Friday, January 8, 2016

PAS Tidak Akan Menyertai BN



Menurut sumber berita, Majlis Syura Ulamak PAS telah bersidang beberapa hari yang lalu. Keputusan penting daripada mesyuarat berkenaan ialah PAS tidak akan menyertai BN. Untuk maklumat lanjut, boleh rujuk di
http://www.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/39316-syura-benar-kerjasama-demi-islam

Keputusan mesyuarat berkenaan agak penting. Ia sekurang-kurangnya dapat meredakan rasa gundah gulana khususnya dalam kalangan ahli akar umbi PAS itu sendiri. Sebelum ini, pelbagai maklumat tersebar mengenai ura-ura kononnya PAS akan menyertai BN. Selama ini, teka-teki sama ada PAS akan menyertai BN atau tidak sedikit sebanyak turut memberi kesan ke atas ketenangan PAS sebagai sebuah organisasi.

Namun demikian, mesyuarat berkenaan juga turut memberi lampu hijau kepada PAS untuk menjalinkan kerjasama secara tidak formal dengan mana-mana pihak termasuklah UMNO untuk kebaikan bersama. Dalam konteks yang lebih luas lagi, PAS boleh menjalinkan kerjasama dengan sesiapa pun tanpa terikat dengan mana-mana pihak ketiga. Keputusan sedemikian juga penting bagi meneruskan kerjasama PAS dengan PKR khasnya untuk kestabilan kerajaan negeri Selangor.

Keputusan tersebut juga mungkin tidak digemari oleh sesetengah pihak lain pula. Ia menjelaskan bahawa buat masa ini persoalan mengenai kemasukan PAS ke dalam BN terpaksa diperam dahulu. Buat masa ini PAS masih tidak bersedia untuk bergabung semula dengan BN. Luka lama masih berdarah lagi. Huluran tangan perdamaian daripada UMNO masih belum sedia untuk disambut oleh PAS secara rasmi.

Pada sudut yang lain, BN khususnya UMNO tidak boleh bergantung semata-mata kepada PAS untuk kestabilan parti berkenaan. UMNO harus mencari formula dan kaedah lain bagi menstabilkan pelbagai masalah dalaman yang sedang melanda parti tersebut. Mungkin masih ada ruang untuk memperolehi bantuan daripada PAS tetapi bukan dengan cara penyertaan PAS ke dalam BN. Sekiranya sebarang langkah yang akan dilaksanakan oleh UMNO/BN mempunyai kepentingan tertentu untuk PAS, ada kemungkinan besar PAS akan menghulurkan bantuan berasaskan konsep “ta’awun”.

Buat masa ini, keputusan Majlis Syura Ulamak PAS turut menghakis cakap pihak-pihak tertentu yang bermati-matian mengatakan kononnya akan berlaku kerjasama rasmi antara UMNO dengan PAS. Bahkan, mengikut pihak yang berkenaan, antara sebab sesetengah ahli PAS keluar parti tersebut dan menyertai parti lain kerana ada ura-ura akan berlaku kerjasama politik secara rasmi antara PAS dan UMNO dalam masa terdekat. Dalam masa jangka pendek, keputusan Majlis Syura Ulamak telah menafikan apa yang dinujumkan oleh pihak yang berkenaan.

Ada satu teori lain yang mengatakan bahawa sebelum ini memang ada ura-ura bahawa PAS setidak-tidaknya akan menyertai BN kalau pun tidak masuk UMNO. Namun demikian, oleh kerana menyedari UMNO kini merupakan sebuah bahtera yang sedang senget, maka PAS telah menangguhkan dahulu penggabungan berkenaan. Jika teori ini benar, maka UMNO harus menyelesaikan dahulu pelbagai masalah dalaman yang sedang dihadapinya. Bila UMNO sudah semakin stabil, barulah boleh hulurkan semula tangan persahabatan dengan PAS.

Namun demikian, PAS harus ingat, dari sudut sejarahnya, bila UMNO kuat dan stabil, lazimnya ia tidak ingat lagi untuk bersahabat dengan PAS. Bila UMNO ingin berbaik semula dengan PAS, itu menandakan parti siasah terbesar orang Melayu berkenaan sedang dilanda masalah yang serius. Kalau tak ada apa-apa, takkan tempua bersarang rendah.

Seperti yang dinyatakan tadi, walaupun PAS tidak menyertai BN, tetapi ia tidak bermakna pintu kerjasama antara kedua-dua pihak sudah tertutup. Kerjasama berasaskan konsep “ta’awun” masih boleh dilaksanakan. Walaupun pelbagai tafsiran boleh dibuat mengenai konsep berkenaan, sebaik-baiknya ikutlah kaedah “ta’awun” sebagaimana yang disarankan oleh Alquran, iaitu untuk tujuan kebaikan dan takwa dan jangan sekali-kali berta’awun untuk tujuan melakukan dosa dan permusuhan.

Jika ahli politik merupakan pelakon, pemerhati politik pula adalah penontonnya.


No comments: