lebih kepada mata sicelik atau telinga sibuta?

Bagi saya, adalah tidak kena caranya kalau kita mengambil contoh secara semberono pembangunan yang dilaksanakan di RNIB (Royal National Institute For The Blind di England) dan kemudian ia hendak dilaksanakan pula di MAB tanpa mengambil kira kesesuaiannya terlebih dahulu. Saya amat yakin apa jua pembangunan yang telah atau sedang dilaksanakan di RNIB akan mengambil kira pandangan, kesesuaian serta manfaatnya kepada masyarakat cacat penglihatan di sana terlebih dahulu. Ini bersesuaian dengan budaya masyarakat Eropah yang amat mementingkan bidang pembangunan dan penyelidikan (R&D). Sedarkah kita bahawa persepsi masyarakat berpenglihatan di Eropah terhadap golongan cacat penglihatan amat jauh bezanya dengan persepsi masyarakat Malaysia terhadap golongan yang sama dan ia tak ubah bagai langit dan bumi?

Untuk ke sekian kalinya, saya tetap dengan pendapat iaitu MAB adalah sebuah badan kebajikan yang sepatutnya menjaga kepentingan orang buta di Malaysia. Justeru, badan seperti MAB tidak seharusnya ditadbir sebagaimana kita mentadbir sebuah entiti korporat. Adalah satu kesilapan jika MAB mengambil tokoh korporat dengan tujuan untuk mengkorporatkan MAB. MAB juga tidak boleh dibenarkan untuk digunakan sebagai batu loncatan oleh mana-mana pihak untuk membuncitkan poket sendiri. MAB bukan badan yang boleh digunakan untuk membazirkan wang kepada kroni tertentu oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. Apalah gahnya MAB kalau pun berjaya dikorporatkan kerana masalah penjaja tisu dalam kalangan orang cacat penglihatan pun masih gagal untuk diselesaikan.

MAB ialah Malaysian Association For The Blind dan bukannya Malim Abdullah Baginda.

Monday, August 27, 2012

MAB: Berita Yang Masih Belum Sahih



Sekitar dua jam yang lalu, saya mendapat maklumat kononnya pada hari Rabu ini (29 Ogos 2012), satu pertemuan di antara pihak pengurusan Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB) dengan komuniti cacat penglihatan akan diadakan. Menurut maklumat berkenaan, peertemuan berkenaan akan berlangsung di Dewan Datuk Dr. Ismail Salleh, Kompleks MAB, Brickfields, Kuala Lumpur. Menurut maklumat itu lagi, pertemuan berkenaan akan berlangsung pada jam 11.00 pagi.

Setelah mendapat maklumat berkenaan, saya cuba hubungi talian maklumat MAB di nombor 03-22722687 dan menekan butang yang perlu sebagaimana arahan bersuara yang dapat didengar. Namun demikian, saya agak kecewa kerana tarikh info sama ada yang berbahasa Melayu mahupun yang berbahasa Inggeris hanya bertarikh 17 Ogos 2012. Ini bermakna, tiada info terkini lagi. Ia juga bermakna, maklumat yang baru saya perolehi tadi tidak dapat disemak kesahihannya menerusi talian info MAB.

Berdasarkan maklumat yang saya perolehi petang tadi, antara tujuan pertemuan itu nanti ialah untuk memberikan penerangan kepada komuniti cacat penglihatan mengenai beberapa isu yang sedang berbangkit masa kini khususnya yang melibatkan MAB. Menurut sumber itu lagi, mereka yang hadir boleh mengemukakan apa sahaja soalan dan ia akan diberikan penjelasan oleh pihak pengurusan MAB.

Kebetulan pula, pada masa kini MAB dikatakan sedang dilanda beberapa isu yang telah menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat cacat penglihatan. Konon khabarnya perkara-perkara yang terkandung dalam surat yang telah dikemukakan oleh sekumpulan orang cacat penglihatan yang menggelarkan kumpulan mereka sebagai Voice Of The Blind merupakan sebahagian daripada permasalahan yang dimaksudkan. Ada ke lagi masalah yang lain?

Benarkah pertemuan sebagaimana di atas akan dilangsungkan di tempat dan pada tarikh sebagaimana yang dinyatakan? Jika benar, mengapa pertemuan yang penting ini diadakan pada masa yang kurang sesuai? Mengapa tarikh dan waktu pertemuan tidak dibuat pada waktu yang lebih sesuai supaya lebih ramai komuniti cacat penglihatan boleh hadir? Seperkara lagi, jika benar pertemuan di atas akan diadakan pada tarikh dan masa sebagaimana yang tersebut, mengapa notis pemberitahuan mengenainya dihebahkan terlalu singkat? Mengapa notis pemberitahuan mengenainya tidak dikemas kini menerusi talian info MAB sendiri? Dengan erti kata lain, mengapa notis pemberitahuan mengenai pertemuan berkenaan tidak dihebahkan dengan seluas-luasnya? Sejak bila pengurusan MAB mula pandai main sorok-sorok seperti ini?

Biar apa pun berita dan ceritanya, saya amat berharap agar berita di atas masih lagi bersifat tidak sahih. Saya amat berharap agar berita di atas hanya sekadar khabar angin yang telah bertiup secara tidak sengaja semata-mata. Sekiranya berita berkenaan sahih sifatnya, ia pasti akan mengecewakan ramai orang yang cacat penglihatannya. Sebaliknya jika berita berkenaan tidak sahih, ia pasti akan melegakan ramai orang.

Fungsi badan-badan seperti MAB adalah untuk memberi perkhidmatan dan menjaga kebajikan masyarakat orang buta di negara ini dan bukannya menggunakan nama orang buta hanya untuk mengumpul wang hingga berjuta-juta.

Friday, August 24, 2012

Corat-coret Sambutan Aidil Fitri Di Melaka



Pada tahun ini, tibalah giliran kami sekeluarga berhari raya di kampung halaman saya di Melaka. Beginilah saya dan isteri akan membuat giliran setiap tahun untuk menyambut hari raya pertama. Setiap pasangan suami isteri tentunya ada formula dan kaedah tersendiri di mana dan bagaimana untuk menyambut perayaan aidil fitri terutamanya pada hari raya yang pertama. Bagi pasangan yang berasal dari kampung atau daerah yang sama mungkin ia bukanlah satu masalah yang besar. Walau bagaimanapun, bagi pasangan suami isteri yang berasal dari daerah atau negeri yang berbeza, formula dan kaedah yang adil dan sesuai amat dituntut agar tiada mana-mana pihak tidak merasa puas hati, berkecil hati, sugul dan sebagainya. Maklumlah hari raya merupakan hari untuk kita bergembira bukan untuk hari kita terasa hati antara sesama kita. Demikianlah.



Bagi kebanyakan orang, hari terakhir berpuasa merupakan antara hari yang paling sibuk. Pada hari tersebutlah beberapa ahli keluarga saya yang jauh akan tiba di kampung untuk berhari raya. Kebetulan saya sekeluarga telah pun tiba di kampung sehari sebelumnya, iaitu pada Jumaat 17 Ogos.





Kelazimannya, rumah kedua ibu bapa saya di kampung akan menjadi tumpuan seluruh sanak saudara untuk berhimpun pada hari raya sebegini kerana kebetulan ibu saya merupakan saudara yang paling tua yang masih ada setelah kedua datuk dan nenek kami kembali ke rahmatullah. Oleh yang demikian, ibu-ibu saudara saya dari sebelah ibu saya yang masi ada akan kembali ke rumah ibu saya untuk berhari raya. Kesemua bapa saudara saya di sebelah ibu saya telah pun kembali ke rahmatullah.



Apabila ibu-ibu saudara saya sudah bermenantu dan bercucu dan bila menjelangnya hari raya seperti ini, anak, menantu dan cucu-cucu mereka juga turut kembali ke rumah ibu bapa saya di kampung. Maka makin meriah dan makin gamatlah persekitaran rumah dibuatnya. Maklumlah masing-masing dengan kelakuan dan telatah masing-masing.



Selain daripada menerima kehadiran sanak keluarga, hari terakhir berpuasa juga merupakan hari yang paling sibuk untuk menyediakan pelbagai juadah untuk menyambut hari raya keesokan harinya. Ketupat dan rendang merupakan antara juadah yang tidak boleh ditinggalkan. Selain itu, sup daging juga tidak ketinggalan. Ia irebus sendiri oleh ayah saya. Itulah keistimewaan ayah saya. Walau pun usianya sudah mencecah 80 tahun, dia masih mampu untuk merebus sup tulang yang sungguh istimewa dan berperisa.



Untuk perayaan kali ini, kami sekeluarga telah menyediakan sekitar 15 kg daging, 35 kg ayam serta ketupat melebihi 100 biji. Itu tidak dikira dengan sup tulang 3 peha, laksa buah tangan salah seorang ibu saudara saya serta lemang beberapa batang. Setakat yang saya maklum, tiada pembaziran kerana ia cukup untuk menampung kami sekeluarga besar dan ditambah pula dengan persediaan untuk para tetamu yang datang berkunjung.





Menjelang berbuka puasa pada akhir terakhir berpuasa, kami sekeluarga telah mengadakan tahlil. Ia merupakan acara tahunan kami sekeluarga. Selain untuk manfaat pada yang hidup, ia juga tanda ingat kami kepada ahli keluarga yang telah lebih dahulu menyahut seruan Ilahi.

Pada sebelah malam hari raya, tradisi bertakbir dari rumah ke rumah berlangsung. Ini merupakan satu lagi tradisi yang masih hidup di kampung saya. Oleh kerana banyak rumah yang meminta supaya diadakan takbir di umah masing-masing, maka kumpulan takbir terpaksa dibahagi dua. Jika tidak, entah jam berapa pula ia akan dapat ditamatkan. Saya sendiri tidak menyertai kumpulan takbir berkenaan. Sekadar tinggal di rumah sahaja menanti kumpulan takbir tiba.

Pada pagi hari raya pertama, setelah semuanya bersiap dengan pakaian baru dan selepas menjamah sedikit makanan, kami sekeluarga pun bergerak ke masjid yang letaknya sekitar 1.6 km dari rumah kami. Tujuannya ialah untuk mengerjakan solat sunat aidil fitri bersama-sama jemaah yang lain. Isi khutbahnya ialah tentunya mengenai hari raya aidil fitri. Ia termasuklah adab ketika menyambut hari raya, perkara-perkara yang dilarang dilakukan ketika berhari raya dan sebagainya.

Setelah kembali dari masjid, ada antara ahli keluarga yang terus ke kawasan perkuburan. Ini termasuklah ibu serta beberapa orang adik saya. Tujuannya ialah untuk menziarahi pusara ahli keluarga yang tersayang tanda ingat kami kepada yang telah tiada. Saya pula terus kembali ke rumah sahaja.



Selepas semuanya kembali ke rumah semula, kami pun mula bersalam-salaman antara sesama ahli keluarga. Yang muda mendapatkan yang tua, tangan dan pipi mereka dicium sambil mengucapkan selamat hari raya serta maaf zahir dan batin sambil memohon keampunan terhadap dosa-dosa yang dilakukan sama ada sengaja ataupun tidak dalam tempoh setahun lalu. Manakala yang kanak-kanak pula setia menanti ang pau hijau daripada yang sudah berpendapatan.

Pada masa dahulu, wang raya diberi begitu sahaja tanpa diletakkan dalam sampul. Namun demikian, dengan adanya pertukaran budaya, kita mula mengikut cara orang Cina memberi wang raya iaitu dalam bentuk ang pau. Hanya warna sampulnya sahaja yang berbeza. Kalau ang pau orang cina sewaktu tahun baru Cina berwarna merah (kalau saya tidak silap), tetapi sewaktu hari raya aidil fitri warna sampulnya pula pelbagai, kebiasaannya ia berwarna hijau. Demikianlah.



Setelah itu, kami pun bergerak meninggalkan rumah untuk menziarahi keluarga terdekat. Kalau tak silap saya, sekitar 5 – 6 buah kenderaan berkonvoi. Kesemuanya ahli keluarga saya belaka. Destinasi kami ang pertama ialah kawasan perkuburan yang letaknya sekitar 25 km dari rumah saya. Di sinilah terhimpunnya kebanyakan pusara ahli keluarga dari sebelah ibu saya. Ini termasuklah pusara arwah kedua datuk dan nenek kami dari sebelah ibu saya. Kawasan perkuburan ini letaknya hanya beberapa km sahaja dari bandar Jasin.



Setelah itu kami pun bergerak pula ke rumah tinggalan kedua datuk dan nenek saya dari sebelah ibu. Rumah ini kini dihuni oleh salah seorang ibu saudara saya bersama keluarganya.



Kami turut menziarahi beberapa rumah lagi. Salah sebuah rumah yang sempat kami ziarah ialah rumah satu-satunya nenek saudara kami yang masih ada. Sudah tentulah saya merupakan antara cucu tuanya yang paling beliau ingat. Maklumlah saya adalah cucunya yang lain dari yang lain.

Bagi golongan berusia seperti saya, setiap rumah yang kami kunjungi yang lebih penting ialah bertanya khabar serta bertukar-tukar berita dan cerita selain bermaafan ntara satu sama lain. Manakala bagi golongan kanak-kanak pula tentulah juadah dan ang pau menjadi keutamaan. Begitulah agaknya.



Sekitar jam 5.30 petang, saya sudah kembali semula ke rumah. Oleh kerana badan keletihan, maka di sebelah malamnya saya hanya di rumah sahaja. Ada juga antara adik-beradik saya yang lain yang meneruskan kunjung ziarah mereka ke rumah sanak saudara pada sebelah malamnya, tetapi saya sekadar di rumah sahaja. Oleh kerana agak keletihan, email pun tak sempat ditinjau.

Pada hari raya kedua pula, saya dan kebanyakan ahli keluarga yang lain sekadar di rumah sahaja. Kali ini giliran kami ula yang menanti kehadiran tetamu. Ternyata kunjungan sanak saudara ke rumah kami tak kunjung putus, bermula dari pagi sehingga sekitar jam 10.00 malam.



Sesungguhnya pertemuan tempoh hari amat bermanfaat khasnya untuk saya sendiri. Ada di antara saudara-mara saya yang jarang-jarang sekali bertemu. Kalau bukan kerana adanya majlis perayaan seperti ini mungkin kami tiada kesempatan langsung untuk bertemu.

Mudah-mudahan coretan yang tidak seberapa ini akan jadi buah tangan khususnya kepada murid-murid saya untuk menghasilkan karangan yang serupa jika tajuk karangannya sama. Jangan meniru sudahlah.

Salam dari Kuantan.

Thursday, August 23, 2012

Bayi Comel Cikgu Mohd Jais



Pada tengah hari semalam (22 Ogos), saya sekeluarga telah mengunjungi rumah Cikgu Mohd Jais. Selain berhari raya, tujuan kunjungan kami juga ialah untuk menziarahi isterinya, Yusma, yang baru sahaja beberapa hari melahirkan anak keempat mereka. Tahun ini, Cikgu Jais sekeluarga berhari raya di Kuala Lumpur sahaja.



Kebetulan pula, sewaktu saya tiba di rumah Cikgu Jais, ayahnya turut ada bersama. Katanya, beliau (ayah Cikgu Jais) sudah pun berada di Kuala Lumpur sejak hari raya kedua lagi. Maklumlah, hendak tengok cuculah katakan.



Saya telah pun mengenali ayah Cikgu Jais sejak tahun 1975 lagi. Sejak itu dan sehingga kini keramahannya tidak berubah. Sebab itulah orang seperti ayahnya mudah mendapat kawan dan kenalan di mana juga beliau pergi.



Bayi Cikgu Jais yang ini comel dan sihat orangnya. Hanya ketika lahir bayi ini mengalami sedikit masalah kesihatan, tetapi kini bayi ini sudah sihat sediakala. Bayi comel ini diberi nama Amani Zahraa.

Sekitar setengah jam juga saya sekeluarga di rumah Cikgu Jais. Kami harus meminta diri kerana selepas zohor saya sekeluarga akan bertolak ke Pahang pula untuk bertemu dengan keluarga dan sanak saudara di sana.



Kepada Cikgu Jais dan keluarga, tahniah diucapkan. Anda suami isteri harus merafakkan setinggi-tinggi syukur ke hadhrat Ilahi. Walaupun anda berdua sama seperti saya, tetapi keempat-empat cahaya mata anda telah ditakdirkan lebih sempurna daripada kita.

Salam dari Kuantan.

Wednesday, August 22, 2012

Letter From Voice Of The Blind



Di bawah ini saya perturunkan surat daripada sekumpulan orang cacat penglihatan yang menggelarkan kumpulan mereka sebagai Voice Of The Blind. Surat berkenaan telah ditujukan kepada Presiden, Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB). Surat ini telah pun diemailkan kepada saya hampir seminggu yang lalu. Besarlah harapan warga cacat penglihatan supaya pihak pengurusan tertinggi dalam MAB membuka telinga mereka untuk mendengar suara, pendapat serta keluhan golongan berkenaan.


VOICE OF THE BLIND

13th August 2012 BY HAND

The President,
Malaysian Association for the Blind,
Jalan Tebing,
Brickfields,
Kuala Lumpur.

Dear Sir,

LETTER OF DEMAND

It has come to the knowledge of many blind people that the management of MAB has been deteriorated to a very low level. Below are some of our grievances

1. We are aware that MAB has made the decision to construct a fountain, in which, its purpose known only to the management. However, when the topic of the fountain was floated over cyber space, every single blind person was against the idea. There seems to be no purpose of spending such a huge amount of funds to construct a fountain by taking away 6 car parks in Wisma MAB. As such we would like to demand that the on going construction works BE HALTED WITH IMMEDIATE EFFECT. We call upon the council to listen to the opinion of the blind, after all money has been collected in the name of the blind. We would also like to take this opportunity to highlight other relevant issues,

1. The MAB excessive device counter in the library – It has deteriorated to the level where many of the blind would rather go to a shop operated by a private individual.

2.The method of awarding contracts – We have reason to believe that the Executive Director Dato’ Ganesin Suppayah is awarding contracts to his cronies. The contracts includes the Fibre Optic Cabling worth almost RM 1Mil, The Car Parking Tender for Lot 193, construction of the Water Fountain and more. We have all EVIDENCE to prove his cronism.

3. Besides maintaining the Executive Director with a Sum of RM 12,000, we are also maintaining his wife with a sum of RM 6,000 (estimated). Can the board justify is there a necessity to employ husband and wife under one organization. Is the board aware that the Executive Director only comes to the office less then 2 hours a day approximately?

4. The leasing of Wisma Suppayah for the purpose of training sighted people. - Why is MAB involved in renting the premises belonging to the Executive Director for the purpose of training the sighted people? The blind people are aware, that the Tun Hussein Onn Eye Hospital is paying the rent, while the portion of upper floors is being charged to the accounts of MAB through Tun Hussein Onn Eye Hospital.

Please take note that these are only some of the grievances, Kindly note, that all money collected is in the name of the blind, therefore, it should be used to improve the services for the blind.

Finally, we ARE DEMANDING THE ONGOING CONSTRUCTION OF THE FOUNTAIN TO BE HALTED IMMEDIATELY AND DATO’ GANESIN SUPPAYAH TO STEP DOWN AS AN EXECUTIVE DIRECTOR, FAILLING WHICH WE WILL GATHER ON 1st SEPTEMBER 2012 ALONG WITH THE PRESS.

There is still a 2 weeks period before the 43rd Annual General Meeting. And if nothing is done, THE BLIND WILL SWAMP INTO MAB TO VOICE OUT OUR DISSATISFACTION TO THE PRESS.

We are writing on behalf of the blind.

VOICE OF THE BLIND

c.c. Council Members.




Sunday, August 19, 2012

Salam Aidil Fitri 1433 Hijrah



Bersempena dengan ketibaan Syawal 1433 Hijrah, saya sekeluarga dengan tulus ikhlas ingin mengucapkan selamat menyambut hari raya aidil fitri kepada seluruh umat Islam di mana jua berada. Ucapan yang serupa saya tujukan khas kepada pembaca serta pengunjung blog ini. Ucapan yang sama juga saya tujukan kepada rakan-rakan sejawat, murid-murid atau bekas murid dan sesiapa sahaja yang mengenali saya.

Saya juga tidak lupa untuk mengucapkan berbanyak terima kasih kepada mereka yang telah menghantar ucapan selamat hari raya kepada saya terutamanya menerusi SMS. Ingatan kalian amat saya hargai.

Kali ini, saya sekeluarga menyambut hari raya di kampung halaman saya yang terletak dalam daerah Jasin, Melaka. Saya sekeluarga telah pun selamat tiba di kampung sekitar jam 11.00 pagi pada 17 Ogos (Jumaat) lalu.

Mengikut jadual yang telah disusun, saya sekeluarga akan berada di kampung sehingga pagi hari raya ketiga. Pada pagi hari raya ketiga, saya sekeluarga akan kembali semula ke KL atas urusan keluarga. Setelah urusan di KLIA selesai pada tengah hari hari raya keempat, insha-Allah kami akan ke Kuantan pula untuk berhari raya dengan keluarga di sana pula. Mudah-mudahan segalanya akan berjalan dengan baik dan lancar sebagaimana yang telah dirancang.

Kepada semua, selamat hari raya aidil fitri, maaf zahir dan batin.

Salam dari Jasin.

Saturday, August 18, 2012

Ramadhan Kini Di Penghujungnya



Sedar tak sedar, sekali lagi kita sudah berada di penghujung Ramadhan untuk ke sekian kalinya. Sebagaimana biasa juga, di penghujung Ramadhan kali ini, ia tidak pernah berjanji untuk bertemu lagi dengan kita pada tahun berikutnya. Demikianlah apa yang berlaku acap kali bila kita berpisah dengan Ramadhan setiap tahun. Dengan itu, berbahagialah orang yang benar-benar telah memanfaatkan kehadiran Ramadhan kali ini. Orang yang paling beruntung ialah mereka yang telah beroleh malam alqadar, iaitu satu malam dalam bulan Ramadhan yang mana ia adalah lebih baik daripada seribu bulan jika melaksanakan amal ibadat pada malam berkenaan. Demikianlah apa yang telah dijanjikan olehAllah di dalam kitab-Nya.

Saya suka mengingatkan pada diri saya dan juga kepada mereka yang suka akan peringatan agar sebolehnya marilah sama-sama kita teruskan apa yang telah kita lakukan pada bulan Ramadhan. Antaranya seperti membaca Alquran pada setiap hari, solat sunat pada hujung malam, bersedekah dan sebagainya. Marilah kita sama-sama melaksanakannya secara istiqamah (berterusan). Mudah-mudahan sedikit sebanyak kita akan berada dalam keredhaann Ilahi hendaknya.

Kata Luqman (anak tunggal kesayangan kami), dalam proses Ramadhan meninggalkan kita, ada tiga proses yang akan berlaku, iaitu:

1. Hari kedua terakhir Ramadhan di mana bulan berkenaan bersiap-siap untuk meninggalkan kita;

2. Pada hari terakhir Ramadhan di mana bulan tersebut secara perlahan-lahan meninggalkan kita;

3. Pada hari pertama Syawal di mana Ramadhan sudah pun tiada.

Mungkin dia belajar di sekolahnya agaknya.

Apa yang termampu kita lakukan ialah dengan hanya berdoa, memohon, meminta dan merayu kepada Allah agar Dia memberikan kesempatan lagi kepada kita untuk bertemu dengan Ramadhan yang berikutnya. Jika ada ihsan dan kasihan belas daripada Allah, maka akan makbullah permintaan kita itu. Jika tidak, maka ketahuilah bahawa inilah Ramadhan terakhir buat kita. Saya bukan bertujuan untuk menakutkan tetapi sekadar mengingatkan kepada diri sendiri dan juga kepada mereka yang gemar akan peringatan. Demikianlah.

Salam dari Jasin.

Friday, August 17, 2012

MAB Kena Belajar Mendengar Keluhan Masyarakat Orang Buta



Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada beberapa orang rakan yang sentiasa membantu saya untuk mengemas kini pengetahuan serta maklumat mengenai perkembangan yang sedang melanda Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB) masa kini. Mereka yang sentiasa memberikan malumat berkaitan memang tahu bahawa saya masih belum mempunyai akaun facebook. Mereka juga tahu saya masih lagi belum menjadi ahli Cyber Club MAB. Sedangkan menerusi saluran kedua-duanya, kita akan dapat mengikuti perkembangan lebih terkini lagi. Namun begitu, ada rakan-rakan yang sudi untuk forward maklumat dan perkembangan terkini yang disebarkan menerusi kedua-dua saluran tadi kepada saya.

Selain itu, ada juga kakitangan MAB sendiri yang telah menghubungi saya dan bercerita serta sedikit apa yang sedang berlaku. Saya amat faham, anda semua sudi untuk bekerjasama dengan saya kerana kita mempunyai satu hasrat dan niat, iaitu ingin melihat martabat golongan cacat penglihatan sentiasa diangkat secara bertanggungjawab. Kita tidak mahu melihat ada pihak-pihak tertentu yang kononnya ingin mengangkat martabat golongan cacat penglihatan, tetapi apa yang dilakukan sebenarnya adalah sebaliknya. Kepada rakan-rakan berkenaan, sekali lagi setinggi-tinggi terima kasih saya ucapkan dan apa yang kalian lakukan amat saya hargai.

Sejak tulisan saya yang bertajuk “MAB: Keluhan Yang Mula Kedengaran” dipaparkan menerusi blog ini, saya telah menerima beberapa info terkini mengenai perkara-perkara yang telah menimbulkan rasa kurang puas hati dalam kalangan mereka yang cacat penglihatan terhadap MAB. Antara dokumen penting yang telah diberikan kepada saya termasuklah surat yang bertajuk “Letter Of Demand” yang ditujukan kepada Presiden MAB oleh sekumpulan orang cacat penglihatan yang menggelarkan kumpulan mereka sebagai Voice Of The Blind. Setelah meneliti kandungan surat berkenaan, maka saya kini semakin memahami perkara-perkara yang telah menimbulkan rasa kurang puas hati dalam kalangan mereka yang cacat penglihatan terhadap MAB.

Namun demikian dan buat masa ini, saya masih belum berhasrat untuk mengenengahkan menerusi blog ini perkara-perkara yang telah menimbulkan rasa kurang puas hati tersebut. Walau bagaimanapun, saya tidak menolak kemungkinan dalam masa yang terdekat perkara-perkara tersebut akan diketengahkan juga menerusi blog ini. Ia amat bergantung kepada perkembangan mutakhir mengenai isu-isu yang sedang berbangkit.

Apa yang ingin saya tegaskan dalam tulisan kali ini ialah, beberapa isu yang sedang melanda MAB hari ini bukan bermula semalam atau minggu lepas. Ia mungkin telah pun bermula sejak beberapa bulan yang lalu. Bahkan seorang kakitangan MAB memberitahu saya ada antara isu tersebut telah pun mula menjadi hangat sejak tahun lepas lagi. Namun demikian, isu yang sepatutnya dapat diselesaikan secara anak-beranak gagal diselesaikan secara demikian kerana pihak pengurusan tertinggi MAB tidak mahu mendengar pendapat dan pandangan golongan cacat penglihatan. Jatuhkah martabat si celik yang terdiri ahli Council MAB jika mereka mendengar keluhan golongan buta?

Dalam hal ini, pihak pengurusan tertinggi MAB harus sedar, walaupun sebahagian besar orang buta di Malaysia bukan ahli MAB dan mereka sekadar pengguna perkhidmatan yang disediakan oleh MAB, tetapi keluhan, pandangan, pendapat serta saranan golongan berkenaan sama sekali tidak boleh diketepikan dengan begitu sahaja. Lagi pun, pihak MAB juga harus sedar, selama ini MAB mengutip derma dengan pelbagai kaedah serta mendapat geran itu dan geran ini adalah atas nama masyarakat orang buta. Saya yakin, kalaulah tidak kerana ada nama masyarakat orang buta, masyarakat umum tidak akan menyumbang kepada MAB. MAB harus belajar mendengar keluhan orang buta!

Sebagai salah seorang yang cacat penglihatan, saya juga tidak boleh menerima alasan kononnya pembangunan yang sedang dilaksanakan di kawasan meletak kenderaan MAB adalah dengan tujuan untuk mencantikkan pemandangan. Saya bukan menolak usaha ke arah itu, tetapi wang yang begitu besar tidak perlu dibelanjakan hanya semata-mata untuk tujuan tersebut. Bila pemandangan di kawasan berkenaan sudah cantik nanti, siapakah yang akan mendapat manfaatnya, si buta macam saya atau Pengarah Eksekutif dan para ahli Council MAB yang celik matanya?

Alasan yang mengatakan bahawa bila pemandangan di kawasan berkenaan sudah dicantikkan maka ia akan mendapat perhatian dan pujian daripada orang luar juga sama sekali tidak boleh diterima. Siapa orang luar tersebut, si butakah? Selama ini MAB kutip derma untuk menjaga kebajikan dan untuk memberi perkhidmatan kepada orang buta atau kepada orang luar? Susah sangat ke untuk mendengar keluhan orang buta?

Di samping itu, beberapa perubahan dalaman yang mula dilaksanakan juga kurang memberi manfaat kepada masyarakat buta di negara kita. Patutkah, sebagai contoh, kakitangan yang sudah sekitar 30 tahun bertugas di bahagian yang mengkhusus untuk mencari pekerjaan kepada orang buta, tiba-tiba ditukarkan ke bahagian perpustakaan? Perubahan sebegini bukan sahaja akan menyebabkan kemungkinan prestasi kakitangan berkenaan akan terjejas, bahkan tugas dan tanggungjawabnya selama ini juga akan tergugat. Tidakkah pihak pengurusan tertinggi MAB sedar bahawa tugas untuk meyakinkan bakal majikan terhadap kemampuan serta kebolehan orang buta dalam pekerjaan satu tugas yang amat sulit dan sangat rumit? Bukan semua orang boleh melaksanakannya dengan baik dan berkesan. Hanya kakitangan yang cukup pengetahuan dan berpengalaman luas sahaja yang boleh melaksanakan tugas tersebut dengan cekap. Ini baru satu contoh yang saya ketengahkan.

Saya juga turut merasa hairan, apabila berlaku kekosongan untuk jawatan Pengarah Eksekutif, mengapa jawatan berkenaan tidak diisi oleh kakitangan MAB sendiri? Mengapa jawatan tersebut diberikan kepada orang luar yang mana pada hemat saya pengetahuan dan pengalamannya mengenai orang buta masih lagi di tahap zero? Sedangkan pada telekan saya, MAB tidak kurang mempunyai kakitangan yang penuh pengalaman dan pengetahuan mengenai orang buta dan mereka sebenarnya cukup berkelayakan untuk mengisi jawatan pengarah eksekutif. Pada hemat saya, terdapat sebahagian kakitangan di MAB yang sudah pun berkhidmat berpuluh tahun lamanya. Kalau pun pihak pengurusan tertinggi MAB tidak sudi memberi peluang kepada kaitangan MAB yang buta menjawat jawatan pengarah eksekutif, tak mengapalah, berikanlah jawatan tersebut kepada yang celik asalkan berkelayakan. Walaupun mereka ini celik matanya, tetapi mereka sudah cukup masak dengan keperluan, kehendak serta naluri orang buta. Adakah dalam kalangan mereka ini tidak ada seorang pun yang dirasakan layak untuk mengisi jawatan pengarah eksekutif ketika jawatan tersebut kosong sedikit masa lalu? Saya penuh yakin, walaupun tiada seorang pun kakitangan yang sedang berkhidmat di MAB kini yang menyandang gelaran itu dan gelaran ini, ia tidak bermakna mereka tidak cukup kelayakan untuk mengisi jawatan sebagai pengarah eksekutif. Dalam hal ini, adakah pihak pengurusan tertinggi MAB mengamalkan sikap kera di hutan disusukan, anak sendiri di rumah kelaparan?

Untuk maklumat bersama, antara pengasas penting MAB pada tahun 1951 ialah D.R. Bridges. Beliau merupakan seorang yang cacat penglihatannya. Itu cerita 61 tahun lalu. Hari ini, setelah 61 tahun kemudian, rasanya untuk orang buta menjawat jawatan pengarah eksekutif di MAB masih lagi tak ubah umpama jauh panggang dari api. Demikianlah jauh bezanya persepsi terhadap orang buta antara Eropah dengan Malaysia yang tercinta ini!

Sebagaimana yang telah saya nyatakan dalam tulisan saya sebelum ini, MAB sama sekali tidak boleh lari daripada fungsi asalnya iaitu sebuah badan bukan kerajaan yang ditubuhkan untuk menjaga kepentingan serta kebajikan masyarakat cacat penglihatan di negara ini. Justeru, MAB sama sekali tidak boleh ditadbir sebagaimana kita mentadbir sebuah entiti korporat. Bila usaha mencantikkan kawasan dan perkarangan MAB dilakukan secara berlebih-lebihan, maknanya MAB sudah ada banyak wang. Bila MAB sudah ada banyak duit, buat apa hendak minta derma lagi kepada orang ramai? Untuk apa lagi orang ramai dan pihak berkuasa memberi derma dan geran kepada MAB?

Saya hairan dengan sikap pengurusan tertinggi MAB kerana setelah usia MAB hampir menjangkau 61 tahun, mereka masih gagal memahami keperluan, kehendak serta naluri golongan cacat penglihatan di negara kita. Kita tidak menghalang sebarang perubahan yang hendak dilaksanakan asalkan ia bermanfaat kepada orang buta. Walau bagaimanapun, tidak semua perubahan atau pembangunan yang ingin dilaksanakan itu sesuai untuk masyarakat yang cacat penglihatannya. Dengan erti kata lain, walaupun sesuatu perubahan atau pembangunan itu nampak cantik kepada mereka yang berpenglihatan, ia tidak semestinya molek dan baik kepada golongan berkenaan. Perkara inilah yang gagal difahami oleh mereka yang berpenglihatan di negara kita.

Salam dari Jasin.

Thursday, August 16, 2012

Sebelum Aidil Fitri


Sehari dua lagi, umat Islam sekali lagi akan merayakan aidil fitri. Namun begitu, kebiasaannya menjelangnya perayaan seperti ini, khasnya aidil fitri, kita di Malaysia tidak dapat lari daripada dihidangkan dengan dua isu yang seakan tiada kesudahannya. Kedua-dua isu yang saya maksudkan ialah kemalangan jalan raya dan juga kemalangan akibat bermain mercun. Pelbagai langkah telah diperkenalkan oleh pihak kerajaan bagi membendug kedua-dua tragedi ini, tetapi setakat ini ia masih belum lagi menampakkan kejayan yang boleh dibanggakan.

Mengenai kemalanan akibat mercun, ia merupakan rutin tahunan khususnya bagi sesetenga mereka yang akan menyambut aidil fitri. Setiap bulan Ramadhan, kita pasti akan dihidangkan dengan kemalangan akibat bermain mercun. Seolah-olahnya kemalangan yang telah berlaku pada tahun-tahun sebelumnya langsung tidak memberi kesan dan tidak mampu untuk dijadikan sebagai pengajaran dan teladan oleh mangsa berikutnya. Kerap kali juga kita mendengar penyesalan datang bila kemalangan sudah berlaku. Agaknya inilah yang dibidalkan oleh orang tua-tua dahulu, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian sudah tidak berguna lagi. Kalau jari sudah putus atau mata sudah buta gara-gara bermain mercun, menangis keluar air mata darah sekali pun yang putus tak akan bersambung lagi, kebiasaannya yang buta sukar untuk celik semula. Maknanya di sini, yang patah tidak akan tumbuh dan yang hilang tidak akan berganti lagi. Kalau yang menjadi mangsa kemalangan mercun itu buta matanya dan usianya pun sudah di peringkat sekolah menengah, mungkin destinasi selanjut mangsa berkenaan ialah ke sekolah tempat saya bertugas. Manakala kalau usia mangsa mercun tadi sudah melebihi 20 tahun, mungkin destinasi selanjutnya ialah Pusat Latihan Gurney yang berada di bawah seliaan Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB). Begitulah agaknya.

Namun begitu, apa yang memeningkan kepala para researchers dalam bidang ini ialah, mengapa kemalangan akibat bermain mercun akan berlaku pada setiap tahun? Di mana silapnya?pada mangsanya atau pada peraturan yang sedia ada? Mengapa para bakal mangsa selanjutnya tidak pernah mengambil iktibar dengan apa yang telah berlaku sebelumnya?

Ada juga kes yang sama di mana yang menjadi mangsa bukannya kecil anak, tetapi golongan dewasa yang sudah lama meninggalkan era kanak-kanak. Agaknya golongan semacam ini boleh dikategorikan sebagai kanak-kanak dewasa. Walaupun suara golongan ini sudah garau dan parau, tetapi naluri mereka masih tersangkut pada tahap kanak-kanak lagi. Demikianlah agaknya.

Pihak berkuasa juga acap kali mengingatkan kepada para ibu bapa supaya mencegah anak-anak mereka daripada bermain mercun. Namun begitu ada juga segelintir kes di mana yang menjadi mangsa mercun ialah golongan berstatus bapa. Jarang saya mendengar golongan yang berstatus ibu yang menjadi mangsa mercun. Mungkin sibuk buat kuih di dapur agaknya, jadi tak ada masa untuk bermain mercun. Walau bagaimanapun, kecuaian para ibu bapa turut menjadi faktor dan penyebab mengapa saban tahun ada sahaja kanak-kanak yang menjadi mangsa mercun menjelang hari raya. Maklumlah para ibu bapa sibuk dengan pelbagai aktiviti seperti membeli-belah, buat kuih-muih, serta lain-lain persediaan untuk menyambut hari raya. Sebab itulah, ada juga berlaku di mana orang dewasa sibuk membakar lemang, kanak-kanak pula sibuk membakar mercun.

Realitinya ialah, segala peraturan yang ada masa kini masih gagal mencegah golongan berkaitan daripada terus-terusan bermain mercun. Maka itulah pada tahun ini pun kita masih mendengar ada yang sudah menjadi mangsa gara-gara bermain mercun.

Justeru, semua pihak harus menggembeling tenaga setiap ketika untuk memberi kesedaran kepada kanak-kanak yang memang kanak-kanak dan juga kepada golongan kanak-kanak yang mana fizikalnya nampak dewasa. Kesedaran sebegini harus dilaksanakan oleh pelbagai pihak. Pihak yang berkuasa boleh melaksanakannya menerusi media massa. Jangan asyik sibuk hendak berkempen politik sahaja menerusi media massa.

Manakala di sekolah pula, para guru harus berperanan lebih aktif dalam memberikan kesedaran kepada murid-murid mengenai bahaya bermain mercun. Pada musim perayaan sebeginilah tema pengajaran dan pembelajaran dalam bilik-bilik darjah boleh terarah kepada bahaya bermain mercun. Inilah yang diharapkan agar pendidikan itu sendiri dapat merentas kurikulum yang ada.

Bagi golongan yang dewasa pula, sesuatu yang bersesuaian harus dilakukan bila melihat ada pihak khasnya kanak-kanak bermain mercun. Dalam hal ini, bidalan yang berbunyi jangan jaga tepi kain orang harus diketepikan demi kebaikan semua. Apa yang boleh dilakukan ialah dengan mencegah mana-mana pihak daripada terus bermain mercun. Bukankah mencegah itu lebih baik daripada mengubati? Bahkan kalau mata sudah buta, acap kali juga ia tidak boleh lagi diubati. Begitukah yang diinginkan?

Masyarakat umum pula harus benar-benar memahami bahawa apabila ada orang lain yang melarang anak-anak kita daripada bermain mercun, ia bukan bermakna mereka ingin menjaga tepi kain kita. Sebaliknya ia bertujuan baik iaitu mengelakkan daripada perkara-perkara yang tidak diingini daripada berlaku.

Hari ini, kalau ada kesedaran yang tinggi mengenai bahayanya bermain mercun, ditambah pula dengan peranan masyarakat yang berkesan, saya penuh yakin bahawa kemalangan akibat bermain mercun pasti dapat dielakkan. Selagi tiada kesedaran dan ditambah pula dengan kurangnya peranan daripada ahli masyarakat, maka jangan kita harap kemalangan bermain mercun akan dapat dicegah.

Kita sering dihukum kerana kegagalan kita untuk mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku.

Wednesday, August 15, 2012

Selamat Bercuti Persekolahan



Hari ini merupakan hari terakhir sebelum cuti persekolahan pertengahan semester kedua. Kebetulan hari raya aidil fitri tahun ini juga jatuh dalam musim cuti kali ini. Manakala pihak kerajaan pula menerusi Kementerian Pelajaran telah mengisytiharkan esok (16 Ogos) dan lusa (17 Ogos) sebagai cuti berganti. Maknanya kedua-dua cuti esok dan lusa wajib diganti pada tarikh yang telah pun ditetapkan.



Di sekolah saya pula, perhimpunan pagi telah berjalan seperti biasa. Namun begitu, yang terserlah ialah mood untuk cuti khususnya dalam kalangan murid-murid yang begitu nyata. Keriangan mereka untuk bercuti cukup jelas pada suara dan aksi murid-murid berkenaan.



Sementara itu, dalam pesanannya kepada murid-murid, pengetua sekolah telah mengingatkan mereka supaya sentiasa mengutamakan keselamatan ketika bercuti. Katanya lagi, pastikan supaya semua murid kenal pasti bas apa dan di hentian mana mereka akan naik bas. Seterusnya, pengetua juga tidak lupa mengingatkan agar murid-murid supaya pulang semula ke sekolah pada tarikh yang telah ditetapkan. Akhirnya pengetua tidak lupa berkirim salam kepada para ibu bapa sekalian.



Manakala dalam kalangan guru-guru pula, hal yang hampir serupa juga tidak tersembunyi lagi. Keriangan dan keceriaan sentiasa mewarnai suara asing-masing. Maklumlah hari raya dan cuti pertengahan semester berlaku serentak.

Kepada semua, diucapkan selamat bercuti. Seperti kata pengetua SMPK Setapak, En. Jalaluddin Yusof, jaga diri baik-baik dan utamakan keselamatan diri.

Tuesday, August 14, 2012

MAB: Keluhan Yang Mula Kedengaran



Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB) merupakan badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan dengan golongan cacat penglihatan paling awal telah ditubuhkan di negara kita. Ia telah ditubuhkan seawal tahun 1951 lagi. Sumbangan MAB kepada golongan cacat penglihatan khususnya di negara kita bukan calang-calang besarnya sejak dari dahulu lagi. Yang Berbahagia Datin Ann Majeed merupakan antara orang yang masih bersama kita hari ini yang telah menyaksikan peristiwa penubuhan MAB ketika itu. Generasi sekarang masih ingat dan masih kenal lagi ke pada beliau?



Hari ini, MAB merupakan badan bukan kerajaan paling unggul dan paling establish jika hendak dibandingkan dengan lain-lain badan bukan kerajaan yang berkaitan dengan golongan cacat penglihatan yang terdapat di negara kita. Hal ini lebih nyata kalau kita ukur dengan dana dan aset yang dimiliki oleh MAB. Lihat sahajalah kompleks MAB yang tersergam begitu indah (kata orang) yang terletak di lokasi yang saya kira memang strategik di Brickfields, Kuala Lumpur. Tiada badan bukan kerajaan lain yang berkaitan dengan golongan cacat penglihatan yang mempunyai bangunan sendiri yang tersergam kukuh dan indah sebagaimana yang sedang dimiliki oleh MAB. Demikianlah.

Di samping itu, MAB juga turut menyediakan pelbagai perkhidmatan khusus untuk golongan yang cacat penglihatan. Antaranya termasuklah pelbagai kursus dan latihan yang dilaksanakan di bawah Pusat Latihan Gurney (GTC), perkhidmatan perpustakaan Braille dan audio, latihan dalam bidang berkaitan ICT, latihan yang berkaitan dengan aktiviti pertanian, pusat pencari pekerjaan untuk golongan cacat penglihatan,klinik kesihatan dan sebagainya. Selain itu, MAB juga turut mengadakan penjualan pelbagai barangan untuk kegunaan golongan cacat penglihatan seperti pelbagai jenis tongkat, pelbagai kategori kertas Braille, jam Braille dan jam bersuara serta pelbagai jenis barangan lain lagi.

Untuk maklumat bersama, MAB ialah pertubuhan bukan kerajaan yang memberikan pelbagai perkhidmatan kepada golongan cacat penglihatan. Rata-ratanya MAB ditadbir oleh mereka yang berpenglihatan. Penglibatan dan fungsi golongan yang tidak berpenglihatan khususnya sebagai pihak pembuat keputusan dan pembuat dasar di MAB sangat kecil dan amat sedikit. Perlu dinyatakan di sini bahawa tokoh yang telah mengasaskan MAB ialah orang yang cacat penglihatannya iaitu D.R. Bridges.



Pendek kata, fungsi, tugas serta tanggungjawab MAB terhadap golongan yang cacat penglihatan di negara ini memang tiada tersangkal lagi. Justeru, apa yang berlaku di MAB akan mempunyai kesang langsung kepada golongan cacat penglihatan. Setiap individu cacat penglihatan akan sentiasa memerhati MAB pada setiap masa dan ketika. Hal ini sedemikian kerana mereka ingin memastikan agar kepentingan mereka tidak tergugat dan akan sentiasa dijaga dengan baik sebagaimana objektif asal penubuhan badan bukan kerajaan untuk golongan cacat penglihatan yang tertua di negara kita ini.

Seperkara yang mungkin tidak ramai yang tahu ialah sebahagian besar golongan cacat penglihatan di negara kita bukan ahli MAB .Sebaliknya mereka merupakan pengguna dan penerima perkhidmatan MAB semata-mata. Ini bermakna, golongan cacat penglihatan tidak terlibat sama ada secara langsung mahupun secara tidak langsung dalam proses membuat keputusan oleh MAB.

Masyarakat umum sering tersalah tanggap mengenai fungsi MAB. Untuk pengetahuan bersama, MAB bukan rumah kebajikan untuk golongan yang cacat penglihatan. MAB juga tiada menyediakan tempat kediaman kepada mana-mana golongan cacat penglihatan yang tidak mempunyai rumah kediaman. MAB juga tidak ada menyediakan perkhidmatan memberi makanan dan minuman percuma kepada golongan cacat penglihatan yang tidak berkemampuan. Sebaliknya mana-mana badan bukan kerajaan lain yang ingin menggunakan premis MAB untuk menjalankan aktiviti masing-masing akan dikenakan bayaran tertentu.

Sejak akhir-akhir ini, pelbagai rungutan, keluhan serta rasa tidak puas hati khasnya dalam kalangan golongan cacat penglihatan terhadap MAB mula kedengaran. Pada masa yang sama, golongan berkenaan tidak boleh berbuat apa-apa di peringkat dalaman atau di peringkat pengurusan kerana mereka bukan berada di peringkat untuk membuat keputusan di MAB. Bahkan sejak beberapa hari kebelakangan ini, SMS mula tersebar khususnya dalam kalangan golongan yang cacat penglihatan yang meminta mereka agar menyalurkan apa yang mereka tidak puas hati terhadap MAB ke satu lelaman facebook. Mengapa hal sebegini berlaku?Perkara-perkara apakah yang telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan golongan cacat penglihatan terhadap MAB? Di manakah pincangnya pengurusan MAB sehingga ia sedang menimbulkan keresahan dalam kalangan sebahagian golongan yang cacat penglihatan?

Biar apa pun, bila usaha mula dilakukan dengan melibatkan internet dan ICT, ia membawa maksud permasalahan yang sedang dihadapi kian serius. Rasa tidak puas hati kian memuncak. Jika ia tidak ditangani dengan bijak, dibimbangi perkara yang mungkin pada mulanya kecil akan menjadi isu yang akhirnya nanti akan membusukkan nama MAB juga.

Buat masa ini, saya tidak bercadang untuk mengenengahkan perkara-perkara yang telah mula menimbulkan rasa tidak puas hati khususnya dalam kalangan golongan cacat penglihatan terhadap MAB. Walaupun golongan cacat penglihatan sekadar pengguna dan penerima perkhidmatan yang disediakan oleh MAB, namun segala keluhan mereka sepatutnya mendapat perhatian daripada pihak MAB. Sikap mendengar keluhan golongan sedemikian oleh MAB tiada ruginya. Lagipun, MAB acapkali menghantar surat rayuan derma ke merata-rata tempat dengan menggunakan nama masyarakat buta. Jadi eloklah jika kali ini MAB berbuat sesuatu setidak-tidaknya segala keluhan mereka itu dapat disalurkan dengan betul, tertib dan akhirnya situasi menang-menang untuk semua pihak dapat diwujudkan. Bagi saya, MAB tidak sepatutnya menunggu sehingga hujan sudah turun baru bersusah payan hendak mencari payung.

Seperkara lagi, ada antara individu yang terlibat dengan pengurusan MAB masih baru dengan masyarakat cacat penglihatan di negara ini. Pihak berkenaan mungkin gagal memahami keperluan serta kehendak golongan sasar. Justeru, mungkin beberapa perubahan yang telah dilakukan tidak disenangi ataupun dirasakan tidak memberikan manfaat dan keuntungan kepada golongan cacat penglihatan.

Barang diingat bahawa selagi objektifnya tidak diubah, MAB tetap merupakan badan bukan kerajaan untuk golongan yang cacat penglihatan yang bersifat sukarela. Ini bermakna, adalah satu kesilapan jika badan sukarela seperti ini cuba ditadbir sebagaimana mentadbir sebuah entiti korporat. Lagipun, sebuah entiti korporat bila hantar surat, bukan minta derma sebaliknya untuk beri derma.

Saya Cuma memanjangkan keluhan mereka sahaja.

Monday, August 13, 2012

Majlis Khatam Alquran Dan Iftar Ramadhan Di SMV Setapak



Petang tadi, saya berkesempatan untuk menghadiri iftar Ramadhan di Sekolah Menengah Vokasional (SMV) Setapak. Bagi murid atau bekas murid SMPK Setapak, mereka tentu tahu lokasi sekolah berkenaan. Jaraknya hanya sepelaung sahaja dari SMPK Setapak.



Majlis ini dihadiri oleh warga sekolah sama ada para gurunya, murid serta AJK PIBG. Manakala saya pula sekadar menumpang kapasiti selaku suami kepada salah seorang warganya sahaja.



Majlis ini telah dimulakan dengan solat asar secara berjemaah. Ia diteruskan lagi dengan khatam Alquran secara beramai-ramai. Untuk ini, seorang peserta akan ditugaskan untuk membaca satu juzuk Alquran. Kalau tak silap saya, seramai 60 peserta yang terlibat dengan khatam Alquran ini. Ini bermakna secara serentaknya, khatam Alquran kali ini telah dapat dilaksanakan sebanyak dua kali.

Bagus dan menarik juga cara ini. Mungkin PERTIS boleh memikirkan untuk melaksanakannya pada masa-masa yang akan datang. Ini untungnya kalau dapat peluang menghadiri majlis orang lain. Idea dan pengalaman bermanfaat seumpama ini yang dapat dikutip untuk dipraktikkan di tempat lain pula.



Majlis khatam Alquran telah berlangsung di surau sekolah. Suraunya besar juga. Saya dimaklumkan ia boleh memuatkan hampir 500 jemaah pada satu-satu masa. Manakala Ustaz Abdul Rani, salah seorang guru di SMV Setapak, pula telah memimpin majlis khatam Alquran berkenaan.





Setelah selesai majlis khatam Alquran, kami bergerak pula di dewan makan sekolah. Di sini majlis iftar (berbuka puasa) ula diadakan. Tetamu kehormat dalam majlis ini ialah Tuan Haji Zakaria Mohd Nor, salah seorang timbalan pengarah diBahagian Pendidikan Teknik Dan Vokasional (BPTV), Kementerian Pelajaran Malaysia.



Antara pengisian lain majlis kali ini termasuklah solat maghrib dan isya berjemaah serta solat sunat tarawih.

Kalau beberapa hari sebelum ini isteri saya menyertai saya untuk majlis iftar di SMPK Setapak, kini tiba pula giliran saya untuk menyertai beliau pula dalam majlis yang sama di tempat beliau bertugas.












Semoga majlis ini diberkati Allah hendaknya.