Thursday, January 14, 2016

Tun Abdul Razak



Hari ini (14 Januari), genap 40 tahun Allahyarham Tun Abdul Razak bin Datuk Hussein kembali ke rahmatullah. Tiada siapa pun yang dapat menafikan bahawa Tun Abdul Razak telah pergi menghadap Ilahi dengan meninggalkan jasa yang cukup besar dan agung kepada rakyat dan negara kita. Jasa yang beliau tinggalkan pula merangkumi pelbagai aspek kehidupan.



Tun Abdul Razak merupakan antara tokoh yang telah menyediakan asas yang kukuh untuk sistem pendidikan negara kita. Ini terbukti pada tahun 1956 Penyata Razak telah dikeluarkan. Penyata berkenaan telah diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan pada 16 Mei 1956. Maka itulah kemudiannya, 16 Mei telah dipilih sebagai tarikh untuk sambutan hari guru bermula awal dekad 70-an.

Selain itu, Tun Abdul Razak juga merupakan antara tokoh yang telah berusaha kuat ke arah merealisasikan penubuhan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963. Beliau juga merupakan antara pengasas Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) pada tahun 1967.

Setelah tercetusnya tragedi 13 Mei 1969, Tun Abdul Razak telah dipertanggungjawabkan untuk mengetuai Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) dengan tujuan utamanya ialah untuk memulihkan keamanan. Beliau juga antara tokoh yang telah memperkenalkan RukunNegara sebagai ideologi negara dengan tujuan untuk mengembalikan perpaduan dan taat setia rakyat terhadap negara.

Di samping itu, Tun Abdul Razak juga telah berjaya mengukuhkan kestabilan politik negara. Ini terbukti apabila beliau berjaya membawa masuk parti Gerakan dan PAS untuk menyertai Perikatan yang kemudiannya dikenali sebagai Barisan Nasional. Kemasukan kedua-dua parti politik berkenaan ke dalam BN cukup penting. Dengan kemasukan kedua-duanya, maka Pulau Pinang dan Kelantan berjaya ditadbir oleh BN.

Selain itu, Allahyarham Tun Razak juga dikatakan orang yang telah membawa semula Tun Dr. Mahathir untuk menyertai semula UMNO pada awal dekad 70-an selepas pemecatan beliau pada tahun 1969. Kemasukan semula Tun Dr. Mahathir ke dalam UMNO sangat penting kerana ia telah membuka laluan kepada Tun Mahathir untuk menjadi perdana menteri keempat pada 16 Julai 1981. Oleh kerana mengenang budi Tun Razak terhadapnya, Tun Dr. Mahathir kemudiannya telah membuka peluang pula kepada Datuk Seri Mohd Najib untuk menjawat jawatan perdana menteri sekarang. Demikianlah jasa dibalas jasa dan budi dibalas budi.

Tun Razak juga merupakan antara arkitek penting ke arah merealisasikan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Tujuan utama DEB ialah untuk menyusun semula masyarakat supaya ia lebih adil dan saksama dari sudut ekonomi. Ia juga bertujuan agar pengenalan kaum tidak lagi berdasarkan latar belakang ekonomi semata-mata.

Di samping itu, Tun Razak juga merupakan tokoh yang telah menjalin hubungan diplomatik dengan negara China. Hubungan ini sangat penting bagi tujuan kestabilan politik dan ekonomi. Ia juga bertujuan untuk memudahkan lagi usaha membanteras pengaruh komunis di negara kita.

Satu lagi jasa besar Allahyarham Tun Razak ialah pengasasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA). Agensi tanah ini telah berperanan besar ke arah peningkatan ekonomi khasnya orang Melayu menerusi skim pembangunan tanah pertanian yang dianggap antara yang terbaik di dunia.

Jika hendak dikisahkan jasa dan pengorbanan Tun Razak kepada rakyat dan negara, memang sukar untuk dinilai. Maka itulah gelaran Bapa Pembangunan kepada beliau amat bersesuaian sekali.

Selepas kematiannya pada 14 Januari 1976, negara seolah-olah kehilangan seorang pemimpin yang masih belum ada penggantinya lagi. Walaupun selepas 40 tahun beliau kembali menghadap Ilahi, masih belum ada lagi tokoh lain yang mampu mewarisi bakat, kebolehan, kemampuan, kepimpinan, ketokohan, kewibawaan serta pengorbanan Allahyarham Tun Razak sehingga kini.

Semoga roh Tun Razak sentiasa dicucuri rahmat sepanjang masa dan ditempatkan bersama-sama mereka yang diredhai Allah.

Sesungguhnya pemergian Allahyarham Tun Abdul Razak bagai patah tak tumbuh lagi dan hilang tak berganti.

Dokumentari mengenai Tun Razak


No comments: