Monday, January 18, 2016

Anugerah Bergelar



Salah satu daripada kebanggaan orang Melayu ialah apabila mendapat anugerah yang membawa pelbagai gelaran. Gelaran yang paling popular ialah bila bergelar Datuk. Selain itu, antara gelaran-gelaran lain termasuklah datuk seri, datuk wira, datuk seri panglima, datuk paduka dan sebagainya. Secara umumnya, orang Melayu akan memandang tinggi, mulia dan sangat menghormati individu yang bergelar Datuk. Pada masa yang sama, mereka pula tidak pernah mempertikaikan atau mempersoalkan daripada mana anugerah gelaran Datuk diperolehi. Kebiasaannya orang Melayu akan berpesepsi kepada individu yang ada gelaran Datuk sebagai seorang yang kaya-raya, berpengaruh, tinggi darjat, berkedudukan serta dimuliakan masyarakat. Adakalanya kaum kerabat, sanak saudara, rakan taulan dan kenalan yang tak begitu mesra pun boleh dapat tempias daripada individu yang bergelar Datuk. Demikianlah.

Bagi individu yang dianugerahi gelaran Datuk pula, ia merupakan satu anugerah yang amat tinggi nilainya. Dengan berbekalkan gelaran sedemikian, pelbagai benda boleh diperolehi dan pelbagai perkara boleh dilakukan. Maka itulah gelaran Datuk sebegini menjadi idaman dan impian sebilangan orang.

Di negara kita, ada dua pihak yang boleh menganugerahkan gelaran Datuk atau lain-lain gelaran yang diiktiraf, iaitu kerajaan persekutuan dan juga kerajaan-kerajaan negeri termasuklah negeri-negeri yang tidak menggunakan sistem beraja. Lazimnya anugerah berkenaan akan disampaikan sekali dalam setahun iaitu pada hari keputeraan raja atau hari jadi TYT Yang Di-Pertua negeri. Hanya Wilayah Persekutuan sahaja yang akan memberi anugerah pada hari penubuhan Wilayah Persekutuan yang juga dikenali sebagai Hari Wilayah. Oleh kerana setiap negeri dan juga kerajaan persekutuan boleh menganugerahkan gelaran Datuk, maka setakat hari ini saya masih belum berjumpa lagi statistik sebenar berapa ramaikah individu di negara kita hari ini yang sudah dianugerahkan dengan gelaran Datuk atau lain-lain gelaran. Walau bagaimanapun, saya rasa jumlahnya bukan seratus atau seribu, mungkin jumlahnya lebih ramai daripada itu.

Mereka yang telah dianugerahkan dengan pelbagai gelaran termasuklah gelaran Datuk pula datangnya daripada pelbagai latar belakang. Kalau dahulu lazimnya ia dianugerahkan kepada golongan ahli korporat atau ahli politik, tetapi hari ini semua golongan berpeluang untuk dianugerahkan dengan anugerah berkenaan. Ia termasuklah ahli politik, golongan korporat, artis, kartunis, pegawai tinggi kerajaan, penceramah agama dan motivator, orang kelaian upaya, ahli sukan dan sebagainya. Walaupun semakin ramai individu sudah bergelar Datuk, tetapi setakat ini nilai dan status gelaran berkenaan di kaca mata masyarakat masih dipandang tinggi.

Hari ini, timbul isu anugerah gelaran Datuk yang tidak diiktiraf atau palsu. Di samping itu, kononnya ada juga individu tertentu yang sanggup membayar harga yang tinggi untuk memperolehi gelaran Datuk tersebut. Walhal apa yang dikejar hanyalah sekadar gelaran Datuk sahaja. Namun demikian, oleh kerana ia ada nilai tertentu dalam masyarakat Melayu, maka golongan tertentu sanggup membuat apa sahaja demi untuk mengejar gelaran berkenaan.

Isu gelaran Datuk yang tidak diiktiraf ini semakin menjadi-jadi apabila ia seolah-olahnya dibiarkan berleluasa tanpa sebarang tindakan pencegahan yang berkkesan. Individu yang terkena penyakit “perasan berkedudukan tinggi dan mulia” dalam masyarakat semakin berani menganugerahkan itu dan ini kepada ahli masyarakat tanpa segan silu lagi. Mungkin oleh kerana masih belum ada lagi undang-undang khusus yang mencegah mana-mana pihak yang tidak diiktiraf memberi anugerah terutamanya yang membawa gelaran itu dan ini kepada ahli masyarakat, maka pihak-pihak yang sering perasan dan ditimpa perasaan ini semakin berani memberi anugerah bergelar kepada orang ramai.

Zaman semakin berubah. Persepsi masyarakat khususnya orang Melayu terhadap anugerah bergelar juga boleh berubah. Sekiranya status anugerah bergelar itu tidak dijaga rapi, maka tidak menghairankan jika suatu hari kelak orang Melayu sendiri tidak lagi menghormati dan akan memandang rendah sahaja kepada anugerah bergelar berkenaan. Oleh itu, rasanya sudah sampai masanya nilai dan status anugerah bergelar berkenaan dijaga dan dipelihara agar status dan darjatnya tidak tercemar. Anugerah bergelar termasuklah gelaran Datuk seharusnya dianugerahkan kepada bilangan yang kecil sahaja kerana jika ramai yang sudah ada gelaran yang serupa, maka nilainya akan turun. Selain itu, anugerah bergelar juga seharusnya dikurniakan hanya kepada mereka yang berakhlak mulia dan berkelakuan baik. Di samping itu, sesiapa yang sudah mendapat anugerah bergelar, tetapi kemudiannya melakukan perkara yang buruk dan menyalahi undang-undang, seharusnyalah anugerah bergelar itu ditarik kembali. Selain itu, undang-undang khusus juga boleh diperkenalkan bagi mencegah mana-mana pihak lain daripada memberikan anugerah bergelar kepada ahli masyarakat. Untuk itu, mungkin boleh diperkenalkan iaitu hanya kerajaan-kerajaan negeri dan persekutuan sahaja yang boleh memberi anugerah bergelar.

Di salah sebuah negara jiran, ada undang-undang yang melarang rakyatnya daripada menggunakan geralan daripada negara luar. Ini bermakna, gelaran yang diperolehi daripada luar tidak diiktiraf dan tidak boleh digunakan pada pangkal nama rakyatnya. Setakat yang saya maklum, negara berkenaan ada menganugerahkan pingat tertentu tetapi ia tidak menganugerakha sebarang gelaran. Oleh itu, jika seseorang rakyatnya mendapat anugerah bergelar sebakul sekalipun, ia tidak membawa sebarang makna kerana tidak diiktiraf dan tidak boleh digunakan. Oleh kerana pemakaian gelaran tidak dibenarkan, maka tidak timbul sama sekali isu anugerah bergelar yang tidak diiktiraf terutama daripada mereka yang tidak diiktiraf kedudukannya dalam masyarakat. Ia juga dapat menghindari rakyatnya daripada ditimpa penyakit terperasan berkedudukan tinggi dan mulia di sisi masyarakat.


No comments: