Friday, August 28, 2009

Bicara Jumaat

Erti Kematian

Yang dimaksudkan dengan mati ialah berpisahnya roh dengan badan.
Ada juga yang membuat deefinisi mati itu dengan berhentinya jantung
berdenyut, bekunya darah dan sebagainya. Sebenarnya definisi yang
mengatakan keluarnya roh dari badan tidak bertentangan dengan
definisi yang lain.

Apabila roh sudah keluar dari badan sudah pasti jantung akan diam,
darah beku, bahkan seluruh anggota tubuh tidak berfungsi lagi.

Untuk lebih jelas tentang kematian ini, kita bincangkan proses
keluarnya roh dan siapa yang mencabutnya. Yang mencabut roh adalah
Malaikalmaut ataupun Izrail. Perbezaan Malaikalmaut dengan Izrail,
Izrail ialah ketuanya, sedangkan Malaikalmaut ialah setiap malaikat
yang turun membantu pencabutan roh tersebut.

Malaikat Izrail a.s mempunyai pembantu dalam mencabut nyawa manusia,
sekalipun pada akhirnya Izrail juga yang mencabut nyawa. Roh itu
dicabut oleh malaikat-malaikat maut dari sekujur tubuh manusia,
kemudian setelah sampai ke ubun-ubun barulah ditarik oleh Malaikat
Izrail a.s.

Pertama sekali roh itu ditarik dari tumit atau kaki, menjalar sampai
ke betis, paha, perut, dada, kerongkong, kepala dan pada akhirnya
dicabut oleh Malaikat Izrail a.s. dari ubun-ubun. Orang yang dicabut
rohnya merasa cukup pedih kerana roh itu dicabut dari sekujur tubuh.
Cubalah bayangkan bagaimana sakitnya jika dicabut satu urat dari tubuh
kita? Untuk lebih dekatnya kepada pemahaman kita bagaimana perasaan
kita jika dicabut sehelai rambut dari misai atau janggut? Sedangkan
sehelai rambut sudah sakit, apa lagi urat. Dan yang dicabut itu
bukannya satu urat tetapi berjuta-juta urat, bukan satu sel tetapi
berjuta-juta sel kerana tempat roh itu meliputi seluruh badan.

Apabila roh sudah meninggalkan tumit, mulailah tumit berasa dingin,
begitu juga apabila meninggalkan betis dan paha. Dan apabila roh
sudah sampai di kerongkong ia bertahan sejenak. Saat inilah yang
disebut ghargharah, yang mana taubat atau penyesalan seseorang tidak
diterima lagi, sesuai dengan hadis Rasulullah s.a.w. yang mafhumnya "
Sesungguhnya Allah sentiasa menerima taubat hambaNya selama mana belum
sampai ke ghargharah."

Setelah itu roh tadi berjalan sampai ke ubun-ubun, kemudian dicabut
oleh Malakat Izrail. Ketika roh itu keluar, mata turut mengiringinya.
Itulah sebabnya mata orang yang meninggal selalunya terbelalak atau
melihat ke arah ubun-ubun.

Mata si mayat yang terbelalak tadi hendaklah dipejamkan, begitu juga
mulutnya apabila ternganga hendaklah ditutupkan. Ini dilakukan, di
samping untuk mengelokkan pandangan, juga untuk mengelakkan kotoran
atau serangga yang ditakuti masuk ke mulut atau mata si mati. Dan
juga disuruh melipat tangan si mati serta meluruskan kakinya. Ini
semua perlu disegerakan kerana kalau lambat mata dan mulutnya tidak
boleh ditutup lagi dan tangannya sudah kaku.

Kematian adalah satu hal yang pasti akan terjadi dan akan dialami oleh
semua yang bernyawa. Cuma bila dan di mana seseorang itu akan mati
tidak diketahui kecuali Allah s.w.t. Kalau ajal sudah tiba, tidak
boleh ditangguhkan atau dipercepatkan dari waktu yang sudah
ditetapkan. Di samping itu kita tidak boleh lari atau bersembunyi
untuk menghindari diri daripada maut atau mati.

(Dipetik daripada: Menuju Alam Kubur, oleh , Drs Syahrin Nasution.)

Sesungguhnya saat kematian seseorang merupakan antara perkara yang
dirahsiakan oleh Allah daripada pengetahuan manusia. Pun begitu,
setiap saat dan ketika kita akan melihat kematian atau akan mendengar
berita mengenai kematian. Sampai ke satu ketika di mana orang lain
pula yang melihat kematian kita, atau mendengar berita mengenai
kematian kita. Walaupun kita melihat atau mendengar mengenai kematian
hampir setiap ketika, tetapi dalam kebanyakan hal saat kematianlah
antara yang paling kita alpa. Ada juga di antara kita yang berkata:
"Memang kita semua akan mati, tapi rasanya saya esok atau lusa tak
mati lagi agaknya". Kata-kata seperti ini seolah-olah menunjukkan
orang berkenan takut mati, tidak bersedia untuk mati atau mungkin juga
masih bercita-cita untuk hidup seribu tahun lagi. Dalam hal ini, bagi
saya, orang yang paling rugi ialah mereka yang sering melihat atau
mendengar mengenai kematian tetapi tidak pernah insaf dengan kematian.

Salam dari Kuantan.

Menungan Pagi

Corat-coret Berita Kematian Dato' Ismail Kamus

Sekitar jam 10.50 malam tadi, tatkala dalam perjalanan ke Kuantan,
saya menerima SMS yang mengatakan Dato' Ismail Kamus telah meninggal
dunia. Saya terkejut. Kebetulan, Saya baru sahaja menziarahi
keluarga Allahyarham Prof. Dato' Dr. Ismail Salleh siang tadi. Kini
satu lagi Ismail kembali ke rahmatullah. SMS pertama tadi disusuli
lagi oleh beberapa SMS lain dengan isi berita yang hampir sama. Boleh
dikatakan setiap SMS turut meminta dibacakan Alfatihah. Oleh kerana
berita belum sahih, saya pun tangguh baca Alfatihah untuk "arwah"
tersebut. Saya pun terus menghubungi orang yang saya kira mungkin
boleh mengesahkan berita ini, tetapi beliau sedang solat tarawih pula.
Akhirnya, sekitar jam 11.30 malam saya pun menerima satu SMS yang
menafikan tentang berita kematian Dato' Ismail Kamus. Ia turut
disahkan oleh saudaranya, Muhammad Kamus. Menurut isi SMS berkenaan,
Dato' Ismail Kamus berada di Makkah dan sihat walafiat.

Pagi ini, saya tertarik dengan kenyataan mengenai berita kematian
Dato' Ismail Kamus dalam laman blog Ustaz Misbahul Munir. Kenyataan
beliau adalah seperti berikut:

Sejak petang tadi, sehingga malam ini puluhan sms saya terima yang
mengatakan Datuk Ismail Kamus telah menghembuskan nafas terakhir. Ada
yang menerima bulat-bulat berita ini tanpa usul periksa dan
memanjangkan kepada orang lain. Ada juga yang sangsi dan bertanya saya
akan kebenaran berita ini.

Saya segera menghubungi Hj Najib, orang Bagan Datoh, antara yang
paling rapat dengan Datuk Ismail Kamus, beliau secara tidak rasminya
juga kadang-kadang menjadi pembantu Datuk Ismail Kamus.

Beliau ketawa besar menjawab pertanyaan saya, dia kata " apa ni yob,
Datuk ada di Mekah, buat umrah, dia meninggalkan tanah air ke Mekah,
bukan meninggal dunia, baru kejap tadi kawan di Mekah beritahu elok
aje dia sihat, dia pun tahu heboh di Malaysia, ada juga kawan-kawan
yang sedang umrah terima mesej yang sama".

Kita pun tak tahu angkara siapa ini, yang heboh di tv, Prof Dr. Ismail
Salleh, Senator OKU yang diberitakan telah meninggal dunia, bukan
Ismail Kamus. Semuga Dr. Ismail ditempatkan rohnya bersama dengan
orang-orang yang saleh.

Satu ketika dulu, sewaktu Ust Fadhil Noor masih terlantar di hospital,
berita Ust Fadhil meninggal dunia tersebar mendahulu hari kematian
yang sebenar. Begitu juga Ust Hasan Shukri, ketika itu beliau Naib
Presiden juga pernah tersebar dalam mesej yang beliau telah meninggal
dunia, ketika itu saya berada di Kota Kinabalu, kawan-kawan kita pun
terus sedekah fatihah dan buah majlis tahlil. Dr. Abdul Aziz Hanapi
pun pernah tersebar berita kematiannya begitu meluas sampai ke Mesir.
Sehingga sekarang Ustaz Hassan Shukri masih sihat begitu juga Dr.
Abdul Aziz Hanapi.

Yang untung Celcom dan Marxis.
http://www.misabah.blogspot.com

Thursday, August 27, 2009

Ucapan Takziah

Takziah Kepada Keluarga Allahyarham YB Prof. Dato' Dr. Ismail Md Salleh

Sekitar jam 4.58 pagi tadi, saya menerima SMS yang memaklumkan bahawa
Yang Berhormat Senator Prof. Dato' Dr. Ismail bin Md Salleh telah
kembali ke rahmatullah. Khabarnya, beliau telah menghembuskan nafas
terakhirnya ketika dalam perjalanan pulang dari China. Setakat ini,
tiada maklumat lanjut mengenai tujuan beliau ke China. Sekitar jam
6.00 pagi, saya menerima SMS lagi yang memaklumkan jenazah beliau
masih di Singapura dan akan dibawa balik secepat mungkin untuk upacara
pengkebumian. Setakat waktu ini (jam 10.35), saya menerima maklumat
yang jenazahnya akan sampai petang ini juga untuk upacara pengkebumian
di Kajang. Kali terakhir saya berada dalam majlis yang sama dengan
beliau ialah pada 9 Ogos lalu dalam sesi dialog antara badan bukan
kerajaan (NGO) bersama YB Dato' Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Sesungguhnya pemergian Allahyarham merupakan kehilangan yang sangat
besar khasnya kepada golongan cacat penglihatan. Beliau telah banyak
mencipta sejarah bukan sahaja untuk diri dan peribadi beliau, tetapi
turut memberi kesan dan impak yang sangat besar kepada reputasi dan
martabat golongan cacat penglihatan keseluruhannya. Dapatlah saya
katakan, dalam banyak hal yang menyangkut golongan cacat penglihatan,
beliau merupakan "orang yang pertama". Selain sebagai presiden
Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB) masa kini, menurut rekod
beliau juga merupakan ahli PERTIS bagi negeri Kelantan.

Secara peribadi, saya merasa sangat dukacita dengan pemergian beliau.
Namun begitu, kita semua harus akur bahawa ketentuan dan takdir Allah
tiada siapa yang dapat menolaknya. Dengan ini, saya serta seluruh
keluarga saya dan juga selaku Naib Yang Dipertua Persatuan Orang-orang
Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) mengucapkan takziah kepada
keluarga Allahyarham. Semoga Allah menempatkan roh beliau
bersama-sama golongan solihin.
Alfatihah ..

Wednesday, August 26, 2009

Bicara Politik

Keputusan Pilihanraya Kecil Permatang Pasir: Sekadar Coretan

Semalam (25 Ogos) satu lagi pilihanraya kecil telah dilaksanakan dan
kali ini ia melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir,
Pulau Pinang. Umum telah ketahui, calon PAS En. Mohd Salleh Man telah
berjaya menewaskan calon bN dengan majoriti 4551 undi. En. Mohd
Salleh telah berjaya meraih 9618 undi, manakala En. Rohaizat Othman
berjaya meraih 5067 undi. Setelah 8 pilihanraya kecil diadakan
selepas pilihanraya umum ke-12 pada 8 Mac tahun lalu, calon-calon
Pakatan Rakyat (PR) telah memenangi 7 kali berbanding satu kemenangan
yang diraih oleh BN. Kesemua kemenangan PR adalah di Semenanjung,
manakala BN berjaya meraih kemenangan sagu hati di Sarawak. Bagi
saya, kemenangan PR yang paling manis ialah di parlimen Kuala
Terengganu pada awal tahun ini. Kemenangan tersebut dikatakan paling
manis ialah kerana kejayaan calon Pas YB Mohd Abdul Wahid Endut
merampas kerusi tersebut daripada BN. 6 lagi kemenangan PR ialah
sekadar untuk mengekalkan kerusi yang telah dimenangi sebelumnya.

Dalam reaksi awal para pemimpin BN terhadap kekalahan calonnya
semalam, mereka hanya menyebut "sekurang-kurangnya mereka dapat
mengurangkan majoriti yang diperolehi oleh calon PAS". Dalam
pilihanraya kecil kali ini, majoriti yang diperolehi calon PAS ialah
sebanyak 4551 undi. Manakala dalam pilihanraya umum tahun lalu, calon
PAS ketika itu berjaya meraih majoriti sebanyak 5432 undi. Ini
bermakna, majoriti yang berjaya diperolehi oleh calon PAS kali ini
hanya berkurangan sebanyak 881 undi jika dibandingkan dengan
pilihanraya umum tahun lalu. Namun demikian, oleh kerana sudah tidak
ada lagi sebab/alasan/faktor/modal lain yang boleh diguna pakai,
pengurangan majoriti sebanyak itu pun sudah memadai untuk UMNO menutup
dan seterusnya dijadikan penawar bagi kekalahan yang memalukan itu.

UMNO/BN masuk bertanding dalam pilihanraya kecil di Permatang Pasir
kali ini dengan berbekalkan kekalahan tipis mereka dalam pilihanraya
kecil di Manek Urai pada 14 Julai lalu. Dalam pilihanraya tersebut,
UMNO/BN hanya tewas 65 undi sahaja di tangan calon PAS. UMNO penuh
yakin sokongan rakyat terhadapnya semakin bertambah. UMNO/BN juga
yakin isu-isu tertentu seperti isu penjualan arak di Selangor dan isu
Kampung Buah Pala di Pulau Pinang boleh dieksploitasi dan mampu
dimanipulasi sebagai modal untuk memenangi hati pengundi di Permatang
Pasir. Tindakan ADUN Lunas di Kedah yang keluar dari PKR di saat-saat
akhir menjelang pilihanraya kecil di Permatang Pasir turut tidak
berkesan dan tidak memberi bekas kepada para pengundi. Rupa-rupanya
senyum sengih UMNO/BN yang mula terukir di Manek Urai berderai menjadi
tangisan hiba di Permatang Pasir.

Sebenarnya, UMNO/BN harus realistik dalam meneliti faktor/sebab
kekalahan mereka dalam 7 pilihanraya kecil yang lalu, termasuklah yang
terbaru di Permatang Pasir. Di Permatang Pasir, UMNO/BN harus akur
kepada aura dan kekuatan pengaruh Dato' Seri Anwar Ibrahim yang juga
merupakan ahli parlimen Permatang Pauh di mana DUN Permatang Pasir
terletak dalam kawasan parlimen tersebut. Walau bagaimanapun Dato'
Seri Anwar diburuk-burukkan seperti slogan "Anwar Pengkhianat", namun
ia tidak sama sekali melunturkan kepercayaan, kesetiaan, dokongan dan
sokongan rakyat terhadap Dato' Seri Anwar. Ada kalanya slogan
melampau sedemikian hanya menambah lagi kebencian rakyat terhadap
UMNO/BN. Kita sama sekali tidak boleh menafikan kemenangan calon PAS
di Permatang Pasir adalah kerana kekuatan pengaruh yang masih dipunyai
dan dimiliki oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim. Sepatutnya dari awal lagi
UMNO/BN harus insaf slogan "Anwar Pengkhianat" sama sekali tidak laku
di Permatang Pasir.

Selama ini, UMNO/BN sangat bergantung kepada media massa dokongannya
bagi melaksanakan kempen untuknya terutama dalam pilihanraya.
Sepatutnya selepas pilihanraya umum tahun lalu dan ditambah pula
dengan kekalahan 6 kali dalam pilihanraya kecil selepasnya (tidak
termasuk kekalahan di Permatang Pasir), UMNO/BN harus insaf media
massa dokonganya sudah tumpul, tidak dipercayai lagi dan sudah hilang
taringnya. Bahkan ada sebilangan rakyat yang sudah muak dan mual bila
menatap, membaca, melihat atau mendengar media massa dokongan UMNO/BN.
Gaya dan cara berkempen untuk UMNO/BN oleh media massa arus perdana
tertentu yang tidak pernah berubah sejak dari zaman pra-Malaysia itu
mengakibatkan pengaruhnya semakin pupus ditelan masa. Sehingga ke
pilihanraya kecil Permatang Pasir, media massa dokongan UMNO/BN akan
berat sebelah, ada kalanya menyembunikan fakta sebenar, mengampu yang
berlebihan, membuat komen yang keterlaluan dan sebagainya hanya
mengakibatkan media tersebut semakin tidak diyakini.

Dalam pilihanraya kecil semalam, UMNO/BN sekali lagi gagal meletakkan
tokoh yang benar-benar berwibawa, bersih dan mesra rakyat sebagai
calonnya. Apabila nama calon untuk mewakili UMNO/BN diumumkan, maka
pelbagai temelang dan temberang calon pilihannya disingkap lawan.
Daripada isu calon tersebut dengan Majlis Peguam hinggalah ke isu
beliau dengan isterinya, semuanya diselak dan diperkatakan. Itulah
asam garam dalam politik. Namun begitu, mengapa isu-isu yang serupa
tidak timbul kepada calon PAS? Dengan ini rakyat khususnya pengundi
di Permatang Pasir dapat membuat perbandingan nyata calon mana yang
lebih bersih. Nampaknya UMNO/BN gagal belajar dari kekalahan mereka
di Kuala Terengganu. Antara sebab kekalahan tersebut ialah dikatakan
calon UMNO/BN dalam pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu tidak
mesra rakyat, sombong dan macam-macam lagi. Dalam konteks ini,
UMNO/BN sekali lagi dihukum di Permatang Pasir kerana gagal belajar di
Kuala Terengganu.

Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah dilantik sebagai Ketua Badan
Perhubungan UMNO Pulau Pinang sejurus selepas pemilihan UMNO pada
hujung Mac lalu. Tujuan beliau dilantik untuk mengetuai UMNO Pulau
Pinang sudah tentulah bertujuan untuk memantapkan semula UMNO Pulau
Pinang di samping untuk meraih semula kepercayaan dan sokongan rakyat
terhadap parti tersebut. Namun begitu, objektif dan matlamat tersebut
masih belum dapat direalisasikan. Kekalahan calon UMNO/BN dalam
pilihanraya kecil di Permatang Pasir semalam memberi petunjuk bahawa
kepimpinan Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak diterima di Pulau
Pinang. Dengan erti kata lain, selaku Ketua Badan Perhubungan UMNO
Pulau Pinang, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah gagal dalam
ujian pertamanya.

Walau bagaimanapun, buat masa ini, kekalahan calon UMNO dan
kemenangan calon PAS tidaklah memberi kesan besar kepada politik
negara. Ia lebih merupakan manifestasi senario politik negara masa
kini. Tidak ada kerajaan yang sedia ada tumbang atau kerajaan baru
yang naik hasil keputusan pilihanraya kecil di Permatang pasir
semalam. Namun begitu, yang tersungkur tetap tersungkur.

Adalah tidak salah untuk saya berkongsi pengetahuan dan pengamatan
saya mengenai politik.

Tuesday, August 25, 2009

Menungan Asar

"Kali Ini Baru Aku Rasa Aku Buta"

Pagi tadi, tatkala hendak solat subuh, saya telah charge hand phone
saya. Walau bagaimanapun, setelah masa yang sepatutnya batrinya penuh
dan bila saya hendak menggunakannya semula, sekonyong-konyong saya
dapati perisian suaranya (talks) tidak berfungsi lagi. Puas saya cuba
berbagai cara, namun handphone saya tetap "bisu". Saya pun cabut
batrinya dan setelah beberapa ketika saya pasang semula. Namun
handphone saya tetap membisu tanpa suara.

Bila perisian suara (Talks) handphone saya tidak berfungsi lagi, ini
bermakna saya tidak boleh lagi membaca atau menghantar message. Saya
tidak boleh lagi mengakses pelbagai maklumat yang saya simpan dalam
handphone saya, termasuklah pelbagai catatan dan nota berkaitan
pengajaran untuk murid-murid saya yang banyak disimpan dalam memory
card handphone saya. Di samping itu, banyak catatan mengenai PERTIS
turut tersimpan dalam handphone. Catatan peribadi juga banyak
tersimpan di dalamnya. Selain itu, banyak nombor telefon, alamat
email dan laman web yang belum berkesempatan saya salin semula.
Setakat saat perisian tersebut membisu, ada 608 contact number dalam
handphone saya. Selain itu, saya tidak dapat lagi mengetahui siapa
pemanggil sebagaimana yang terpapar pada skrin. Saya hanya boleh
membuat panggilan secara manual, itupun sekadar nombor yang saya dapat
ingat sahaja kerana saya tidak dapat lagi akses kepada contact
sebagaimana biasa. Semuanya sudah tidak boleh lagi. Saya sudah
kembali "buta" semula. Kebetulan pula, saya berada di Melaka lagi.
Jadi rakan dan kawan yang boleh menolong berada jauh di KL. Termenung
juga saya dibuatnya.

Saya pun menghubungi seorang bekas anak murid yang kebetulan bekerja
sebagai penjual handphone. Setelah beliau mendengar maklumat daripada
saya, beliau berpendapat perisian Talks pada handphone saya sudah
corrupt. Katanya lagi, kemungkinan besar handphone saya harus
diformat semula. Lagi termenung saya dibuatnya. Kemudiannya saya pun
menghubungi pula seorang rakan baik yang tinggal di Putrajaya. Beliau
berpendapat, ada kemungkinan handphone saya tidak perlu diformat
semula. Walau bagaimanapun, beliau bersetuju untuk menolong saya
asalkan saya sanggup ke Putrajaya. Kebetulan juga, saya memang
merancang untuk pulang semula ke KL hari ini juga.

Jam 11.30 saya sudah di Putrajaya dan terus menemui rakan baik saya
itu. Akhirnya, perisian Talks dapat diinstall semula ke handphone
saya dengan selamat tanpa perlu diformat semula. Saya lega. Tuhan
belum lagi menganugerahkan saya nikmat penglihatan dalam erti kata
yang sebenar. Yang dianugerahkan kepada saya selama ini Cuma nikmat
gantiannya sahaja (melalui perisian Talks). Itu pun bila perisian
Talks corrupt untuk sementara waktu, saya sudah merasai satu
kehilangan yang besar.

Kepada Saudara Amat Onggak, saya ucapkan "jazakallahu khairan
kathiran" dan berbanyak-banyak terima kasih. Ini bukanlah kali
pertama beliau menolong saya dalam berbagai hal.

Maha suci Allah yang berkuasa mencelikkan para hamba-Nya walaupun
bukan dengan deria mata.

Monday, August 24, 2009

Menungan Pagi

Buka Radio Di Surau

Bagi saya, fenomena sesetengah surau atau masjid yang buka radio dan
diperdengarkan di corong pembesar suaranya bukan satu situasi baru.
Saya pernah menemuinya sejak akhir dekad 80-an lagi. Ketika itu,
bilangannya masih sedikit dan tidaklah begitu ketara. Lagipun, waktu
radio tersebut dibuka dan diperdengarkan kepada umum terbatas, iaitu
ketika hampir waktu solat dan hanya untuk memperdengarkan bacaan
Alquran semata-mata. Ini bermakna, nasyid, zikirr apatah lagi kalau
lagu memang jarang diperdengarkan seperti itu.

Hari ini, "gejala" tersebut semakinmenjadi-jadi pula. Saya rasa,
bilangan tempat-tempat solat seperti surau atau masjid yang buka radio
dan diperdengarkan menerusi corong pembesar suaranya semakin banyak
dan bertambah. Saya tidaklah sampai mengatakan ianya salah selagi apa
yang diperdengarkan itu relevan dengan tempat, persekitaran dan
kepentingan setempat. Tetapi tertanya juga dalam hati ini, mengapa
terjadinya fenomena sedemikian? Adakah jumlah qari yang boleh
memperdengarkan bacaan Alquran menerusi corong pembesar suara di
masjid atau surau di sesetengah tempat semakin pupus? Kalau waktu
sebelum subuh, alangkah merdunya jika bacaan tarhim diperdengarkan,
tiada lagikah orang yang boleh memperdengarkan bacaan tersebut? Kalau
pun golongan orang di atas sudah pupus di kawasan tersebut, tidak
bolehkah diperdengarkan sahaja bacaan Alquran menerusi kaset, CD atau
MP3?

Nak jadi cerita, pagi tadi, sewaktu saya dan keluarga sedang
bersahur, tiba-tiba satu kampung bergema dengan lagu Inggeris. Saya
hairan juga. Bukannya sekejap, sempatlah "berhibur" dengan beberapa
buah lagu. Agaknya pihak yang berkaitan baru perasan, akhirnya mereka
pun carilah stesen radio yang betul. Rupa-rupanya mereka tersalah
buka stesen radio. Kebiasaannya mereka akan perdengarkan radio IKIM.
Agaknya pagi tadi stesen radionya teralih sedikit.

Yang pastinya fenomena di atas terjadi gara-gara semakin pupusnya
golongan yang berkemampuan untuk memperdengarkan bacaan Alquran secara
terus, bukan lagi menerusi kaset, CD atau MP3. Adakah ini suatu tanda
awal bahawa Alquran itu mula diangkat???

Salam dari Melaka.

Saturday, August 22, 2009

Bicara Ramadhan

Selamat Menyambut Ramadhan 1430 Hijrah

Rasanya tidak terlewat untuk saya mengucapkan selamat menyambut
Ramadhan 1430 Hijrah kepada semua pengunjung blog ini dan kepada
sekalian muslimin dan muslimat tanpa mengira di mana berada. Ramai
juga blogger yang telah mengutarakan ucapan yang lebih kurang sama
lebih awal daripada saya. Kelewatan saya memasukkan ucapan ini
lantaran kesihatan yang kurang memuaskan.

Saya berdoa semoga kita sama-sama akan dapat memanfaatkan
semiksimumnya kehadiran Ramadhan kali ini kerana tiada kepastian kita
akan bertemu dengan Ramadhan yang berikut. Memang semua orang
berharap dan berharap agar ini bukan Ramadhan terakhir, tetapi takdir
dan kuasa Allah tiada siapa pun yang mampu menduga dan menyalahinya.
Seharusnya, bila tiba Ramadhan, kita patut beranggapan bahawa mungkin
ini merupakan Ramadhan terakhir untuk kita. Setidak-tidaknya ia
merupakan satu motivasi untuk kita melipatgandakan ibadah kita
kepada-Nya. Lagipun, Rasulullah S.A.W. pernah bersabda yang antara
lain mafhumnya: "Beribadatlah kamu Kepada Allah sekuat-kuatnya
seolah-olah kamu akan mati pada esok ari, bekerjalah kamu
sekuat-kuatnya seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya."

Amat rugilah orang yang mensia-siakan kehadiran Ramadhan kerana
Ramadhan mengandungi pelbagai nikmat dan rahmat Allah, hanya kita
sahaja yang tidak mengetahuinya. Lagipun, Rasulullah S.A.W. pernah
bersabda yang antara lain mafhumnya: "Jika umatku mengetahui kelebihan
dan kebaikan yang terdapad dalam bulan Ramadhan, nescaya mereka akan
memintanya untuk sepanjang tahun."

Seperkara lagi, kita harus menjadikan keheningan Ramadhan untuk
melakukan muhasabah diri. Muhasabah diri merupakan suatu perkara yang
jarang dilakukan kerana selama ini ramai di antara kita yang sering
menganggap apa yang kita lakukan betul belaka. Sebagai insan, kita
tidak sunyi daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. Hanya
menerusi muhasabah diri bersempena dengan Ramadhan ini, insha-Allah
kita akan lebih menyedari hakikat bahawa kebenaran bukan hanya kerana
dia berpangkat, berkedudukan, tetapi kebenaran itu ialah milik mereka
yang menjunjung tinggi Alquran dan sunnah Rasulullah. Seterusnya,
menerusi muhasabah diri juga, kita tidak akan keberatan untuk mengakui
kesilapan dan kesalahan sendiri, sanggup meminta maaf dan memaafkan
dan memperbaiki mana yang kurang.

Saya bukan ustaz atau orang alim, hanya sekadar berkongsi peringatan.

Friday, August 21, 2009

Bicara Blog Baru

Selamat Datang Ke Dunia Maya

Sebentar tadi, seorang lagi rakan cacat penglihatan telah menghubungi
saya dan memaklumkan yang dia juga baru sahaja memulakan blog sendiri.
Rakan yang saya maksudkan ialah cikgu Mohd Jais bin Ismail, yang juga
merupakan rakan yang sama tempat bertugas dengan saya. Kebetulan
sewaktu saya mendapat maklumat tersebut dari beliau, saya ada sedikit
masa dan terus masuk ke blognya. saya dapati baru ada dua posting.
Posting pertamanya menyentuh persoalan sosial, manakala posting
keduanya pula mengenai perkara politik.

Di sini, saya ingin mengucapkan selamat datang ke dunia maya kepada
beliau. Saya yakin, dengan kehadiran beliau dalam dunia maya ini,
akan semakin meriah dan akan tambah semaraklah dunia blog orang kita.
Marilah kita sama-sama menyuarakan apa yang benar demi kebenaran dan
demi yang Mencipta kita.

Kepada yang berkelapangan, singgahlah ke www.mesrabicara.blogspot.com
Selain itu, blog beliau ada tersenarai dalam Laman Sesawang Kendalian
Blogger Cacat Penglihatan dalam blog ini.

Bicara Jumaat

KEUTAMAAN RAMADHAN

Ramadhan ialah bulan Qamariyah yang kesembilan. Asal maknanya ialah
: panas yang sangat terik. Dinamakan demikian kerana lazimnya pada
bulan ini cuacanya amat panas. Maka sempena dengan nama tersebut,
semoga Ramadhan akan membakar dan melebur segala kekotoran dosa orang
yang berpuasa dan menghayati bulan mulia penuh barakah ini dengan
pelbagai ibadah.

Dikatakan bahawa puasa itu ada tiga tingkat iaitu:
1 Puasanya orang awam
Iaitu menahan kemahuan perut dan kemaluan daripada memperturutkan hawa nafsu
2 Puasa orang khawash (istimewa)
Iaitu puasa para Solihin, menahan semua organ-organ tubuhnya daripada
membuat dosa. Puasa itu akan dapat sempurna dengan menjaga dari lima
perkara iaitu:
• Memejamkan mata dari sesuatu yang tercela menurut syarak(agama)
• Menjaga lisan atau (mulut) dari perkataan / membicarakan orang lain
yang tidak disukai oleh orang itu, meninggalkan perkataan dusta,
mengadu domba dan sumpah palsu.
• Menahan telinga dari mendengar sesuatu yang dibenci
• Menahan semua anggota badan dari semua yang dibenci, menahan perut
dari makanan syubhat (yang diragui status halalnya) di waktu berbuka
puasa, kerana tidak ada gunanya kalau berpuasa meninggalkan makanan
halal lalu berbuka dengan makanan yang haram, ibarat seseorang
menghancurkan sebuah kota hanya untuk membangunkan sebuah gedung.
• Hendaklah orang berpuasa itu tidak terlalu banyak makan, sampai
penuh perutnya saat berbuka, walaupun makanan itu halal.

3 Adapun puasa orang paling istimewa adalah menahan hati dari
kemahuan yang rendah/kotor dan dari pemikiran terhadap duniawi, serta
menahan pemikiran dari selain dari Allah secara keseluruhannya
(total). Apabila orang yang teristimewa ini berpuasa kemudian
berfikir kepada selain daripada Allah, maka batallah puasanya. Dan
adalah martabat para Nabi dan para shadiqqin, dan hakikat dari
kedudukan ini adalah menghadap Allah secara total dan berpaling dari
selainNya.
Dikatakan bahawa hikmat diwajibkan berpuasa selama sebulan (tiga puluh
hari) ialah sewaktu Nabi Adam a.s makan buah pohon khuldi di syurga,
maka buah itu tersangkut di ternggoroknya selama tiga puluh hari.
Maka tatkala dia telah bertaubat, Allah mewajibkan baginda berpuasa
selama tiga puluh hari tiga puluh malam.
Kerana sesungguhnya kelazatan dunia itu ada empat macam; makan, minum,
senggama dan tidur. Kesemua ini menjadi hijab atau penghalang bagi
hamba dari Tuhannya Allah s.w.t.
Dan Allah mewajibkan Nabi Muhammad beserta umatnya berpuasa di siang
hari dan dibenarkan makan di malam hari adalah merupakan anugerah
Allah dan kemurahannya kepada kita.

Adab-adab ketika berpuasa
1. Jangan banyak berludah
2. Jangan membuang masa dengan berbual-bual kosong, bermain terup,
main dam dan sebagainya.
3. Menjauhkan diri dari melihat perkara-perkara lagha apatah lagi yang haram
4. Menjauhkan diri daripada segala pendengaran yang haram
5. Jangan mengeluarkanperkataan-perkataan yang "lagha" , lebih-lebih
lagi mencarut atau kotor.
6. Menguasai tangan dari melakukan perbuatan lagha dan haram dan
menahan kaki dari berjalan-jalan ke tempat maksiat.
Hikmah dan faedah puasa
• Sebagai tanda bersyukur pada Allah atas limpah nikmatNya yang tak terhingga
• Mendidik nafsu dari nafsu Ammarah (banyak mengajak kearah
kerosakkan) ke tahap Nafsu Lawwamah (berhati-hati dan waspada dalam
memilih antara yang hak dengan yang batil, antara yang halal dengan
haram dan atara yang indah dengan yang buruk)
• Melatih dan mendidik jiwa supaya mempunyai sifat belas kasihan
terhadap orang-orang yang susah menderita dan kurang bernasib baik
kehidupan mereka.
• Membersihkan diri dari sifat-sifat mazmumah(keji) seperti tamak,
sombong, hasad dengki dan sebagainya.
• Mendidik jiwa supaya bersifat sabar, tahan menanggung kesusahan dan
pelbagai cabaran dalam menempuh perjuangan hidup.
• Menanamkan semangat perpaduan kerana sama-sama menunaikan kewajipan
yang sama dan dapat menimbulkan semangat persaudaraan.
• Mengikis sifat egoistik dan sombong serta bangga diri hingga
memandang rendah dan hina pada orang lain
• Mendidik diri ke arah mematuhi disiplin dan peraturan hidup serta
dapat mengurus waktu dengan sebaik-baiknya.
• Menghasilkan kesihatan tubuh badan yang baik, kerana banyak makan
itulah menjadi punca penyakit.


(Dipetik daripada: Durratun Nasihin (alih bahasa Dr Syamsudin Manap)
& Puasa Serta Penghayatan Ramadhan (Safwan Fathy))

Oleh itu, saya dengan rendah hati suka mengingatkan kepada diri saya
serta kepada sekalian pengunjung blog ini, marilah sama-sama kita
rebut peluang dan kesempatan semaksimumnya dengan melakukan ibadah
dalam erti kata yang sebenar bersempena dengan Ramadhan kali ini,
kerana tiada kepastian bahawa kita akan bertemu lagi dengan Ramadhan
yang berikutnya. Mungkin ada dalam kalangan kaum keluarga dan saudara
kita, rakan-rakan kita atau jiran-jiran kita yang mana mereka masih
ada bersama-sama kita pada Ramadhan lalu, tetapi mereka tidak lagi
diberi kesempatan seperti kita pada Ramadhan kali ini.

Sunday, August 16, 2009

Bicara Tokoh

Cikgu Sulaiman Bin Shafie

Bila bercakap sahaja mengenai sejarah dan perkembangan Alquran
Braille di negara kita, sebenarnya tokoh yang sama sekali tidak boleh
dipisahkan dari sejarah tersebut ialah Ustadz Sulaiman bin Shafie.
Dalam kalangan bekas muridnya, beliau lebih mesra dengan panggilan
Cikgu Leman. Walaupun beliau seorang guru agama, tetapi beliau lebih
mesra dengan panggilan "cikgu" daripada "ustaz".

Cikgu Sulaiman bin Shafie telah dilahirkan di Rembau, Negeri Sembilan
pada 3 Jun 1934. Sememangnya sedari kecil lagi beliau telah menerima
pendidikan agama di Johor Bharu. Ketika itu, beliau tinggal
bersama-sama bapa saudaranya. Di zaman Jepun, beliau pulang ke
kampung dan dipelihara oleh datuknya. Setelah pendudukan Jepun tamat,
beliau telah kembali semula ke Johor Bharu dan meneruskan pelajaran
agamanya. Selain dari menerima pendidikan agama, beliau juga turut
menerima pendidikan Inggeris. Perlu saya jelaskan bahawa sejak
dilahirkan hingga ke akhir hayatnya, Cikgu Sulaiman merupakan seorang
yang berpenglihatan.

Pada 15 September 1954, tatkala cita-citanya untuk melanjutkan
pelajaran di sekolah Inggeris sedang memuncak, tiba-tiba datang
sepucuk surat (yang lebih merupakan sekeping kertas kecil) dari
Jabatan Agama Islam Johor yang mengarahkan beliau supaya menjadi
tenaga pengajar agama untuk Sekolah Agama Princess Elizabeth yang
bakal bermula sebaik sahaja sekolah tersebut berpindah ke bangunan
baru (di tempatnya yang ada sekarang). Menurut Cikgu Sulaiman, beliau
telah ditugaskan untuk mengajaar di Sekolah Agama Princess Elizabeth
kerana beliau berkebolehan bertutur dalam bahasa Inggeris walaupun
latar belakang pendidikannya ialah agama Islam.

Sejak tahun 1948 lagi, pendidikan agama untuk murid-murid Sekolah
Princess elizabeth telah bermula. Waktu itu, sekolah tersebut masih
menumpang di bangunan yang lebih merupakan rumah kebajikan untuk
kanak-kanak pelbagai kecacatan dan juga pelbagai masalah yang terletak
di Batu 3, Jalan Skudai, Johor Bharu. Rumah kebajikan itu pula di
bawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat. Sejak awal penubuhannya
lagi, Sekolah Princess elizabeth telah mengikuti kurikulum arus
perdana. Walau bagaimanapun, pendidikan agama Islam di sekolah
tersebut adalah di bawah tanggungjawab Jabatan Agama Islam Johor.
Oleh itu, tenaga pengajar bagi agama Islam juga didatangkan daripada
Jabatan Agama Islam Johor.

Dalam era antara tahun 1948–1954, percubaan awal pernah diusahakan
untuk memperkenalkan sistem tulisan Jawi Braille untuk murid-murid
Sekolah Princess Elizabeth. Ini bertujuan untuk membolehkan
pendidikan agama Islam yang dijalankan di bawah kendalian Jabatan
Agama Islam Johor dapat dilaksanakan dengan lebih sempurna lagi dan
tidak hanya terhad kepada kaedah hafalan semata-mata. Pada masa itu,
sistem tulisan Braille telah pun diperkenalkan di sekolah tersebut,
tetapi sistem tulisan Jawi dan Alquran Braille masih belum
diperkenalkan lagi. Cikgu Ann (Yang Berbahagia Dato' Ann Majeed) yang
juga merupakan guru besar pertama Sekolah Princess Elizabeth
bersama-sama dengan Major D.R. Bridges cuba mencari kaedah yang sesuai
untuk sistem tulisan Jawi Braille. Kebetulan pula, kedua-dua tokoh di
atas merupakan mereka yang mahir dengan tulisan Braille. Namun
begitu, oleh kerana tiada panduan khusus, maka usaha mereka berdua
ketika itu belum menampakkan hasil. Mereka hanya mampu menghasilkan
huruf alif hingga ya, itu pun dengan menggunakan titik-titik Braille
yang agak berbeza daripada sistem tulisan jawi Braille yang ada
sekarang. Sistem baris masih belum berjaya dihasilkan.

Keadaan mula berubah apabila senaskah Alquran Braille telah diterima
oleh Sekolah Princess Elizabeth dari negara Jordan di sekitar tahun
1953 atau 1954. Walau bagaimanapun, usaha untuk meneroka lebih jauh
lagi sistem tulisan Jawi dan Alquran Braille terhenti. Antara
sebabnya ialah tiada guru yang benar-benar mengkhusus dalam pendidikan
agama Islam. Lagipun, Major Bridges telah pun berpindah ke Kuala
Lumpur. Jadi, untuk seketika, naskah Alquran Braille tersebut
tersimpan begitu sahaja.

Pada bulan Oktober tahun 1954, Cikgu Sulaiman bin Shafie telah mula
bertugas sebagai guru agama bagi Sekolah Princess Elizabeth. Walaupun
beliau telah ditugaskan mengajar murid-murid cacat penglihatan, namun
beliau tidak pernah mengikuti sebarang latihan untuk mengajar
murid-murid yang mengalami kecacatan sedemikian. Biar pun begitu,
demi memikul amanah yang telah dipertanggungjawabkan, beliau tidak
pernah menjadikan sebab tersebut sebagai alasan untuk beliau
melepaskan tanggungjawabnya. Sebaliknya, beliau telah mengambil
inisiatif sendiri dengan melakukan apa sahaja bagi membolehkan beliau
mengajar dan menyampaikan ilmu agama kepada murid-murid cacat
penglihatan di sekolah tersebut.

Untuk permulaan, beliau telah mempelajari sistem tulisan Braille
rumi. Biar pun beliau bertaraf guru, demi untuk memajukan diri, tanpa
segan dan silu beliau telah mempelajari tulisan Braille melalui
beberapa orang murid cacat penglihatan yang juga merupakan
murid-muridnya sendiri.

Setelah Cikgu Sulaiman mahir dengan sistem tulisan Braille rumi,
beliau mula beralih untuk mempelajari sistem tulisan jawi Braille dan
Alquran Braille pula. Tetapi, di mana dan dengan siapa beliau harus
belajar? Lagi pun, pada masa itu (tahun-tahun 1950-an), tiada seorang
individu pun yang mahir dengan tulisan jawi Braille di seluruh Tanah
Melayu. Kalau institusi memang jauh sekali. Yang ada hanya senaskah
Alquran Braille dari negara Jordan.

Oleh kerana tiada cara lain, akhirnya Cikgu Sulaiman telah
menggunakan Alquran Braille tersebut sebagai panduan. Bila buka
beberapa helaian Alquran Braille dan dibandingkan pula dengan Alquran
biasa, beliau mula merasai kesukaran. Ini disebabkan wujudnya
beberapa perbezaan besar antara kaedah penulisan Alquran Braille
dengan Alquran biasa yang tidak beliau ketahui ketika itu. Setelah
dicuba beberapa ketika, beliau mula merasa putus asa. Beliau mula
menyimpan hasrat untuk meninggalkan sahaja sekolah Princess Elizabeth
dan menyambung pengajiannya di sekolah Inggeris. Menurut cerita Cikgu
Sulaiman kepada saya, tatkala semangat tersebut sedang meluap-luap,
beliau melihat dan merenung anak-anak muridnya yang cacat penglihatan
itu. Patutkah beliau meninggalkan anak-anak muridnya dalam keadaan
demikian tanpa pendidikan agama? Sudahlah mereka tidak nampak (cacat
penglihatan), siapa pula yang akan ajar mereka baca Quran nanti?
Mengalir juga air mata beliau. Demikian antara yang pernah
diceritakan oleh Cikgu Sulaiman kepada saya suatu ketika dahulu.

Akhirnya, setelah berfikir panjang, beliau pun memutuskan untuk terus
mengajar di Sekolah Princess Elizabeth selagi diperlukan. Alquran
Braille dibuka semula bersama-sama Alquran bertulisan biasa. Satu
demi satu huruf beliau teliti. Satu demi satu baris beliau kaji.
Walaupun kadangkala penglihatan beliau agak terganggu dek kerana
melihat tulisan Braille yang terlalu lama, namun begitu, beliau gagahi
juga. Beliau sudah bertekad, walau apa pun, anak-anak muridnya yang
cacat penglihatan itu tidak akan beliau tinggalkan begitu sahaja.
Demikianlah erti sebenar pengorbanan seorang guru.

Menurut Cikgu Sulaiman, antara cabaran yang paling getir semasa
mempelajari dan mendalami tulisan Alquran Braille ialah cara membaca
dan menulisnya. Tidak seperti alquran Biasa di mana ia ditulis dan
dibaca dari kanan ke kiri, Alquran Braille pula ditulis dan dibaca
dari kiri ke kanan. Selain itu, kaedah penulisan Alquran Braille yang
meletakkan kedudukan antara huruf dan baris yang ditulis dalam barisan
yang sama juga merupakan cabaran yang getir pada peringkat awalnya.
Satu lagi cabaran getir yang harus beliau tempuhi ialah di mana kaedah
penulisan Braille pada naskah Alquran Braille yang ada ditulis secara
double sided (bahagian hadapan dan belakang setiap halaman bertulisan
Braille). Keadaan ini sudah tentu menyukarkan beliau untuk membaca
Alquran Braille tersebut kerana beliau membacanya dengan mata dan
bukan dengan hujung jari sebagaimana pembaca cacat penglihatan. Demi
untuk murid-muridnya, beliau gagahi juga mempelajari dan mendalaminya
walaupun ia amat meletihkan mata. Demikianlah besarnya beliau
berkorban demi untuk mencelikkan hati anak-anak muridnya.

Akhirnya, dengan berkat usaha beliau siang dan malam serta tanpa
henti dan jemu, berjaya juga beliau memahami kaedah dan perbezaan
penulisan antara Alquran bertulisan biasa dengan Alquran Braille.
Setelah itu, beliau mula memahami bentuk huruf alif hingga ya.
Setelah itu pula, beliau mula memahami titik-titik yang membentuk
pelbagai baris. Seterusnya, beliau mula memahami kaedah menulisnya di
mana huruf dan baris akan ditulis dalam barisan yang sama.
Demikianlah gigihnya seorang guru yang berpenglihatan demi anak-anak
muridnya yang tidak berpenglihatan.

Usaha-usaha beliau ke arah memajukan lagi pendidikan agama di Sekolah
Princess Elizabeth tidak terhenti setakat itu sahaja. Setelah beliau
mahir menulis dan membaca tulisan Braille, khususnya jawi Braille dan
Alquran Braille, beliau telah memulakan pula usaha untuk mengalih
tulis kitab-kitab agama yang bertulisan biasa ke dalam tulisan
Braille. Kitab-kitab tersebut merupakan teks bacan untuk pendidikan
agama kendalian Jabatan Agama Islam Johor. Pada peringkat awal, Cikgu
Sulaiman terpaksa mengendalikan 5 buah kelas yang berlainan secara
berseorangan iaitu dari kelas yang paling bawah hinggalah kelas yang
tertinggi. Setiap kelas pula, terdapat 4 hingga 6 mata pelajaran
seperti tauhid, tafsir, tajwid, tarikh (sejarah), adab dan ibadat
(feqah). Setiap kitab itu pula, beliau alih tulis secara
bersendirian. Beliaulah yang membacanya dari kitab bertulisan biasa
dan beliau jugalah yang menulisnya kembali ke dalam tulisan Braille.
Oleh kerana kesemua kitab itu bertulisan jawi, maka beliau telah
menulisnya semula ke dalam tulisan jawi Braille. Beliau benar-benar
umpama lilin yang telah membakar dirinya untuk menerangi
murid-muridnya yang cacat penglihatan.

Usaha-usaha di atas telah beliau lakukan secara bersendirian dan
tanpa bantuan dari mana-mana pihak. Setelah kedatangan mesin cetak
Braille (thermoform) di Sekolah Princess Elizabeth dan dengan
kebenaran daripada guru besar sekolah tersebut ketika itu iaitu En.
Lesly Cheah, beliau telah mula mencetak kitab-kitab agama yang telah
beliau Braillekan itu. Usaha-usaha untuk mengalih tulis kitab-kitab
agama ke tulisan Braille telah dilakukan secara berterusan dan
bersendirian pula dan ia bergantung kepada keperluan semasa.
Sememangnya lantaran berusaha seorang diri, beliau tidak mungkin untuk
mengalih tulis kesemua kitab yang diperlukan bagi menampung keperluan
5 buah kelas agama pada waktu itu. Namun begitu, kebanyakan kitab
yang diperlukan telah berjaya beliau alih tulis ke dalam tulisan
Braille.

Satu lagi cabaran utama yang dihadapi oleh Cikgu Sulaiman ketika itu
ialah bagaimana untuk mengajar membaca Alquran Braille kepada
murid-muridnya. Pada waktu itu, hanya ada senaskah Alquran Braille
sahaja, iaitu naskah Alquran Braille yang datangnya dari negara
Jordan. Sedangkan bilangan muridnya semakin bertambah setiap tahun.
Beliau pernah mencuba untuk mengalih tulis Alquran ke dalam tulisan
Braille. Walaupun Alquran tersebut tidak dapat dialih tulis
sepenuhnya, namun ia amat berguna kepada murid-murid cacat
penglihatan, khususnya di Sekolah Princess Elizabeth, terutamanya
untuk memahirkan mereka dengan Alquran Braille. Seingat saya, antara
bahagian Alquran yang sempat dialih tulis ke dalam bentuk Alquran
Braille termasuklah sebahagian juzuk 30 serta juzuk 1 hingga ayat 108
surah Albaqarah. Dalam situasi ini, dan untuk memastikan supaya
pelajaran membaca Alquran untuk murid-muridnya tidak terus terabai,
beliau telah membahagikan masa untuk pelajaran membaca Alquran kepada
2 masa, satu masa untuk menyalin ayat-ayat yang akan dibaca. Beliau
akan membacakan huruf dan baris satu demi satu dan ia akan disalin
oleh murid-muridnya. Masa kedua pula ialah di mana anak-anak muridnya
akan membacakan keseluruhan ayat-ayat yang disalin tadi. Kaedah ini
merupakan serampang dua mata di mana anak-anak muridnya akan mahir
dalam aspek membaca dan aspek menulis Alquran Braille. Sesungguhnya
naskah Alquran Braille yang terdapat di negara ini sekarang yang
dikeluarkan oleh Persatuan Orang-orang cacat Penglihatan Islam
Malaysia (PERTIS) merupakan hasil usaha penyalinan yang telah
dilakukan daripada bekas anak muridnya. Demikianlah ilmu yang
bermanfaat itu terus mengalir.

Cikgu Sulaiman juga merupakan orang yang bertanggungjawab ke arah
memperkenalkan dan menyebarkan sistem tulisan jawi Braille kepada
golongan cacat penglihatan di negara ini melalui pendidikan agama di
Sekolah Agama Princess Elizabeth. Lagi pun, pada ketika itu, Sekolah
Princess Elizabeth merupakan satu-satunya institusi pendidikan khas
cacat penglihatan yang memartabatkan sistem tulisan jawi Braille dan
Alquran Braille. Melalui Cikgu Sulaiman, ramai golongan cacat
penglihatan di negara kita berkebolehan dan berkemampuan untuk
mentelaah kitab suci Alquran iaitu menerusi alquran Braille. Malahan
beberapa orang bekas murid beliau telah berjaya menghafaz keseluruhan
Alquran (30 juzuk) melalui kebolehan mereka membaca kitab suci
tersebut dalam tulisan Braille.

Selain itu, beliau juga bertanggungjawab mengajar tulisan Braille
khususnya jawi Braille dan Alquran Braille kepada mana-mana guru agama
yang baru dihantar oleh Jabatan Agama Islam Johor untuk mengajar di
Sekolah Agama Princess Elizabeth. Beliau juga merupakan orang yang
sering ditugaskan untuk mengalih tulis kertas-kertas soalan
peperiksaan kendalian Jabatan Agama islam Johor untuk murid-murid
Sekolah Agama Princess Elizabeth.

Selain daripada mengajar dalam kelas, Cikgu sulaiman turut mengajar
anak-anak muridnya pelajaran tertentu secara praktikal. Saya masih
ingat bagaimana beliau mengajar saya berwudhu' (mengambil air
sembahyang). Mulanya beliau sendiri akan membasuhkan
bahagian-bahagian anggota wudhu' saya. Setelah itu, beliau akan
menyuruh saya membasuhnya kembali. Demikian juga cara beliau mengajar
rukun fe'li dalam solat. Beliau akan melakukannya, anak-anak muridnya
akan menyentuh untuk mengetahui bagaimana ia dilakukan, setelah itu
beliau akan menyuruh anak-anak muridnya melakukannya pula. Walaupun
Cikgu Sulaiman tidak pernah mengikuti latihan untuk mengajar
murid-murid cacat penglihatan, demi keikhlasan untuk melaksanakan
hasrat dan tekadnya, beliau telah mampu melaksanakannya secara
berkesan. Hasilnya, anak-anak muridnya mampu untuk melaksanakan
ibadah dengan lebih sempurna lagi.

Adakalanya Cikgu Sulaiman merupakan seorang guru yang tegas dan
kadangkala agak keras bila mendidik. Saya masih ingat lagi, ada
segelintir kecil anak-anak muridnya yang malas solat dan adakalanya
bersembunyi di bawah katil di asrama. Beliau akan ke asrama,
mengambil batang mop dan menjolok di bawah katil tempat persembunyian
murid tadi hingga murid berkenaan terpaksa keluar dari tempat
persembunyiannya. Kebiasaannya, bila kami solat berjamaah, jarang
sekali Cikgu Sulaiman mengimamkannya. Beliau akan menyuruh mana-mana
murid yang senior dan sesuai untuk menjadi imam. Beliau sendiri akan
memerhati perjalanan solat hingga selesai. Mana-mana muridnya yang
main-main ketika solat, pasti akan "kena". Mana-mana yang sempat
"ditangankan" akan "ditangankan". Mana-mana yang main-main tapi
kedudukannya yang agar sukar untuk "ditangankan", beliau akan
melemparkan tasbihnya kepada murid yang main-main tadi. Dalam soal
ini, beliau nampaknya tidak pernah berkompromi dengan kecacatan yang
ada. Demikianlah cara beliau melentur anak-anak yang masih rebung.

Saya masih ingat lagi, jika ada masa lapang, Cikgu Sulaiman suka
membacakan kepada kami pelbagai berita daripada surat khabar.
Adakalanya beliau akan membacakan kepada kami cerita-cerita ambia'
dari kitab-kitab tertentu. Sesungguhnya, dalam konteks ini, beliau
amat memahami apa yang kami perlukan walaupun beliau tidak pernah
dilatih untuk mengajar murid-murid yang cacat penglihatan seperti
kami.

Pada 3 Jun 1989, tarikh persaraan beliau tiba. Walau bagaimanapun,
Jabatan Agama Islam Johor telah menyambung perkhidmatan beliau secara
kontrak. Hanya pada tahun 1991 barulah Cikgu Sulaiman benar-benar
bersara dari tugasnya, iaitu setelah berkhidmat selama 37 tahun
(1954-1991). Sebenarnya, beliau tidak lagi menyambung kontraknya
lantaran kesihatannya yang tidak begitu memuaskan ketika itu. Setelah
bersara, beliau telah pulang ke kampungnya di Pulau Sebang, Tampin.
Pada bulan November 1993, Cikgu sulaiman telah kembali ke rahmatullah.

Setakat yang saya ketahui, setelah berkhidmat selama 37 tahun untuk
mendidik murid-murid cacat penglihatan, beliau tidak pernah mendapat
sebarang anugerah. Seingat saya, beliau tidak pernah sekalipun
mengeluh kerana mengajar kami yang cacat penglihatan ini. Walau
bagaimanapun, beliau akan bersikap tegas jika ada di antara kami yang
malas, main-main, cuai atau sebagainya.

Sesungguhnya pemergian Cikgu Sulaiman mengadap Ilahi tiada pengganti
budi dan jasa beliau tiada tandingan pada zaman ini
keikhlasan beliau dalam berbakti terasa hingga kini
suara dan cara beliau mendidik amat kami rindui
ketokohan dan kegigihan beliau sukar dicari ganti.

"Walaupun Cikgu Sulaiman tidak mencelikkan penglihatan kami, tetapi
beliau telah mencelikkan hati kami dengan Alquran. Semoga beliau
sentiasa dalam keredhaan Allah selama-lamanya."

Friday, August 14, 2009

Bicara Jumaat

Syair Dari Al-Hakami

Al-Hafiz Al-Hakami dalam sebuah syairnya, mengatakan:
Ingatlah kematian dan peristiwa-peristiwa terjadi selepas itu,
Tidak seorangpun yang dapat melepaskan diri daripadanya
Kematian merupakan penentuan segalanya
Segala sesuatu menjadi jelas akibatnya.
Kubur boleh menjadi sebuah taman syurga
Dan boleh pula menjadi api neraka
Jika ianya baik maka setelahnya itu
Adalah kenikmatan yang tiada bandingannya dari Tuhan.
Jika ianya jahat, maka setelah itu;
Adalah kesengsaraan yang jauh lebih dahsyat.
Demi Allah sekiranya kau tahu apa yang berlaku selepas itu;
Tentulah kau tidak akan tertawa malah banyak menangis.

Wahai sekalian hamba Allah! Semua manusia sedang berjalan menuju
kematian……Dia akan ingat sebuah ketentuan yang pasti dialami oleh
setiap insan….Iaitu sebuah kemestian yang telah ditetapkan oleh Allah
s.w.t kepada sekalian anak cucu Adam. Pada saat kematian menjelma, ia
akan menghinakan para pelaku kezaliman dan melumpuhkan semua pelaku
semua pelaku maksiat. Orang derhaka akan insaf dan orang berdosa akan
bertaubat.
-Sakaratul Maut: Bersediakah Anda Menghadapi-

Bila berbicara fasal mati, ramai yang tidak menggemarinya. Walhal
suatu hari nanti, kematianlah yang akan kita tempuhi, sama ada suka
atau tidak. Ada pula golongan manusia berpendapat, kalau kita acap
kali ingat mati, kita tak akan maju dan berkembang. Pendapat seumpama
ini amat sesat. Seolah-olah mereka ingin menafikan mengenai kematian.

Sepatutnya, bila berlaku sahaja kematian yang kita ketahui, kia mesti
segera insaf dan bertaubat. Giliran si mati itu sudah tiba, sedangkan
giliran kita yang hidup ini tetap rahsia tapi pasti akan menjelang.

Jadi, sejauh manakah persediaan kita untuk menghadapinya? Susah
sangatkah kita untuk membuat bekalan untuk mati? Kalau seseorang itu
benar-benar ingat pada kematian, pastilah dia tidak akan melakukan
perkara-perkara yang dilarang Allah seperti dengki, khianat,
berbohong, mengadu domba, mengumpat, syirik dan sebagainya.

Walaupun kita mungkin boleh terlupa kepada kematian, tetapi kematian
tidak sekali-kali pernah lupa kepada kita. Bila tiba sahaja detiknya,
kita akan pasti akan menemuinya. Bila kita ingat sahaja tentang
kematian, maka responlah dengan melakukan kebaikan, tak kiralah
sekecil mana sekalipun.

Sesungguhnya kematian adalah suatu perpindahan.

Thursday, August 13, 2009

Ucapan Takziah

Takziah Kepada Keluarga Allahyarham Asri Rabani

Petang tadi, sekitar jam 3.45, saya mendapat berita bahawa Asri dari
kumpulan Rabbani telah kembali ke rahmatullah. Asri, atau nama
sebenarnya Mohamad Asri Ibrahim, bagi saya, merupakan seorang penasyid
yang sangat mantap dari pelbagai aspek persembahan nyanyian. Saya
memang meminati suara, seni kata serta melodi lagu-lagu yang beliau
persembahkan. Sejak penglibatannya dalam bidang nasyid bersama-sama
kumpulan Rabbani, beliau telah menghasilkan 19 buah album.

Sesungguhnya, dengan kembalinya ke rahmatullah Asri, maka kita
kehilangan seorang pendakwah melalui seni nasyid yang sukar untuk
dicari ganti. Semoga Allah menempatkan roh beliau bersama-sama para
hamba-Nya yang solihin.

Kepada Keluarga Allahyarham, bersabarlah menghadapi ujian dari Allah.
Sesungguhnya hari yang telah dijanjikan untuk Allahyarham telah
sampai, sedangkan kita masih menanti giliran kita pula pada hari,
waktu dan sat yang penuh rahsia itu.
Alfatihah ..

Wednesday, August 12, 2009

Bicara Isu

Literasi Braille: Sekadar coretan

Malam semalam (11 Ogos), saya sempat menghadiri Mesyuarat
Jawatankuasa Teknikal Pendidikan Khas Masalah Penglihatan anjuran
Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia. Mesyuarat
berlangsung bermula jam 8.45 malam dan tamat pada jam 11.35 malam.
Mesyuarat telah berlangsung di Hotel Flaza, Kuala Lumpur. Kehadiran
saya adalah mewakili Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam
Malaysia (PERTIS).

Antara isu hangat yang dibincangkan semalam ialah mengenai literasi
Braille dalam kalangan guru-guru yang terlibat dalam pendidikan khas
murid-murid cacat penglihatan. Menurut statistik yang dikeluarkan
oleh Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian pelajaran Malaysia, hanya
22% sahaja guru yang terlibat dalam pendidikan khas untuk murid cacat
penglihatan yang masih tidak mahir dengan sistem tulisan Braille. Ini
bermakna, sekitar 78% guru dalam bidang berkaitan sudah mahir dengan
Braille.

Saya amat meragui statistik yang telah dikeluarkan oleh Bahagian
Pendidikan Khas seperti di atas. Bila saya bertanya, apakah kaedah
atau method yang telah digunakan untuk memperoleh statistik berkenaan?
Antara jawapan yang diberi ialah menerusi pemantauan kehadiran dalam
kursus Braille yang pernah diadakan. Ia juga berdasarkan maklum balas
yang telah diberikan sama ada oleh pihak sekolah ataupun oleh
guru-guru sendiri. Jawapan seperti ini menambah lagi keraguan saya
mengenai statistik yang telah dikeluarkan. Setakat ini bolehlah saya
rumuskan, untuk memperoleh statistik seperti di atas, Bahagian
Pendidikan Khas tidak menggunakan kaedah yang betul. Justeru, saya
amat meragui ketepatan dan kebolehpercayaan statistik yang telah
dimaklumkan. Dengan erti kata lain, saya penuh yakin statistik guru
yang mahir Braille lebih rendah daripada 78%.

Isu ini telah mula ditimbulkan dalam mesyuarat yang sama sejak tahun
2007 lagi. Saya masih ingat, antara ketetapan yang telah diputuskan
dalam mesyuarat yang sama tahun 2007 termasuklah, ujian kompetensi
Braille akan dilaksanakan untuk memperoleh data yang tepat lagi sahih
mengenai literasi Braille; hanya guru-guru yang mahir Braille sahaja
yang layak untuk dipertimbangkan bagi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang
(APC). Malangnya, sehingga ke hari ini pun, tiada satu pun daripada
apa yang telah diputuskan pada waktu itu telah benar-benar
dilaksanakan. Sehingga sekarang, ujian kompetensi Braille belum lagi
dilaksanakan. Selain itu, masih ada guru-guru pendidikan khas untuk
murid cacat penglihatan yang tidak mahir Braille tetapi telah mendapat
Anugerah Perkhidmatan Cemerlang. Maka itulah juga sehingga ke hari
ini pun, Braille masih gagal dimartabatkan sebagaimana sepatutnya.

Apa yang lebih mendukacitakan saya ialah, ada segelintir guru dari
pendidikan khas untuk murid cacat penglihatan yang tidak mahir Braille
sehingga ke hari persaraan mereka. Sedangkan mereka telah berkhidmat
dalam bidang yang berkaitan lebih daripada 10 tahun. Ada juga di
antara mereka yang telah mendapat anugerah cemerlang walaupun tanpa
kemahiran Braille. Sepatutnya, jika golongan seumpama ini ingin
dianugerahkan juga dengan anugerah seperti APC tetapi tidak bersedia
untuk mendalami pengetahuan dan kemahiran mengenai Braille, maka
bidang pendidikan khas untuk murid cacat penglihatan bukan tempat dan
salurannya. Oleh kerana selama ini tindakan berkesan tidak pernah
diambil ke atas guru-guru yang tidak mahir Braille oleh mana-mana
pihak, maka itulah sebahagian mereka begitu selesa bertugas di dalam
bidang pendidikan khas untuk murid cacat penglihatan walaupun mereka
sedar mereka tidak berkemahiran dalam Braille.

Sepatutnya, bila disebut "kemahiran Braille", seseorang itu mesti
berupaya membaca dan menulis Braille dengan lancar, serta berupaya
pula melaksanakan tulis pindah (transcribe) sama ada dari tulisan
biasa ke tulisan Braille, atau sebaliknya. Bidang yang harus dikuasai
pula mestilah mencakupi sistem Braille gred 1 dan gred 2, dan bukan
sekadar menulis "a b c" semata-mata.

Saya sendiri pernah terserempak dengan guru-guru tertentu yang
meminta pelajar untuk membacakan kepada mereka sama ada kerja sekolah
mahupun skrip jawapan peperiksaan pelajar bertulisan Braille. Alasan
yang diberikan macam-macam. Hakikatnya mereka (guru-guru) berkaitan
sebenarnya yang tak mahir dengan Braille. Kalaulah hal sedemikian
dilakukan pula oleh guru-guru yang cacat penglihatan, pastilah ia akan
menjadi isu dan akan diketengahkan sebagai satu lagi kelemahan
guru-guru cacat penglihatan.

Oleh itu, sudah tiba masanya semua pihak yang berkepentingan dan
sayangkan pendidikan khas untuk murid cacat penglihatan menggandakan
usaha agar permasalahan yang sedang dihadapi dapat diatasi sebaik
mungkin. Kita harus ingat, bidang pendidikan khas bukan bidang untuk
kita mencari nama, naik gaji atau mengejar kecemerlangan peribadi.
Bila saya imbas kembali masa lampau yang semakin jauh berlalu,
adakalanya rasa sebak dan hiba menyucuk jiwa kerana keikhlasan
guru-guru waktu itu masih terasa hingga kini.

Apa yang saya perkatakan ini hanya sekadar coretan sahaja. Banyak
lagi yang boleh diperkatakan dalam isu ini. Walaupun apa yang saya
perkatakan ini tidak disukai oleh pihak-pihak tertentu, demi
menjunjung kebenaran, saya akan tetap memperkatakannya.

Katakanlah yang benar, walaupun ia pahit untuk didengar (Hadith).

Monday, August 10, 2009

Bicara Umum

Sesi Dialog Bersama-sama Yang Berhormat Menteri

Petang semalam (9 Ogos), saya berkesempatan menghadiri satu sesi
dialog di antara Yang Berhormat Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga
dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dengan
pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar di bawah
kementerian berkenaan. Oleh kerana menteri yang turun, maka ramailah
pembesar kementerian turut hadir. Sesi dialog tersebut telah
berlangsung di Hotel Hilton, bersebelahan dengan KL Sentral.

Sekitar 41 NGO telah menghantar wakil. Antaranya termasuklah
Persatuan Bekas Polis, Rumah Amal Selangor, United Boys, NASCOM,
MPKSM, Persekutuan Orang Pekak, Persatuan Orang Kerdil dan lain-lain
lagi. Antara NGO yang berkaitan golongan cacat penglihatan yang turut
hadir termasuklah Persatuan Orang-orang Buta Malaysia (MAB),
Pertubuhan orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM), Pertubuhan Orang
Buta Sabah dan tidak ketinggalan Persatuan Orang-orang Cacat
Penglihatan islam Malaysia (PERTIS). 3 orang telah mewakili PERTIS
iaitu saya sendiri selaku Naib Yang Dipertua, En. Syahmar Saad dan
Cikgu Mohd Fekkeri.

Majlis telah bermula sekitar jam 3 petang. Sewaktu saya meninggalkan
majlis sekitar jam 6.35 petang, ia masih belum tamat lagi. Sesi
diallog kali ini telah dipengerusikan sendiri oleh YB Menteri, Datuk
Seri Shahrizat Abdul Jalil. Format perjalanan majlis ialah, setiap
NGO akan diberi tempoh sekitar 7 minit untuk mengutarakan apa sahaja
isu yang berkaitan pertubuhan masing-masing atau yang berkaitan
golongan masyarakat OKU yang diwakili.

Memang pelbagai isu yang telah diketengahkan. Isu ini pula berkaitan
dengan kepentingan NGO atau komuniti yang berkenaan. Antara isu yang
telah dibangkitkan termasuklah kesukaran untuk membeli polisi insurans
untuk golongan OKU, geran tahunan yang minta ditambah, mengadakan
quota 1% untuk pekerja OKU di sektor swasta, meminta peruntukan untuk
membina atau memperbaiki bangunan, mencari jalan supaya kumpulan OKU
anggota mampu untuk akses kepada pengangkutan awam, isu berkaitan
penjagaan warga emas, isu mengenai rawatan buah pinggang, isu
berkaitan quota 1% kakitangan untuk OKU dalam sektor awam, dan
berbagai isu lagi. Ada juga sebilangan NGO yang turut menyerahkan
memorandum masing-masing kepada YB Menteri.

Bagi NGO yang berkaitan golongan cacat penglihatan pula, antara isu
yang telah diketengahkan termasuklah kesukaran untuk membuka akaun di
bank-bank tertentu, masih banyak halangan untuk pejalan kaki OKU
khususnya di Brickfields, serta beberapa isu lain lagi. Saya yang
mewakili PERTIS telah mengenengahkan isu mengenai frasa "Calon
Istimewa" yang mula boleh dilihat pada sijil-sijil peringkat UPSR, PMR
ataupun SPM untuk mereka yang OKU. Bagi saya, frasa sedemikian tidak
perlu kerana sebilangan besar murid cacat penglihatan melalui
kurikulum yang sama, menduduki peperiksaan yang sama dan menjawab
soalan yang sama dengan murid lain, kecuali perubahan yang minimum
harus dibuat pada soalan supaya ia sesuai dengan keadaan calon
tersebut. Lagi pun, dengan adanya frasa sedemikian, ia bakal
mendedahkan kepada golongan OKU kepada diskriminasi ketika mencari
pekerjaan. Ia merupakan satu fakta yang tidak dapat disangkal lagi.
Isu ini akan saya kupas dengan lebih lanjut lagi dalam tulisan-tulisan
saya yang akan datang, insha Allah.

Bagi saya, dialog seumpama ini amat baik. Ia sekurang-kurangnya akan
mendekatkan antara golongan pembuat dasar, pelaksana dasar dan
golongan sasar. Lagi pun, bila YB Menteri sendiri yang hadir, maka
segala isu dan permasalahan yang dihadapi boleh didengar sendiri oleh
YB Menteri. Pada masa yang sama, pada ketika senggang, para pemimpin
dan pentadbir NGO dapat bertukar-tukar pandangan dan fikiran mengenai
isu-isu dan permasalahan yang mereka sama-sama hadapi. Maklumlah
untuk bertemu seperti ini bukannya mudah.

Di sini, saya ingin menyampaikan seikhlas pujian kepada YB Datuk Seri
Shahrizat Abdul Jalil kerana sudi untuk mempengerusikan sesi dialog
berkenaan. Selain itu, saya juga turut tertarik dengan cara dan gaya
YB Menteri mempengerusikan sesi. Beliau telah mengenepikan mana-mana
protokol yang tidak perlu, ceria, tegas pada tempatnya, dan
berpengetahuan mengenai apa yang diperkatakan.

Saya berharap semoga sesi dialog seperti ini akan diteruskan. Selain
itu, saya dan juga setiap NGO yang hadir sudah tentu menanti-nanti
tindakan berkesan daripada pihak kementerian setelah pelbagai isu dan
permasalahan diketengahkan. Di samping itu juga, setiap NGO juga
harus berwawasan proaktif dan tidak terlalu bergantung kepada satu
punca sebagai sumber kewangan.

Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada kakitangan
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang hadir
dalam sesi dialog semalam kerana telah memberi bantuan yang sewajarnya
kepada peserta yang hadir. Layanan yang mesra sebegini mencerminkan
kesesuaian kakitangan tersebut dengan kementerian di mana mereka
sedang bertugas.

Sunday, August 9, 2009

Menungan Malam

Kenangan Silam Di UM

Lebih kurang jam 11.45 malam tadi, saya sekeluarga sampai di rumah
dari Universiti Malaya (UM). Tujuan saya, isteri dan Luqman ke UM
sekadar berjalan-jalan sahaja. Kebetulan hari ini merupakan hari
bermulanya pesta Convocation yang khabarnya akan berlangsung sekitar
seminggu lamanya. Mungkin pesta masih awal, jadi tidaklah begitu
meriah lagi.

Sewaktu di UM tadi, beberapa kenangan silam menghimbau ingatan.
Maklumlah, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat menerima
ilmu.

Saya masih ingat, sewaktu saya di tahun pertama sekitar 2 dekad lalu,
waktu itu saya tinggal di Asrama Za'ba (Kolej 7). Suatu malam,
agaknya seluruh kampus terputus bekalan elektrik (blackout). Pada
awalnya saya memang tidak menyedari keadaan itu. Pada ketika itu
juga, saya bersama-sama seorang rakan yang juga seperti saya berhasrat
ke Pusat Bahasa (kini Fakulti Bahasa) untuk menggunakan telefon awam
yang ada di situ. Kami tidak berapa selesa menggunakan telefon awam
di asrama kerana kebiasaannya queue agak panjang juga. Sewaktu kami
berdua melintasi hadapan lobi, seorang rakan yang berpenglihatan
tiba-tiba menegur kami: "Hendak ke mana?" Kami menjawab, "Ke Pusat
Bahasa." Rakan tersebut kemudiannya berkata, "Tak payahlah ke sana,
nanti jatuh susah." Saya kehairanan tapi bertanya pula, "Mengapa
pulak?" Rakan tadi menjawab pula, "Sekarang ni gelap, tak ada
elektirik, blackout." Baru saya faham. Lalu saya menjawab, "Ada
elektrik ke, tak ada elektrik ke, ada lampu ke, tak ada lampu ke, kami
susah apa, bagi kami sama saja." Dengan jawapan itu, agaknya barulah
rakan yang berpenglihatan tadi beserta beberapa orang lain yang
kebetulan ada di situ mula faham bahawa keadaan gelap dan terang tak
memberi kesan kepada kami. Beberapa orang ketawa mendengarkannya.
Akhirnya, rakan tadi pun berkata, "OK lah, teruskan perjalanan, tapi
hati-hati". Sambil mengucapkan terima kasih, kami meneruskan
perjalanan kami.

Pada satu peristiwa yang lain, seorang rakan yang berpenglihatan
berjanji untuk datang ke bilik saya di asrama pada sebelah malam untuk
berbincang mengenai satu assignment. Sementara menunggu, saya membaca
sebuah buku Braille. Walau bagaimanapun, pada waktu yang telah
dijanjikan, rakan saya itu tak muncul sampai ke pagi. Keesokan
harinya bila kami bertemu, saya terus bertanya, "Mengapa tak datang
malam tadi?" Rakan saya itu menjawab, "Saya datang, tapi tak ada
orang." Saya kehairanan, kerana seingat saya, selepas solat isyak
saya tak keluar bilik kerana menanti kedatangan rakan tersebut. Saya
bertanya lagi, "Macam mana awak tahu saya tidak ada di bilik?" Rakan
saya menjawab, "Saya datang tapi bilik gelap, saya tunggu selama 10
minit tapi bilik tetap gelap dan senyap. Jadi, saya pun baliklah."
Saya bertanya lagi, "Kenapa awak tak ketuk saja pintu bilik?" Rakan
saya menjawab, "Buat apa saya nak ketuk kalau dah tak ada orang."
Kemudian saya pun berkata, "Sebenarnya saya ada di bilik, tapi saya
tak buka lampu." Rakan tersebut bertanya dengan kehairanan, "Mengapa
awak tak buka lampu, macam mana awak buat kerja tanpa lampu?" Lalu
saya pun menjawab, "Orang macam saya ni, ada lampu ke, tak ada lampu
ke, sama saja. Kalau lampu menyala terang pun saya boleh tidur
nyenyak, kalau tak ada lampu pun saya boleh buat kerja seperti biasa."
Rakan tersebut pun berkata pula, "Kalau macam tu, saya yang
silaplah." Sambil minta maaf, kami tertawa geli hati.

Pada satu peristiwa yang lain pula, sewaktu saya pulang dari kuliah,
saya dapati di bawah pintu bilik saya ada sekeping nota bertulisan
biasa. Dengan pertolongan seorang rakan yang berpenglihatan, barulah
saya maklum isi nota tersebut. Nota tersebut datang dari pejabat
asrama. Antara isi kandungannya , saya diberi amaran kerana bilik
saya didapati sudah beberapa kali tidak menutup lampu ketika
penghuninya tiada di bilik. Termenung juga saya dibuatnya. Seingat
saya, jarang sangat saya membuka lampu bilik. Akhirnya saya membuat
andaian sendiri. Kemungkinan, bila ada rakan-rakan yang
berpenglihatan datang ke bilik saya, mereka akan membuka lampu. Bila
mereka keluar dari bilik saya, mereka mungkin lupa untuk menutupnya
semula. Saya segera bergegas ke pejabat asrama dengan membawa nota
yang saya dapat tadi. Saya menerangkan keadaan yang sebenarnya kepada
kakitangan di pejabat tersebut. Mereka minta maaf kerana kurang
mengerti keadaan sebenar.

Nampaknya, Tersepit juga saya dibuatnya. Buka lampu pun salah, tak
buka lampu pun salah .....

Demikianlah antara kenangan tatkala saya menuntut di UM. Saya
tidaklah sampai mengharapkan agar golongan berpenglihatan harus
memahami mereka yang tidak berpenglihatan seratus peratus. Jika
golongan berpenglihatan mempunyai hasrat dan keinginan memahami
golongan kami pun sudah cukup baik. Bagi saya juga, jika satu-satu
cabaran itu ditempuhi secara positif, insha Allah ia akan menjadikan
kita lebih matang dan kental dalam mengharungi hidup.

Sesungguhnya, guru yang paling berkesan ialah pengalaman. Orang yang
paling tak cerdik ialah tak pandai walaupun setelah diajar oleh
pengalaman.

Friday, August 7, 2009

Bicara Jumaat

HUBUNGAN CINTA ANTARA ALLAH DAN HAMBANYA

Allah mencintai para kekasihNya dan bagi hamba pula wajib mencintai
Allah kerana kesempurnaan keagungan dan keindahan asma'-asma' Allah
dan sifat-sifatNya serta perbuatan-perbuatanNya.
Cinta adalah asas kehidupan dan makanan asas bagi jiwa.
• Dengan cinta, maka seekor unta akan berlaku lemah lembut terhadap
orang-orang di sekelilingnya
• Dengan cinta, maka seorang anak kecil boleh menyusu dengan ibunya.
• Dengan cinta, maka seekor keldai boleh membuat kandangnya
• Dengan cinta,maka wajah-wajah yang muram akan berseri kembali,
mulut yang mencemet akan tersenyum, mata yang garang akan menjadi
lembut, kesusahan akan menjadi kegembiraan.
• Dengan cinta, maka masyarakat mudah untuk dipersatukan dan
didamaikan. Cinta adalah hakim bagi kehidupan dunia
• Dengan cinta, maka tengkorak-tengkorak para mujahid akan berjatuhan
di atas bumi
• Dengan cinta, mereka reda untuk mengakhiri hidupnya di hujung
pedang orang-orang kafir.
• Dengan cinta, maka seseorang redha untuk bangun pada sepertiga
malam yang terakhir demi beribadat kepada Tuhannya
• Dengan cinta, maka para dermawan redha untuk menyedekahkan harta
mereka demi perjuangan di jalan Allah.
• Dengan cinta, maka ketika Haram bin Malhan terbunuh di medan
perang, dia berteriak:"Demi Tuhannya Ka'bah saya telah beruntung."
• Dengan cinta, Umair bin Hamam berdoa igin segera masuk ke dalam
syurga, dengan berkata: "Sesungguhnya hidup ini terasa panjang apabila
saya masih hidup sampai aku memakan kurma-kurma ini."
• Dengan cinta, Abdullah bin Umar Al-Anshari berteriak:"Ya Allah!
Ambillah darahku hari ini hingga kau redha kepadaku."
• Ketika Allah mencintai Nabi Ibrahim 'Alaihissalam, api menjadi
dingin dan menyelamatkannya.
• Ketika Allah mencintai Nabi Musa 'Alaihissalam, maka laut air laut terbelah.
• Ketika Allah mencintai Rasul terakhirNya, maka Allah menjadikan
sebatang pokok kurma menangis kerana rindukan Rasululklah s.a.w, dan
telah menjadikan bulan terbelah ditangan Rasulullah s.a.w.
Sesungguhnya orang yang mencintai Allah, maka dia akan menganggap
bahawa seksa Allah terasa tawar dan mati syahid di jalan Allah adalah
matlamatnya.


(Sumber: Keagungan Allah: Dr Aidh Bin Abdullah Al-Qarni )

Demikianlah cinta yang hakiki. Tiada cinta yang lebih sejati selain
cinta kita dan para makhluk terhadap Pencipta. Persoalannya, sejauh
mana cinta kita terhadap Pencipta kita sendiri?

Thursday, August 6, 2009

Bicara Umum

Sejenak Bersama Ustaz Kalam Mazad

Pagi tadi, saya telah ke Putrajaya untuk menghadiri satu mesyuarat di
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Mesyuarat dijadualkan
bermula jam 10.15 pagi. Walau bagaimanapun, pada jam 9.00 pagi saya
sudah pun sampai di lobi Blok D7. Manakala rakan-rakan dari
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai pula masih dalam perjalanan
ke tempat mesyuarat.

Sementara menunggu bermulanya mesyuarat, saya pun menghubungi Ustaz
Kalam yang sedang bertugas di tingkat 7 blok yang sama. Beliau memang
ada di pejabat. Dari nada suaranya, beliau memang gembira dengan
kehadiran saya. Ustaz Kalam mula bertugas di sini sejak awal Julai
tahun lalu. Setakat ini, Ustaz Kalam merupakan satu-satunya penolong
pengarah cacat penglihatan di JAKIM.

Tidak lama kemudian, Ustaz Kalam muncul di lobi tempat saya sedang
duduk-duduk dan terus mempelawa saya naik ke pejabatnya. Sudah
tentulah saya tidak menolaknya. Ustaz Kalam datang bersendirian tanpa
ditemani oleh rakan sekerjanya.

Di pejabatnya, Ustaz Kalam menyuruh saya duduk di sebuah kerusi
setentang dengan meja kerjanya. Dengan semua deria yang masih ada,
saya terus memerhati keadaan sekeliling terutamanya perihal Ustaz
Kalam dan tugasnya. Saya dapati ada senaskah lengkap Alquran Braille
di atas meja beliau. Selain itu, Ustaz Kalam turut dibekalkan dengan
seunit komputer yang lengkap dengan perisian bersuara (JAWS). Kata
Ustaz Kalam, semua itu kepunyaan JAKIM. Sambil melayan saya selaku
tetamu, beliau nampak tekun dengan kerjanya. Antara tugas Ustaz Kalam
ialah menjawab pelbagai soalan keagamaan yang diajukan oleh orang
ramai, sama ada menerusi telefon mahupun menerusi internet. Kata
Ustaz Kalam, pelbagai jenis soalan yang diajukan.

Selain itu, saya juga dapati Ustaz Kalam mampu bergerak di sekitar
pejabatnya tanpa "menyusahkan" orang lain. Hal ini sangat penting
demi keselesaan dan reputasi ustaz Kalam sendiri. Ustaz Kalam juga
turut memaklumkan kepada saya bagaimana dia datang dan pulang dari
tempat kerja setiap hari. Nampaknya Ustaz Kalam tidak bergantung
dengan pengangkutan awam lagi.

Saya juga dapati rakan-rakan sekerja Ustaz Kalam baik-baik belaka.
Maklumlah ustaz dan ustazah kesemuanya. Ustaz Kalam pula mempunyai
hubungan yang baik dengan mereka. Kata ustaz Kalam, mereka sentiasa
bersedia untuk menghulurkan pertolongan pada bila-bila masa.

Pada pemerhatian saya yang Cuma beberapa detik ini, saya merasakan
Ustaz Kalam tidak banyak masalah di tempat kerjanya. Beliau mampu
melakukan tugas-tugasnya secara lebih berdikari. Hubungan yang akrab
serta respon yang baik dari rakan-rakan sekerja antara resepi penting
ustaz Kalam selesa di tempat kerjanya sekarang. Kalau situasi
sebegini berterusan, saya penuh yakin pada masa hadapan JAKIM tentu
tidak keberatan untuk mengambil seorang atau lebih kakitangan cacat
penglihatan.

Jika para majikan mempunyai persepsi dan wawasan yang betul terhadap
golongan cacat penglihatan, sudah pasti golongan cacat penglihatan
pula akan berasa selesa dan mudah untuk berdikari selaku pekerja.

Bicara Ucapan

Selamat Hari Lahir Untuk Luqman

Hari ini, 15 Syaaban, merupakan tarikh lahir anak tunggal kami,
Luqman, mengikut takwim Hijrah. Luqman telah selamat diputerakan pada
15 Syaaban 1422 Hijrah (1 November 2001) di sebuah klinik swasta,
Kuala Lumpur, tepat pada jam 3.43 petang.

Di saat kelahirannya, hanya saya dan ibu saya sahaja yang menunggu di
luar wad bersalin. Sejurus Luqman dilahirkan, ibu saya berkesempatan
untuk menatapnya buat seketika. Perkhabaran pertama yang disampaikan
oleh ibu saya kepada saya setelah menatap cucunya ialah "Mata anakmu
celik". Ibu saya bukan mengkhabarkan kepada saya tentang jantina
cucunya, warna kulitnya atau setidak-tidaknya susuk tubuh anak saya.

Di sebalik bait-bait kalimah perkhabaran itu, saya mungkin dapat
menyelami dan memahami maksud dan harapan yang tersirat. Walaupun ibu
saya sudah boleh menerima yang anaknya "begini", tetapi mungkin ibu
saya belum bersedia untuk menerima keadaan jika ditakdirkan yang
cucunya pun "begini" juga. Walau apa pun, saya, isteri serta seluruh
keluarga dari kedua-dua belah pihak sentiasa bersyukur ke hadhrat
Allah dengan kehadiran Luqman dalam hidup kami. Kami turut bersyukur
kerana Allah telah mengurniakan putera yang sempurna fizikalnya, tidak
seperti abahnya.

Kini, Luqman sudah berusia 8 tahun. Saya bersyukur lagi apabila saya
mendapati Luqman tidak merasa kekok, canggung, malu atau segan
khususnya kepada rakan-rakan sebayanya kerana abahnya "begini".
Sebaliknya, Luqman akan bersikap "membela" jika ada mana-mana pihak
yang cuba "mempersendakan" abahnya. Saya masih ingat lagi, tak berapa
lama dahulu, Luqman pulang dari sekolah dengan keadaan marah-marah.
Bila ditanya beberapa kali, baru dia menjawab, "Di sekolah tadi, cikgu
kata abah Luqman buta".

Sudah tentulah besar doa dan harapan kami supaya Luqman menjadi insan
yang solih, beroleh kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat serta
terpelihara daripada azab seksa neraka.

"Selamat hari lahir, Luqman" (dari abah dan umi).

Wednesday, August 5, 2009

Bicara Blog Baru

"Tinta Intelek"

Petang tadi, kira-kira setengah jam sebelum maghrib, seorang lagi
rakan yang cacat penglihatan menghantar SMS kepada saya dan
memaklumkan bahawa dia sudah pun mempunyai blog sendiri. Sudah tentu
saya gembira dengan berita yang disampaikan. Saya segera mengucapkan
tahniah dan berpesan supaya beliau aktif dengan penulisan yang
bermanfaat dan bernas demi kepentingan "orang kita" juga.

Rakan yang saya maksudkan ialah Saudara Zamzuri bin Ghani.
Kemunculan beliau dalam dunia maya mempunyai signifikan yang
tersendiri. Pada masa ini, beliau sedang menyempurnakan ijazah
kedoktorannya dalam bidang kaunseling di Universiti Malaya. Justeru,
sudah tentulah buah fikiran orang seperti beliau amat diperlukan dalam
mengharungi dunia yang kian bergelombang dengan cabaran ini.

Selepas isya tadi, saya sempat juga menjenguk sebentar di blognya.
Menarik apa yang disampaikan. Kepada yang sudi untuk ke blog beliau,
sila klik di karisma gemilang pada pautan yang bertajuk Laman Sesawang
Kendalian Blogger Cacat Penglihatan. Alamat lengkap blog beliau ialah
www.tintaintelek.blogspot.com

Sekali lagi, tahniah diucapkan kepada Saudara Zamzuri.

Tuesday, August 4, 2009

Menungan Malam

Tambang Teksi Naik!

Mulai awal bulan ini, kerajaan telah bersetuju untuk membenarkan
kenaikan tambang teksi. Di tempat saya bertugas, beberapa orang rakan
sejawat merungut hampir setiap hari mengenai kenaikan tambang teksi.
Kebetulan pula, mereka merupakan antara orang yang kerap menggunakan
perkhidmatan teksi. Kata seorang rakan pula, kalau sebelum ini dia
membayar RM2.30 dari Stesen LRT Wangsa Maju ke sekolah, tetapi selepas
kenaikan tambang baru, dia harus membayar RM3.50 untuk jarak
perjalanan yang sama. Ini bermakna, kenaikan yang harus beliau
tanggung dan tampung ialah sebanyak 52%.

Saya masih ingat kenyataan seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri
tatkala memberi rasional mengenai kenaikan tambang teksi ini, antara
lain beliau berkata, orang yang naik teksi merupakan orang yang mampu.
Kenyataan ini jelas menunjukkan beliau tidak memahami dengan betul
antara keperluan dengan kemampuan. Pada hari ini, memiliki sebuah
kereta sudah merupakan satu keperluan, tetapi memiliki mercedes hanya
merupakan suatu kemampuan. Maka itu, dalam situasi tertentu,
menggunakan perkhidmatan teksi sudah merupakan suatu keperluan, tetapi
menggunakan perkhidmatan teksi limousine hanya merupakan suatu
kemampuan. Hal ini yang gagal difahami oleh menteri yang berkenaan.
Mungkin beliau tak pernah naik teksi. Jadi hal keadaan sebenar
pengguna teksi beliau tidak faham langsung.

Satu lagi, ada pihak yang kononnya "menggesa" para pemilik teksi agar
memperbaiki mutu perkhidmatannya selepas kadar tambang baru
dikuatkuasakan. Gesaan seumpama ini datangnya dari orang yang kurang
sempurna akalnya. Sepatutnya mutu perkhidmatan harus diperbaiki
sebelum kadar tambang baru boleh dipertimbangkan. Sebenarnya perkara
ini biasa berlaku bila kadar tambang pengangkutan awam dinaikkan.
Jaminan demi jaminan diberi bahawa selepas kenaikan kadar tambang
baru, mutu perkhidmatan akan dipertingkatkan. Realitinya, selepas
kadar tambang selanjutnya dinaikkan pun, mutu perkhidmatan masih di
takuk lama.

Golongan cacat penglihatan merupakan antara pengguna perkhidmatan
teksi yang paling kerap. Dalam kebanyakan situasi, mereka bukan
menggunakan perkhidmatan teksi kerana mereka mampu, tetapi kerana
terpaksa. Perkara ini juga sukar difahami oleh golongan
berpenglihatan. Bila mereka melihat orang cacat penglihatan berteksi,
mereka beranggapan pengguna teksi tersebut merupakan golongan
berkemampuan.

Bagi saya, bukanlah kita tidak boleh menaikkan tambang teksi
langsung. Memandangkan keadaan ekonomi yang tidak menentu, maka
sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk menaikkan tambang teksi.
Bagi sesetengah pengguna pula, kenaikan kadar tambang baru agak besar.
Kalau perlu naikkan pun, janganlah sebesar ini.

Nampaknya, "rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan" masih jauh dari
jangkauan.

Sunday, August 2, 2009

Bicara Umum

Indahnya Kampungku

Semalam saya pulang ke kampung yang terletak di negeri Melaka.
Tujuan kepulangan saya ialah sekadar menghantar ibu saya yang datang
ke KL sehari sebelumnya untuk menghadiri majlis akikah cucu saudaranya
(cucu kepada adik perempuannya).

Pagi tadi, sempat juga saya bersama isteri dan anak tunggal kami,
Luqman, melihat-lihat keindahan kampung sendiri. Kebetulan sekarang
musim buah. Sebab itulah juga kelihatan pelbagai jenis buah-buahan
bergayutan. Banyak juga yang sudah gugur ke bumi kerana tak sempat
dipetik lantaran limpahannya yang begitu banyak. Demikianlah
melimpah-ruahnya rezeki Allah untuk para hamba-Nya.

Saya mula meninggalkan kampung ini untuk merantau mencari ilmu
sewaktu berusia sekitar 8 tahun, kira-kira 34 tahun lalu. Sejak
itulah saya hanya pulang ke kampung sekali-sekala, iaitu ketika cuti
persekolahan yang panjang. Situasi ini berterusan sehinggalah
sekarang. Maka itulah juga saya tidak begitu mengenali dan akrab
dengan generasi muda kampung sendiri.

Biar di mana pun saya pergi, saya tetap berbangga dengan kampung
sendiri. Bagi saya, kampung inilah yang paling indah sekali. Indah
bukan sahaja dengan pemandangannya, tetapi dengan peristiwa yang
pernah saya lalui suatu ketika dahulu.

Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula kampung sendiri.